Home Novel Komedi/Romantik Komedi AWAK JANGAN NAKAL
AWAK JANGAN NAKAL
muRni aQiLa
24/2/2014 23:27:42
212,414
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 12
SEJURUS mematikan talian, dada Safia diamuk debaran. Lain macam! Dia terduduk bersandar di sofa. Sudah hampir setahun dia berjauhan dengan Ayu. Perasaan risau tak pernah padam dalam hati. Walaupun dia yang mahu Ayu tinggal di rumah Darus, sepatutnya dia tak perlu risau. Tapi, kerap kali hatinya terdetik keraguan.

Dia dengan Darus bukannya rapat sangat walaupun mereka adik-beradik tiri. Namun, hanya Darus saudara yang dia ada untuk menjaga Ayu. Bukan dia tak percayakan anaknya itu tinggal sendirian, tetapi dia risau kalau sesuatu yang buruk berlaku pada anaknya dan tiada sesiapa yang memantau.

Sekurang-kurangnya jika Ayu sakit, Darus boleh tolong hantarkan ke klinik. Makan minum pun terjaga. Takkanlah Maziah nak menganiaya Ayu. Yang membuatkan dia berkali-kali risau, Ayu tu bukannya seperti orang lain. Ayu tu... hisy! Dia tergeleng-geleng.

Safia melepaskan nafas panjang. Dan sekarang kenapa hatinya berdebar? Kalau apa-apa yang terjadi pada Ayu, mesti anak daranya itu akan memberitahu. Tapi tadi Ayu tak mengadu apa-apa pun.Cuma beritahu yang dia demam. Dia menggaru-garu kepala yang terasa rimas. Debaran itu begitu menggusarkan.

“Sayang... kenapa ni? Tak sihat ke?”

Safia yang sedang memicit-micit kepala melepaskan nafas panjang. Mesti sejak tadi suaminya memerhatikan tingkahnya. Memang dia gelisah. Perasaan itu tak boleh disorok-sorok.

“Ayu ke yang telefon tadi?” Kadir duduk di sebelah Safia. Hari ini kelasnya pada waktu pagi saja. Jadi petang-petang begini, dia berehat di rumah saja.

Safia mengangguk seraya memaut lengan Kadir dan melentokkan kepala di bahu suaminya itu. “Dia tak sihat. Saya risaulah, bang.”

Kadir menepuk-nepuk tangan Safia. “Janganlah risau. Darus kan ada. Kita kat sini doakan saja dia sihat. Kalau awak resah gelisah macam ni, nanti awak sendiri yang sakit,” pujuknya.

“Tapi saya peliklah, bang. Sekarang ni, dia jarang nak berkongsi cerita dengan saya. Bila saya tanya, semuanya dia kata okey. Tak ada yang tak okey. Tanya ada masalah ke tak, dia mesti kata tak ada masalah,” adu Safia pula.

“Kalau dah dia kata semua okey, semua tak ada masalah... betullah tu. Takkan dia nak membohong. Patutnya awak bersyukur. Dia okey kat sana. Darus dengan Maziah pun jaga dia dengan elok. Dahlah... janganlah risau. Awak berat-beratkan fikiran, lama-lama awak yang stress nanti.”

Kata-kata Kadir membuatkan Safia berasa sedikit lega. Mungkin apabila tahu Ayu tak sihat, dia jadi tak keruan. Bila sudah tak keruan, mulalah dada berdebar-debar. Padahal bukan jadi apa-apa pun pada Ayu. Fikirannya saja yang asyik negatif.


“WEH... awak rupa-rupanya! Saya dah agak dah. Tengok baju awak pun saya dah tahu. Tudung biru, baju oren. Awak ni tak reti match warna ek? Macam kat sarkis. Warna-warni!” Jeffry yang baru saja mematikan enjin skuternya menegur Ayu sambil tersengih-sengih.

Atang sudah ketawa terbahak-bahak.

Ayu yang terkejut cepat-cepat menyeka pipinya agar tiada kesan yang dia baru lepas menangis. Dengan jiwa yang tak tenang dan fikiran kusut, tak mungkin dia mahu terus naik ke rumah Darus. Dia masih lagi mahu duduk di bangku batu di situ. Kehadiran Jeffry dan Atang tidak dipedulikan langsung.

“Eh, kita ni invisible ke? Dia tak nampak kitalah, Jeff,” gurau Atang. “Tak nampak ke... buat-buat tak nampak?” Dia ketawa. Seperti biasa, sikap nak menyakat tu tak pernah habis.

Ayu pura-pura tak dengar, malah pura-pura tak kenal. Sibuk aje Geng Mat Ngek ni! Orang tak ada moodlah! Mukanya yang tak berseri sengaja dimonyokkan lagi. Biar dua orang Mat Ngek ni sedar yang dia tak suka. Dia menyampah!

Jeffry terkesan dengan reaksi Ayu yang semacam. Dia dapat menangkap aksi Ayu menyeka air mata. Niat asal nak menyakat gadis itu terus tumpul. Dia serba salah pula. Tadi mula-mula dia menegur Ayu memang agak sinis.

“Sejak tahu awak duduk kat sini, kita asyik jumpa aje. Eh, kita kan kawan? Boleh dapat pisang goreng free tak?” sakat Atang seperti biasa. Dia ketawa lagi. Dia mengerling Jeffry yang hanya senyum sebaris. Berkerut dahinya. Biar betul Jeff ni. Biasanya dia yang paling kuat menyakat dan membahan. Ni senyap pulak.

Seketika keadaan terasa janggal apabila semua diam. Atang memandang Ayu yang melemparkan pandangan jauh ke langit pekat. Dan kemudian dia memandang Jeffry yang merenung Ayu. Berasakan ada yang tak kena, dia menghampiri Jeffry dan menyenggol lengan sahabatnya itu.

Tersentak Jeffry disenggol Atang. Muka Atang berkerut memandangnya. Err... dia perasan ke yang aku merenung Ayu tadi? Cepat-cepat dia menjadi dirinya yang selalu, yang suka mengusik.

“Haa... awak ni suka makan kerepek ek?” Sesi mengusik nampaknya sudah bermula.

Atang sudah menahan ketawa. Selepas ni mesti dia tergelak sampai pecah perut punya. Lawak Jeffry memang terbaik. Mahaguru menyakatlah katakan.

Ayu yang masih mendongak ke arah langit tertanya-tanya dalam hati. Apa ke hal pulak dia kata aku suka makan kerepek ni? Namun nak memandang muka Jeffry, dia rasa tak kuasa.

“Memang sah awak suka makan kerepek. Memang sah! Sah!” Jeffry menekan-nekan apa yang dia cakap. Seolah-olah perkara itu tiada waswas.

“Yalah, Jeff. Pandailah kau teka. Aku tak sangka kau ni jenis jejaka bukan setakat menawan hati, malah yang pandai menilai orang. Husy! Kagum aku.” Atang ketawa tanpa suara sambil menunjukkan ibu jari kepada Jeffry. Bukan main geli hati dia kerana Jeffry mahu menyakat Ayu. Entah keturunan apa mereka berdua itu. Galak sungguh kalau bab mengusik dan membahan orang.

“Kalau kau nak tahu, Tang... orang yang suka makan kerepek ni dia jenis pendiam. Lepas tu dia suka tengok langit. Telinga dia pulak ada masalah sikit. Pekak!”

Berdekah-dekah Atang ketawa. Ayat-ayat Jeffry lawak gila.

Jeffry pun ketawa sama. Seronok betul dapat mengusik orang. Langsung tak peduli reaksi sedih Ayu yang dia nampak tadi. Tapi rasa seronok mengusik tak sepenuhnya dirasakan. Dilihat Ayu seperti tak mendengar apa-apa. Bahkan bermuka selamba.

Sebenarnya Ayu tak faham apa yang Jeffry cakap. Dah sikapnya mudah ‘blur’. Kalau dia tak faham, muka ‘blur’lah yang dia tunjuk. Walaupun sedang bersedih, takkan sesekali dia tunjuk pada orang lain. Biarlah dia saja yang rasa. Fikirannya menerawang teringatkan Maziah, teringatkan Mastura dan Adila. Tergamaknya mereka. Perbuatan mereka seperti menganggap dia musuh.

Apa yang patut aku buat supaya Mak Cik Maziah tak marah aku? Aku dah cuba ikut semua apa yang dia suruh. Tapi ada saja yang tak kena di mata orang tua itu. Aku dah tak tahu macam mana lagi nak ambil hati Mak Cik Maziah tu. Kalau ada duit yang hilang, ada barang yang rosak... mesti aku, aku, aku. Balik-balik aku jugak yang dia tuduh. Ya ALLAH...

Naik geram Jeffry melihat muka toya Ayu. Dia boleh buat muka 20 sen? Hampeh betul! Tadi aku tengok beria-ia dia lap air mata sorok-sorok. Sekarang buat muka ‘blur’ pulak. Minah ‘blur’! Nak kena dia ni.

“Kalau kau nak tahu lagi, Tang... orang yang suka makan kerepek ni makin nampak ‘kekerepekkan’ dia bila dia buat muka blur. Nampak tak? Nampak tak?”

Atang terangguk-angguk. “Nampak, nampak. Yalah, Jeff. Kerepeknya dia!” Dia ketawa bagai nak gila. Ketawa sampai besar mulut ternganga.

Jeffry bangga dapat membuatkan Atang ketawa. Dia turut ketawa. Ketawanya sengaja dikuatkan apabila Ayu memandangnya. Seronok dapat menyakat gadis itu.

Ayu berdiri sambil menghembus nafas panjang yang berat. Apa pun yang terjadi, inilah yang harus diterima. Apa jua yang berlaku di dalam rumah Darus, dia terpaksa menghadapinya dengan hati yang tabah.

Kala berpaling, dia baru perasan Jeffry dan Atang masih berada berdekatan dengannya. Ingatnya, Geng Mat Ngek tu tadi dah berlalu pergi. Nampak sangat dia langsung tak menghiraukan lelaki berdua tu. Fikirannya terlalu kusut memikirkan Maziah. Lalu, dia menghampiri Geng Mat Ngek itu.

Jeffry dan Atang yang ketawa tak ingat dunia itu terus terdiam apabila Ayu menghampiri mereka.

Ah, sudah! Apa minah ‘blur’ ni nak buat? Jeffry tertelan liur. Makin lama makin dekat. Rasa ngeri pula melihat Ayu walau dengan muka ‘blur’.

Atang mula gabra. Ayu nak mengamuk ke? Nak ganyang kita orang ke? Dia mula berjaga-jaga. Jika Ayu buat perangai gila mahu menyerang, dia akan lari lintang-pukang.

Setelah berada dekat dengan Jeffry dan Atang yang bagaikan kena paku, Ayu memandang kedua-dua Mat Ngek itu seketika.

Jeffry menelan liur. Perempuan kalau mengganas boleh gempa bumi!

Atang berasa seram sampai terlopong mulutnya.

“Sekarang pukul berapa?” soal Ayu polos.

Jeffry terkebil-kebil seketika. Ayu tanya pukul berapa? Dia menoleh ke arah Atang. Atang menunjukkan riak ‘tak tahu nak cakap apa’. Jeffry memandang Ayu semula. Minah ‘blur’!
Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.