Home Novel Komedi/Romantik Komedi Sayangku Cik Tiramisu
Sayangku Cik Tiramisu
27/8/2014 03:32:25
79,696
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 5

INTAN mengatur langkah menuju ke bilik mesyuarat sekolah. Corak langkahnya sederhana sahaja. Tidak terlalu cepat, tidak terlalu perlahan. Sesekali dia bertembung dengan pelajar-pelajar yang lalu-lalang. Dia menjawab salam yang diucapkan oleh setiap pelajar yang bertembung dengannya dalam perjalanan.

Hari ni dia akan bertemu dengan waris pelajarnya, Fatin Amira. Baru sebentar tadi Hadi, ketua pengawas sekolah memaklumkan kepadanya bahawa waris Fatin Amira sudah sampai. Sebelum keluar, sempat juga Intan berpesan kepada Hadi supaya memanggil Fatin Amira ke bilik mesyuarat.

Sepatutnya pertemuan ini turut membabitkan pengetua sekolah. Namun tiba-tiba sahaja pagi ini pengetua sekolah, Encik Azmi dipanggil bermesyuarat di Pejabat Pelajaran Daerah. Nampaknya, tinggal dia seorang perlu berhadapan dengan waris Fatin Amira.

Intan sedikit pun tidak kisah kerana dia sudah biasa berhadapan dengan situasi ini. Ini bukanlah kali pertama dia memanggil waris pelajar ke sekolah untuk berbincang tentang masalah yang dihadapi pelajar-pelajar terbabit. Tetapi jauh di sudut hati, Intan tetap berdoa agar waris Fatin Amira adalah orang yang rasional dan profesional dalam mencari penyelesaian bersama tentang masalah disiplin Fatin.

“Nak ke mana cikgu?” tegur Cikgu Amran yang kebetulan berselisih dengan Intan.

Intan melemparkan senyuman kecil. “Bilik mesyuarat. Ada pertemuan dengan waris pelajar,” beritahunya.

“Sibuk betul Cikgu Intan ni ya. Tak duduk diam langsung.” Cikgu Amran terus mengajak Intan berbual.

“Dah tugas cikgu,” jawab Intan ala kadar.

“Saya minta diri dulu cikgu,” kata Intan lagi. Dia ingin cepat-cepat berlalu pergi. Sebetulnya, dia kurang senang berbual panjang dengan Cikgu Amran. Ada perasaan kurang enak yang hadir dalam hatinya setiap kali berbual dengan guru tersebut. Sesekali pandang macam mata helang mencari mangsa pun ada juga. Ish, seram.

“Err... sekejap cikgu,” halang Cikgu Amran.

Intan tidak jadi melangkah. “Ya?”

“Err... hari minggu ni, cikgu lapang tak?” Terbit soalan yang mengejutkan daripada mulut Cikgu Amran.

Intan mula menghidu sesuatu yang tidak menyedapkan hati. Namun, dia cuba berbaik sangka. “Kenapa cikgu? Sekolah ada nak buat program ke?” Dia meminta penjelasan.

“Eh, taklah. Bukan apa, kalau cikgu lapang, saya nak ajak cikgu keluar. Kita makan-makan ke, tengok wayang ke?” Cikgu Amran menyatakan hasratnya tanpa berselindung.

Intan tertelan liur. Sangkaan tidak meleset. Segera otaknya bekerja mencari alasan terbaik untuk menolak. Memang hilang akallah dia hendak keluar dengan Cikgu Amran. Kalau yang mengajak itu belum berpunya lain juga ceritanya. Ini sudah jadi bapa budak. Empat orang lagi! Tak mahulah dia kena kejar dengan mak budak. Tak pasal-pasal semput nanti. Huh!

‘Cari idea cepat Intan.’ Dalam diam, Intan menggesa mindanya.

“Boleh ke cikgu?” soal Cikgu Amran setelah Intan tidak menjawab soalannya tadi.

“Errr... sebenarnya saya tak lapang. Dah ada janji dengan kawan.” Spontan jawapan itu keluar daripada mulutnya.

Wajah Cikgu Amran bertukar keruh. “Betul ke ni cikgu? Ke cikgu sengaja nak mengelak keluar dengan saya?” Dia tidak berpuas hati dengan jawapan balas Intan.

“Saya memang ada hal. Err... maaflah cikgu. Saya minta diri dulu. Rasanya dah lama sangat tetamu saya menunggu tu.” Usai berkata, Intan terus berlalu tanpa menunggu. Makin dilayan nanti, makin menjadi-jadi pula.

Intan mempercepatkan langkahnya kerana tahu dia sudah terlambat. Kasihan pula, tetamu dibiarkan lama menunggu. Barangkali, tetamunya itu pun ada kerja lain yang mahu dibuat. ‘Ni semua Cikgu Amran punya pasal.’ Hatinya menyalahkan Cikgu Amran.

“Assalamualaikum,” sapa Intan sebaik sahaja membuka pintu bilik mesyuarat.

Intan melangkah masuk ke dalam. Kelihatan seorang lelaki yang tinggi lampai berada di dalam bilik tersebut.

Segera lelaki itu menjawab salam Intan. Dia berpusing mengalih pandang kepada si pemberi salam.

Masing-masing terpempam saat mata bertentang mata. Kenapa begini pula? Berpusing sana sini, alih-alih orang itu juga yang ditemui. Persoalan yang sama terbit di benak Intan dan Faiz.

“Awak?” Serentak mereka berkata.

Jika Intan kurang gembira melihat lelaki di hadapannya, Faiz pula rasa macam terlebih suka. Entah kenapa, tetapi hatinya terasa berbunga-bunga ketika ini. Siapa sangka, hari ini dia dapat bertemu lagi dengan gadis tiramisu itu.

‘Cikgu rupanya,’ desis hati Faiz. Dia tersenyum-senyum. “Jumpa lagi kita,” kata Faiz.

Intan resah. Jika tidak kerana profesionalisma sebagai seorang guru, sudah lama dia berlari keluar dari bilik mesyuarat itu. Baru semalam dia memasang tekad tidak mahu bertemu lagi dengan lelaki itu, hari ini terus muncul pula. Rasa malu akibat terkantoi dalam kejadian semalam masih melekat di hatinya.

Dia menarik nafas seketika. ‘Rileks Intan, rileks. Kau kena professional,’ bisik hatinya.

“Encik ni ayah kepada Fatin Amira ke?” tanya Intan sambil meletakkan buku ditangannya ke atas meja.

Faiz tersengih. ‘Hisy, rabun ke cikgu ni? Aku sikit punya muda bergaya dikatakan ayah kepada adik aku yang dah besar manusia tu. Tak patut.’

‘Sengih pula dia ni. Aku tanya bukan nak jawab,’ bebel hati Intan pula.

“Errr... encik ni ayah Fatin Amira ke?” Intan mengulangi soalan.

“Fatin Amira tu dah sebesar manusia, cikgu. Takkanlah saya ni dikatakan ayahnya pulak. Tak sesuai kot rasanya,” jawab Faiz sambil tersenyum.

Intan terdiam. Mula terasa akan kebodohan sendiri. Iya tak iya juga.Kalau dilihat, lelaki di hadapannya tu memang tiada ciri-ciri langsung sebagai ayah kepada gadis remaja seperti Fatin Amira. Memang tidak logik!

‘Habis siapa pula dia ni? Apa hubungan dia dengan Fatin Amira?’ Intan terus berteka-teki.

Faiz pula masih seperti tadi. Asyik tersenyum sahaja. Malah makin melebar pula apabila melihat gelagat Intan yang bagaikan serba tidak kena. Nampaknya akan ada peluang lagi untuk dia mengenakan gadis tersebut. Faiz sengih nakal.

“Kenapa encik tersenyum?” tanya Intan penuh curiga. Dalam hatinya mengatakan, lelaki itu sedang mengetawakan dirinya.

“Saja, nak bersedekah. Lagipun pagi-pagi Jumaat macam ni, elok bersedekah,” jawab Faiz bersahaja.

“Terkena lagi aku,” desis Intan. Tersangat perlahan.

“Apa dia cikgu?” Faiz bertanya balas. Rasanya gadis di hadapannya itu ada menggumam sesuatu tetapi kurang jelas pula.

“Tak... tak ada apa-apa. Boleh saya tahu hubungan encik dengan Fatin Amira?” dalih Intan sambil mengalihkan tajuk bicara.

“Saya abang kepada Fatin Amira,” jelas Faiz.

Intan terangguk-angguk. ‘Hmm... patutlah macam sama aje perangai. Satu baka rupanya.’ Terlintas kesimpulan jahat dalam benaknya. Namun, Intan cepat-cepat beristighfar bila menyedari bisikan syaitan mula singgah di hatinya.

“Encik...” Intan tidak pasti nama abang kepada pelajarnya itu.

“Faiz.”

“Baiklah, Encik Faiz. Saya guru disiplin di sekolah ini. Tujuan saya mengajak encik berjumpa supaya kita dapat berbincang untuk menyelesaikan masalah disiplin Fatin yang pada perkiraan saya, agak kurang memuaskan,” ujar Intan panjang lebar memulakan bicara.

“Sepatutnya pengetua turut bersama kita tetapi beliau memohon maaf kerana terpaksa ke PPD hari ni,” sambung Intan lagi.

Faiz terangguk-angguk. Matanya masih tidak lepas memandang Intan. Suka pula dia melihat wajah comel di hadapannya itu.

Intan sedar tentang pandangan itu. Dia rasa rimas tetapi tetap cuba berlagak tenang. Dalam hati, usah dicerita. Sudah berbakul kutukan yang diberikan. Pantang sungguh dia kalau lelaki yang sudah beristeri tetapi masih bermata keranjang.

“Nama cikgu apa ya? Tak nak kenalkan diri ke?” soal Faiz tiba-tiba. Sengaja dia mahu mengusik cikgu itu walaupun sudah terang di matanya tertera nama ‘INTAN’ pada tanda nama yang terlekat di tudung guru tersebut.

“Oh maafkan saya. Saya Cikgu Intan,” beritahu Intan.

“Sedap nama cikgu. Bersinar-sinar macam intan,” puji Faiz sambil tersenyum-senyum.

Intan makin rasa menyampah. Dijelingnya lelaki itu. Dia kemudiannya senyum buat-buat. “Terima kasih.”

“Sama-sama kasih.” Faiz mengusik lagi.

Intan mendengus perlahan. Geram di hati sudah tidak terkata. Kalau tidak dikenangkan dirinya seorang guru dan di hadapannya adalah waris pelajarnya, hendak juga dia hentak kepala lelaki itu dengan buku yang dibawanya.

Faiz masih lagi tersenyum nakal. Dia dapat melihat riak marah di wajah comel itu. Dan dia juga perasan gaya lirikan mata gadis itu pada susunan buku yang ada di hadapannya. Dia tahu, gadis itu teringin sangat hendak meletakkan buku-buku itu di atas kepalanya.

Di antara keributan hati Intan dan ketenangan wajah Faiz, terdengar pintu bilik mesyuarat itu diketuk dari luar. Seketika, daun pintu itu sudah terkuak. Muncul ucapan salam diikuti dengan wajah Fatin Amira.

“Masuk Fatin,” arah Intan.

Faiz sekadar memandang sahaja langkah adiknya. Fatin kemudian berdiri tegak di sebelah abangnya.

“Duduk Fatin.” Sekali lagi Intan mengarah dengan suara tegas.

Fatin tidak membantah. Kerusi di sebelah abangnya ditarik lalu dia duduk di situ. Kini mata Faiz dan Fatin tertumpu kepada Intan. Mereka menanti apa yang bakal dikatakan oleh guru itu.

‘Boleh tahan garang perempuan ni. Sesuai sangat jadi cikgu disiplin. Macam singa. Tapi comel aje muka dia. Singa garang yang comel! Hahaha...’ Faiz sempat bermonolog dalam hati.

Matanya masih suka melihat gelagat Intan. ‘Garang-garang pun, kena dengan aku gelabah jugak. Tu yang makin comel tu.’ Hati Faiz berkata-kata lagi.

“Encik Faiz,” panggil Intan apabila lelaki di hadapannya itu seakan-akan tidak mendengar apa yang dikatakannya. Namun, masih tiada reaksi dari lelaki itu.

“Encik Faiz.” Kali ini Intan mengulang panggilan dengan nada yang lebih tinggi.

Faiz masih tetap di dalam dunianya. Panggilan Intan langsung tidak singgah di telinganya. Seronok betul dia menelek muka Intan sampaikan dunia sekelilingnya seakan-akan sepi dan kosong.

Fatin pandang abangnya di sebelah. Dia menggeleng. ‘Mengelamun pulak,’ gumamnya. Dia pantas menyiku lengan abangnya.

Faiz terus tersentak. Terpinga-pinga dia seketika. Sempat juga dia mengangkat kening kepada Fatin bertanyakan kenapa.

Fatin terus memuncungkan mulutnya ke arah Intan.

“Mengelamun ya Encik Faiz?” Sinis soalan Intan.

“Tak juga. Cuma menghayati keindahan alam ciptaan ALLAH,” jawab Faiz dengan muka selamba. Malu memang malu bila tertangkap mengelamun. Tetapi akal kena bijak untuk menutup malu sendiri.

Intan mencebikkan sedikit bibirnya. Menyampah pula dia dengan hamba ALLAH di hadapan mata ini. ‘Macamlah aku tak nampak kau tu dok pandang-pandang aku. Huh, miang,’ kutuknya di dalam hati.

“Begini Encik Faiz. Tujuan pihak sekolah menjemput Encik Faiz datang ni, adalah untuk sama-sama berbincang tentang masalah Fatin Amira. Mengikut rekod, prestasi disiplin Fatin semakin merosot.” Intan memulakan bicara dengan penuh berhati-hati.

Faiz menjeling Fatin di sebelah. Adiknya itu hanya tunduk sambil membelek-belek kukunya. Riak wajahnya sedikit pun tidak menampakkan dia ambil peduli dengan kata-kata gurunya.

“Semalam, saya tangkap dia sedang bermain telefon di dalam kelas waktu saya tengah mengajar,” lapor Intan lagi.

Faiz masih mendiamkan diri. Dia memberi perhatian kepada kata-kata Intan.

“Maaf kalau saya bertanya. Fatin ada apa-apa masalah di rumah ke Encik Faiz?”

Faiz menghela nafas seketika. Terasa malu juga apabila terpaksa mengadap dan mendengar tentang masalah disiplin adiknya. “Setahu saya, tak ada cikgu. Adik saya ni okey aje kat rumah,” jawabnya.

“Fatin ada masalah di rumah ke?” Intan bertanya soalan yang sama kepada Fatin pula.

“Tak ada.” Mudah jawapan Fatin. Kedua-dua belah bahunya dijongketkan sedikit. Dia masih berkeadaan seperti tadi. Wajah Intan langsung tidak dipandangnya.

“Habis tu, awak ada masalah di sekolah?” Intan bertanya lagi.

Masih tidak mengangkat wajahnya, Fatin selamba menjawab. “Ada. Masalah saya kat sekolah ni, dengan cikgu. Sebab cikgu suka sangat denda saya.”

Intan terperanjat dengan jawapan Fatin. Begitu juga dengan Faiz. Ternyata dia kurang senang dengan reaksi adiknya. Jelas sekali kebiadapan yang ditunjukkan.

“Fatin, saya tak akan denda awak kalau awak tak melanggar disiplin dan peraturan sekolah,” balas Intan tegas.

“Alah, bukan saya seorang yang buat masalah kat sekolah ni,” bidas Fatin tanpa rasa bersalah.

Intan mengeluh kesal. Fatin langsung tidak menunjukkan gusar apabila masalah disiplinnya dibincangkan di hadapan warisnya.

“Fatin, awak sedar tak kesalahan-kesalahan yang awak dah buat? Dan awak sedar tak, kesalahan-kesalahan yang awak dah buat tu langung tak menguntungkan awak?” soal Intan.

Fatin sekadar mencebikkan bibirnya. Dia tidak berminat untuk menjawab soalan daripada Intan.

Faiz yang menjadi pemerhati terasa benar-benar kesal dengan sikap Fatin. Baginya, Fatin sudah terlalu melampau. Seorang guru patut dihormati kerana sumbangan ilmunya. Bukannya dibalas dengan kebiadapan begitu.

Sekali lagi Intan melepaskan keluhan kesal.

“Encik Faiz, saya harap pihak encik dapat menasihati Fatin supaya berubah sikap. Prestasi pelajaran Fatin saya tidak nafikan memang cukup baik. Tapi, sayang kalau prestasi yang baik itu tidak seiring dengan prestasi disiplin. Saya harap pihak encik dapat melakukan sesuatu.” Intan beralih bicara kepada Faiz kembali.

“Saya minta maaf bagi pihak adik saya cikgu. Insya-ALLAH... saya akan menasihati adik saya,” ujar Faiz.

“Ini telefon bimbit yang saya rampas daripada Fatin semalam. Saya pulangkan semula kepada Encik Faiz. Saya harap perkara-perkara sebegini tidak berulang lagi,” kata Intan sambil menghulurkan telefon bimbit milik Fatin yang dirampas semalam.

“Insya-ALLAH... cikgu. Terima kasih dan saya minta maaf sekali lagi,” ucap Faiz.

Intan mengangguk. “Kalau begitu, rasanya kita tamatkan perbincangan setakat ini. Saya harap akan ada perubahan yang lebih baik daripada Fatin selepas ini. Fatin, awak boleh balik ke kelas.”

Faiz dan Fatin sama-sama berdiri. Intan juga turut melakukan perkara yang sama.

Selepas mengucapkan terima kasih sekali lagi, Faiz meminta diri untuk berlalu. Fatin menurut langkah abangnya.

Intan terus sahaja tunduk mengemaskan buku-bukunya. Tiba-tiba dia terdengar Faiz bersuara lagi.

“Err...cikgu.”

Intan angkat muka memandang Faiz.“Ya?”

“Lain kali, kalau adik saya ni buat kesalahan lagi, janganlah denda dia cuci tandas lagi ya,” pinta Faiz.

Intan kurang senang dengan kata-kata lelaki itu. Sikap membela seperti itu yang membuatkan kadangkala pelajar semakin melampau dan besar kepala. Fatin pula sudah tersengih mengejek di belakang.

“Lain kali, cikgu denda aje dia cabut kemuncup kat padang tu. Biar dia tahu betapa susahnya hidup,” sambung Faiz.

Sengihan Fatin terus mati. Matanya bulat memandang abangnya dengan rasa tidak percaya. ‘Cis! Abang pula yang melebih-lebih bagi idea. Gila apa nak cabut kemuncup kat padang tu?’

Intan pula yang tersenyum. Terasa lucu pula kata-kata lelaki itu. Tidak pernah dia terfikir denda yang sebegitu. Tetapi bila sudah dapat lampu hijau, macam bagus pula idea itu untuk dipraktikkan kepada Fatin Amira jika pelajarnya itu masih berdegil tidak mahu berubah sikap.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.