Home Novel Komedi/Romantik Komedi AWAK JANGAN NAKAL
AWAK JANGAN NAKAL
muRni aQiLa
24/2/2014 23:27:42
212,435
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 16
SEPANJANG perjalanan Mala dan Eja mengomel. Ayu tadah telinga saja. Membalas tidak, menjawab pun tidak. Sebenarnya, bukan baru sekarang minah berdua itu membebel. Tapi, sejak selepas mereka terserempak dengan Ayu dan Geng Mat Ngek tengah hari tadi. Apabila ada peluang, Mala dengan Eja mesti ungkit pasal tu. Hisy...

“Kalau kau suka sangat kat Shahrul tu, cakaplah kat dia. Tak payah nak sorok-sorok. Bercinta diam-diam ni dah tak musimlah, Ayu.” Mala masih nak paksa supaya Ayu mengaku.

Ayu buat-buat tak dengar. Ingatkan dah selesai.Dia orangkorek balik cerita tu. Dia tergeleng dalam hati.

“Eh, kau nak ke tengok Ayu ni couple dengan Mat Ngek, erk?” Eja mencemik.

“Aku pun mula-mula tak setuju jugak. Tapi manalah tahu lepas couple dengan Ayu, si ngek tu berubah. Tak mustahil, kan?” Mala mengerling Ayu. “Pandai kau eh? Senyap-senyap je pergi jumpa Geng Mat Ngek tu. Kau dah pandai sekarang eh? Gatal jugak kau ni.”

Aduh... sudah-sudahlah membebel. Penatlah nak dengar. Ayu masih tak peduli dengan apa yang Mala cakap. Dia terus melangkah mencari kedai jam tangan di dalam bangunan Alam Sentral itu.

“Kau cakaplah sampai bibir kau tu terjuih ketanah, Mala. Dia tetap dengan muka blur dia tu. Bukan dia peduli pun kau cakap apa. Yang kau beria membebel ni kenapa? Kau pun suka kat Geng Mat Ngek tu ke?” Dahi Eja berkerut memandang Mala.

“Eh... tak ada maknanya aku nak kat orang sewel macam dia orang tu! Anak setan tu. Tolong sikit!”

Eja tergelak. Mala ni agak anti dengan lelaki. Bukan anti sebenarnya. Tapi dia ni macam geli-geleman bila sebut pasal bercinta. Konon-konon alergik gitu. Poyo kan?

“Kau nak buat apa pergi kedai jam, Ayu?” Mala terus mengalih topik kerana tak mahu Eja syak apa-apa. Dia memang tak ada apa-apa perasaan langsung dengan Geng Mat Ngek. Kekacakan mereka tak mampu menambat hatinya kalau perangai masing-masing macam anak setan!

“Dia nak beli jamlah kot. Habis tu, nak buat apa lagi?” Eja yang tolong menjawab.

Ayu masih buat tak reti. Dia ni jenis diam sikit. Lebih-lebih lagi apabila sudah buat salah.

“Kau nak belikan jam untuk Shahrul eh? Kau jangan nak mengada-ngadalah, Ayu. Baru kenal dah nak bagi macam-macam. Dia cakap suka kat kau pun entah-entah belum lagi. Ni yang aku malas kalau orang dah angau cinta ni. Kau dengan Shahrul tu dah bercinta ke? Ada ke dia cakap dia cinta kat kau?” Mala seolah-olah tak puas hati selagi Ayu tak beritahu hal sebenar.

Eja terdiam. Mendengar kata-kata Mala sudah membuatkan dia juga tertanya-tanya. Biar betik! Ayu tu mana pernah bercinta.

Ayu menoleh memandang dua orang kawannya itu sekilas sambil menggeleng-geleng, isyarat malas nak layan. Dia melangkah menaiki eskalator tanpa membalas kata-kata Mala.

Eja menyenggol lengan Mala dengan muka berkerut marah. “Kau punya pasallah ni. Tengok Ayu tu,” bisiknya agak keras. “Dah merajuk pulak.”

“Apa aku pulak?” Mala terpinga-pinga kononnya. Dia dan Eja mengekori Ayu sehinggalah tiba di sebuah kedai jam di tingkat 2 itu.

Eja menyenggol lagi lengan Mala sambil menjuih bibir ke arah Ayu. Dia mahu Mala pujuk Ayu sampai gadis itu okey.

“Yalah, yalah!” Mala berbisik geram. Dia menghampiri Ayu buat-buat tolong mencari jam tangan yang cantik di rak. Apabila Ayu tak menoleh, dia berdeham.

Ayu masih tak menoleh. Dia tunduk meneliti jam tangan yang tersusun di rak kaca itu.

“Aku bukan apa, Ayu... aku sayangkan kau. Aku tak naklah Geng Mat Ngek tu yang jadi pakwe kau. Kalau boleh pilihlah yang okey sikit. Tapi kalau kau dah suka, nak buat macam mana... terpulanglah pada kau. Aku cuma boleh doakan yang Shahrul tu nanti berubah jadi baik. Insya-ALLAH...” Akhirnya Mala mengaku apa yang terbuku dalam jiwanya. Sebab itulah dia membebel-bebel sejak tengah hari tadi.

“Bila masa pulak aku bercinta dengan Mat Ngek tu?” balas Ayu. Barulah dia nak mengupas topik ni apabila dilihat emosi Mala merundum sedikit. Barulah tenang nak berbahas.

“Habis tu, macam mana kau boleh jumpa dia orang tengah hari tadi?”

“Aku terserempak dengan dia orang ajelah,” helah Ayu. Ah... sukarnya nak berterus terang. Hatinya menjerit.

Mala memandang Eja. Eja angkat bahu.

“Yang aku pelik, dalam banyak-banyak toilet, kenapa kau nak pergi yang dekat dengan Dewan Permata tu?”

“Betul, betul, betul!” Eja menyokong Mala.

“Aku syak sebab sebelum habis kelas, kau menggelabah semacam. Sampailah lepas habis kelas.”

Ayu berputus asa. Mala ni pandai menyerkap.

“Aku dengan Eja dapat rasa yang kau sukakan Shahrul tu. Dari hari tu lagi kita orang dapat agak sebenarnya. Baik kau mengaku sebelum kantoi lagi dengan kita orang. Kau tu mana boleh sorok apa-apa dengan kita orang. Lambat-laun kita orang akan tahu jugak. Cakap ajelah kau suka kat dia. Apa masalahnya?” Mala sudah malas nak berteka-teki.

Ayu tahu, dia takkan dapat sorok apa-apa daripada Mala dengan Eja.

“Aku kalau dia dah buat muka blur, payahlah sikit.” Mala naik bingung pula.

“Dah memang muka dia muka blur.” Eja ketawa. Entah macam manalah Ayu boleh buat muka macam tu.

“Aku buat apa? Aku tak buat apa-apa pun.” Lurus Ayu bertanya kehairanan. Mala dan Eja selalu kata dia buat muka ‘blur’. Muka ‘blur’ tu macam mana?

“Sebab kau tak buat apa-apalah muka kau tu nampak blur. Aku rasalah kan...orang rabun warna ni memang blur!” Eja masih ketawa.

Spontan Mala menyenggol Eja.

Saat itu barulah Eja tersedar yang dia terlepas cakap. “Oopss... sorry.” Dia menyeringai buat muka bersalah pada Ayu.

Ayu melepaskan nafas berat. “Tak apalah. Memang aku rabun warna pun.” Ya, memang dia rabun warna. Sebab itulah pakaiannya berwarna-warni. Dia tak boleh membezakan warna. Semuanya kelihatan hampir sama. Lebih-lebih lagi warna hijau dan coklat. Sejak kecil dia sudah diajar menghafal warna. Tapi warna hijau dengan coklat susah betul dia nak bezakan. Warna biru pula dengan ungu. Baginya sama saja kedua-dua warna itu.Apatah lagi warna yang cair-cair ni. Lagi susah dia nak teka.

Dia tak peduli kalau orang ketawakan penampilannya. Dia tak kisah kalau Jeffry dan Geng Mat Ngek memanggilnya minah warna-warni. Dia tak ambil hati apabila dimarahi Maziah kerana ada kala dia tersilap memberi air minuman pada pelanggan di gerai. Dia tak marah langsung apabila Maziah membebelkannya yang tak reti masak. Rabun warna membuatkan banyak benda yang dia tak boleh buat dan kalau dia buat, dia akan ragu-ragu. Memang dia rabun warna. Nak buat macam mana? Dah ini takdir untuknya. Tiada siapa yang tahu kecuali ibunya, Mala dan Eja.

“Yalah... tapi kau pun takkan nak cakap kuat-kuat, Eja.” Mala menyalahkan Eja. “Kau nak semua orang tahu ke pasal Ayu ni rabun warna.”

“Yalah, yalah... sorry. Aku terlepas cakap. Sorry eh?” Eja buat muka meminta simpati pada Ayu.

“Dahlah... cuba diam sikit. Aku nak pilih jam ni.” Ayu malas nak melayan kawan-kawannya itu. Aku tak buat apa-apa, kata muka aku blur pulak. Dia merungut dalam hati.

“Tapi memang betullah kau suka Shahrul?” Mala tak putus asa.

“Ya!”

Mala dan Eja terbeliak merenung Ayu.

Ayu yang terlepas cakap terus ternganga. Adoi... kantoi!


HAMPIR waktu maghrib, barulah Ayu sampai di rumah. Membelek jam punya pasal, sampai lambat pula dia pulang. Ketika baru saja menjejakkan kaki di koridor tingkat 3, dia sudah dengar suara Maziah. Maziah sedang berleterkan anak-anaknya yang masih belum mandi.

“Hah, ni lagi sekor! Dah maghrib baru kau terpacak kat rumah! Kau ingat rumah ni macam sarang burung? Dah gelap baru reti nak balik?” Maziah terus berleter apabila nampak Ayu melangkah masuk ke dalam rumah.

“Maaf, mak cik. Ayu pergi kedai lepas habis kelas tadi. Ayu gantikan jam mak cik yang pecah tu,” jelas Ayu sambil mengeluarkan kotak jam yang dibelinya tadi dari dalam beg.

Bibir Maziah tersungging senyuman, namun masih mahu berleter. “Dah berkurun baru kau nak ganti? Apasal tak tunggu tahun depan aje? Dah rosakkan barang orang, cepat-cepatlah ganti. Takkan tu pun kau tak boleh fikir.”

Ayu menelan liur. Bukan dia tak nak ganti cepat-cepat. Dia terpaksa berjimat-jimat, kumpul duit yang ibu berikan semata-mata nak beli jam tangan itu. Sebab tu ambil masa sikit. Mujurlah Maziah tak ingat yang dia pernah beri amaran supaya gantikan jam tangan itu dalam tempoh seminggu aje. Dihulurkan kotak jam itu kepada Maziah.

Maziah mengambilnya dengan hati yang sangat gembira. Saat dia membuka kotak itu, terasa mahu melompat di situ juga. Cantiknya! Dan dia tahu harganya pasti lebih mahal daripada jam tangannya yang rosak. Tak sia-sia aku tuduh kau, Ayu. Dia belikan yang lebih bagus daripada jam buruk aku tu. Aku saja aje cakap yang jam aku dulu harga dua ratus.

“Nak tengok, nak tengok!” Mastura dan Adila berlari-lari mendapatkan Maziah, mahu tumpang melihat jam tangan tersebut. Masing-masing terbeliak.

“Ni mesti mahal,” komen Adila.

“Biarlah mahal pun! Dah dia pun mencuri duit aku. Orang yang mencuri ni balasannya nilah! Duit yang dia dapat tu tak berkat. Dapat duit curi, tapi lepas tu kena ganti barang yang dia rosakkan. Adillah tu, kan?” Maziah mencuba-cuba jam itu di pergelangan tangannya. Sesuai sangat. Dia tersenyum.

Tergeleng-geleng Ayu di dalam hati. Sampai hati Maziah tuduh dia mencuri. Dan dia tak pernah rosakkan jam tangan mak ciknya itu. Sedih hatinya dituduh begitu. Sedangkan dia pula tak ada bukti nak membela diri.

“Haa... itulah padahnya. Padan dengan muka kau!” Maziah menyakitkan hati Ayu lagi. Disimpan semula jam itu di dalam kotak. “Anak-anak mak jangan nak tiru perangai Ayu ni. Hidup dahlah menumpang. Tak bersyukur pulak tu. Mencurilah... rosakkan barang oranglah. Tak elok perangai macam tu. Dah, dah... pergi mandi! Asyik menghadap TV aje kau orang ni!” Suaranya melengking kembali.

Anak-anak Maziah buat tak reti. Masing-masing kembali duduk menghadap televisyen. Raffi lagilah. Selagi tak malam, selagi itulah tak nampak batang hidung di rumah.

“Ayu minta maaf sebab lambat ganti, mak cik.” Ayu masih mahu berbahasa. Adat menumpang, kenalah tahu berbudi.

“Kau ni untunglah dapat mak cik macam aku, Ayu. Untung sangat-sangat! Kalau kena orang lain, dah lama kau kena halau tau. Sudahlah mencuri, asyik menjahanamkan harta benda aku dalam rumah ni. Memang kau untung sangat-sangat sebab aku ni penyabar. Itupun kau tak sedar diuntung.”

Ayu melangkah masuk ke dalam bilik dengan hati yang kelat. Untung ke? Untung ke kena tuduh macam-macam? Ya ALLAH... sabarkanlah hatiku ini. Tabahkan diriku agar dapat melalui semua ini, ya ALLAH...
Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.