Bab 18
Hari ini Aina bertekad untuk melupakan perbalahan mereka semasa kelas
lalu. Tentang dia merajuk dan juga acara pujuk-memujuk selepas itu. Danial pun
tidak berkata apa-apa sejak peristiwa itu, dan hati Aina pun sebenarnya sudah
memaafkan. Hati Aina lain sikit, cepat panas, cepat juga sejuk. Masalah suhu
kurang stabil.
Ketika Aina masuk ke kelas 6 Delta, waktu
rehat baru sahaja tamat. Masih ada pelajar yang sedang mengunyah makanan dan
apabila ternampak sahaja kelibat Aina, masing-masing kelam-kabut menyembunyikan
makanan di dalam laci meja masing-masing. Ada juga yang berpura-pura membuka
buku di atas meja, nampak macam pelajar contoh, tetapi sebenarnya meneruskan
makan dengan berselindungkan buku tersebut. Tengoklah Cam tu, nampak benar
berlakon, manakan tidak, buku itu sudah dibuka separuh, sedangkan Aina masih
mengajar bab-bab awal. Hendak kelentong pun agak-agaklah.
“Cam, tak payah nak berlakon sangat. I
know what you did there.” Tersedak Cam dibuatnya oleh sergahan Aina.
Kantoi!Nasib baik sempat telan,
kalau tidak, mahu tersembur makanan dalam mulutnya itu. Sudahlah Cam sedang
berusaha menyumbat nasi lemak penuh ke dalam mulut supaya cepat habis. Syukur
dia tak mati tercekik. Cam menyerah kalah, taktiknya sudah diketahui. Akhirnya
dia menyimpan baki makanannya di dalam laci meja dan menutup semula bukunya.
“Saya tak kisah kalau kamu semua nak makan
gula-gula atau yang sewaktu dengannya sebab saya tak nak kamu mengantuk dalam
kelas. Tapi, berpada-padalah kalau nak makan pun, jangan sampai melantak nasi goreng atau ayam tandoori
masa saya mengajar. Itu dah lebih, buat kelas saya macam kedai mamak pulak.Seperkara
lagi, peraturan ini hanya sah semasa kelas saya aje, kelas guru lain kena ikut
peraturan mereka sendiri, okey?”
Seisi kelas
berbisik-bisik sesama sendiri, lega dengan kelonggaran yang diberikan Aina.Mereka mula mengagumi sikap dan pembawaan Aina yang amat
berlainan sekali.Jika guru lain, pasti merasakan mereka tidak dihormati
jika pelajar makan ketika mereka sedang mengajar. Biarpun sekadar minum air
pasti akan mendapat hadiah jelingan tajam atau jegilan maut. Kalau anak orang
mati tercekik macam mana agaknya, minum air pun tak boleh.Mungkin kerana Aina guru muda, maka dia lebih memahami
sikap pelajar.
Shantini mengangkat
tangannya mahu mengemukakan soalan kepada Aina.
“Ya, Shan?”Aina mencondongkan
badannya ke hadapan untuk memfokuskan perhatiannya kepada Shantini.
“Cik Aina, boleh tak kalau makan snek ringan
macam ‘Cloud 9’? Kadang-kadang laparlah dalam kelas, ilmu susah nak
masuk otak bila lapar.”
“Banyaklah alasan kamu,
saya pun tak makan lagi dari pagi, boleh aje bertahan.Fine,
saya bolehkan,hanya jika kamu benar-benar
perlukannya. Jangan buat macam berpiknik.”
Belum sempat Aina
menghabiskan ayatnya, pelajar-pelajarnya itu berebut-rebut mengemukakan
permintaan masing-masing.
“Chewing gum, Cik Aina?” soal Cam.
“Cik Aina, minum air boleh tak? Hauslah...”
Lee Anne pula bertanya.
Sharon segera menyampuk, “Kalau macam tu, air kotak
atau air tin pun bolehlah kan, Cik Aina?”
Aina menggeleng sambil
mengangkat tangannya ke atas untuk menghentikan permintaan mereka yang semakin
menjadi-jadi. Diibaratkan sudah diberi betis hendakkan paha pula.
“Sudah, sudah. Amboi, kamu ingat saya ketua
kampung? Macam-macam masalah kamu nak lapor, dahlah begitu, lagi bertambah
permintaan kamu ya? Baik, minum air tak apa, nanti haus, tak dapat pulak nak
bersembang banyak-banyak dalam kelas, kan? Chewing gum kalau tak silap
saya dah diharamkan, bukan begitu?”
“Ala, Cik Aina, apa pulak haram, kita beli
yang ada cop SIRIM, sah halal,” ujar Cam, segera mempertahankan cadangannya.
Namun sebelum Aina sempat menjawabnya, Aidil sudah menukas kata-kata Cam.
“Hoi, apa pulak SIRIM? Cop halalkan dari
JAKIM! Sapi yang punya susu, entah siapa-siapa yang dapat nama. Kesian kat
sapi.”
Ketawa mereka sekelas pecah. Tengoklah budak-budak bawah umur ni,
tak matang langsung, asyik melencong jauh saja, susah betul nak ajar berjalan
lurus.Dah
jadi satu kerja untuk menjelaskan. Aina tidak rela dituduh mengeluarkan fatwa
palsu pula nanti.
“Ops,maksud saya bukan haram di sisi agama, tapi haram di
sisi peraturan sekolah.Kamu tahu tak kenapa chewing gum tidak
dibenarkan di sekolah? Tak apa, tak payah jawab. Biar saya yang jawab dari
dengar jawapan merapu kamu. Sebabnya, tak ada faedah. Kamu kunyah macam lembu
kunyah rumput bukannya dapat kenyang pun, lepas tu buang jugak, kan? Masa buang
pulak kamu campak aje merata-rata.”
Nanti adalah lekat kat
kasut tak pun kat seluar guru, tambah-tambah lagi kalau ada yang sengaja nak
sabotaj, kan? Lagi teruk kalau kamu buang dari tingkat atas, macam mana kalau
terus mendarat dengan selamat atas rambut Cikgu Saloma? Rambut dia tu fesyen
60-an, bukan senang nak bentukkan sampai kembang semangkuk macam tu, mau tiga
jam dia berdandan. Nampak tak masalah yang bakal kamu timbulkan?”
Pelajar-pelajar itu ketawa berdekah-dekah,
senang dengan gurauan Aina yang turut sama terikut-ikut mengusik Cikgu Saloma.
Rasa macam Aina sudah menjadi sebahagian daripada mereka.
“Hmm, antara dua darjat nampak? Kami tak
dibenarkan makan chewing gum hanya sebab takut guru-guru terkena?” Danial yang sedari tadi
hanya diam memerhati kini membuka mulutnya, bukan dengan suara marah seperti
kelmarin, malah dia kelihatan dingin macam ais. Nada suaranya seperti biasa,
sarkastik.
Lelaki ini memang tak
ada hati perut, semuanya dah beku jadi ais! Aina terdiam seketika, menyusun
ayatnya berhati-hati sebelum menjawab, dia tidak mahu peristiwa kelmarin
berulang, takut nanti bukan hanya satu hati yang akan terluka.
“Bukan macam tu Danny. Saya tak maksudkan
guru-guru aje yang akan terkena, saya hanya cuba bergurau dengan kamu. Moral yang ingin saya sampaikan, orang yang
tak makan chewing gumpun akan disabotaj secara tak langsung disebabkan
sikap si pelaku yang tidak bertanggungjawab. Tapi sekiranya kamu rasa kamu
boleh bertanggungjawab, buang di dalam tong sampah selepas kamu bungkus semula
dengan kertas pembalutnya, suka hati kamulah kalau nak makan jugak. Saya secara
peribadi tak halang, tapi sekiranya ada spotcheck dijalankan, saya rasa
kamu akan dikenakan tindakan oleh pihak sekolah jika kamu ada menyimpan chewing
gum bersama kamu. Benda itu di dalam kawasan sekolah kira macam dadah dekat
luar.”
Danial terkedu, suaranya tersekat di
kerongkong. Matanya membuntang, jantungnya berdegup kuat sehingga dia merasakan
Mazlan yang duduk di sebelahnya turut mendengar ritma luar biasa pada degupan
jantungnya. Macam ada rentak lagu Kuch Kuch Hota Hai.
Aina memanggil dia Danny, sama macam Mummy
memanggilnya dulu! Tapi sudah begitu lama Mummy tidak memanggilnya dengan
panggilan manja begitu, akhir-akhir ini pula Mummyasyik berkurung di
bilik. Ah, Mummy...hari ke hari Danny rasa semakin jauh dan terasing dari Mummy. Fikiran Danial
menerawang jauh.
Sikap Danial yang diam tidak berkata apa-apa
disangkakan Aina sebagai penerimaan terhadap nasihat yang diberikannya tadi.
Pelajar yang lain pula sekadar mengangguk, mungkin faham dan menyetujui.
Mungkin juga blur tak ada idea nak kata apa.
Memandangkan sudah hampir 20 minit terbuang
hanya untuk sesi itu, Aina segera memulakan pengajarannya dengan bab yang
pertama bagi Mikroekonomi. Hampir kesemuanya hanya menatap buku di hadapan
mereka tanpa ada minat untuk menyelak buku itu. Macamlah kepala mereka itu hard
disk, semua yang dibaca secara automatik akan disimpan di dalam memori.
Itupun kalau membaca. Yang lain pula berlagak macam scanner, tengok saja
dah import ke dalam memori. Hanya beberapa orang sahaja yang menanda dan
menulis sesuatu pada helaian buku mereka.
Kes Danial lagi teruk. Sekurang-kurangnya
yang lain masih pandang buku, tak kiralah masuk otak atau tidak. Danial, sejak
tadi hanya merenung Aina dengan pandangan yang sukar ditafsirkan. Pandangan
matanya kelihatan lebih lembut dari biasa, ada sedikit sendu di hujung matanya.
Tapi pandangannya kosong, tengok Aina tapi sehingga tembus ke dinding di
belakang Aina. Superman pun tak sehebat itu kuasa matanya. Agak
mengerikan.
Ah lantaklah, dia tak buat onar pun dah cukup
bagus. Aina
menepis rasa hairan dan gelisahnya lalu meneruskan sesi P&P tersebut dengan
lancar tanpa sebarang gangguan.
Bersambung...
*Novel
AKU JATUH CINTA terbitan ALAF 21 akan berada di pasaran pada Febuari ini! Boleh
tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan autograf & cenderamata.
Penulis boleh dihubungi di:
FB: https://www.facebook.com/anna.nabila.90
Terima
kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.