Home Novel Komedi/Romantik Komedi Sayangku Cik Tiramisu
Sayangku Cik Tiramisu
27/8/2014 03:32:25
79,689
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 2

19 tahun berlalu - 2014

“NUR Fatin Amira!” laung Intan dengan suara yang cukup tegas. Matanya memandang tepat ke arah seorang pelajar perempuan yang berada di meja paling belakang di barisan tengah kelas.

Pelajar yang bernama Nur Fatin Amira itu tersentak apabila namanya dijerit sebegitu nyaring. Terangkat sedikit bahunya. Dia memandang Cikgu Intan di hadapan kelas.

“Berdiri,” arah Intan. Gerak-geri pelajar itu terus diperhati dengan wajah serius.

Perlahan-lahan Fatin bangun daripada duduknya. Dia menayangkan muka bosan. Tidak ada sedikit pun riak takut di wajahnya.

“Awak buat apa tadi?” soal Intan

“Dengar cikgu mengajarlah,” jawab Fatin bersahaja.

“Oh... okey. Kalau macam tu, tolong huraikan semula apa yang saya ajar tadi kepada kawan-kawan kelas,” suruh Intan. Sengaja dia menyuruh kerana dia tahu, Fatin tidak menumpukan perhatiannya sebentar tadi.

Fatin melepaskan helaan keras. Matanya liar memerhati sekeliling kelas. Ada yang memandang tepat kepadanya, ada yang sudah tersenyum-senyum mengejek. Pendek kata, dia kini menjadi tumpuan umum.

“Cepat Fatin. Saya dengan kawan-kawan awak yang lain dah tak sabar nak dengar huraian awak,” kata Intan penuh sinis.

Pelajarnya yang seorang ini memang suka buat hal. Jenis tak makan saman. Bukan sekali dua dia melanggar disiplin dan bukan sekali dua dia mengadap pengetua sekolah menghadapi hukuman. Namun, Fatin seperti tidak pernah serik berbuat nakal.

Fatin garu kepala. Apa yang dia nak auta ni? Topik apa yang cikgu ajar hari ini pun dia tidak tahu, macam mana nak goreng? Fatin garu kepala lagi. Dia pandang Cikgu Intan lalu ditayangkan sengih kambing.

Nampaknya dia tertangkap lagi hari ini. Sebetulnya dia ralit bermain Facebook di telefon bimbit yang dia curi-curi seludup bawa ke sekolah. Jujur, sejak mengenali alam persekolahan, dia cukup anti dengan mata pelajaran Sejarah. Boring!

“Cepat, Fatin. Garu-garu kepala, kenapa? Ada kutu?” sindir Intan.

Sudah ada sayup-sayup bunyi ketawa yang berkumandang. Cuma masih dalam versi suara yang tertahan. Kalau ketawa kuat-kuat nanti, tak pasal-pasal kena masuk dalam kesatuan Nur Fatin Amira pula. Semua pelajar di sekolah itu sudah maklum dengan ketegasan Cikgu Intan. Tengok sahaja comel, kecil molek orangnya tetapi garang mengalahkan singa bunting.

Melihat Fatin masih mendiamkan diri, Intan berjalan menghampiri pelajarnya itu. “Kenapa Fatin? Ada masalah ke nak menghuraikan apa yang saya ajar di depan tadi?”

“Errr... saya tak dengar apa yang cikgu ajar tadi,” jawab Fatin.

“Oh, tak dengar. Atau awak sengaja tak mahu dengar?”

Fatin menundukkan wajahnya.

“Cikgu kat sekolah ni dah tak cukup ke sampaikan awak kena belajar dengan pak cik google dalam kelas saya?” Kali ini suara Intan sudah meninggi.

Deringan loceng menandakan pertukaran waktu kelas membantutkan kemarahan Intan daripada terus meledak. Dia memandang Fatin tajam. Nasib baik anak orang. Kalau adiknya, sudah lama dia ajar cukup-cukup.

“Awak tengok, kerana perbuatan tidak bertanggungjawab awak, kawan-kawan awak yang lain rugi masa belajar mereka. Cuba muhasabah diri sikit Fatin. Belajar jadi seorang pelajar yang bertanggungjawab dan berdisiplin,” leter Intan lagi.

“Bagi saya telefon bimbit awak tu,” pinta Intan sambil menadah tangannya.

Fatin segera tayang muka tidak puas hati. Mana mungkin dia rela menyerahkan telefon bimbitnya. Bukan sahaja kerana sayang tetapi yang lebih penting, apa yang harus dia jawab dengan mama nanti jika mama tahu telefon bimbitnya tiada.

“Saya minta maaf cikgu. Lain kali saya tak buat lagi,” rayu Fatin.

“Tak ada lain kali. Sekarang, bagi telefon bimbit awak tu,” tegas Intan berkata.

Dengan hati yang sangat-sangat tidak rela, Fatin terpaksa juga menyerahkan telefon bimbitnya. Habislah dia kali ni.

“Hmm... saya yang dah kerja pun tak mampu pakai telefon mahal macam ni,” perli Intan lagi. Telefon bimbit Samsung S4 Fatin dibelek depan belakang.

Fatin diam tidak terkata.

“Okey, sebagai denda atas perbuatan tidak bertanggungjawab awak, saya nak awak cuci tandas sekolah selepas habis waktu sekolah nanti. Lepas siap, datang jumpa saya di bilik disiplin,” perintah Intan sambil menggoyang-goyangkan telefon bimbit itu di hadapan muka Fatin.

Setelah itu, Intan terus berlalu ke meja. Dia segera mengemas buku-buku mengajarnya sambil mengingatkan pelajar-pelajar di dalam kelas itu supaya menyiapkan kerja sekolah yang diberi. Siap memberikan arahan, Intan segera meninggalkan kelas tersebut kerana guru untuk mata pelajaran seterusnya sudah sedia menanti.

* * * * *

FATIN mengesat keringat di dahinya. Berpeluh-peluh dia mahu menyudahkan denda yang dikenakan terhadap dirinya. Terasa mahu patah pinggang dibuatnya. Kalau tidak kerana memikirkan telefon bimbitnya, mahu sahaja dia cabut balik selepas habis waktu persekolahan tadi. Cikgu Fatin nak mengamuk ke, nak meletup ke, lantaklah. Sikit pun dia tidak hairan. Tetapi kerana telefon bimbit kesayangan, dia terpaksa hairan.

Tubuhnya dipusingkan ke kiri dan ke kanan untuk menghilangkan rasa sengal dan lenguh. “Okey, Fatin. Fokus, cool. Tinggal satu aje lagi. Lepas ni seksa kau dah habis.” Dia cuba memotivasikan diri.

“Weh, Fatin. Tak siap lagi ke?” tegur rakan sekutu Fatin, Mala.

Fatin yang baru sahaja membongkokkan badannya untuk memberus mangkuk tandas yang terakhir, terhenti apabila terdengar suara Mala menegurnya. Dia segera menoleh. “Kalau belum kenapa? Kau nak tolong aku ke?” soal Fatin dengan nada bengang.

Mala terus tersengih. Tidak terniat langsung dia hendak menolong. Cuci tandas? Tak sanggup beb! Kawan, kawan juga. Tapi kalau tolong cuci tandas, minta maaf sajalah.

Fatin menjeling Mala. Sakit hatinya. Kalau setakat datang hendak bertanyakan soalan yang tidak menjana minda dan menyakitkan hati, baik tak payah datang. “Yang kau tak balik-balik lagi kenapa?” tanya Fatin sambil memberus mangkuk tandas.

“Aku tunggu kaulah. Kitakan selalu balik sama-sama,” jawab Mala sambil membelek-belek tudungnya di cermin tandas.

“Eh, kenapa hari ni kau bendul sangat eh? Selalu kalau kena denda, kau blah macam tu aje. Hari ni rela hati pula kau buat khidmat masyarakat untuk sekolah.” Mala terus mengajak Fatin berborak.

“Tempurung lutut kau rela hati,” hamun Fatin. Orang tengah angin, sengaja nak menambah lagi.

Mala tersengih lagi. Suka sangat jolok sarang tebuan, kan? Sanggup kena tahan sengatlah jawabnya. “Tak adalah. Selalunya kau bukan yang jenis ‘saya yang menurut perintah’.” Dia menerangkan maksud pertanyaannya.

“Kau ingat aku suka sangat ke jadi tukang cuci jamban ni? Hei, kalau tak kerana menatang keturunan K-Pop yang susah payah aku dapat tu, tak hadaplah aku nak jadi pencacai ni tau tak?” balas Fatin merujuk kepada telefon bimbit Samsung S4 miliknya yang dirampas Cikgu Intan tadi. Bila ingat-ingat kembali, hangin sahaja rasanya dengan cikgu ketot tu.

“Ooo...” Bulat muncung mulut Mala. Terangguk-angguk dia seperti burung belatuk.

Siap mencuci tandas terakhir, Fatin membetulkan urat-urat pinggangnya. Rasa macam hendak putus. Ini semua cikgu ketot tu punya pasal. ‘Ish, dendam jugak aku dengan dia,’ bisik hati Fatin.

“Uiii... berkilatnya. Kau memang layaklah jadi pencuci tandas, Fatin. Tip-top kerja kau.”

Tiba-tiba ada suara sumbang datang menghangatkan amarah Fatin. Siap pakej dengan background music ketawa lagi.

Telinga Fatin terasa panas. Kalau dalam cerita kartun, confirm dah keluar asap ala-ala kat kepala keretapi tu. Silap-silap, keluar api terus. Mujur juga mereka masih di alam realiti, makanya semua itu tidak kelihatan.

“Woo... woo... woo... sajaknya mulut kau Sarah. Nak bercakap tu agak-agaklah weh,” tegur Mala kurang senang dengan mulut celupar Sarah, pelajar satu kelas dengan mereka.

Fatin sekadar merenung Sarah dengan tajam. Dia langsung tidak menjawab.

“Eh, apa pulak? Betullah aku cakap. Cuba kau tengok, berkilat sungguh tandas ni. Orang ada bakat aje boleh buat macam ni. Betul tak kawan-kawan?” Sarah terus memerli Fatin.

Kawan-kawan Sarah menjadi background music mentertawakan Fatin.

“Celupar giler mulut minah ni! Aku bagi minum air mop tu jugak dia ni karang!” marah Mala lagi. Berbanding Fatin, dia pula yang melebih-lebih marahnya.

Sarah dan kawan-kawannya langsung tidak mempedulikan amarah Mala. Malah makin menjadi-jadi pula ketawa mereka. Seronok benar rasanya dapat mengutuk Fatin sepuas hati hari ini. Sejak tingkatan satu, Sarah dan kawan-kawannya memang tidak sebulu dengan Fatin dan konco-konconya. Memang rasa berbulu sahaja mata, cuping telinga dan lubang hidung kalau bertembung muka.

Riak tenang wajah Fatin sebenarnya tidak seirama dengan detak hatinya. Dalam hatinya sudah meluap-luap rasa marah dan berbakul-bakul sumpah seranah dihambur. Dalam diam, dia mencari-cari idea untuk mengenakan Sarah dan kawan-kawannya.

Terpandangkan air mop di dalam baldi, idea terus tercetus di mindanya. Tanpa disedari sesiapa, Fatin berjalan selamba ke hadapan sambil kakinya menyepak baldi tersebut. Air mop tersebut terus sahaja mengalir laju mengenai kaki Sarah dan kawan-kawannya. Tidak terkecuali, Mala juga turut terkena tempiasnya. Habis semuanya terjerit-jerit. Giliran Fatin pula tergelak jahat.

“Oppsss! Sengaja tersepak pulak,” kata Fatin dengan gaya gedik.

“Kau ni, kan!” jerkah Sarah. Jari telunjuknya sudah menunding tepat ke muka Fatin.

“Kenapa Cik Sarah? Basah ke? ” Fatin terus menyakitkan hati Sarah.

“Kurang ajar kau, Fatin! Takpe, tahulah nasib kau nanti,” gertak Sarah sambil berlalu pergi dengan perasaan sebal. Kawan-kawanya yang lain, setia menurut dari belakang.

Hilang sahaja Sarah and the gang, Fatin dan Mala melepaskan ketawa bagai nak gila. Puas hati dapat membalas. Orang sudah menjual, terpaksalah sudikan diri membeli. Tak gitu?

“Dahlah weh. Jom,” ajak Fatin setelah ketawanya reda.

“Pergi mana?” soal Mala agak dungu.

Fatin terus mencekak pinggang. Kalau dia rejam kepala Mala dalam mangkuk tandas, rasa macam kejam sangat. Tapi penyakit dungu Mala yang datang tidak tentu masa, kadang-kadang memanaskan hatinya.

“Pergi mana lagi, mengadap Cikgu Intan ketot kesayangan kau tu la. Takkan nak bermalam dalam tandas ni pulak,” balas Fatin sinis.

Mala sengih. Terasa malu dengan kebendulan sendiri. Cepat-cepat dia mengikut langkah Fatin yang sudah laju berjalan sambil menjinjit baldi, batang mop dan berus untuk disimpan semula di stor tukang kebun sekolah.

* * * * *

FATIN menarik nafas dalam-dalam sebelum melepaskan sekali gus. Dia kini berdiri betul-betul di hadapan pintu bilik disiplin dan kaunseling. Dia mengambil masa untuk mengetuk pintu bilik tersebut. Menyorot ke arah rak kasut, hanya ada sepasang kasut di situ. Hatinya pasti, hanya Cikgu Intan seorang yang berada di dalam bilik tersebut.

Terasa lega sedikit hatinya. Sekurang-kurang tidaklah dia malu kalau kena tengking nanti. Bilik tersebut bukan sahaja bilik Cikgu Intan seorang, tetapi turut dihuni oleh seorang guru disiplin lelaki, dan dua orang lagi guru yang bertindak sebagai guru kaunseling. Malah di bilik ini juga ahli-ahli lembaga pengawas selalu bermesyuarat.

Fatin terasa bahunya dicuit dari belakang. Laju dia menoleh. Mala sedang memandangnya dengan dahi yang berkerut.

“Lamanya. Kau baca doa apa panjang sangat?” tanya Mala.

“Doa tengkorak kau. Aku tengah susun ayat-ayat terbaik untuk dapatkan harta aku balik la,” tukas Fatin pantas.

“Ooo...” Panjang sahutan Mala. Kepalanya terangguk-angguk.

“Dahlah. Kau tunggu sini. Aku nak masuk,” kata Fatin sambil tangan kanannya terus mengetuk pintu bilik tersebut.

“Masuk.” Terdengar suara menyahut dari sebelah dalam.

Fatin sempat membaca Bismillah sebelum tangannya memulas tombol pintu bilik. Dijengukkan kepalanya terlebih dahulu ke dalam. Nah, ada Cikgu Intan di situ yang nampaknya memang sudah menantikan kehadirannya.

“Assalamualaikum. Boleh saya masuk cikgu?” Fatin berlagak seperti pelajar mithali.

“Waalaikumussalam. Masuk,” jawab Intan dengan wajah serius. Sebagai seorang guru disiplin, ketegasan memang menjadi cara hidupnya.

Mata Intan memandang dengan tepat Fatin yang sedang melangkah masuk ke dalam biliknya. Setiap gerak pelajarnya itu diperhati tanpa lepas.

“Sudah siap denda yang saya suruh awak buat tu?” tanya Intan kepada Fatin yang kini sudah berdiri tegak di hadapannya. Hanya mejanya sahaja yang memisahkan antara mereka.

“Sudah cikgu. Licin, berkilat,” balas Fatin penuh yakin. Dia tersengih mempamerkan barisan giginya yang tersusun cantik.

Intan merenung tajam wajah gadis remaja di hadapannya itu. Tidak dinafikan, Fatin sangat comel di matanya. Pelajarnya itu juga bijak dalam pelajaran. Walaupun suka main-main di dalam kelas, keputusan peperiksaannya memang tidak pernah menghampakan. Tapi, cuma itulah. Fatin terlalu nakal. Gadis itu suka mencari pasal, suka melanggar peraturan sekolah. Senarai kesalahannya di dalam buku rekod disiplin sekolah, sudah melayakkan dia untuk tercalon sebagai top 5 anugerah pelajar tidak berdisiplin. Apa masalah budak ini, dia pun tidak faham.

“Bagus. Saya harap, lain kali awak tidak ulangi lagi kesalahan awak. Belajar jadi manusia yang berdisiplin.” Nasihat Intan.

“Baik cikgu. Errr... handphone saya cikgu?” Fatin memberanikan diri bertanya.

“Saya nak jumpa waris awak terlebih dahulu,” kata Intan bersahaja sambil tunduk memandang kembali buku kerja di hadapannya. Bukan dia sengaja mahu bertindak kejam, tetapi rasanya sudah sampai masa untuk dia bertemu muka dengan keluarga Fatin. Sayang kalau pelajar sebijak Fatin dibiarkan terus hanyut dengan kenakalan yang tidak berkesudahan.

Fatin memandang Cikgu Intan di hadapannya dengan rasa tidak percaya. Anak matanya sudah membulat. Tadi cakap, denda cuci tandas sahaja. Ini apa kes nak jumpa waris pula ni? Cerita sudah tukar skrip nampaknya.

“Sayakan dah siapkan denda saya,” protes Fatin tidak berpuas hati.

“Saya tambah denda awak sebab awak sengaja tumpahkan air mop kepada Sarah,” beritahu Intan sengaja beralasan.

Sebetulnya, Intan tidak ambil peduli sangat dengan aduan Sarah tadi. Kerana dia sudah maklum sangat. Sarah dan Fatin bila bertemu, dua kali lima sahaja perangai mereka. Masing-masing suka cari pasal. Cuma bezanya, Sarah masih tahu takut dengan peraturan sekolah berbanding Fatin yang jenis main redah ikut suka hati.

Sengaja Intan menggunakan alasan itu untuk meminta Fatin membawa warisnya ke sekolah. Bagi Intan, sudah sampai masanya untuk keluarga Fatin tahu akan perangainya di sekolah. Mudah-mudahan hasil dari pertemuan dengan waris nanti, Fatin akan berubah. Itu harapan Intan.

Sementara itu di dalam hati Fatin, sudah berbakul sumpah seranahnya terhadap Sarah. ‘Kurang ajar punya Sarah. Dia yang cari pasal, dia pula yang buat report. Celaka sungguh. Memang nak dapat habuan dengan aku nampaknya perempuan tu.’

“Sarah yang ganggu saya tadi cikgu. Kalau cikgu tak percaya, cikgu boleh tanya Mala.” Fatin membela diri.

Intan menggoyang-goyangkan tangannya. “Saya cakap, esok saya nak jumpa waris awak.”

“Tapi cikgu...”

“Tak ada tapi-tapi.”

Handphone saya?” Fatin masih kisahkan soal telefon bimbitnya.

“Saya akan pulangkan selepas jumpa waris awak.” Intan memberikan keputusan muktamadnya.

“Cikgu...” Fatin cuba merayu lagi.

“Awak boleh balik sekarang. Titik.”

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.