Home Novel Komedi/Romantik Komedi Sayangku Cik Tiramisu
Sayangku Cik Tiramisu
27/8/2014 03:32:25
79,691
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 7

“CIKGU!”

Intan terus mengangkat wajahnya. Terkejut dia apabila dipanggil tiba-tiba seperti itu. Angkat sahaja wajah, matanya terus terpandangkan wajah Cikgu Amran yang begitu serius riaknya.

‘Ish, nak apa pula pak cik ni? Pagi-pagi Isnin macam ni dah muncul tayang muka. Silap-silap, boleh hilang mood sepanjang minggu dibuatnya,’ rungut hati Intan.

“Cikgu rupanya. Terkejut saya. Kalau iya pun bagilah salam cikgu. Tidaklah mencicit lari semangat saya ni,” gurau Intan sambil tergelak kecil.

Gurauan Intan sedikit pun tidak mencuit hati Cikgu Amran. Riaknya masih seperti tadi. Serius.

“Siapa lelaki hari tu?” soal Cikgu Amran tanpa sebarang mukadimah.

Intan mengerutkan dahi. “Lelaki mana?” Dia amnesia.

“Jangan buat-buat lupalah cikgu,” sinis nada suara Cikgu Amran.

Muka Intan sudah mula berubah kemerah-merahan. Ada kemarahan yang mula bertandang. Memang pantang dia kalau orang menuduh dia begitu sedangkan dia memang langsung tidak faham apa yang dimaksudkan.

Sudahlah datang tidak bersalam, kemudian soal siasat orang macam drama CSI. Lepas tu main sedap mulut tuduh orang buat-buat lupa. Memang melampau amatlah tu. Kalau tidak kenang situasi mereka sebagai guru dan berada di sekolah, mahu juga diseligi cikgu beranak empat ini. Walaupun tubuhnya kecil, kecil lagi dia melihat Cikgu Amran sekarang ini.

“Cikgu cakap apa ni? Saya tak faham,” ujar Intan menahan geram.

“Saya tanya, siapa lelaki yang jumpa cikgu hari tu?” desak Cikgu Amran terus-menerus.

Ingatan Intan tiba-tiba melayang kepada Faiz. Dia mula pasti, Faizlah yang dimaksudkan Cikgu Amran. “Oh, yang kat restoran hari tu?” soalnya meminta kepastian.

Cikgu Amran mengangguk. Gayanya memang serius habis.

Intan menyandarkan tubuhnya ke kerusi. “Kenapa cikgu nak tahu?”

Cikgu Amran mendengus kasar. “Cikgu tipu saya. Hari tu saya ajak cikgu keluar, cikgu kata ada hal dengan kawan. Tapi, sebenarnya cikgu jumpa dengan lelaki tu.”

Intan terpana dengan tuduhan Cikgu Amran. Meroyan apa pula cikgu beranak empat ini tiba-tiba sahaja membuat tuduhan berbaur cemburu ni? Naik bingung Intan dibuatnya. Nasib baik juga tiada guru-guru lain ketika ini. Kalau tidak buat malu sahaja.

“Cikgu, saya ni tak suka nak berkasar. Hendak-hendak kita ni sama rakan setugas. Tapi, rasanya cikgu macam dah terlebih batas sampai tuduh saya menipu.” Turun naik suara Intan menahan marah.

“Cikgu memang tipu saya. Cikgu kata nak jumpa kawan tapi berjanji dengan lelaki itu. Siapa lelaki tu?” Cikgu Amran mengulang tuduhannya. Kali ini lebih keras nadanya.

“Cikgu!” Intan tidak mampu berlembut lagi. Dia terus bangun berdiri. Tangannya menepuk meja.

Tersentak Cikgu Amran melihat Intan yang jelas dengan riak marah.

“Saya tak pernah menipu. Memang saya jumpa kawan dan kawan saya adalah lelaki itu. Dan untuk soalan siapa lelaki itu, bukan urusan cikgu untuk ambil tahu. Antara cikgu dan saya, tidak ada apa-apa hubungan yang memerlukan saya mendapatkan keizinan cikgu untuk saya berkawan dengan sesiapa pun. Saya harap cikgu sedar tentang itu,” tegas Intan berkata.

Cikgu Amran terus terdiam. Terkebil-kebil dia menghadapi kemarahan Intan. Selama ini, dia hanya melihat Cikgu Intan sentiasa tersenyum dengan semua guru-guru. Walaupun Cikgu Intan sentiasa serius dengan pelajar-pelajar memandangkan dia seorang guru disiplin, tetapi dia mesra dengan semua guru-guru. Tidak disangka, sekali Cikgu Intan menunjukkan marah, boleh tahan bahangnya.

Padanlah dengan muka. Sengaja mencari nahas namanya. Orang tua-tua sudah pesan, sarang tabuan jangan dijolok tidak tentu hala. Sekarang sudah disengat, rasakan natijahnya.

Kata-kata Intan sebentar tadi juga membuatkan Cikgu Amran termalu sendiri. Rasa cemburu yang tidak tertahan membuatkan dia tidak segan silu mahu tahu siapa lelaki yang datang bertemu dengan Intan tempoh hari.

Sejak pulang dari hari itu, dia tidak sabar-sabar menunggu datangnya hari Isnin. Hatinya melonjak-lonjak mahu bertanya. Sudahnya, hari ini dia termalu sendiri. Jika difikirkan kembali, kata-kata Intan itu ada kebenarannya. Dia bukan sesiapa.

“Errr... maafkan saya cikgu.” Tergagap-gagap Cikgu Amran memohon maaf atas ketelanjurannya. Dia mula sedar sikapnya hari ini akan membuatkan Cikgu Intan akan makin renggang dengannya.

Intan menarik nafas dalam-dalam. Dia cuba menenangkan kemarahannya. “Cukuplah, cikgu. Rasanya bicara kita sampai di sini saja. Saya tak mahu mengeruhkan keadaan. Saya harap perkara macam ni tak jadi lagi,” putusnya.

“Saya betul-betul minta maaf cikgu,” pinta Cikgu Amran bersungguh-sungguh.

Intan menegakkan tapak tangan kanannya meminta Cikgu Amran berhenti bercakap. “Saya kata sampai sini aje. Saya tak mahu dengar apa-apa lagi. Saya ada kelas,” ujar Intan sambil mengambil beberapa buah buku mengajarnya.

Tanpa bertangguh, Intan terus melangkah keluar dari bilik disiplin itu. Cikgu Amran yang masih tegak berdiri bagaikan tiang elektrik di tepi jalan, langsung tidak dipeduli. Anggapan awalnya tadi benar belaka. Munculnya Cikgu Amran di pagi-pagi hari Isnin ini hanya merosakkan moodnya sepanjang minggu!

* * * * *

MENGHAMPIRI saja ke pintu kelas 5 Sains 2, telinga Intan sudah menangkap bunyi riuh-rendah. Hairan betul Intan dengan kelas ini. Pantang cikgu terlambat sedikit masuk ke dalam kelas, mulalah jadi macam pasar ikan. Kali ini entah apa pula masalahnya.

Ketika Intan melangkah masuk ke dalam kelas, tiada seorang pun pelajar yang perasan akan kehadirannya. Masing-masing sibuk melihat aksi riuh-rendah di belakang kelas. Intan tergeleng-geleng kepala melihat perangai pelajar-pelajarnya. Sudahlah moodnya masih belum pulih gara-gara Cikgu Amran tadi. Sekarang pelajar-pelajarnya pula sengaja menyirapkan darahnya. Memang cari pasal betul!

Pap! Pap! Pap!

Nyaring bunyi rotan bertemu dengan permukaan meja mula singgah di telinga pelajar-pelajar kelas 5 Sains 2 itu. Semuanya terus terdiam, sunyi sepi kelas jadinya. Perlahan sahaja gerakan kepala masing-masing menoleh ke hadapan kelas.

Di hadapan sana, Cikgu Intan sudah tegak berdiri memandang tepat ke arah mereka. Tiada senyuman di wajah itu. Yang ada hanyalah sebelah tangan yang mencekak pinggang dan sebelah tangan lagi memegang rotan. Semuanya menelan liur. Terasa perit tekak bagaikan menelan buah berduri. Habislah! Itu kata hati masing-masing.

“Ada masalah apa ni?” tanya Intan dengan wajah sehabis serius.

Serentak, separuh pelajar menunding jari ke arah Sarah dan separuh lagi kepada Fatin yang berada di tengah-tengah. Satu suara pun tidak berbunyi. Bebola mata Intan mencerlung kepada Sarah dan Fatin yang agak tidak terurus keadaan mereka. Sekali pandang, sah ada aksi tarik-menarik tadi. Kalau tudung sudah senget sana-sini, apa kes lagi?

“Saya lambat masuk sikit, kamu semua sudah buat hal. Semua balik ke tempat masing-masing!” arah Intan.

Semua pelajar 5 Sains 2 akur dengan arahan Intan. Masing-masing bergerak ke tempat sendiri. Termasuk Sarah dan Fatin.

Belum sempat duduk...

“Sarah, Fatin. Awak berdua ke hadapan.” Sekali lagi Intan mengeluarkan arahan.

Fatin dan Sarah saling berpandangan. Masing-masing menayang wajah tidak puas hati terhadap sesama sendiri. Dari pandangan mata, jelas mereka saling menyalahkan antara satu sama lain.

“Apa lagi yang awak berdua pandang-pandang?” tengking Intan. Di sekolah ini, semua pelajar tahu, suara guru disiplin itu kalau sedang marah langsung tidak sepadan dengan tubuh badan. Badan kecil, suara bukan main tinggi lagi.

Fatin dan Sarah sama-sama melangkah ke hadapan kelas. Dalam berjalan, sempat lagi mereka berdua saling menendang kaki antara satu sama lain. Intan menjegilkan matanya.

Sampai di hadapan kelas, Fatin dan Sarah tegak mengadap Intan. Pelajar yang lain diam tidak berkutik. Seorang pun tidak berani berbunyi suara. Sekalipun mahu terbersin, segera ditahan.

Intan memandang Fatin dan Sarah silih berganti. Dia kemudian berjalan mengelilingi dua orang pelajar itu. Mereka berdua ini memang tidak sudah-sudah membuat hal di sekolah. Ada sahaja perang yang dicetuskan. Setiap kali berperang, diangkut pula geng masing-masing.

‘Belajar pun keluarga yang tanggung, ada hati nak jadi samseng,’ desis Intan sambil tergeleng-geleng kepala.

‘Apalah nak jadi dengan budak berdua ni? Dah naik letih aku nak mendidik,’ gumam hatinya lagi.

Cukup satu pusingan, Intan kembali berdiri di hadapan Fatin dan Sarah. Diulangi perbuatannya memandang mereka berdua bersilih ganti.

“Nak kena cuci tandas lagi ke cikgu?” Fatin tiba-tiba bersuara. Wajahnya langsung tidak berperasaan. Berani sungguh dia. Sedikit pun tidak takut dengan Cikgu Intan yang kelihatan menyinga di hadapannya.

‘Wah, nak mencabar aku nampaknya budak bertuah ni. Baik, tunggu!’ desis hati Intan. Dalam kepalanya sudah terencana denda yang bakal dikenakan terhadap Fatin kali ini.

Intan berpura-pura senyum. “Taklah. Takkan saya nak suruh awak cuci tandas hari-hari. Nanti marah pulak abang awak, kan?” kata Intan bersahaja.

Fatin menjungkitkan sedikit bibirnya, tanda sinis kepada Intan. Dia merasakan dia sudah menang kali ini.

Intan hanya buat-buat tidak nampak. Dibiarkan sahaja reaksi Fatin itu. ‘Sekejap lagi kau tahu siapa Cikgu Intan.’

“Sarah, saya nak awak cuci tandas sampai bersih berkilat. Mesti tip top macam yang Fatin selalu buat,” perintah Intan.

“Tapi cikgu, Fatin yang mula dulu,” bantah Sarah.

Intan menggoyang-goyang rotan di tangannya. “Saya tak mahu tahu siapa yang mula, siapa yang akhir. Yang pasti awak berdua dah buat hal.”

“Tapi cikgu...” Sarah cuba membantah lagi, namun segera dipotong Intan.

“Tak ada tapi-tapi. Sebab awak suka bergaduh, hari ini saya bagi cuti. Awak tak payah ikut kelas saya. Saya nak awak pergi ke tandas sekarang, selesaikan hukuman awak. Saya nak bunyi sahaja loceng tamat waktu kelas saya, tandas dah bersih berkilat. Faham?” tegas arahan Intan.

Sarah akhirnya akur.

Fatin di sebelah sudah tersenyum-senyum mengejek. ‘Padan muka kau! Hari tu kau ejek aku cuci tandas, kan? Rasakan nasib kau hari ni,’ hamun Fatin di dalam hati.

Sarah melangkah keluar dari kelas. Sempat dia menjeling tajam kepada Fatin. Dalam diam, Fatin membalas dengan menjatuhkan ibu jarinya ke bawah, tanda dia mengejek kekalahan Sarah kali ini.

“Tak payahlah seronok sangat nak ejek orang Fatin. Saya rasa, saya sangat-sangat baik hati hari ini. Sebab tu awak pun saya nak bagi cuti kelas saya hari ni,” ujar Intan tersenyum-senyum penuh makna.

Rupa-rupanya perbuatan Fatin tadi tidak lepas daripada pandangan matanya.

Riak ceria Fatin terus bertukar keruh. Dari kata-kata Cikgu Intan, nampaknya dia ada harapan untuk didenda lagi hari ini. ‘Aduh! Janganlah cikgu ketot ni suruh aku bawa waris datang lagi.’ Doa Fatin dalam hati.

Dia benar-benar bimbang kalau itu terjadi. Baru minggu lepas dipanggil, kalau kena lagi, memang habislah dia. Confirm, abang takkan tolong lagi. Hari itu, pulang sahaja ke rumah, teruk dia kena tarbiah dengan abangnya. Naik pijar telinga dibuatnya.

“Fatin, saya nak awak pergi ke padang sekolah sekarang.” Intan mengeluarkan arahan sekali lagi.

Fuh! Ada kelegaan di hati Fatin. Kalau suruh pergi padang sekolah tu, habis-habis sangat cikgu ketot ni nak suruh aku lari pusing padang. ‘Jaguh olahraga, tak ada hal semua tu.’ Fatin memperlekehkan denda yang bakal dihadapi. Denda itu jauh lebih baik daripada kena bawa waris ke sekolah.

“Nak suruh saya lari pusing padang ke cikgu? Sepuluh? Atau dua puluh round?” Fatin melawan berani.

Intan senyum lagi. Budak ini memang tidak tahu takut. Tapi tidak mengapa. “Taklah. Saya tidaklah sezalim itu. Saya nak awak pergi ke padang sekolah, cabut kemucup yang ada kat padang tu.”

“Hah?” Fatin terperanjat besar. Pelajar-pelajar yang lain juga turut terbuntang mata mendengar denda baru hari ini. Ish! Tak pernah dibuat orang.

“Apa hal pulak saya nak kena cabut kemuncup kat padang tu?” soal Fatin tidak puas hati.

Intan masih berlagak selamba. “Saya cuma melaksanakan arahan abang awak. Awak dah lupa ke?”

Fatin terdiam. Mindanya segera teringatkan kata-kata abangnya kepada Cikgu Intan pada perjumpaan minggu lepas.

“Lain kali, cikgu denda aje dia suruh cabut kemuncup kat padang tu. Biar dia tahu betapa susahnya hidup.”

Sebuah keluhan terbit di celah bibir Fatin. ‘Alahai abang. Kenapalah idea mengarut tu jugak yang nak dicadangkan?’

“Sekarang awak boleh pergi ke padang,” kata Intan.

“Tapi cikgu, ini tak adil. Sarah kena denda cuci tandas, saya cikgu denda cabut kemuncup tengah panas ni.” Fatin membuat bantahan.

“Alah, tadi kata lari 20 round pun tak ada hal. Setakat nak cabut kemuncup tu apalah sangat, kan?” Intan memulangkan paku buah keras.

“Tapi, cikgu...” Fatin masih tidak puas hati.

“Sudah! Awak pergi ke padang sekarang, buat denda yang saya suruh. Bunyi saja loceng tamat kelas saya, saya nak tengok 500 gram kemuncup yang awak cabut.” Kali ini suara Intan kembali nyaring. Tanda dia tidak mahu berkompromi.

Fatin tidak berkata lagi. Dia segera keluar dari kelas dengan hati yang sebal. Segala Sarah, Cikgu Intan, habis semua dihamun dalam hati. Termasuklah abangnya juga kerana memberikan idea yang bukan-bukan.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.