Home Novel Komedi/Romantik Komedi Sayangku Cik Tiramisu
Sayangku Cik Tiramisu
27/8/2014 03:32:25
79,694
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 3

INTAN memperlahankan pemanduannya sambil mengintai-ngintai di mana ada petak parkir yang kosong. Bertuah nasib badan, dalam terintai-intai, ada sebuah kereta yang hendak keluar parkir. Kedudukannya tidak jauh dari restoran Secret Recipe itu. Cepat-cepat Intan memberi isyarat ke sebelah kiri.

“Alhamdulillah...” ucap Intan girang.

Setelah kereta itu berlalu, Intan terus masuk ke parkir tersebut. Enjin kereta segera dimatikan lalu tangannya mencapai beg tangan. Setelah mengunci kereta, Intan berjalan menuju ke restoran Secret Recipe itu.

Entah kenapa, hari ini tekaknya terasa hendak menjamah kek tiramisu. Sejak bangun pagi tadi, bagai terasa sahaja keenakkan kek tersebut di tekaknya. Makanya, sebaik habis sahaja tugasan di sekolah, Intan terus sahaja menghala ke mari.

Sampai di hadapan restoran tersebut, nyaris sahaja dia berlanggar dengan seorang lelaki yang sama-sama mahu masuk ke dalam restoran itu. Segera Intan memohon maaf. Lelaki itu sekadar mengangguk lalu memberi ruang kepada Intan terlebih dahulu masuk ke dalam.

Intan terus berjalan menuju ke kaunter yang mempamerkan pelbagai kek yang menjadi kegemaran ramai. Dalam melihat-lihat, Intan ternampak kek tiramisu yang diingininya hanya tinggal sepotong sahaja. Cepat-cepat Intan bersuara, “dik, bungkuskan kek tiramisu sepotong.”

Pelayan yang bertugas di kaunter tersebut tergamam kerana bukan seorang yang meminta benda yang sama, tetapi dua orang. Sedangkan, benda yang diminta hanya tinggal satu. Macam mana nak buat ni? Itulah yang difikirkan oleh pelayan tersebut. Masalahnya, kedua-dua meminta serentak. Mana yang patut didahulukan?

Intan juga turut terperanjat. Ditoleh ke sebelah. Rupa-rupanya lelaki yang bertembung dengannya di pintu masuk tadi juga berhajatkan benda yang sama.

“Maaf cik, encik. Kek tiramisu tinggal sepotong aje,” beritahu budak pelayan tersebut.

“Saya yang minta dulu.” Intan dan lelaki itu sekali lagi sama-sama bersuara.

“Maaf encik. Rasanya saya yang minta dulu,” kata Intan, tidak mahu berkompromi.

“Rasanya saya yang minta dulu cik,” balas lelaki itu pula. Juga tidak mahu bertolak ansur.

Nampaknya lelaki itu seperti tidak mahu mengalah. Ligat otak Intan mencari akal. Mana mungkin dia melepaskan kek tiramisu itu. Sejak dari pagi tadi lagi, dia teringin sangat hendak makan. Sudah kecur air liur ni. Hendak menapak cari kedai lain, rasanya macam dah tak larat. Alahai otak, cepatlah cari akal.

‘Lelaki ni pun, gentleman la sikit,’ rungut hati Intan.

“Errr... macam mana ni cik, encik?” tanya pelayan itu lagi.

Intan dan lelaki itu saling berpandangan. Tiba-tiba... idea!

“Tolonglah, encik. Bagi saya beli kek ni ya. Hari ni hari lahir nenek saya. Dia teringin sangat nak makan kek ni,” rayu Intan dengan muka habis kasihan.

“Nenek awak teringin nak makan kek ni?” soal lelaki itu seperti kurang percaya.

Berlakon Intan, berlakon. “Ha’ah... Dia minta sangat nak makan kek ni. Dah dua, tiga kedai saya pergi, tapi semuanya habis. Entah kenapa jadi macam ni pula hari ni,” sayu suara Intan. Bukan setakat suara, riak wajahnya juga berubah sayu.

Lelaki itu memandang Intan beberapa ketika. Ada simpati yang bertandang di hatinya. Tidak sampai hatinya mahu menghampakan hajat seorang tua. Lagipun, bukanlah ada keperluan mustahak untuk dia berebutkan kek tersebut.

“Awak ambillah kek tu,” ujar lelaki itu akhirnya.

Yes!’ jerit Intan di dalam hati. Wajahnya yang mendung sudah bertukar ceria. Dia memang pandai berlakon. Lepas ini boleh berhenti jadi cikgu, jadi pelakon pula. Hahaha...

“Terima kasih awak,” ucapnya.

Lelaki itu tersenyum. Kacak! Sempat lagi Intan menilai senyuman lelaki itu. Tertawa juga dia seketika.

“Tak apa. Rasanya awak lebih memerlukan kek tu,” kata lelaki itu lagi, penuh budiman.

Intan tersenyum sambil mengucap terima kasih sekali lagi. Langsung tidak ada rasa bersalah di hatinya kerana menggunakan taktik kotor begitu. Yang penting, hajatnya tertunai.

“Oh ya. Sampaikan salam dan ucapan selamat hari lahir kepada nenek awak ya,” pesan lelaki itu sebelum berlalu pergi.

Intan terus terpaku di situ. Ada sedikit rasa bersalah mula bertandang di hatinya. Kasihan lelaki itu kena tipu bulat-bulat dengan dirinya. Intan terus memandang lelaki itu yang sudah melepasi pintu keluar dari premis tersebut.

“Cik nak ke kek ni?” Suara budak pelayan tadi menyentak Intan kembali ke alam nyata.

“Aaa... ya, ya. Saya nak,” jawab Intan segera. Gila kau tak nak? Susah payah dia memikirkan idea untuk memiliki kek tersebut takkan tak mahu pula. Tapi, kasihankan lelaki tadi? Tapi... ah, lantaklah!

KERANA terlalu ingin makan kek tiramisu tersebut, Intan tidak menyempat-nyempat untuk sampai ke rumah. Lalu sahaja di hadapan padang permainan berdekatan kawasan rumahnya, Intan terus menghentikan kereta. Tempat tujuannya, sudah tentu sebuah bangku batu di bawah pohon ‘golden shower’. Itu tempat kegemarannya sejak sekian lama.Tempat yang punya kenangan tersendiri antara Intan dan si dia.

Faiz yang kebetulan baru tiba di situ, turut terpandangkan Intan yang baru sahaja melabuhkan punggungnya di bangku batu itu. Dia menanggalkan kacamata hitamnya untuk melihat dengan lebih jelas. Rasa-rasa hatinya, macam kenal sahaja.

“Macam pernah nampak aje perempuan tu,” ujar Faiz sambil matanya tajam merenung ke arah figura tersebut. Dia segera turun dari kereta.

“Laa... perempuan kat kedai kek tadi. Patutlah macam pernah nampak.” Faiz terus bercakap sendiri. Gelagat Intan diperhati lagi.

Tiba-tiba matanya tertancap pada tangan Intan yang sedang membuka kotak kek. Bulat matanya. Dan makin bertambah terbeliak jadinya apabila terlihat Intan dengan selamba menyudu kek tersebut lalu dimasukkan ke dalam mulut.Di saat itu Faiz mula sedar yang dia sudah di tipu tadi.

“Cis! Kau tipu aku ya perempuan. Konon hari lahir nenek kau. Konon nenek kau teringin sangat nak makan. Banyaklah kau punya nenek!” hamun Faiz. Sakit hatinya apabila ditipu bulat-bulat oleh perempuan itu.

Hatinya jadi lembut tadi apabila perempuan itu mengatakan hajat neneknya yang mahu sangat makan kek tiramisu.Lantaran itu dia rela mengalah. Sanggup dia melepaskan keinginannya semata-mata kerana mahu membantu perempuan itu memenuhi hajat neneknya.Tapi rupa-rupanya...

Sememangnya sejak sekian lama, jika ada masa terluang, Faiz gemar sekali datang ke sini dan duduk di bangku batu yang sedang diduduki Intan sekarang. Sambil menikmati kek tiramisu kegemarannya, dia akan mengenang semula kenangan lalu. Ada kenangan zaman kanak-kanaknya di situ. Tanpa langsung dia sedar, perempuan yang berada di situlah kenangan zaman kanak-kanaknya.

Tidak disangka pula, keputusannya datang ke sini untuk bersantai-santai seketika, akan menemukan dia dengan perempuan itu lagi dan sekaligus membongkar penipuan perempuan itu. “Ewah, dah la kau tipu aku. Bukan main sedap pulak kau makan tiramisu kat kerusi kenangan aku. Huh, melampau…” Faiz berkata sendiri.

Melihat Intan begitu enak sekali menikmati kek tersebut, otak Faiz ligat mencari idea mahu mengenakan Intan kembali. Tak boleh jadi, dia harus balas dendam. Tiba-tiba...idea!

Faiz tersengih jahat sambil berjalan mendekati Intan yang masih tidak sedar akan kehadiran Faiz. Intan masih ralit dengan kek tiramisunya.

“Ehem!” Faiz berdehem kuat.

Intan tersentak. Terus dia berpaling ke sisi. Mulutnya ternganga sebaik terpandang orang di sisinya. Lelaki tadi! Kek tiramisu tidak jadi disuap ke mulutnya.

‘Habis aku!’ Itu kata hati Intan. Kelam kabut dia menutup kotak kek tersebut.

“Laa... buat majlis hari lahir nenek kat sini ke? Mana neneknya? Tak nampak pun,” ujar Faiz sinis. Dia berpura-pura menoleh ke sana sini, kononnya mencari ‘nenek’ perempuan itu.

Intan menelan liur. Terasa berduri sahaja tekaknya. Langsung tidak dijangka dia akan tertangkap menipu semudah ini. Rasa menyesal kerana singgah di sini, bertandang di hati.

“Err...” Intan jadi gagap tiba-tiba.

“Eh, tapi saya tengok, yang makan kek tu tadi... awak. Ooo... inilah neneknya ya?” perli Faiz lagi.

“Err...” Intan masih lagi gagap untuk berkata-kata. Hilang semua ideanya mahu menjawab kata-kata lelaki itu.

Melihat perempuan itu masih lagi diam, Faiz melabuhkan punggungnya di hujung bangku batu itu. Spontan, Intan turut mengesot ke hujung satu lagi. Di antara mereka kini adalah kotak yang berisi kek tiramisu.

Intan pandang tepat ke tanah. Takut untuk memandang lelaki di sebelahnya. Orang yang berbohong memang begitu gayanya. Tidak berani berhadapan dengan orang dibohonginya.

Faiz terus merenung perempuan itu. Comel juga ‘nenek’ di sebelahnya itu. Sesuai dengan tubuh yang kecil molek. Suka makan kek tiramisu lagi. Sama macam dia juga. ‘Hai, kalaulah hati aku ni tak dicuri Intan, memang aku ayat jugak nenek ketot ni.’ Sempat lagi Faiz mengguman di dalam hati. Tanpa sedar tersungging sedikit senyuman di bibirnya.

Ah! Comel tak comel, tolak ke tepi dulu. Perempuan itu sudah menipu dia. Makanya, dia harus beri pengajaran sedikit. Biar perempuan itu tahu, dia bukan sembarangan orang yang boleh diolok-olokkan walaupun kenyataannya dia sudah diperolokkan tadi.

Idea nakal sudah melintas di otaknya. ‘Kau ingat, kau sorang pandai berlakon eh? Sekarang tengok bakat terpendam aku pulak,’ getus hati Faiz.

Dengan memek muka sedih gila tahap kuasa dua, Faiz bersuara, “sampai hati awak tipu saya tadi. Saya ingat betul-betul nenek awak berhajat. Saya sanggup beralah, ketepikan rasa tekak saya yang sudah beberapa hari mengidam nak makan kek tu.”

Intan tersentak. Mengidam? Hamba ALLAH kat sebelahnya itu rasanya seorang lelaki tulen. Apa kes pula mengidam ni? Kalau perempuan ada logiknya juga kerana mungkin sedang mengandung. Ini lelaki. Takkanlah kot. Rasanya dunia belum terbalik lagi. Persoalan itu terbit di minda Intan.

Perlahan-lahan Intan mengangkat muka memandang pemuda di sebelah yang tidak pernah diketahui namanya. Sedih benar wajah itu. “Awak mengidam?” soal Intan antara percaya dan tidak. Lebih kepada tidak percaya sebenarnya.

Faiz mengangguk. “Memang pelikkan? Sebenarnya isteri saya tengah mengandung anak pertama kami. Tapi alahan, mengidam, semuanya terkena kat saya. Beberapa hari ni, terasa hendak makan kek tiramisu pulak.” Auta Faiz panjang lebar.

Dia nampak riak rasa bersalah di wajah gadis itu. Faiz tersenyum, namun cuma di dalam hati. Kalau dia senyum betul-betul, memang habislah lakonannya.

Intan sudah tertunduk kembali. Rasa bersalah makin kuat menyerang dirinya. Kesal kerana menipu tadi. Terasa dia begitu mementing diri sehingga sanggup berbohong. Sedangkan lelaki itu lebih memerlukan kek itu berbanding dia. ‘Kenapalah dengan kau ni Intan. Nama aje cikgu. Boleh pulak kau menipu ya?’ Intan mengutuk diri sendiri.

Tangan Intan mencapai kotak kek di sisinya lalu dihulurkan kepada Faiz. Faiz tergamam, namun tangannya tetap menyambut juga kotak kek tersebut.

“Saya minta maaf. Awak ambillah kek ni. Saya baru makan sikit,” kata Intan.

Faiz terus memandang Intan dengan wajah terkejut. Tapi, itu semua luaran sahaja. Dalam hati, dia sudah ketawa berguling-guling. Terkena juga perempuan itu dengannya. Itulah, nak tipu lagi Muhammad Faiz. Kan dah kena balik.

“Jangan risau, saya tak gigit kek tu. Saya guna sudu,” kata Intan lagi apabila melihat wajah serba tidak kena lelaki itu.

Hampir terhambur ketawa Faiz. Nampaknya gadis itu percaya bulat-bulat cerita rekaannya. ‘Nasib kaulah nenek ketot. Siapa suruh tipu aku tadi.’

“Saya minta maaf,” pinta Intan lagi. Tanpa menunggu, dia terus bangkit dan berlalu pergi dari situ. Rasa malunya sudah tebal berinci-inci.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.