Loceng berbunyi menandakan masa pertama telah bermula. Aina kelam-kabut
meninggalkan beg tangannya di atas meja lalu mengambil fail serta segala alat
tulis yang dirasakan perlu.
Aina bergegas membuka langkah yang lebih luas lagaknya dari
langkah pasukan tentera berkawad. Lupa seketika hari itu dia memakai kebaya,
nasib baik kainnya tak koyak kerana cubaan berkawad. Setelah beberapa minit meronda kelas demi
kelas, Aina mula cemas apabila masih belum berjaya menemui kelas 6 Delta.
‘Aduh, macam mana ni?’ Aina merungut cemas
dengan wajah yang sudah kemerah-merahan. Sudah hampir sepuluh kali dia tawaf
sekeliling sekolah.
Mujur Aina terserempak dengan seorang
pengawas yang memakai tanda nama Sary Yanty yang baru sahaja selesai bertugas
menaikkan bendera. Fuh, nama macam artis!
“Err... Sary,” Kenapa rasa pelik ni, macam
sejenis sari minuman aje.
“Eh Yanty... saya tengah cari kelas ni, tak
jumpa-jumpa lagi. Boleh kamu tunjukkan saya di mana kelas 6 Delta?” Aina segera
menyapa pelajar itu sambil menghadiahkan senyuman manis.
“Oh, kelas 6 Delta ada kat hujung sana. Cikgu
ikut lorong sebelahkoperasi sana,” beritahu Sary Yanty.
“Ye ke? Tapi tadi saya dah ke sana, tak
nampak pun kelas 6 Delta.”
“Kadang-kadang tanda nama kelas tu dia orang
tutupkan dengan bunga hiasan, kerja budak-budak nakal di kelas itulah. Tapi
cikgu jangan bimbang, cikgu ikut aje lorong tu, kelas yang pertama selepas
lorong tu memang sah kelas 6 Delta,” beritahu Sary Yanty.
‘Cis!
Budak ni macam nak perli pulak, tahulah memang sah kelas tu tak tukar pergi
mana dah, memang tak adanya kaki kelas tu nak berjalan ke pasar ikan mahupun
kilang bata, bukan salah aku kalau tak nampak tanda nama kelas tu, siapa suruh
dia orang pergi tutup dengan bunga hiasan. Memang terserlah sangatlah kenakalan
dia orang. Alamak, habislah aku kali ni!’
Aina tersenyum kambing sambil menjawab
ringkas,“Okay, I’m sure
I’ll find it, thanks a lot, Sary Yanty.”
Pelajar itu mengangguk kecil sambil
menghadiahkan senyuman manisnya.
Tanpa berlengah, Aina pantas meneruskan misi,
sesekali berlari anak mengejar masa. Apalah nasib, hari pertama dah kena
berlari maraton. Itu pun dah cukup baik tak bertriatlon.
Seperti yang ditunjukkan
oleh pengawas tadi, Aina akhirnya menemui kelas itu. Memang betul rupanya papan
tanda nama kelas tersebut telah ditutupi dengan bunga hiasan.
Patutlah tak perasan tadi. Ni nak marah pun
susah, nak kata vandalisme, dia orang tak rosakkan apa-apa, malah ini boleh
kira menghias kelas lagi ni.
Aina melangkah masuk ke dalam kelas, beberapa
kepala yang tadinya terletak di atas meja tiba-tiba sudah tegak. Ada
bisik-bisik mula kedengaran, mungkin teruja melihat guru baru yang muda belia
masuk ke kelas mereka. Sasaran yang mudah dibuli, mental belum cukup kukuh.
Belum sempat Aina meletakkan fail yang
dibawanya, berderap bunyi kerusi disorong oleh para pelajar yang berdiri
mengucapkan selamat pagi dengan irama yang meleret-leret bunyinya.Barisan
pelajar itu ronggak di sana-sini, kerana ada sebilangan yang masih duduk
bersahaja. Begitulah trend pelajar sekolah menengah, terutamanya kelas yang
nakal. Sengaja ingin mengusik guru atau mungkin juga tunjuk perasaan tanda
tidak suka akan kehadiran guru itu.
Mesti salah seorang daripadanya adalah Danial
Iskandar yang Haqym ceritakan tadi, pelajar yang begitu popular dengan
kenakalannya itu. Tak apa, dia tak tahu lagi Aina Humaira ini siapa, dia dulu
pun ada sejarah kenakalan juga. Tapi nakal-nakal pun tidaklah sampai menyusahkan
orang, lagipun sekurang-kurangnya sekarang dia sudah berjaya mencapai apa yang
dicitakan dan sepatutnya boleh menjadi role model kepada tunas-tunas
muda itu.
“Assalamualaikum, selamat pagi, salam
sejahtera dan salam satu Malaysia.” Itu dia. Macam nak beri mukadimah pidato!
“Kamu semua boleh duduk sekarang. Untuk yang
mungkin tertanya-tanya, saya guru baru kamu yang akan mengajar mata pelajaran
Ekonomi. Rasanya eloklah jika saya mulakan dengan memperkenalkan diri saya
terlebih dahulu. Nama saya Aina Humaira Binti Hafizuddin, berumur 23 tahun.
Menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, major Ekonomi, minor
Perniagaan.
Kamu dah kenal saya,
sekarang saya pulak nakberkenalan dengan kamu. Namun sebelum itu,
saya nak beri satu amanat.Lain kali, bila saya masuk ke dalam kelas
kamu, kamu tak perlu bagi salam kepada saya. Biar saya yang bagi salam kerana
saya yang hendak masuk ke dalam kelas kamu. Sama macam kita berkunjung ke rumah
orang, kita kena bagi salam dulu, bukan tuan rumah yang bagi salam, kan? Jadi,
biarlah saya yang bagi salam kerana saya yang nak masuk ke dalam ‘rumah’ kamu
ni. Okey? Sekarang ada apa-apa soalan sebelum saya mintak kamu pulak yang
perkenalkan diri?”
Fuh! Hampir mati sesak nafas! Mana tidaknya,
skrip ucapan satu lembar Aina habiskan dengan sekali lafaz. Dahsyat!
Seorang pelajar
perempuan yang kemas berpakaian kot berdiri. Pelajar SM Harapan sememangnya
diwajibkan memakai kot sekolah dan tanda nama berwarna hitam keemasan, termasuk
tali leher bagi yang berkemeja. Namun masuk sahaja tadi, yang amat ketara
sekali pada pandangan mata Aina adalah kot-kot yang berselempang di kerusi,
manakala sebahagiannya diletakkan di atas meja.
Mungkin kalau diperhatikan dengan lebih
teliti, silap-silap ada yang sudah dijadikan kain lap di atas lantai. Tali
leher pula sengaja dilonggarkan, fesyen barangkali, ala-ala pelajar Korea.
Nasib baik tak pakai mini skirt. Aina menggeleng. Sudah tergambar sedikit demi
sedikit cabaran yang bakal ditempuhi.
Pelajar perempuan ini adalah salah seorang
dari segelintir kecil yang masih berpakaian mengikut peraturan sekolah. Pasti
pengawas atau ketua kelas, kerana mahu tidak mahu mereka harus menjadi role
model kepadapelajar lain.
“Cikgu Aina Humaira, saya Clare, ketua kelas
6 Delta. Kami dimaklumkan bahawa guru baru akan ambil alih sebagai guru kelas.
Guru kelas kami sebelum ini, iaitu Cikgu Laura, baru sahaja berpindah. Sebab
berpindah, err, err... classified. Jadi guru baru yang dimaksudkan tu
cikgu jugak ke atau ada cikgu lain?”
Classified?
Hisy, buat lawak pulak budak ni. Dahlah teragak-agak nak beritahu, macam ada
kejadian rahsia yang tak gamak diceritakan saja. Misteri nusantara betul!
Aina tergamam seketika. Tidak menduga soalan
itu. Ingatkan hendak tanya tinggal di mana atau nombor telefon. Ini ditanyanya soalan
yang dia sendiri pun tidak tahu. Tak ada pula pengetua maklumkan. Guru kelas
pulak tu, biar betul.Katanya kelas paling nakal, diberi pulak mandat itu kepada
dia, mentang-mentanglah dia guru baru, suka-suka aje nak buli. Aduh, macam mana
ni. Lapor kat aduan
pengguna nanti.
“Aah... Clare ya tadi? Begini, tentang itu
saya tak pasti lagi, sebab saya tak dapat sebarang arahan mahupun makluman
tentang perkara ini. Tapi jangan risau, jangan bimbang, bawa bertenang semua.
Tarik nafas panjang-panjang dan marilah kita lompat bintang semua.” Aina
tersengih, cubaan untukcover line. Malangnya semua pelajar
hanya memerhati dirinya dengan rupa tak kisah, sesetengahnya nampak blur.
Epic fail!
Tulah, lain kali jangan buat lawak bodoh lagi! Aina tersenyum kelat.
“Eii, kamu semua ni serius sangatlah! Tak
sporting langsung. Tak sukalah kau orang serius-serius jika tak melibatkan
sebarang berita kematian mahupun kelahiran. Marilah kita bersama-sama
mewujudkan budaya ceria.”
Masih muka-muka blurmemandangnya.
Hisy, tak boleh jadi ni, misi percubaan menawan hati nampaknya awal-awal dah
gagal, alih-alih dia juga yang malu. Ini kalau berdiri sebelah lampu isyarat,
boleh kemalangan sepuluh biji kereta paling kurang, kalau tersilap pandang
sikit, mukanya yang merah padam mungkin disangkakan lampu merah.
“Baik, tak mengapa, err... begini, saya akan
dapatkan kepastian dari pejabat secepat mungkin, kemudian saya akan maklumkan
kepada kamu.Oh,
kamu semua boleh panggil saya, Cikgu Aina aje. Bukan Melati, bukan Kemboja,
bukan Cempaka, diulangi ya, Cikgu Aina.”
Barulah terlihat barisan gigi putih dipamerkan
oleh beberapa orang pelajar. Yang tak berapa putih pun ada juga.
“Ala... panggil Cik Aina aje tak boleh ke?Kan
lebih manis, sama manis macam tuan punya badan yang muda jelita.” Suara sumbang
pelajar perempuan yang berperwatakan agak tomboyitu disambut riuh
dengan siulan dan gelak ketawa.
Wah, ini sudah lebih! Penat-penat belajar
barulah dapat title cikgu, sesedap rasa mereka saja untuk menggugurkan title
tersebut.
“Untuk pengetahuan kamu semua, I’m not
single, I’m married. Jadi, gelaran cik tu amatlah tak sesuai dengan
saya. Kalau Cik Puan tak apalah jugak.”
Para pelajar yang menyangkakan Aina masih
cuba bergurau semakin meriah bergelak ketawa sambil mempamerkan raut wajah
tidak percaya membuatkan Aina pantas menutup buku tentang soal peribadinya,
malas rasanya dia hendak memanjangkan mukadimah tentang dirinya pula.
“Okeylah, suka hati kamulah nak panggil saya
apa pun. Tapi bagi mereka yang panggil saya cikgu, saya akan bagi markah
tambahan bila saya menanda kertas peperiksaan kamu nanti, mereka yang tak nak
panggil saya cikgu, tiada markah kasihan pun untuk kamu. Biar bertambah warna merah pada
buku laporan kemajuan kamu.”
Hah, padan muka!
Kedengaran mereka berkeluh-kesah, mungkin
risau dengan ugutan hukuman ala kuku besi itu. Namun, ada juga pelajar yang
masih bergelak ketawa, pastinya mereka yang tidak menganggap serius akan
ancaman Aina. Termasuk juga pemilik sepasang mata yang tajam bagai helang, mata
yang dari tadi mengamati Aina tajam-tajam sehingga membuatkan Aina menjadi
serba tidak kena. Jejaka itu tidak ketawa, cuma mengukir senyuman sinis bagai
ingin mencabar kuasa veto Aina.
Aina segera membuka kata semula bagi
menjauhkan rasa geram yang semakin sebu. Silap hari bulan kalau dia hilang
sabar, boleh berlaku kes dera dalam kelas itu nanti.
“Memandangkan kamu telah
mensia-siakan peluang bertanyakan soalan tadi, jadi rasanya eloklah kita
beralih kepada sesi icebreakingpula. Sebelum kamu tanya, biar saya
jawab siap-siap, no, bukan nak pecahkan ais, tapi sesi memperkenalkan
diri. Saya nak tahu nama penuh kamu, dengan nama panggilan sekali supaya senang
saya nak ingat, serta asal dari mana, di mana kamu tinggal sekarang dan
cita-cita kamu.”
Para pelajar merungut
tidak berpuas hati kerana dipaksa mendedahkan rahsia sulit mereka. Ya,
cita-cita! Pasti semuanya malu apabila cita-cita mereka diketahui ramai.
Sewaktu zaman persekolahan dulu, Aina juga amat malu apabila ditanya berkenaan
cita-citanya, takut orang mentertawakan kesederhanaan impiannya yang hanya
mensasarkan profesion keguruan.
Namun, jika dikenang-kenang, semasa kecil
dahulu dia sebenarnya ingin menjadi pramugari kerana menganggap kerjaya itu enjoy
dan mampu memenuhi impiannya untuk ke luar negara. Apabila diingat kembali,
cita-cita itu amat melucukan kerana ia amatlah tidak realistik. Dengan saiznya
yang comel, pasti Aina bagaikan maskot pasukan pramugari yang kesemuanya anggun
dan tinggi lampai seperti model.
“Baik. Saya nak mulakan
dari awak yang kat hujung sana,” kata Aina memberi arahan sambil menuding jari
pada jejaka misteri itu. Pelajar itu merenungnya seketika. Aina membalas,
berpura-pura berani. Dalam hati sebenarnya gentar boleh tahan juga.
Selepas sengaja merenungnya untuk beberapa
ketika, pelajar itu kemudiannya bangun, kelihatan begitu selamba dengan
kedua-dua tangannya menyeluk saku seluar.
“Nama diberi, Syed Danial Iskandar Bin Syed
Mohamed Iskandar. Lahir di Paris, kini menetap di Villa Vistana, Bukit Harapan.
Kalau nak melawat, dekat aje, sebelah sekolah ni ha. Cita-cita tu tak terfikir
lagi, tapi buat masa ni saya dengan tiba-tiba bercita-cita nak couple dengan
Cik Aina ajelah kot.” Sorakan meriah bergema, siap ada yang bergendang memalu
rebana lagi.
Danial Iskandar, of course! Memang dah
agak, dengan lagak samsengnya yang selamba itu, senang sahaja nak mengenal
pasti dia yang mana. Aduh...kan dah terkena, yang gatal mulut tanya cita-cita
dia orang pasal apa. Kononnya nak mengenakan, tak pasal-pasal sendiri yang
terkena. Dahlah loyar buruk budak ni. Apalah malang nasibnya hari ni, asyik
bertemu dengan orang yang loyar buruk saja.
Hmm, tapi Bukit Harapan, ada kena-mengena ke
dengan SM Harapan? Kenapa nama-nama di tempat ini macam penuh dengan
pengharapan?
Aina menjawab juga, tidak mungkin dia mengaku
kalah. Pantang keturunan pahlawan! “Huh,
awak jangan nak kelentong saya kononnya awak lahir kat Perancis. Saya pun boleh
reka cerita macam tu. Tak mahu beritahu yang sebenar, sudah! Tak payah nak
bermadah berhelah.Hah, Apa nick name awak, senang sikit saya nak
panggil.” Senyuman sinis tersungging di bibir Aina. Jangan-jangan nama
panggilannya Bob, atau Boboi, atau kalau menimbangkan soal saiz badan, mungkin Hulk?
Danial mendengus jengkel. Banyak songeh pulak
awek mini ni, desisnya geram. Dia yang sudah duduk tidak bangkit, sebaliknya
selamba menjawab soalan Aina sambil menyandar santai.
“Whether you want to believe it or not,
I am telling the truth, my father is Malaysian, but my mother
came all the way from France.Takkan tak perasan wajah handsome Pan
Asian saya ni kot? Atau perlu saya berbahasa French sikit? Ma chère,
tu me rends fou!” Danial menyeringai lucu, itupun selepas memberi hadiah
kerdipan mata ala kasanova.
Sambil menaikkan sebelah keningnya yang
sememangnya mengancam, Danial menyambung, “Saya tak ada nick name,
panggil aje Danial Iskandar. Mak saya pun panggil begitu aje, atau Cik Aina
memang sengaja nak apply jadi special case? If that’s the
case, then it’s my pleasure.”
Merona merah wajah Aina. Memang mencabar
benar budak ini. Itu Aina belum tahu lagi maksud perkataan Perancis yang
diucapkan Danial tadi, “My dear, you drive me crazy!”Kalau tidak pasti
semakin berbahang wajah Aina menanggung malu. Biasalah orang Perancis memang
terkenal dengan kehebatan ‘mengayat’. Mana boleh Danial memalukan nusa dan
bangsa.
Tapi ya tak ya jugak, patutlah wajah dia lain
daripada yang lain, macam kacukan Melayu sikit, Arab sikit, mat saleh sikit.
Pendek kata, pakej lengkap kalau setakat nak jadi model antarabangsa. Hisy,macam manalah
boleh tak perasan tadi.
Aina takkan begitu
mudah mengalah. Segera dia membidas, “Masalahnya, saya bukan mak awak, dan saya
tak tahu awak ada berapa adik-beradik, tapi saya yakintidaklah seramai
pelajar yang saya nak kena ingat, kan? Muktamad, saya akan panggil awak Danial
aje, tak kisahlah awak suka atau tak.”
“Kalau Cik Aina suka dengan nama tu, dah
tentu saya terima dengan relanya.”
Melihatkan wajah Aina yang merah padam sekali
lagi, serta-merta membuatkan ada rasa yang berdetik. Walau galak mengusik, jauh
di sudut hati, Danial berasa teruja melihat wajah yang mudah benar berubah
warna itu, malah kelihatan semakin cantik setiap kali diusik.
‘Kenapalah aku terlebih aktifsangat
hari ni, selalunya mood
berubah-ubah ikut keadaan cuaca. Tapi cikgu baru ni masuk, aku pulak yang
teruja lebih-lebih. Aduh, cover sikit Danny!’ getus hati Danial, agak
jengkel dengan perubahan cuaca hatinya. Selalunya elok sahaja hatinya bagai
musim kemarau, tiba-tiba dah macam ditiup angin monsun barat daya pula, serba
tidak kena jadinya.
‘Tengok tu, Cik Aina lagi! Tak apa, tahulah
aku nak marking paperbudak ni nanti. Tu belum sebut lagi pasal merit
demerit, kuasa veto harus digunakan sebaik-baiknya.’ Aina memasang tekad dalam
hati.
SempatAina melemparkan jelingan tajam pada Danial
sebelum mener uskan sesi
memperkenalkan diri tersebut dengan pelajar yang lain pula. Malas dia hendak berlama-lama
melayan jejaka yang tak makan saman itu, buat hilang sabar sahaja.
‘Sudah, dia jeling pulak! Takkan tak tahu kot
kaum aku ni paling lemah lutut kalau bab jeling-jeling ni, bukan gentar, tapi rasa macam jatuh cintalah pulak.
Hisy, tak boleh jadi ni.’
Terkumat-kamit mulut Danial bermonolog. Kalau
orang tak pandang, mahu sahaja dia menampar pipinya sendiri supaya tidak terus
tenggelam dalam pesona yang dirasakannya makin menggoda itu.
Ah, tak mungkin Danial Iskandar yang berhati
ais kini mencair semata-mata kerana seorang gadis yang baru sahaja beberapa
saat dikenalinya, tak mungkin! Atau... inikah yang dikatakan cinta pandang
pertama?
Bersambung...
*Novel AKU JATUH CINTA
akan berada di pasaran pada Febuari ini! Boleh tempah dengan penulis sendiri
untuk dapatkan autograf & cenderamata. Penulis boleh dihubungi di:
FB:
https://www.facebook.com/anna.nabila.90
Terima
kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.