Bab 3
Usai kelas, Aina bergegas ke Pejabat Am untuk
mendapatkan kepastian berkenaan tugas mengajarnya. Sepanjang perjalanan, Aina
disapa dengan ucap selamat dan salam oleh beberapa orang pelajar yang
berselisih dengannya. Masih ada rupanya pelajar yang menghormati guru.
Hmm, tapi biasanya spesies yang hampir pupus
tu pun budak-budak saja, kalau yang sudah besar panjang, jarang ada yang
setakzim itu.Terasa sama tahapdengan
guru, tambah-tambah suku-sakat yang kamceng dengan guru. Apa tidaknya sama
tahap, kalau dapat guru yang muda, pelajar pula dah dewasa, terutama puak yang
mengulang sampai berkali-kali, mau tak tua. Contoh paling jelas, si Danial
Iskandar tu. Kan ke tua bangka tu? Kalau mengulang lagi tahun ini tak tahulah,
suka sangat kot duduk di sekolah ni. Aina
sempat mengomel sendiri walau dalam melemparkan senyuman buat pelajar yang
menyapanya. Bukannya rugi pun nak senyum, bukankah senyum itu satu sedekah yang
paling mudah dan percuma? Banyak sungguh dia telah bersedekah hari ini.
Kalau boleh, biarlah dia
senyum 24 jam, tapi risau dikatakan ada isu masalah kesihatan mental pulak
nanti. Manakan tidak, jika sudah senyum 24 jam, maknanya masa tidur pun senyum
jugalah. Boleh kena serangan jantung suami kat sebelah, terjaga tengah malam
tengok isteri tersengih dalam tidur. Mimpi ngeri tu!
Aina tergelak sendiri.
Ketika melalui lorong berhampiran kelas 4
Delta yang riuh-rendah dengan ketiadaan guru di dalam kelas, matanya sempat
menangkap gelagat beberapa orang pelajar yang sedang bermain gasing di dalam
kelas.
‘Sampai macam ni sekali
tahap kenakalan budak-budak ni? Ingatkan Haqym cuma bagi perumpamaan
semata-mata tadi, tak sangka rupa-rupanya betul ada budak main gasing dalam
kelas. Tradisional sungguh budak-budak ni, baguslah jugak.’ Aina mengomel
sendiri, namun tetap meneruskan langkahnya. Malas dia hendak memandai-mandai
masuk campur dalam situasi tersebut.
Menangani kelasnya sendiri pun sudah cukup
membuatkan dia sakit kepala tadi. Biarlah, mungkin sebentar lagi sampailah guru
kelas itu. Pelajar-pelajar ni memang tak boleh diharap, sekejap saja tiada
guru, bukan setakat gasing malah termasuk congkak dan batu seremban agaknya
dibentangkan di atas meja. Ini barulah usaha gigih memelihara budaya dari
pupus. Aina tersengih.
Sebaik sahaja tiba di pejabat, Aina terus
menuju ke meja Pembantu Am. Setelah melihat sekilas tanda nama kerani tersebut,
Aina bertanya lembut,“Assalamualaikum Kak Leha, saya Aina Humaira,
guru baru kat sini. Saya baru aje melapor diri hari ini. Saya nak semak jadual
tugas sayalah kak. Tadi ada pelajar tanya sama ada saya yang akan pegang kelas
dia orang sebagai guru kelas, ataupun guru lain? Saya dah tengok jadual
mengajar saya, cuma dinyatakan saya bertugas mengajar subjek Ekonomi aje. Macam
mana ya, Kak Leha?”
Saleha menilik Aina atas
bawah sebelum menjawab soalannya dengan nada tidak berminat. “Tunggu sekejap. I
tengokkan.Duduk dulu.”
Aik, ini pelawaan ke arahan? Tegas bunyinya,
desis Aina di dalam hati.
“Tak apalah. Saya tunggu kat sini aje,” balas
Aina. Saleha mengerling sekilas dengan ekor matanya. Ada riak seperti tidak
senang pada raut wajahnya itu.
“Hah, ini dia. Hmm,
betullah, Cikgu Aina guru kelas yang baru untuk kelas 6 Delta, menggantikan
Cikgu Laura yang berpindah kerana... err... abaikan. Dan cikgu jugak kena ajar
kelas yang sama untuk subjek Ekonomi. Buat masa ni, itu aje. Mungkin jadual
yang ada kat cikgu tu jadual sementara, kenapa tak ambil jadual yang baru? Tak
apalah, saya cetakkan.”
ujar Saleha memberi kepastian, namun nadanya seperti menyalahkan Aina pula
kerana tidak mendapatkan jadual yang terkini.
Macam sangat membantu, tapi muka dia tu,
hisy, kelat! Kelat-kelat buah salak pun ada juga sedikit manisnya. Yang ini, buah salak reject!
Soal Cikgu Laura berpindah, sekali lagi dia
diberitahu untuk mengabaikannya. Memang misteri sungguh. Sedikit masa lagi
nampaknya terpaksalah Aina menggilap bakat tersembunyinya sebagai Sherlock
Holmes.
“Terima kasihlah kak. Saya tak tahu kena
ambil jadual kat sini. Tak terfikir pun, lagipun pagi ni agak kelam-kabut
sikit. Maklumlah, hari pertama,” kata Aina segera menjelaskan.
“Hmm, tak apa. Biasalah, orang baru,” balas
Saleha acuh tak acuh seraya menghulurkan jadual kepada Aina.
Aina yang mula merasa kurang senang dengan
nada dan layanan Saleha mula berkira-kira mahu segera angkat kaki. Aina
menghadiahkan senyuman yang tidak semesra tadi sambil mengangguk tanda hormat
walaupun dalam terpaksa.
“Walau tak suka macam mana sekalipun pada seseorang tu, kita
kenalah berbudi bahasa jugak, dah adat orang kita. Kita berbaik-baik sahaja
dengan orang lain, kalau orang itu tak hendak berbaik-baik dengan kita, dialah
yang rugi. Yang penting, kita dah jalankan tanggungjawab kita.”
Pesanan neneknya itu
masih kukuh tersemat di ingatan Aina walaupun sudah hampir sepuluh tahun orang
tua itu kembali ke rahmatullah. Sempat rindu mengetuk hati Aina apabila
terkenangkan arwah. Kedengaran keluhan kecil keluar dari mulutnya.
Sambil membelek jadual barunya, Aina berjalan
berlenggang kangkung menuju ke pintu keluar. Dengan tidak semena-mena, Aina
terlanggar sekujur tubuh di muka pintu, pantas Aina menekup hidungnya yang
dirasakan bagai telah kemek. Fuyo, langgar pintu pun tak kemek macam ni kot.
Dalam menahan sakit,
Aina sempat mengucapkan maaf dengan agak kelam-kabut. Manalah tahu kalau bocor
badan orang yang dilanggarnya itu, hidungnya boleh tahan mancung jugak.
“Sorry, sorry,
saya tak nampak,” ucap Aina sambil mengerdip-ngerdipkan matanya berpura-pura
rabun. Nanti tak pasal-pasal dapat penampar pulak kalau tak beralasan begitu.
Agak-agak kalau mutu lakonannya masih kurang
meyakinkan, mungkin dia patut pura-pura meraba mencari cermin mata pula. Walhal
matanya masih di tahap sepuluh per sepuluh sebenarnya, berkat makan lobak merah
hari-hari, biarpun makin hari Aina terasa seperti semakin menyerupai arnab.
Aduh, kenapa tak ada respons ni? Tahulah
lakonannya mungkin kurang mengesankan. Kali terakhir dia berlakon pun semasa
menjadi ahli Kelab Drama di sekolah menengah dulu. Ini bukan kira bakat
terpendam lagi, dah jadi bakat terendam dah ni.
Aina mendongak takut-takut. Terpempam Aina
seketika dihidangkan dengan sengihan panjang lelaki itu.
“Ala tak apa. Hi, I Farami.You
mesti Aina Humaira, kan? I’ve heard about the hot stuff.”
Euww! Gediknya! Hot stuffpulak tu,
sejak bila Aina jadi sejenis barangan? Menyampah!
Aina tersengih dalam terpaksa. Cukuplah
sekadar anggukan kecil mengiakan. Tak sanggup dia hendak berlama-lama. Sekilas
ikan di air, sudah tahu jantan betinanya. Sekilas pandang, dah boleh detect
rupa buaya.
Ops! Baru tersedar, rupa-rupanya lengannya
masih dipegang oleh Farami. Tahulah nak selamatkan dia dari jatuh tadi, tapi
agak-agaklah, takkan nak pegang 24 jam kot, roti pun boleh expired tahu.
Eii, merenyam!
“Err, tangan saya... dah jammedya
tangan tu?Youada penyakit rheumatism agaknya, itu yang
tangan selalu kejang-kejang.” Pedas dan bersahaja sindiran Aina.
Farami tersengih lalu
melepaskan tangannya. Kedua-dua tangannya diangkat ke paras bahu, tanda
menyerah kalah. Tapi sengihan masih sampai ke telinga! Eii... berbulu mata
Aina, cepat-cepat dia melangkah pergi. Sayup-sayup masih kedengaran siulan
riang Farami diikuti dengan sapaan mesranya terhadap Saleha.
“Sally, slip gaji Idah ada?” Suara
Cikgu Farami sempat menerjah telinga Aina sebelum Aina keluar. Aina segera
berpaling melihat reaksi Saleha.
“Kejap Mi, Icarikan,” jawab Saleha
tersenyum manis sambil jari-jemarinya sibuk membetul-betulkan rambutnya.
‘Amboi, ini dah kira diskriminasi gender ni!
Dia layan aku macamlah aku nak mintak derma, dengan Farami siap terlentok sana,
terlentok sini. Sotong tak bertulang pun tak lembut macam tu, macam agar-agar
tak berapa nak menjadi, cair semacam. Berlaku pencairan glasier di situ
nampaknya.’
Aina memberontak tidak puas hati. Namun, Aina
tidak dapat menahan senyuman bila mengenangkan nama Saleha yang bertukar
menjadi Sally. Patutlah Saleha menunjukkan raut kurang senang apabila Aina
memanggilnya Kak Leha.
‘Tak apa, lain kali aku akan panggil dia
dengan nama glamor tu, mungkin dengan itu dia akan layan aku sama standard
dengan layanannya kepada Farami. Tapi kalau dah gedik macam tu, rasa
geli-geleman dan tak berapa rela pulak jadinya. Macam sekarang pun tak
mengapalah.’ Aina ke bilik guru dengan senyuman yang masih meleret.
Beberapa ketika sebelum
loceng tamat waktu persekolahan berbunyi, Aina menghabiskan masa yang tinggal
dengan membersih dan mengemas mejanya. Meja yang telah bersih dilapik dengan
kertas dinding berwarna merah terang, kemudiannya dialas pula dengan plastik
jernih lutsinar.
Aina memotong penjuru
plastik itu dan memasukkan beberapa kuntuman ros kering. Turut dimasukkan
adalah beberapa mutiara kata di bawah plastik itu. Dia sememangnya suka
mengumpul mutiara kata untuk dijadikan sumber inspirasi dan motivasi.
“Ewah, merahnya kak ngah...”
Aina tidak perlu menoleh lagi. Dia sudah
dapat mengagak siapa yang empunya suara, tak lain tak bukan, pasti Haqym. Aina
berpura-pura tidak mendengar usikan Haqym.
“Ewah bulan, ewah bulan, ewah bulan teraju
tiga.” Haqym masih mencuba nasib.
Sudah. Kalau tak dihentikan, siap berdikir
barat pulak mamat ni nanti.
“Suka hati sayalah, merah tu kan warna yang
terang dan berani, barulah nampak bersemangat sikit. Kalau boleh tiap hari saya
nak pakai baju warna merah datang mengajar,” kata Aina, buat-buat garang.
“Orang perempuan
janganlah pakai warna merah, seksi sangat. Kalau pakai kat bilik tidur, tak
apalah. Cuba pakai warna-warna pastel, baru sejuk mata memandang,” usik Haqym
lagi, tidak mengendahkan wajah Aina yang sudah berubah merah padam.
Ini sudah lebih, bagai menjolok sarang ibu
tebuan mengandung sembilan bulan!
“Kalau orang tu otaknya kuning, orang
perempuan berkabung pakai warna hitam pun dia nampak seksi jugak!” balas Aina
bengang.
“Okeylah, sorry, sorry, isu sensitif
pada anak dara. Nanti tak pasal-pasal saya dituduh gangguan seksual di tempat
kerja pulak.” Haqym masih cuba melawak untuk membetulkan keadaan, tetapi pantas
ditukas oleh Aina.
“Memang pun. Sekarang ni mengeluarkan
perkataan yang membuatkan teman sekerja kurang selesa pun dah dikira gangguan seksual, takkan tak tahu.
I see you in court!” Aina mengacah.
“Baiklah saya mengaku salah. Tutup kes. Bagi
awak menanglah, payah nak lawan cakap awak ni, mengalahkan lawyer. Dulu silap ambil course
agaknya. Eh, awak bawa kereta tak ni?” ujar Haqym mengalih topik melihat riak tidak senang timbul
pada raut Aina.
Salah dia juga mulut
laser sangat, adakah patut dia buka topik sensitif macam itu dengan anak gadis orang. Patut sangatlah Aina malu semacam. Kenapalah
asyik salah teknik aje, patutlah sehingga kini Haqym masih belum berjaya
menakluk hati mana-mana gadis, mahupun janda. Semua salah mulut puaka yang tak
ada insurans ni, memalukan, memalukan! Nak tampar, sakit pulak nanti.
Menurut Thomas Edison, beliau bukannya gagal
tapi telah menemui 10,000 jalan yang tak akan berjaya. Jadi jika teori itu
diaplikasikan, ditolak dengan skor kegagalan Haqym sebelum ini,
sekurang-kurangnya masih ada baki 100 percubaan lagi. Baik, akan ditumpukan
segenap usaha itu untuk mengusha Aina.
“Kereta belum balik rumah lagilah, minggu
depan baru dapat.” Nada Aina bertukar lembut.
Haqym hanya bergurau. Sepatutnya Aina sudah
dapat meneka sikap Haqym yang periang dan suka bercanda walaupun perkenalan
mereka masih terlalu singkat. Sesiapa sahaja yang melihat Haqym pasti dapat
meneka personalitinya yang periang itu.
“Belum balik rumah? Pandai dia berjalan, ya?
Belum keluar ‘hospital’ atau belum keluar dari kedai lagi?”
Aina tergelak mendengar
perumpamaan hospital yang digunakan oleh Haqym untuk merujuk kepada bengkel
membaiki kereta.
“Belum keluar kedai tinted. Jauh saya
hantar, tu yang lambat sikit. Nak buat yang special, kalau pukul dengan
kayu besbolpun takkan pecah.”
Siapalah yang nak pukul cermin kereta Aina
dengan kayu besbol? Macam persediaan nak rekrut masuk mafia pulak. Gadis ini
semakin mengerikan.
“Wow, maknanya kereta barulah? Hebat awak ya,
baru masuk kerja dah ada kereta, gaji pun tak dapat lagi. Ambil kereta apa?
Entah-entah Nissan Fairlady, macam awaklah, fair lady,” senda Haqym.
“Ala, kereta kecil aje.Ikut saiz tuan dia. Hairan ke saya boleh beli kereta?
Sebenarnya saya ada sugar daddy. Kalau awak tak percaya, saya boleh
dapatkan seorang untuk awak kalau awak nak. Buy one free one.” Aina
menyambut gurauan Haqym dengan gurauan juga. Segan dia hendak ceritakan yang
kereta Mini Cooper S itu dihadiahkan oleh Izraf. Nampak macam materialistik
pula.
Haqym tergelak lucu dan membiarkan sahaja
gurauan yang semakin terpesong ke alam lain itu. Bahaya betul awek ni. Baru
kenal sehari, dia dah hendak disorong untuk dijadikan anak ikan! Tapi Haqym tahu, Aina
sebenarnya hanya sengaja mengacahnya. Tak mungkinlah betul-betul.
“Okey, okey,
jomlah saya hantar balik. Takkan nak naik kaki pulak,” pelawa Haqym
segera.
“Apa pulak naik kaki, saya naik teksilah.”
“Eh, buat apa naik
teksi, nanti pemandu teksi tu culik awak macam mana? Tak takut? Tumpanglah
saya, jimat duit, boleh merapatkan silaturrahim, dan boleh singgah makan kat
mana-mana sekali. Pakej lengkap tu,” kata Haqym, masih belum jemu memujuk.
“Ikut awak lagilah saya takut, tak
pasal-pasal saya kena jual nanti, muka awak tu pun dah ada menunjukkan
ciri-ciri tak boleh dipercayai.” Aina pula memprovok Haqym.
“Waduh, kecewanya hati kanda, sampai hati
dinda tuduh kanda begitu. Tak apalah, orang tak sudi, nak buat macam mana.”
Sekali lagi Haqym memujuk Aina dengan menggunakan teknik reverse psychology pula.
“Maaflah awak, tapi
betul-betul tak perlu. Hah, loceng pun dah bunyi, seronoknya dah boleh balik!”
Aina kelam-kabut bangun dan menolak kerusi. Beg laptopnya rupa-rupanya sejak
tadi sudah tersangkut di bahu. Inilah yang dikatakan persediaan rapi.
Haqym hanya mampu
melambai, itu pun tak berbalas. Nak dibalas macam mana, Aina sudah pun
menghilang di balik pintu. Ada kuasa pecutan turbo dia ni, bekas pelari balapan
100 meter agaknya.
Haqym tersenyum lebar
melihatkan tingkah Aina yang tidak sabar-sabar mahu balik, mengalahkan pelajar
pula lagaknya. Tak matang-matang budak kecik ni. Malam ni susahlah dia nak
tidur lena terkenangkan Aina Humaira. Dah dapat penyakit baru pula!
Bersambung...
*Novel AKU JATUH CINTA akan berada di pasaran pada Febuari ini! Boleh tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan autograf & cenderamata. Penulis boleh dihubungi di:
FB: https://www.facebook.com/anna.nabila.90
Terima kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.