Home Novel Komedi/Romantik Komedi Calon Suami Buat Novelis
Calon Suami Buat Novelis
Rose Eliza
7/8/2015 23:07:42
33,687
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 8

HAJI Saiful menarik nafas dan melepaskannya ringan. Dia menyandarkan tubuh sambil otaknya ligat memikirkan sesuatu. Entah apa yang sedang difikirkannya itu dia sendiri tidak pasti. Adakah Hadif Asyraf yang sedang difikirkannya?

Haji Saiful bangun dari duduk. Dia menghampiri almari lalu mencapai bingkai gambar yang berada di atas almari itu. Potret keluarga tersemat di dalam bingkai tersebut. Matanya menatap wajah Hazleen dan Hadif silih berganti. Buah hati pengarang jantungnya dan Hajah Halijah selama ini.

Seminit kemudian, disentuh lembut wajah Hazleen buat seketika. Anak sulungnya yang kini berada entah di mana. Puas dia mencari namun pencariannya hanya sia-sia. Anaknya membawa diri entah ke mana. Rasa kesal menghuni di hati ketika ini.

Rasa kesal yang tidak mungkin hilang begitu sahaja. Disebabkan keputusannya yang lepas, Hazleen merana dan Hadif menyimpan perasaan benci terhadapnya. Apa juga keputusan yang dibuat, pasti akan ditentang oleh Hadif. Keputusan dengan menjodohkan Hazleen dengan anak rakan businessnya merupakan satu kesilapan besar yang pernah dilakukan selama 53 tahun dia hidup di bumi Allah.


“LEEN tak setuju!” tegas Hazleen bernada keras.

“Ayah tetap dengan keputusan ayah!” tegas Haji Saiful.

“Kalau Kak Leen tak setuju, ayah tak boleh paksa Kak Leen untuk setuju,” sampuk Hadif. Membela Hazleen.

“Kamu jangan nak masuk campur Hadif. Ini antara ayah dengan kakak kamu.”

“Kak Leen kakak Dif. Sebagai adik, Dif ada hak untuk melindungi Kak Leen.”

“Sudahlah bang. Kita bincang perkara ni kemudian,” celah Hajah Halijah. Tidak mahu anak-beranak itu berbalah sesama sendiri.

“Walau apa pun keputusan ayah, Leen tetap tak setuju. Leen tetap tak nak kahwin dengan pilihan ayah,” tegas Hazleen lalu beredar dari situ. Dengusan kasar terlepas daripada bibir.

“Hazleen! Hazleen!” panggil Haji Saiful. Namun, panggilannya itu tidak bersambut. Hazleen pergi meninggalkan mereka di ruang tamu itu.

“Ayah ni terdesak sangat ke sampai nak kahwinkan Kak Leen dengan anak rakan business ayah tu?” Sinis Hadif bertanya.

“Hadif!” tegur Hajah Halijah. Kurang senang dengan kata-kata Hadif. Sebagai seorang anak, perlulah menghormati ayah walau apa pun yang berlaku.

“Ayah tetap dengan keputusan ayah. Ayah ada hak ke atas Hazleen, Hadif Asyraf,” tegas Haji Saiful lalu beredar dari situ.

Hadif hanya memandang. Dia mendengus kasar. Melepaskan kemarahan.

“Ayah buat macam tu ada sebabnya. Kami nak yang terbaik untuk anak-anak kami,” suara Hajah Halijah turut beredar dari situ.


“TUAN haji!” tegur Wahida dari arah muka pintu bilik.

Haji Saiful tersentak. Lamunannya yang panjang berterbangan entah ke mana. Diseka air mata yang meniti di tubir mata buat seketika. Sejak bila dia menitiskan air mata, dia sendiri tidak pasti. Adakah kerana Hazleen, dia menitiskan air mata?

“Ada apa Wahida?” soal Haji Saiful kemudian.

“Kita ada meeting, tuan haji,” beritahu Wahida.

Haji Saiful memandang jam di dinding. Masa sudah merangkak ke pukul 10.00 pagi. Hampir dia terlupa dengan mesyuarat pengurusan.

“Hampir saya terlupa, Wahida. Terima kasih kerana mengingatkan saya,” suara Haji Saiful bernada perlahan.

“Saya hanya menjalankan tugas tuan haji,” balas Wahida dan keluar dari bilik itu.

Haji Saiful hanya mengangguk dan tersenyum. Setelah menstabilkan emosi, dia mencapai telefon bimbit dan melangkah menuju ke bilik mesyuarat.

Hari ini dia mengadakan mesyuarat bagi membincangkan segala masalah yang dihadapi oleh syarikat. Tidak lupa juga dengan majlis makan malam tahunan bagi syarikatnya.


Selamat bekerja sayang. I miss you!


“WEKKK!!! Nak termuntah aku baca mesej mamat ni. Gila!” kutuk Qaira, meluat. Dia mempamerkan riak geli. Telefon bimbit di tangan dicampak ke atas meja.

“Belum apa-apa lagi dah menggatal,” bebel Qaira pula.

Dia menyandarkan tubuh sambil pandangannya tertumpu kepada siling putih di bilik itu. Otaknya sedang ligat berfikir.

“Betul ke keputusan aku ni?”

Qaira bersoal sendiri. Ingatannya mengimbas semula perancangan yang telah dibuat.

“Kalau aku tak setuju, terpaksalah aku berkenalan dengan calon yang seterusnya. Hisy… tak nak aku.”

Dia menggeleng laju. Sungguh, dia tidak mahu berjumpa dengan calon-calon suami daripada ibunya lagi. Cukuplah dengan apa yang dialami selama ini. Seorang demi seorang calon-calon itu menyusahkan hidupnya.

“Takkan aku nak kahwin dengan mamat tu?” soal Qaira kepada dirinya sendiri. Dia bangun dari duduk menuju ke jendela.

“Tak ada maknanya aku nak kahwin dengan dia. Kenal pun tidak lagi,” jawab Qaira kepada pertanyaannya yang tadi.

“Habis tu? Apa aku nak buat?” keluh Qaira selepas itu.

Hanya dua pilihan sahaja yang dia ada. Bersetuju dengan rancangan Hadif dan berkahwin dengan pemuda itu atau berkenalan dengan calon suami yang seterusnya.

Keluhan dilepaskan untuk kesekian kali. Matanya mengerling jam di pergelangan tangan. Masa sudah menginjak ke pukul 1.00 petang. Ada baiknya dia mengajak Ainul keluar makan tengah hari bersama daripada memikirkan tentang itu.

Tanpa menunggu, dia melangkah keluar dari bilik. Perutnya sudah berkeroncong hebat. Minta diisi. Namun, langkahnya terhenti tatkala telefon bimbitnya berbunyi. Pantas, matanya menatap nama di skrin. Nama Hadif menyapa mata.

“Ada apa?” tanya Qaira, malas sebaik sahaja salam bersambut.

“Lain macam saja bunyi suara kau. Tak suka aku call kau ke?”

“Awak nak apa? Saya tak ada masa la nak layan awak.”

“Kau ni dah nak menopause ke?”

Qaira berkerut dahi.

“Bulan merah?”

“Apa yang awak cakap ni?”

“Selalunya orang yang marah-marah macam kau ni dah nak menopause. Datang bulan. Tentu kau datang bulan, kan?” jelas Hadif lalu ketawa kecil.

“Errr…” Qaira terkedu. Memang dia sedang datang bulan ketika ini.

“Betul, kan?” tanya Hadif masih ketawa.

“Awak nak apa?” tanya Qaira bernada serius. Malas melayan Hadif lagi.

“Aku nak ajak kau dating. Malam nanti aku ambil kau,” beritahu Hadif.

Dating?” ulang Qaira tidak faham.

“Kita kan dalam proses kenal mengenali. So, kena la selalu dating. Kenapa? Kau tak suka keluar dating dengan aku ke? Atau kau takut jatuh cinta dengan kekacakan aku?”

Qaira yang mendengar terbatuk. Dia mempamerkan riak meluat.

“Tia Alisya!” panggil Hadif, lembut.

“Saya ada kerja malam ni. Saya nak siapkan manuskrip saya. Due date dah nak tiba,” beritahu Qaira dan mematikan talian. Nafas lega dilepaskan.

“Kenapa aku boleh terjumpa dengan mamat tu?” luah Qaira, geram.


“KENAPA kau gelak?” tanya Hadif, pelik.

“Aku confused sekejap,” balas Ikhwan.

Confused kenapa?”

“Hadif yang aku kenal sekarang ni dengan Hadif yang aku kenal dahulu.”

Hadif berkerut dahi. Kurang faham.

“Hadif yang dulu, jarang tersenyum. Tapi Hadif yang sekarang, terlebih senyum.”

“Jadi selama ini kau ingat aku susah nak senyum la. Begitu?”

“Bukan macam tu maksud aku. Sejak kes Hazleen, susah aku nak tengok kau tersenyum. Kalau ada pun, senyuman paksa.” Ikhwan menjelaskan maksud kata-katanya sebentar tadi.

Hadif cuba menerima penjelasan Ikhwan. Sedikit sebanyak ada benarnya.

“Sekarang ni aku tengok kau ceria. Happy. Sebab apa?” suara Ikhwan seraya memandang wajah Hadif.

Hadif menyandarkan tubuh ke kerusi. Dia membalas pandangan Ikhwan.

“Sebab apa?”

“Tak ada sebab apa. Aku yang nak berubah. Lagipun, buat apa aku nak kenangkan perkara yang dah lepas. Tak boleh ubah apa-apa pun.”

Ikhwan hanya mendengar.

“Aku kena ikhlas dengan apa yang terjadi. Takdir Allah, hidup Hazleen macam tu.”

“Baguslah kalau kau dah fikir macam tu. Yang penting, kita doakan kebahagiaan Hazleen walau di mana pun dia berada.”

Hadif mengangguk faham. Nafas dihela ringan.

“Kau masih nak teruskan rancangan kau tu ke?” tanya Ikhwan sekadar ingin tahu.

“Kenapa?” tanya Hadif pula.

“Aku tanya saja.”

“Aku nak kahwin dengan dia.”

“Kahwin? Kau biar betul Dif?”

“Aku dah buat keputusan. Aku nak kahwin dengan dia.”

“Kau ingat kahwin ni boleh dibuat main-main ke?”

“Aku serius. Aku nak kahwin dengan dia.” Hadif bertegas untuk kali yang ketiga.

Tersandar Ikhwan mendengar keputusan Hadif. Kenapa dengan Hadif?

“Aku rasa aku serasi dengan dia.”

“Dif, berkahwin bukan hanya disebabkan serasi.”

“Aku tak nak umi dan ayah aku carikan calon untuk aku.”

“Aku tahu. Tapi, jangan jadikan alasan dan sebab tu untuk kau berkahwin. Kau berkahwin kerana terpaksa dan bukannya ikhlas kerana Allah,” tegur Ikhwan bernada serius.

Hadif tidak membalas. Dia menunduk memandang gelas minuman sambil jemarinya bermain dengan straw minuman.

“Maksud perkahwinan itu ialah akad yang menghalalkan di antara lelaki dengan perempuan hidup bersama dan menetapkan tiap-tiap pihak daripada mereka hak-hak dan tanggungjawab. Dalam erti kata yang lain, suatu akad yang menghalalkan persetubuhan dengan sebab perkataan yang mengandungi lafaz nikah, perkahwinan dan sebagainya.”

“Di dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menyebut mengenai pensyariatan perkahwinan dianjurkan secara langsung atau tidak langsung kepada manusia sesuai dengan tuntutan fitrah semulajadinya. Kau boleh rujuk sendiri dengan apa yang aku cakapkan ni,” terang Ikhwan, panjang lebar. Matanya memandang wajah Hadif.

“Sekurang-kurangnya kami dapat mengelak daripada maksiat dan fitnah,” ujar Hadif seraya mengangkat wajah.

“Ya, betul. Kau dan dia boleh hindari daripada maksiat dan fitnah. Kalau perkahwinan tu atas dasar paksaan, tak mustahil perkara yang tidak diingini akan berlaku.”

Hadif termati kata-kata. Air minuman diteguk perlahan.

“Kau dah bersedia nak pikul tanggungjawab sebagai seorang suami? Kau dah bersedia nak jadi imam kepada dia?” soal Ikhwan sekadar ingin tahu.

“Aku….”

“Aku cuma nasihatkan kau saja. Terpulang pada kau nak terima ataupun tidak. Lagipun, itu masa depan kau. Hak kau. Kalau kau dah bersedia dari segi rohani dan jasmani. Bersedia nak jadi imam dalam keluarga kau. Bersedia nak bimbing dia ke arah yang diredai Allah, aku tak ada halangan. Aku akan sokong kau sebagai seorang kawan rapat,” kata Ikhwan lagi. Senyuman menghiasi bibir.

Bukannya dia tidak sokong. Hadif perlu memikirkan dari segala aspek. Cukupkan ilmu di dada sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

Hadif hanya membisu. Ada benarnya kata-kata Ikhwan itu. Ada baiknya dia mengenali Qaira lebih mendalam serta mendalami ilmu agama dan perkahwinan. Mungkin dari situ, dia dapat membuat keputusan sama ada untuk meneruskan rancangan perkahwinan mereka ataupun tidak.

“Aku sedar yang aku terburu-buru dalam membuat keputusan,” akui Hadif, perlahan.

“Aku tahu, Dif. Kau belum ikhlas menerima takdir yang telah Allah tetapkan terhadap Hazleen. Kau masih menyimpan rasa kecewa terhadap ayah kau.”

Hadif menunduk. Itulah hakikat yang sebenar. Dia masih belum ikhlas memaafkan kesalahan Haji Saiful. Masih menyimpan perasaan kecewa. Walaupun di mulut dia mengatakan ikhlas tetapi di hati. Sukar untuk mengikhlaskan sekali gus memaafkan.

“Setiap dari kita dah ditetapkan pasangan masing-masing. Jodoh itu rahsia Allah dan kita tak tahu siapa jodoh kita. Ada orang tu, bercinta bagai nak rak. Belum tentu mereka akan berkahwin di pengakhirannya. Hanya Allah yang tahu semua tu, Dif.”

Hadif sekadar mengangguk. Bersetuju dengan kata-kata Ikhwan.

“Kalau dah tertulis di Luh Mahfuz yang kau dan dia berjodoh, walau macam mana halangan sekalipun, kau dan dia tetap akan bersatu dan bersama. Percayalah cakap aku, Dif.”

“Aku percaya Wan,” balas Hadif lalu tersenyum.

Percaya! Ya dia percaya dengan kata-kata Ikhwan. Kawannya seorang yang rajin membaca dan mentelaah ilmu-ilmu agama. Jika nak dibandingkan dia dengan Ikhwan, bagai langit dengan bumi. Ikhwan memiliki peribadi yang baik. Ilmu yang tinggi. Dia seorang yang cetek ilmu terutama sekali dalam soal agama.

Rasa kerdil bila berhadapan dengan Ikhwan. Tidak mustahil Ikhwan boleh menerima jodoh yang telah ditetapkan oleh keluarganya. Hanya ucapan terima kasih yang mampu diberikan kepada Ikhwan atas segala-galanya.


“AIRA tak nak la ibu,” tegas Qaira.

“Ibu tetap nak Aira berkenalan dengan dia,” tegas Puan Noraini dari hujung talian.

Qaira mengeluh berat. Dia menghentikan langkah dan duduk di kerusi yang terdapat di pasaraya itu.

“Mereka tu pernah berjiran dengan kita masa di Ampang dulu. Ayah dan ibu dah kenal dengan mereka,” beritahu Puan Noraini.

“Ayah dan ibu yang kenal. Bukan Aira,” tukas Qaira, berbisik.

“Masa tu Aira kecik lagi. Bila Aira umur lapan tahun, mereka berpindah ke tempat lain. Tak lama lepas tu, kita pulak berpindah ke Shah Alam. Dia sebaya dengan Aira.”

Qaira hanya mendengar. Tidak berniat untuk membalas.

“Aira kenal dulu dengan dia. Kemudian, Aira buat keputusan. Ibu janji, lepas calon ni, ibu takkan kenalkan Aira dengan mana-mana calon lagi,” janji Puan Noraini.

Qaira mengeluh untuk kesekian kali.

“Aira!” panggil Puan Noraini.

“Ya, ibu. Aira ada ni,” balas Qaira, lemah.

“Setuju tak?” tanya Puan Noraini, lembut.

“Kalau Aira tak setuju?” Qaira sekadar bertanya.

“Aira kenal dulu. Bila dah kenal, Aira buat keputusan.”

“Kalau keputusan Aira tu ibu tak setuju macam mana?”

Puan Noraini menghela nafas ringan.

“Kalau Aira dah ada pilihan sendiri macam mana?”

“Pilihan sendiri? Siapa?” soal Puan Noraini sedikit terkejut.

“Kalau. Kan Aira kata tadi ‘kalau’.”

“Oh, kalau!”

“Macam mana ibu?”

“Bawa jumpa dengan ibu dan ayah.”

Qaira tidak membalas. Otaknya sedang memikirkan sesuatu.

“Walau apa pun, ibu tetap nak Aira kenal dengan calon ibu tu.” Puan Noraini berkata tegas. Masih dengan keputusannya.

“Tapi…”

“Kenal dulu. Kemudian baru buat keputusan,” tegas Puan Noraini lalu mematikan talian. Nafas dihela ringan.

Qaira sedikit tergamam. Keputusan Puan Noraini sukar untuk ditolak. Sudah lapan calon yang telah diperkenalkan oleh Puan Noraini. Satu pun tidak memikat hatinya. Masuk kali ini adalah calon yang ke sembilan. Adakah calon yang ke sembilan ini nanti berjaya memikat hatinya?

“Entahlah! Aku dah malas nak fikir tentang tu,” keluh Qaira sendirian.

Mungkin dia perlu memikirkan rancangan Hadif semula. Berkenalan, berkawan, bercinta, berkahwin dan bahagia. Berkahwin? Hati Qaira mengulangi ayat itu.

“Assalamualaikum!” tegur seseorang, tiba-tiba.

Qaira tersentak. Dihalakan mata ke arah suara yang menegur. Serta-merta dia berdiri lalu memandang wajah di hadapannya itu.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.