Home Novel Komedi/Romantik Komedi Sayangku Cik Tiramisu
Sayangku Cik Tiramisu
27/8/2014 03:32:25
79,132
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 4

KOTAK kek di tangan, terus ditatap bersama senyuman di bibir. Hatinya kembali dicuit apabila mengingati peristiwa petang tadi. Kelakar pula bila diingat-ingat semula. Seseorang yang tidak pernah dia kenali, tiba-tiba menjadi sebahagian cerita kehidupannya hari ini.

Siapa nama gadis itu, dia sendiri tidak tahu. Terlupa pula mahu bertanya tadi. Gadis itu pun mencicit sahaja perginya. Tidak sempat dia mahu bertanya lebih. Yang ditinggalkan hanyalah kotak kek yang masih banyak berbaki kek di dalamnya.

Faiz membuka kotak kek tersebut. Dia melihat sepotong kek tiramisu yang terdapat di dalamnya. Jika dilihat, rasanya baru sesuap dua kek itu dimakan. Sedikit sangat kesan sudu di potongan kek tersebut.

Ada rasa bersalah menyelit di hati Faiz. Sungguh, dia tidak berniat langsung mahu mengenakan gadis itu. Malah, dia sudah beralah awal ketika membeli kek tadi. Tetapi bila mengetahui gadis itu membohonginya, hatinya tiba-tiba jadi geram. Maka, timbullah idea nakal sponton tadi.

“Entah-entah perempuan tu tengah mengidam?” Faiz meneka sendiri.Tiba-tiba sahaja perkara itu melintas di kepalanya.

“Ish, kalau betullah, kesian pulak dia. Kenapalah aku tak fikir tadi?” Dia terus bermonolog. Mulutnya berdecit-decit tanda kesal.

Mengingati gadis tadi, membuatkan dia mengenang seseorang. Seseorang yang begitu istimewa di hatinya sejak sekian lama. Intan Sufina. Ya, kek tiramisu, pokok golden shower dan bangku yang diduduki gadis tadi, mengingatkan dia kepada Intan Sufina. Sahabat zaman kecilnya yang begitu disayangi.

“Intan...” Tanpa sedar, nama itu terlepas daripada bibir Faiz. Dia begitu merindui Intan Sufina. Begitu lama berpisah, Faiz masih berpegang pada janjinya dahulu. Tidak sabar rasanya mahu menunggu tarikh itu tiba. Sejak berpisah, mereka tidak lagi berhubung. Hanya sebuah janji yang masih menjadi pegangan.Jauh di sudut hati, besar harapannya agar Intan Sufina juga tidak melupakan dirinya.

“Tapi kalau dia dah kahwin macam mana? Huh, masuk angin keluar asaplah aku.”

Faiz pandang kek tiramisu kembali. Dia tersenyum semula. “Kalau Intan dah kahwin, aku ayat minah tiramisu ni pulak la. Ketot-ketot pun, boleh tahan comel.” Ada ketawa kecil dihujung katanya. Sudu plastik di dalam kotak itu dicapai lalu kek tiramisu itu disudunya. Dibawa ke mulut. Hmm... nikmatnya!

* * * * *

FATIN memulas perlahan-lahan tombol pintu bilik abangnya. Bagaikan lagak seorang pencuri, dia menjengulkan kepalanya terlebih dahulu. Pertama sekali, dia memandang ke katil abangnya. Kosong!

‘Aik! Takde pulak,’ desis hatinya.

Seingatnya, lebih kurang sejam yang lalu, abangnya hanya terbaring lesu. Katanya sakit kepala yang amat. Kini, sudah ke mana pula perginya? Sudah baikkah sakit kepala yang amat itu?

Matanya meliar lagi. Hah, itu pun dia.

‘Eh, tak macam orang sakit kepala yang amat pun. Gelak sorang-sorang. Siap makan kek Secret Recipe lagi. Heaven amat nampak!’ Fatin mengguman dalam hati apabila melihat gelagat abangnya.

Perlahan-lahan Fatin masuk ke dalam bilik Faiz dan melangkah ke balkoni di mana abangnya sedang duduk bersantai dengan senang-lenangnya. Terjingkit-jingkit dia kerana tidak mahu abangnya perasan dengan kehadirannya.

Hemoi, hemoi. Sakit kepala yang amat, makan kek boleh baik eh?”terjah Fatin tanpa salam.

Terperanjat Faiz dibuatnya. Kek yang berada di dalam mulut terus tertelan tanpa sempat dikunyah. Mujur juga lepas. Kalau tersangkut di tekak, boleh biru muka dibuatnya. ‘Aduhai adik! Kau suka bikin abang susah betul.’

“Ni pehal ceroboh bilik orang tak tentu hala ni?” Faiz buat-buat marah.

Fatin sedikit pun tidak terusik dengan marah abangnya. Sebaliknya, dia terkekeh-kekeh ketawa pula. Dapat dilihatnya tadi, betapa peritnya anak tekak abangnya akibat tertelan ketulan kek.

“Gelak! Gelak!” marah Faiz lagi. Sebetulnya dia hanya mahu menutup malu akibat terkantoi dengan adiknya. Silapnya juga sebab terlupa mengunci pintu bilik. Kalau tidak, tentu adiknya tidak akan senang-lenang dapat menceroboh masuk.

“Baik punya auta ya,” sindir Fatin.

“Auta apa?” Faiz pura-pura bendul.

“Eleh, macamlah orang tak tahu. Abang saja buat-buat sakit kepala sebab tak mahu jumpa dengan Kak Nita, kan?” tebak Fatin.

Faiz pandang Fatin. “Adik jangan nak merepek ek. Abang memang sakit kepala la tadi,” dalih Faiz.

Fatin ketawa lagi. Abangnya memang pandai berlakon, tapi bukan dengan dirinya. “Alah, tak payah berlakonlah. Segala auta abang ada dalam poket adik la,” katanya lagi.

“Syhhh!” Cepat-cepat Faiz menyuruh Fatin merendahkan suaranya. Cakap bukan main kuat lagi. Nak suruh semua jiran tetangga dengar agaknya.

Makin terkekeh-kekeh Fatin ketawa. “Tahu takut,” ejeknya.

Faiz menjeling adiknya. Eeiii... menyibuk betullah budak ni. Tengah syok layan perasaan, masa ini jugalah dia nak masuk.

“Abang saja buat-buat sakitkan tadi?” tanya Fatin. Tangannya laju menarik sudu di tangan Faiz. Kek tiramisu yang masih berbaki dirembatnya tanpa dipelawa.

“Memanglah. Rimas la nak melayan perempuan tu,” jawab Faiz.

Fatin terangguk-angguk sambil menyuap kek ke mulutnya.

“Tapi jangan beritahu mama tau,” pesan Faiz cepat-cepat.

Fatin berhenti menyuap. Dia berfikir seketika. Nampaknya peluang baik sudah terbentang untuknya. Inilah masanya untuk dia meminta tolong abangnya.

“Boleh. Tapi dengan satu syarat,” sahut Fatin.

Faiz tarik muka tidak puas hati. Fatin selalu begitu dengannya. Kalau minta tolong, ada sahaja habuan yang dimintanya. Baru-baru ni lesap duitnya dua ribu ringgit kerana membeli telefon bimbit Samsung S4 untuk Fatin. Semuanya gara-gara dia terpaksa meminta tolong adiknya untuk mengelakkan diri daripada Anita. Dia tahu Fatin cukup bijak dalam mencari idea-idea putar belit ni.

“Hisy! Adik ni makan suaplah,” rungut Faiz.

“Makan memanglah kena suap, bang. Takkan makan nak pakai cangkul pulak,” jawab Fatin berloyar buruk. Dia kembali mengekek ketawa. Kek tiramisu disuap lagi ke mulut untuk menjadi habuan tekaknya.

Geram dengan jawapan loyar buruk si adik, Faiz menarik tocang ekor kuda Fatin. Mengaduh si adik dibuatnya.

“Sakitlah!” Fatin sedikit terjerit.

“Padan muka. Lain kali loyar buruk banyak-banyak lagi,” kutuk Faiz.

“Ooo... kerek. Takpe, takpe. Adik bagitahu mama, abang menipu tadi,” ugut Fatin pantas. Dia berpura-pura kalut bangun untuk meninggalkan bilik abangnya.

Faiz jadi panik. Cepat-cepat dia menarik tangan Fatin, mahu menghalang adiknya daripada membocorkan rahsia kepada mama mereka. Habislah dia kalau mama tahu nanti.

“Rilekslah,” katanya sambil menarik tangan Fatin agar duduk semula.

“Tahu pun gelabah,” ejek Fatin kembali.

Faiz termenung seketika. Apa pula MOU yang adiknya akan minta kali ini? Hilang dua ribu pun belum habis lagi kesan sakit hati, dah nak kena ‘pau’ lagi. Hisy!

“Jangan bagitau mama okey?” pintanya.

“Habuannya?” Balik-balik itu juga yang ditanya Fatin.

Faiz tayang muka bosan. “Tak baik tau makan rasuah.” Faiz cuba mempengaruhi Fatin untuk menukar pemikirannya.

“Itu bukan rasuah namanya. Itu namanya gaji. Setiap kerja mesti ada gajikan? Jadi tak salahlah adik minta upah dari abang.” Fatin mempertahankan tindakannya.

Faiz mengeluh. Adiknya itu memang pandai menjawab. Kalau bab memutarkan ayat, boleh mati kutu si lawan dibuatnya. Faiz merenung muka Fatin yang habis selamba itu. Langsung tidak ada rasa bersalah waima simpati terhadap abang yang asyik jadi mangsa ‘pau’nya.

“Okeylah, okeylah. Adik nak apa pula kali ni? Tapi, kalau boleh janganlah mahal-mahal sangat. Kopak dua ribu hari tu pun belum ditampal lagi.” Faiz mengalah juga akhirnya. Namun, sempat juga dia merayu tolak-ansur daripada Fatin.

Fatin sudah tersenyum lebar. Nampaknya urusannya untuk meminta pertolongan abangnya untuk bertemu dengan Cikgu Intan esok, sudah menjadi lebih mudah. Sejak siang tadi, berbelit urat otaknya mencari idea untuk meminta pertolongan abangnya. Siapa sangka, segalanya jadi mudah. Tidak perlu dia bersusah payah memujuk. Dia yakin abangnya akan menurut kemahuannya.

“Alah, adik bukannya zalim sangat. Macam ni. Apa kata, adik tolong abang, abang tolong adik.” Fatin mula membuat rundingan.

Tercengang Faiz dengan tawaran Fatin. “Abang tolong adik?” Jari telunjuk dihalakan ke hidungnya.

Fatin angguk.

“Tolong apa?” tanya Faiz. Matanya menyorot memerhati tangan Fatin yang meletakkan kotak kek yang sudah kosong di atas meja kecil di hadapannya.

‘Habis kau telan dik? Ish…ish…ish. Abang baru sempat jamah dua sudu. Sama sahaja nasib aku dengan nenek ketot tu. Sempat makan sikit saja.’ Faiz mengeluh dalam diam.

“Macam ni...” Fatin merapatkan dirinya kepada Faiz. Dibisikkan tawarannya ke telinga Faiz agar tiada oranglain yang mendengar.

Walaupun hanya mereka berdua sahaja yang berada di dalam bilik itu, tetapi waspada itu harus. Manalah tahu, buatnya malam ini mama buang tabiat mahu menelinga di pintu bilik abang, tidak ke haru dibuatnya nanti. Pasti natijah yang akan dia kena, lebih teruk daripada abangnya. Maklum sahajalah, jika hendak dibandingkan dengan penipuan yang dibuat abangnya, masalahnya jauh lebih berat.

“Apa?” Faiz terperanjat besar sebaik sahaja Fatin menghabiskan ayatnya. Matanya sudah terbuntang.

“Syhhhh!” Fatin cepat-cepat menekup mulut abangnya.

“Adik buat salah apa sampai waris kena mengadap cikgu disiplin ni?” soal Faiz setelah Fatin melepaskan mulutnya. Serius wajahnya memandang Fatin.

Fatin garu seketika kepala yang terasa gatal tiba-tiba. ‘Aduh! Nak cerita apa kat abang ni? Kalau abang tahu, confirm aku kena punya,’ gumam hatinya.

“Adik, abang tanya ni. Adik buat salah apa kat sekolah?” desak Faiz.

Perlahan-lahan Fatin menghulurkan surat yang diberikan oleh Cikgu Intan siang tadi. Pantas surat itu diregut Faiz daripada tangan adiknya. Satu per satu perkataan di dalam surat itu dibacanya. Matanya sekejap mengecil, sekejap membesar.

“Masalah disiplin? Apa masalah yang adik dah buat?” Faiz menyoal kembali setelah selesai membaca surat tersebut. Surat itu dicampakkan ke atas meja kopi di hadapannya.

“Errr... cikgu... cikgu tangkap adik tengah curi-curi main handphone masa kat kelas tadi,” beritahu Fatin sedikit tergagap.

Kuk! Haaa... kan dah kata. Confirm kena punya! Nasib baik abang ketuk dengan kotak kek.

“Aduh... janganlah ketuk kepala.” Fatin sedikit marah. Tempat yang diketuk tadi, digosok-gosok.

“Siapa suruh buat benda merapu macam tu kat dalam kelas?” Faiz juga tidak kurang bengangnya.

“Adiklah yang suruh. Takkanlah Menteri Pelajaran pulak yang suruh,” jawab Fatin selamba. Si abang tengah bengang pun dia boleh berloyar buruk lagi.

Kuk! Sekali lagi kotak kekyang sudah kosong tadi hinggap di kepala Fatin.

“Abang!” jerit Fatin. Dia tarik muncung itik. “Alah, orang tengah Google cari maklumat kat internet masa tu. Tahu-tahu cikgu ketot tu dah tercacak kat depan adik.”

“Cikgu ketot?” Faiz sedikit terkejut. Ada ke nama cikgu macam tu?

“Cikgu disiplin tu ketot,” jelas Fatin dengan wajah tidak berperasaan. Langsung tidak ada rasa bersalah mengutuk cikgu sendiri.

Faiz menggeleng. “Tak baiklah gelar cikgu macam tu,” tegurnya.

Fatin menjuihkan bibir.

“Lagipun, yang adik sibuk nak belajar dengan pak cik Google masa di sekolah tu kenapa? Dah tak cukup cikgu ke kat sekolah tu?” sambung Faiz lagi.

Fatin tercengang. Macam tak percaya sahaja. Macam pernah dengar saja ayat itu. ‘Hisy! Macam mana boleh sama pulak ayat Cikgu Intan dengan abang ni?’ Tanpa sedar, dia menggaru-garu kepalanya.

“Habis tu, handphone kena rampaslah?” soal Faiz lagi.

Fatin mengangguk perlahan-lahan.

Faiz pula tergeleng-geleng kepala. Ada keluhan terbit daripada mulutnya. Banyak nilai dua ribu ringgit tu. Si adik pula langsung tidak tahu menjaga harta yang diberi. Faiz mengeluh lagi.

“Esok abang datang sekolah ek?” pujuk Fatin.

“Tak kuasalah abang. Pergi ajak mama.” Faiz jual mahal.

“Alaaa... tolonglah abang,” rayu Fatin lagi. Muka sehabis kasihan ditayangnya.

Faiz sekadar menjuihkan bibir. Matanya dihala pandang ke luar. Fatin yang terus memandangnya langsung tidak dihiraukan. Sebetulnya, ada sedikit kecewa di hati Faiz. Adiknya itu terlalu nakal baginya.

Dahulu, semasa dia bersekolah, dia juga nakal. Tapi, tidaklah sampai selalu sangat dikenakan tindakan disiplin. Senakal-nakalnya, tidak pernah waris dipanggil mengadap cikgu disiplin mahupun pengetua di sekolah.

“Abang...” panggil Fatin. Meleret sahaja suaranya. Minta simpatilah tu.

“Bila adik nak ubah perangai? Kenapa nakal sangat?” Suara Faiz sudah bertukar serius.

“Mana ada orang nakal sangat,” tukas Fatin pantas. Kurang senang dengan tuduhan abangnya.

“Abang ni masa sekolah nakal juga, dik. Tapi, tak adalah dalam sejarah sampai waris kena panggil ke sekolah,” ujar Faiz.

“Bukannya apa sangat pun. Cikgu ketot tu aje yang kecoh lebih.” Fatin menjawab.

Faiz mengeluh lagi. Adiknya memang suka menjawab. Selalu tidak mahu mengaku salah. Alih-alih, cikgu pula yang disalahkan.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.