Home Novel Komedi/Romantik Komedi Memang Dia Orangnya!
Memang Dia Orangnya!
Weeda Airiza
28/12/2013 22:43:12
138,807
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB 24

"NAFIS, jangan buat Zahra macam tu. Tak baik...” Azeem menegur Nafis yang sedang menarik pipi tembam Zahra.

Ikhwan hanya ketawa besar melihat mereka berdua yang sebaya sedang bermain bersama. Mimi pula berada di atas tilam sambil menghisap susu botol di satu sudut ruang tamu. Sesekali Azeem menjeling ke arahnya untuk memantau pergerakan anak kecil itu.

“Aku tengok Nafis macam berkenan saja dengan anak dara aku tu.” Ikhwan berkata sambil tergelak.

Azeem pula hanya menyimpulkan senyuman sebelum membalas, “bolehlah kita jadi besan macam tu. Aku pinang Zahra untuk Nafis sekaranglah, boleh?”

Mereka berdua ketawa besar dengan imaginasi masing-masing. Hujung minggu ini, Azeem mengambil keputusan untuk berehat di rumah ayahnya. Justeru, dia membatalkan hasrat untuk bersama-sama Faiz mengikuti ekspedisi motorsikal.

“Eh, kau tunggu sampai makan tengah hari tahu,” ajak Azeem.

Ikhwan menjeling ke arah jam tangan. Lagi setengah jam menuju ke pukul satu, bermakna sudah hampir sejam dia berada di situ. Lelaki itu sengaja mahu melawat rumah ayah Azeem minggu ini yang sudah selalu dilawatinya.

“Okey, bukan selalu, betul tak? Lagipun aku dah lama tak makan masakan Mak Cik Anis yang sedap tu.” Ikhwan mengusik.

“Masakan Mak Cik Anis ke, masakan Husna?” Azeem membalas usikannya lalu membuatkan Ikhwan tersengih sendiri.

“Hah! Mulalah tu kan nak usik aku. Sepatutnya aku yang usik kau. Ish.” Ikhwan menepuk perlahan bahu Azeem.

Bukannya dia tak kenal Husna. Kadang-kadang peribadi Husna mengingatkannya terhadap arwah isterinya sendiri. Ikhwan hanya tersenyum apabila ingatannya mula menerawang.

“Oh, tadi kau cakap pasal umrah. Sambunglah balik.” Azeem mencelah.

“Ya ALLAH. Nafis dengan Zahra punya pasal, buat aku lupa pula.” Ikhwan ketawa.

“Macam ni... hari tu mak mertua aku cerita pasal kawan dia ada buat pakej umrah. Harga pakej ni termasuk sekali dengan sumbangan untuk sekolah tahfiz. Kawan dia suruh tanya kalau ada sesiapa yang nak ikut pergi.”

Azeem mengangguk. Siapalah yang tidak mahu ke tanah suci Mekah? Di situlah tempat yang paling suci di muka bumi ini. Sementelaah lagi, di situlah terletaknya kaabah yang menjadi pusat kiblat umat Islam di dunia ini.

“Kau nak pergi?” Azeem bertanya kepada Ikhwan.

“Insya-ALLAH. Ada juga terdetik rasa dalam hati. Mak mertua aku dah cakap, dia boleh tolong tengokkan Zahra kalau aku pergi nanti. Itu sebab aku nak tanya kau pula.” Ikhwan berkata.

“Insya-ALLAH. Aku bagitahu kau nanti jawapannya. Bila nak perginya?” Azeem kembali bertanya.

“Bulan Jun.”

“Oh? Lagi tiga bulan ni?”

Ikhwan mengangguk. “Kalau kau okey, bagitahu saja aku. Nanti proses daftar, visa dan sebagainya dia orang yang akan uruskan.”

Azeem berfikir sejenak. Dalam hatinya sudah terdetik jawapannya tetapi dia perlu berbincang dahulu dengan ayahnya.

“Bolehlah kau cari jawapannya di sana...” Ikhwan berkata.

Zahra muncul tiba-tiba di sisi ayahnya. Nafis pula mengikutinya dari arah belakang lalu cuba memanjat ke pangkuan Azeem. Lelaki itu segera mengangkatnya lalu meletakkannya di pangkuan sambil mengusap perlahan kepala anak itu.

“Aik? Jawapan apa?” Azeem mengerutkan dahi.

“Eleh, macamlah aku tak tahu apa yang ada kat dalam kepala kau tu.” Ikhwan sengaja tidak menjawab.

Zahra yang berada di ribanya sudah menguap. Cepat-cepat Ikhwan menutup mulut anaknya yang sudah ternganga luas. Anaknya itu kemudian menggosok matanya.

Ikhwan memandang sekilas ke arah jam dinding. Tengah hari biasanya memang waktu Zahra melelapkan matanya. Dia menepuk perlahan tubuh anaknya.

“Maksud kau?” Azeem bertanya lagi kerana tidak berpuas hati dengan kata-kata Ikhwan.

“Cerita kau dengan Husna.” Ikhwan menjawab dengan nada perlahan, bimbang pula jika didengari oleh Husna.

“Oh... itu...” Azeem mendiamkan diri.

Dalam fikirannya bukan Husna yang muncul, tetapi Hani. Acapkali dia berdoa dan melakukan sunat istikarah untuk menghilangkan perasaan resahnya terhadap Hani tetapi dia semakin pelik apabila gadis itu juga yang selalu diingatinya.

Mungkin pemergian ke tanah suci ini akan menenangkan lagi diri ini. Sebolehnya, Azeem tidak mahu mengganggu perhubungan Hani dan Nazmi. Dia merasakan dia perlu beralah kerana perpisahan mereka dahulu adalah berpunca daripadanya. Azeem tahu, dia perlu membuat keputusan yang nekad supaya fikirannya kembali tenang.

---------------------------------------------------------------------

AKU menyusuri lorong-lorong rak buku di dalam kedai Kinokuniya ini dengan perlahan. Nazmi pula sudah hilang entah ke mana. Terkejut sungguh aku apabila pagi-pagi lagi aku dah terdengar bunyi suaranya di tangga rumah!

Rupa-rupanya bercadang nak ajak aku keluar. Kalau ikut hati, nak saja aku berlingkar dalam selimut seperti selalu yang dilakukan di hujung minggu.

Abang Shazlan ada menghubungi aku malam tadi, mengajak aku untuk datang ke rumahnya. Namun, aku pula masih seperti belum dapat menerima hakikat untuk berjumpa kakak iparku itu.

“Safiya Thihani!”

Azeem! Ya ALLAH! Macam nak tercabut anak mata ini apabila terpandangkan Azeem yang muncul secara tiba-tiba di sebalik rak buku.

“Aaa... awak! Eh, eh! Encik Azeem! Err, apa yang Encik Azeem buat kat sini?”

Erk! Malunya! Berawak-awak pula! Aku menggetus di dalam hati kerana terlepas cakap. Cepat-cepat aku melihat sekeliling. Phew. Nasib baik bayang Nazmi tak kelihatan di mana-mana.

Azeem kelihatan sangat santai dengan seluar jeans biru dan T-shirt berkolar warna hitam. Hmm, ah sudah! Apa pasal leher aku rasa panas saja tiba-tiba?! Jantung macam laju semacam saja? Hoi Safiya! Berhati-hati dengan perasaan kau!

Lelaki itu hanya ketawa kecil sebelum merapati aku dan berkata, “beli bukulah. Takkan beli ayam kot...”

Aku tersengih sedikit. Hampeh! Tanya lagi soalan mengarut. Seketika kemudian, aku ternampak ada seorang gadis merapatinya. Gadis itu hanya memandang aku dengan senyuman. Nampak comel sungguh. Siapa agaknya dia?

“Ah, ini Husna. Husna, ni Cik Hani. Dia klien abang.” Azeem memperkenalkan gadis itu kepada aku.

Husna menghulurkan tangan untuk bersalam. Aku menyambutnya dengan perasaan tidak menentu. Isterinya? Atau adiknya? Aku perasan, Azeem membahasakan dirinya sebagai abang, cuma kesahihan status mereka berdua aku tak dapat nak pastikan.

Yang penting, aku tahu yang aku tengah cemburu sekarang. Oh TUHAN! Kenapa pula nak cemburu tiba-tiba ni? Aku dah ada Nazmi. Biarlah Azeem nak ada Husna sekalipun, betul tak? Hmm! Aku tahu, ni semua kerja pihak ketiga yang nak bagi aku terawang-awang sangat mengikut perasaan, kan?

“Cik Hani seorang saja ke?” Azeem bertanya.

Aku nampak ketika itu Husna mencuit bahunya lalu membisikkan sesuatu sehingga membuatkan Azeem ter-senyum memandangnya. Ah! Tekanan perasaan betullah! Haruslah ada rasa cemburu sikit bila lihat sudah ada perempuan lain di samping bekas kekasih hati.

“Taklah. Saya dengan Nazmi.”

Aku berkata ringkas sambil melihat lenggok Husna yang berbaju kurung dengan lilitan tudung selendang yang diikat kemas itu berlalu pergi. Azeem hanya mengangguk. Seakan-akan mengetahui namanya disebut, Nazmi muncul.

“Eh, kita jumpa lagi?” Nazmi tersenyum lalu menepuk bahu Azeem dengan perlahan.

“Bila siap spa tunang aku tu?” Soalan Nazmi membuatkan aku menajamkan mata ke arahnya.

Aku nampak Azeem tersengih sebelum menjawab, “insya-ALLAH lagi sebulan setengah. Tengoklah kalau tak ada complaintdaripada klien, cepatlah sikit kerja.”

Aku menjegilkan mata pula ke arah Azeem. Cis! Nak mengusik aku pun, biarlah bertempat! Azeem belum kenal siapa Nazmi. Silap cakap, nahas!

“Bukan apa. Dia ni hah, aku ajak kahwin cepat tapi tak nak sebab nak tungguspa tu buka.” Nazmi membuka cerita.

“Eh, you ni...” Aku terus menyikunya, memberikan petanda supaya diam dan jangan cerita apa-apa.

“Apa? Betullah kan sayang? You pilihspa daripada I... kalau boleh, I nak suruh dia siapkanspa you tu secepat mungkin. Lagi cepat, lagi bagus.” Nazmi ketawa.

Aku menelan air liur mendengar apa yang diucapkan Nazmi. Beraninya dia cakap macam tu depan Azeem! Malu pula aku rasa bila aku nampak Azeem hanya menundukkan wajahnya. Siapalah yang tak bosan dan tertekan bila isu hal kerja dibangkitkan, betul tak?

“You ingat dia pakai silap mata ke? Hari ni binaspa, esok terus siap?” Aku menyilangkan tangan sambil membuat muka.

Secara tidak sengaja, mata aku bertentang dengan Azeem. Wajahnya redup, tidak seperti tadi. Ke aku yang perasan? Ah, biarlah. Baik aku cepat-cepat pergi dari sini sebelum gangguan perasan terhimpit oleh dua lelaki ini semakin menjadi-jadi!

“Err... Encik Azeem, saya minta diri dulu ya. Kirim salam dengan hmm siapa tu tadi...” Allahuakbar! Segan pula aku bila sindrom lupa ingatan jarak dekat ni berlaku!

“Husna...” Azeem menjawab.

“Ah, Husna. Eh, jom! Kita dah lambat.” Tanpa sedar, aku cepat-cepat menarik baju Nazmi ke arah pintu keluar. Lega! Satu saja yang aku tak faham sekarang, kenapa kehadiran Azeem selalu buat aku mengalami kecelaruan fikiran?!

Previous: BAB 23
Next: BAB 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.