Hari Selasa, masa pertama dan kedua, Ekonomi, Kelas 6 Delta. Aina
mengamati jadual mengajarnya yang baru berulang kali. Manalah tahu kalau
ada berubah. Betapa sadisnya jika dia
tersilap masuk kelas atau salah mengajar subjek.
Aina
tidak akan sesekali melupakan kenangan memalukan semasa dia praktikal dulu.
Kerana silap kelas, teruk dia diketawakan oleh pelajar. Manakan tidak, Aina
masuk ke kelas Sains untuk mengajar subjek Ekonomi, dengan tahap keyakinan
sepuluh per sepuluh pula tu. Semuanya akibat terlalu teruja menyebabkan dia
tersilap pandang jadual. Cukuplah sekali, dia tidak sanggup jika peristiwa
memalukan itu berulang kembali.
Sekurang-kurangnya
dulu, ada juga pelajar yang bersungguh-sungguh cuba memahami subjek itu. Tidak
pula pelajar kelas Sains itu terasa pelik kerana diajar subjek Ekonomi.
Pasang muka suci saja semuanya, dah habis dua masa Aina bersyarah hingga
berpeluh-peluh barulah ada yang memberitahu kesilapannya itu. Sudahnya,
teruklah Aina menjadi stok bahan lawak selama sebulan.
Aina
tergelak mengenangkan memori lucu itu. Tanpa disedari, dia sudah sampai ke
kelas yang dituju. Hingar suara para
pelajar bersembang hanya berkurangan sedikit apabila Aina menapak masuk. Aina
cepat-cepat memberikan salam terlebih dahulu sebelum pelajar kelas itu
menyapanya. Dia ingin mengotakan apa yang dijanjikan, di samping berharap agar
para pelajarnya kelak akan dapat memahami rasional dia berbuat demikian.Aina sebenarnya ingin menerapkan adab sopan dan
menghormati orang lain dalam kalangan pelajarnya. Bagi Aina, jika hendakkan
orang menghormati kita, kita perlulah menunjukkan rasa hormat terhadap orang
lain terlebih dahulu.
Setelah Aina meletakkan
buku-buku yang dibawanya, dia memberi arahan agar para pelajarnya duduk semula.
Yang sediakala duduk kekal duduk. Aina hanya mampu menggeleng, namun dia tidak
mahu merosakkan mood di awal pagi itu. Aina menyambung kembali sesi
memperkenalkan diri yang belum selesai kelmarin. Pelajar-pelajar itu hampir
kesemuanya loyar buruk dan sengaja ingin mengusiknya. Ada yang bertukar-tukar
identiti dan hanya berjaya dikenal pasti oleh Aina selepas ketawa mereka
sekelas pecah. Agaknya muka Aina ni senang dipermain-mainkan, asyik jadi mangsa
saja. Sakit betul hati Aina!
Dalam rakan-rakannya
galak mengusik, jejaka misteri itu sedikitpun tidak tersenyum. Mahalnya
senyuman, sakit agaknya mulut tu jika hendak senyum. Danial santai duduk
bersandar di kerusi, namun sepasang matanya tidak lepas dari memerhatikan Aina.
Aina pura-pura tidak
sedar akan pandangan Danial, dia tidak mengerti mengapa Danial harus meniliknya
sebegitu sekali. Ada yang salahkah padapakaian Aina, atau mungkin hidung Aina sudah
hilang? Rasanya semua serba normal, tiada yang luar biasa. Habis tu yang mata
Danial tajam macam helang lapar merenung Aina kenapa? Sajalah tu strategi
hendak melemahkan keyakinan Aina, sengaja agaknya membuatkan Aina jadi kekok
dan resah. Manakan tidak, bukan hanya Danial yang memandangnya, malah ada 44
pasang mata yang lain sedang menumpukan perhatian pada setiap butir bicara
serta raut wajah Aina.
Tapi, pandangan Danial lain dari yang lain.
Kalau suruh bomoh tolong tilikkan pun belum tentu dapat mentafsirkan makna
pandangan itu. Apa yang pelik, ada getar aneh yang berlumba-lumba dengan kuasa
enjin turbo di dada Aina setiap kali matanya bertembung dengan mata jejaka itu.
Tidak mungkin Aina gentar dengan Danial. Atau tercabarkah Aina?
Entahlah, Aina sendiri tidak mengerti mengapa
renungan Danial menghantar rasa yang begitu lain ke hatinya, mungkin lelaki ini
punya kuasa telekinesis! Dengan melalui kuasa pandangan saja, tali jantung Aina
bergetar macam tali ukulele sedang dipetik, tiba-tiba berkumandang lagu Dilwale
Dulhania Le Jayenge di dalam hati.
“Baiklah, oleh kerana kamu tak berlaku jujur
beritahu saya identiti kamu yang sebenar, saya mintak ketua kelas tolong
tuliskan nama rakan-rakan kamu mengikut tempat duduk mereka sekarang. Saya
jugak nak kamu kekalkan tempat duduk. Saya ingatkan, saya cekap mengingat wajah
orang dan saya tahu kamu duduk di mana. Tak payah berangan-angan nak permainkan
saya lagi.Senarai
nama ini akan membantu saya untuk ingat nama kamu dalam masa tidak lebih dari
36 jam. Itu rekod saya sebelum ini.”
Bukan main lagi Aina cakap besar, sengaja
hendak menggertak pelajar itu sebenarnya. Letihlah Aina hendak menghafaz
nama-nama mereka di rumah nanti. Tak tidur tiga hari tiga malam dibuatnya.
Mungkin kena tampal nama-nama itu di siling tempat tidur, biar Izraf pun ikut
hafal sekali. Itulah tadi yakin sangat mencanang tiga hari dah boleh hafal nama
45 orang pelajar di kelas itu.
Kedengaran keluh-kesah dan rungutan pelajar
yang tidak berpuas hati. Pasti mereka tidak menyangka sama sekali Aina yang
kelihatan lembut itu tiba-tiba bertindak tegas. Aina mengukir senyuman
kemenangan sebelum senyumnya mati apabila ekor matanya menangkap sekilas senyum
nakal yang tersungging di sudut bibir Danial.
‘Ah, pasti dia sedang merancang sesuatu untuk
kenakan aku,’ getus hati Aina. Firasatnya jarang benar salah. Dia ada sixth
sense yang kuat! Kalau Aina teringat hendak telefon seseorang, sebelum
sempat didail, orang tu dah telefon terlebih dahulu. Kalau Aina rasa macam akan
terjumpa dengan orang itu, tiba-tiba orang itu sudah muncul depan mata. Jadi
kalau Danial ada kuasa telekinesis, Aina apa kurangnya, dia ada kuasa telepati.
Aina yakin Danial akan berbuat sesuatu.
Aina menepis rasa
gelisahnya jauh-jauh. Kalau takut berhadapan dengan pelajar, baik dia tak payah
jadi guru. Jadi tukang kebun lebih baik, berhadapan dengan rumput dan pokok
bunga, itukan sejenis terapi minda juga. Mungkin ia lebih sesuai untuk orang
berjiwa serabut macam Aina, terlampau banyak berfikir dan bimbangkan persepsi
orang lain.
Aina bertekad untuk menunjukkan sikap yang
lebih tegas, atau tough bak kata Izraf. Mungkin sekadar sikap tough
tak cukup, Aina kena bina badan sasa seperti Dwayne Johnson pula selepas ini.
Jika tidak, pasti dia akan dibuli lebih teruk.
Sudah mula nampak karakter nakal di kelas
itu. Senang saja nak bezakan, yang kucing tersipu-sipu mengiau, yang harimau
sudah mula menunjukkan belang masing-masing. Ah lantaklah kucing ke, harimau
ke, Aina tidak sesekali akan mengalah seperti yang berlaku pada guru-guru
sebelumnya. Dia keturunan pahlawan, biar bergolok berkeris daripada mengaku
kalah. Ada juga pelajar yang mengalami trauma nanti seandainya Aina betul-betul
muncul ke kelas dengan keris. Itu barulah berfikir di luar kotak dan
berinovasi, sekadar bawa rotan, pelajar kan buat tak hairan saja.
Aina meneruskan semula agendanya yang
tergendala tadi. “Clare, jawapan untuk pertanyaan kamu kelmarin dan yang lain
jugak, pejabat telah pun mengesahkan sayalah yang akan menjadi guru kelas dan
akan jaga kamu sehingga akhir tahun ini. Jadi kamu akan jumpa saya tiap-tiap
hari, biar kamu bosan sampai nak muntah tengok muka saya. Yang mana ada masalah
berat badan pun boleh kurus tanpa mengambil produk, nampak saya aje terus
hilang selera makan. Apa pun, saya tak peduli, jadual ini sudah pun muktamad,
sebarang bantahan mahupun tunjuk perasaan tidak akan dilayan.” Sengaja Aina
berpura-pura tegas. Sempat lagi menyelitkan unsur hiperbola pada ucapannya.
“Eh Cik Aina, tak mungkinlah kami akan bosan
nak pandang wajah Cik Aina yang comel, kalau Cik Aina conquer kelas kami
dari pagi hingga waktu balik setiap hari pun kami lagi suka,” usik pelajar
perempuan berperwatakan agak kelelakian itu.
“Setuju! Kami lagi suka tengok Cik Aina
berbanding Cikgu Din Misai atau Cikgu Saloma Mimau, dah sakit mata ni tengok
belang-belang, letih nak tonyoh dengan ubat penyegar mata selalu.” Seorang
pelajar lelaki yang duduk di sebelah Danial pula menyampuk. Kalau tak silap,
namanya Razali. Hafalan memori Aina sudah loading ke 20%.
Aina menekup mulutnya menahan tawa
mengenangkan raut wajah Cikgu Din yang merupakan guru disiplin sekolah itu. Misai
melintangnya sememangnya telah menjadi trade mark. Begitu terkenal
sehingga kalah misai kontot Hitler dari segi populariti. Sehinggakan di
sekolah-sekolah lain pun tiada sesiapa yang tidak mengenali Cikgu Din Misai,
malahan pengawal keselamatan berbangsa Bangladesh pun tahu nak sebut namanya,
selain dua perkataan lain, iaitu Malaysia dan Negaraku. Macam tu tak popular
lagi?
Bahu Aina terhinggut-hinggut menahan ketawa
apabila mengingatkan Cikgu Saloma yang digelar ‘mimau’ oleh para pelajar kerana
tabiatnya yang suka memakai pelbagai aksesori berbelang oren dan hitam, memang
mirip dengan harimau bintang. Nak kata terkenan pun tidak juga, entah-entah ada
menuntut silat harimau tetapi tak sempat habis, itu yang sampai sekarang
terpalit badi. Boleh dikatakan hampir setiap hari corak pakaiannya sama, fesyen
saja yang berbeza. Entah-entah dibelinya terus sepapan kain yang sama.
“Wah, bukan main lagi kamu melabel guru-guru
kat belakang ya, entah saya ni apalah agaknya yang awak cop Razali? Cikgu
ketot?” Aina memandang Razali yang tersengih lebar sebelum mengalihkan
perhatian kepada pelajar tomboi itu pula.
“Awak Sophie Camilia, kan? Yang asyik puji
saya tak lain tak bukan, nak membodek sayalah tu.” Yang seorang ni nakalnya
boleh tahan, memang Aina dah mark semenjak hari pertama lagi.
“Cik Aina, I’m surprised that you
do remember my name. However, it will be my pleasure if you can call me Cam.”
Usikan Cam itu disambut meriah dengan siulan dan gelak
tawa mereka sekelas. Wajah Aina sudah merah padam mendengar kata-kata Cam itu.
Danial yang sudah tidak
dapat menahan rasa lucunya melihat reaksi Aina ikut ketawa. Aina hanya
memerhati geram. Tapi, kacak pula si mafia ni bila ketawa begitu, giginya putih tersusun rapi, macam
iklan ubat gigi Kodomo Lion pun ada!
“Cik Aina, nampaknya Cam dah memulakan
langkah pertama dengan begitu gentleman sekali. Now, what say you?”
Danial sengaja menambah dengan selamba menyebabkan kelas itu semakin bingit
dengan sorakan dan gelak ketawa.
“Sudah, sudah! Nanti guru kelas sebelah kata
saya tak boleh kawal kelas pulak. Baik, saya bagi kamu menang kali ini. Suka
hati kamulah nak panggil saya apa pun. Tutup buku tentang itu. Sekarang saya
nak kita mulakan sesi P&P. Memandangkan belum tahu lagi tahap kamu, saya
nak tanya beberapa soalan terlebih dahulu untuk menguji sejauh mana kefahaman
kamu tentang subjek yang akan saya ajar ini.”
Para pelajar mula berkeluh-kesah, belajar pun
belum, dah hendak tanya soalan. Aduh, bukannya ada cip komputer dalam kepala,
kalau ada, bolehlah simpan koleksi soalan dan sampel jawapan sekali dalam pangkalan
data.
Aina tidak menunggu lama untuk menyambung
ayatnya, kalau lambat sikit, silap-silap pemberontakan akan berlaku. Bukan
boleh bagi muka sangat pada pelajar. Mahu yang mudah saja, mahu makan bersuap,
mahu tidur disuakan bantal. Ingat dia pengasuh? Excuse me! Aina kena
ajar mereka supaya lebih berdikari dan sentiasa membuat persediaan sebelum
masuk kelas. Barulah ada usahasama dari kedua-dua belah pihak, guru dan juga
pelajar. Kalau tak menggembleng usaha, macam mana nak menghasilkan buah yang
manis? Walaupun ciku tu buahnya manis dan senang pula tumbuh walau sekadar
dicampak oleh kera, tapi dalam kes ini siapa yang hendak mainkan peranan
sebagai kera untuk membantunya? Hah tengok tu dah melalut sampai ke buah ciku
ceritanya.
“Jangan risau, saya bukan nak tanya benda
yang kamu tak belajar lagi. Saya akan tanya soalan-soalan yang asas aje, konsep
yang telah kamu pelajari semasa di lower six lagi. Saya nak mulakan
dengan soalan yang paling mudah. Mereka yang saya sebutkan namanya, berikan
saya salah satu dari faktor-faktor pengeluaran dalam ekonomi.”
Aina merujuk senarai nama yang berada dalam
tangannya. “Marliana?”
“Tanah, Cik Aina.”
“Good, Khairul?”
“Err... buruh kot?”
“Perlu ke kot tu? Memang dah betul jawapan
kamu, cubalah yakin sikit. Seterusnya, Cam?”
“Entrepreneur!”
“Amboi kamu, siap jawab
dalam bahasa Inggeris lagi. Hah, betullah tu, dalam erti kata lain, usahawan.
Okey, apa kata bagi peluang pada
Danial pulak. Danial, lengkapkan ayat saya untuk selesaikan soalan tersebut.
Faktor pengeluaran terdiri daripada empat perkara iaitu tanah, buruh, usahawan
dan?”
“Dan sebagainya...” Danial menjawab dengan
selamba menyebabkan seisi kelas terbahak-bahak ketawa. Ada yang sudah
menepuk-nepuk lantai. Kelakar sangatlah agaknya tu?
‘Kurang asam! Memang dah agak dia dah rancang
nak kenakan aku! Pandai pulak dia sambung macam itu, jawapan nak selamatlah tu.
Hendak kata salah pun tidak juga, memang ada ‘dan sebagainya’ selain
jawapan-jawapan tadi tu. Tapi mana boleh pakai standard jawapan macam tu dalam
ekonomi. Aduh, sakit otak, sakit otak!’
“Danial Iskandar! Awak ni memanglah. Saya
tanya dengan serius, awak boleh melawak pulak! Sedap saja awak sambung ‘dan
sebagainya’! Itu mesti strategi awak supaya tak payah penat-penat memerah otak
untuk fikir jawapan, kan? Kalau
kamu dah sebutkan sekurangnya beberapa perkara, barulah kamu boleh
sambung dengan perkataan ‘dan sebagainya’. Ini kamu tak bagi jawapan apa pun,
tanpa semena-mena keluar ‘dan sebagainya’! Mana aci!”
Kan tak pasal-pasal
diberi tazkirah percuma, pantang betul Aina bila orang menyalahgunakan bahasa
sesuka hati mereka.Dia memang pembela
sejati Bahasa Melayu yang suatu ketika dulu pernah menjadi lingua franca,
kalau asyik merosakkan bahasa, macam mana hendak memartabatkannya semula?
Sia-sia Aina dapat A1 dalam Bahasa Melayu SPM kalau dia tidak mampu mentarbiah
murid-muridnya ini. Nak jadi guru Bahasa Melayu tak tercapai. Bolehlah,
selit-selit ketika mengajar ekonomi.
“Sorry Cik Aina, saya tak mahir Bahasa
Melayu jadi saya tak tahu pulak tentang itu. Saya ingatkan ini kelas ekonomi,
bukan linguistik. Lain kali saya akan rujuk kamus dewan edisi terbaru sebelum
beri jawapan.” Pecah lagi ketawa mereka sekelas.
Aina mengetap bibirnya
geram. “Oh, kamu nak main-mainkan saya, ya? Baiklah, memandangkan kamu tak
bekerjasama dan saya pun tak dapat menentukan tahap kefahaman kamu sekarang,
saya akan bagi ujian bertulis, baru padan muka kamu kena penat-penat menulis
pulak. Saya dah cuba mudahkan, kamu hanya perlu buka mulut aje. Tapi nampaknya
kamu lebih suka menulis, jadi sila buka buku teks kamu dari muka surat 22
hingga 28, jawab sehingga habis semuanya sebelum waktu berakhir, saya nak kutip
hari ini jugak!”
Enam muka surat dia suruh habiskan dalam masa
yang hanya tinggal setengah jam? Ini boleh dikira penderaan mental! Kenapa tak
suruh habiskan saja semua soalan dalam buku itu?
Danial naik geram. Guru baru ini memang
berani menentangnya. Dah dikenakan begitu pun masih berani membalas balik.
Kalau Cikgu Laura mesti dah lari keluar sambil menangis. Makin penasaran pula
Danial terhadap guru baru ini. Tak padan dengan saiz mini, berani lebih ya?
Pelajar-pelajar itu mengeluh dan kelihatan
bermalas-malasan mengeluarkan alat tulis. Dari ekor mata, Aina dapat melihat
Cam masih bercakap dan bergelak ketawa dengan Danial dan kumpulannya.Aina
hanya membiarkan mereka dan meneruskan sesi ujian itu sehingga tamat masa.
Kalau dilayan sangat, alamatnya cepatlah dia mendapat 36 penyakit kritikal.
Boleh lingkup syarikat insurans.
Bersambung...
*Novel AKU JATUH CINTA akan berada di
pasaran pada Febuari ini! Boleh tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan
autograf & cenderamata. Penulis boleh dihubungi di:
FB:
https://www.facebook.com/anna.nabila.90
Terima
kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.