Home Novel Komedi/Romantik Komedi Calon Suami Buat Novelis
Calon Suami Buat Novelis
Rose Eliza
7/8/2015 23:07:42
33,687
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 1

“AKU terima nikahnya Qaira Nur Imani Binti Qamil dengan mas kahwin tiga ratus ringgit tunai,” sambut pengantin lelaki selafaz.

“Sah?” tanya tok kadi yang bernama Imam Mahathir.

“Sah!” sahut beberapa orang saksi.

“Alhamdulillah!” ucap Imam Mahathir sekaligus membaca doa.

Tetamu-tetamu yang berada di situ turut sama menadah tangan dan mengaminkan doa. Senyuman terukir di bibir masing-masing.

Usai berdoa, pengantin lelaki bingkas bangun dari duduk. Dia melangkah menuju ke arah Qaira yang sedang duduk bersimpuh di sisi keluarga. Nafas ditarik dan melepaskannya ringan. Misinya untuk memperisterikan Qaira Nur Imani, gadis yang diidamkannya selama ini berjaya. Tidak menyangka semudah itu dia berjaya memikat hati Qaira Nur Imani.

Qaira berdebar-debar. Semakin pengantin lelaki menghampiri semakin laju jantungnya berdetak. Belum pernah lagi dia melihat wajah pengantin lelaki. Dia juga tidak mengenali siapa bakal suaminya. Semua itu diatur oleh keluarganya dan dia menerima seikhlas hati perkahwinan ini.

“Aira jari!” suruh Lija, tiba-tiba.

Qaira tersentak. Dihulurkan jari manis ke arah pengantin lelaki. Sebentuk cincin pengikat kasih tersemat indah di jari manisnya. Kemudian, huluran tangan suaminya disambut lalu mencium lembut tangan itu. Hatinya berkira-kira untuk mengangkat wajah. Malu untuk menatap wajah suami.

“Terima kasih kerana sudi menjadi isteri abang,” ucap pengantin lelaki. Dahi Qaira dikucup lembut. Dia tersenyum buat seketika.

Qaira mengangkat wajah. Buntang matanya melihat wajah di hadapannya itu.

“Hai sayang!” suara suaminya lalu tersengih.

“Tidak!!!” jerit Qaira bingkas bangun. Sungguh, dia terkejut melihat wajah lelaki itu. Bertambah terkejut melihat gigi lelaki itu yang rongak dan berlubang.

“Tidak! Tidak!” Qaira menjerit buat kali yang kedua.

“Aduh!” rengek Qaira kemudian. Pantas, dia membuka mata. Melilau matanya melihat keadaan sekeliling. Adakah dia di majlis perkahwinan atau di tempat lain?

“Hahahaha…” gelak Lija, tiba-tiba.

Qaira terkejut. Dihalakan mata ke arah suara ketawa.

“Kau ni dah kenapa sampai cium lantai bagai. Kau mimpikan apa?” tegur Lija seraya melangkah menghampiri Qaira.

Qaira tidak membalas. Dia bangun dari jatuhan dan mengusap punggungnya yang terasa sakit.

“Kau mimpikan hero-hero ciptaan kau tu ke? Hero yang mana satu yang kau mimpi kali ni?” tanya Lija pula. Berminat untuk tahu.

“Hero rongak!” balas Qaira, geram.

“Rongak?” ulang Lija, berkerut dahi.

“Mamat rongak tu la!”

“Maksud kau, Kamal rongak?”

“Huh! Kacau daun betul. Punya la best mimpi aku ni. Bukan senang aku nak mimpi kahwin kau tahu tak?”

Lija yang mendengar ketawa besar. Kepala menggeleng kecil.

“Ingatkan handsome la suami aku tu. Tup-tup keluar muka Kamal rongak. Langkah seribu aku bagi. Kalah Michael Jordan.”

Semakin galak Lija ketawa. Wajah tegang Qaira ditatap.

“Buang karan betul!” geram Qaira lagi.

“Siapa suruh tidur tengah hari rembang macam ni? Kan dah mimpi Kamal rongak.”

Qaira mendengus kasar. Dia bersandar di sofa. Jam di dinding dikerling buat seketika. Masa baru merangkak ke pukul satu petang.

“Kau keluar tak hari ni?”

Qaira berfikir sejenak.

“Kalau kau tak keluar, aku nak keluar sekejap. Nak beli barang sikit.”

“Aku ada date!”

Date? Dengan siapa? Kau tak beritahu aku pun yang kau ada date.”

“Ibu aku tu la. Tak habis-habis nak cari calon suami untuk aku. Naik bosan aku kau tahu tak,” beritahu Qaira mengeluh ringan.

“Oh!” sambut Lija, sepatah.

“Kau nak keluar pukul berapa?” tanya Qaira seraya memandang ke wajah Lija.

Lija hanya membisu. Otaknya sedang ligat berfikir.

“Wei mak cik! Kau nak keluar pukul berapa?” tegur Qaira, keras.

“Haaa… apa… apa… Kau jatuh dalam longkang,” latah Lija, terkejut.

Qaira ketawa melihat tingkah laku Lija. Tidak menyangka Lija akan melatah.

“Kau ni Aira. Aku sekeh baru tau,” geram Lija sambil mengurut dada.

Qaira masih lagi ketawa. Tidak diendahkan kemarahan Lija.

“Kau nak keluar pukul berapa?” ulang Qaira pada pertanyaannya tadi.

“Tak jadi!” jawab Lija masih meredakan diri sendiri.

“Tak jadi? Kenapa pulak?”

“Aku nak ikut kau dating sama. Boleh tak?”

What?!”

“Ala, bolehlah! Aku nak juga tengok calon suami yang ibu kau cadangkan tu.”

“Eh, mana boleh!”

“Apasal pulak tak boleh?”

“Nanti kau berkenan pulak dengan dia kalau dia handsome. Tak boleh! Tak boleh! Tak boleh!” tegas Qaira sambil menggeleng.

“Ala… bolehlah Aira. Aku janji tak mengorat calon suami kau tu,” janji Lija sambil mengangkat tangan. Lagak seperti orang memberi sumpah sahaja.

No! Muktamad!” tolak Qaira bingkas bangun.

“Bolehlah Aira!” pujuk Lija lagi.

No way!” putus Qaira lalu beredar dari situ.

“Aira! Aira!” panggil Lija. Namun panggilannya itu tidak bersambut. Kelibat Qaira sudah pun menghilang di sebalik pintu bilik.

“Ah! Aku peduli apa. Aku tetap nak ikut!” putus Lija berlalu ke bilik.


“YALAH ibu. Kalau ibu tak percaya, ibu datang la sini,” kata Qaira berserta nafas ringan.

“Ibu tetap tak percaya,” tukas Puan Noraini pula.

Qaira mengeluh untuk kesekian kali.

“Aira tu suka main-mainkan ibu.”

“Kalau ibu tak percaya, ibu tanya Lija. Dia ada kat sebelah Aira.”

“Lija? Lija ikut sekali ke?”

“A’ah!”

“Kan ibu dah pesan, datang seorang diri. Degil!”

Qaira ketawa kecil.

“Melencong entah ke mana la tu. Perginya tidak nanti. Percayalah cakap ibu ni.”

“Ibu, ada gunanya Lija ni. Dibuatnya calon ibu tu ada masalah mental, naya Aira nanti. Tak pasal-pasal keluar muka hadapan surat khabar ‘Gadis Diculik atau dibunuh oleh Pesakit Mental’. Siapa yang susah? Ibu juga, kan?” terang Qaira bernada serius.

“Hisy.... ada ke cakap macam tu,” tegur Puan Noraini kurang senang.

Qaira tersengih. Kepala yang tidak gatal digaru.

“Calon ibu tu orang baik-baik. Anak Haji Mahadi, tok imam kat masjid sini.”

“Haji Mahadi? Tok imam? Yang mana satu?”

“Tok imam masjid tepi jalan tu.”

“Oh, tok imam tu. Aira ingatkan tok imam dalam novel Aira tu.”

“Qaira Nur Imani!” tegur Puan Noraini sedikit meninggi.

Sorrysorry. Janganlah marah ibu. Aira main-main saja,” pujuk Qaira, lembut.

“Suka main-mainkan ibu.”

Qaira ketawa kecil dan tersengih. Matanya terpandang Lija yang baru keluar dari tandas. Berkerut wajah kawan baiknya itu.

“Okeylah ibu. Aira letak dulu. Aira dah nampak calon ibu tu.”

“Hurm… ingat pesanan ibu ni. Jangan nak kenakan orang lagi.”

“Yalah, ibu. Tapi, boleh tahan calon ibu ni. Dari belakang tengok macam Hafizi, hero Aira dalam Cinta Encik Jutawan. Bila dekat, nampak macam Aeril, hero My Best Husband!” beritahu Qaira sambil matanya tertancap ke susuk tubuh yang membelakanginya.

“Ini bukan novel Qaira Nur Imani. Ini realiti!” geram Puan Noraini.

“Okey… okey! Aira pergi jumpa calon ibu tu ya. Senyum sikit!” balas Qaira lalu tersenyum. Dikerling Lija yang sudah pun berada di sisi.

“Ingat Aira! Jangan nak kenakan budak tu pulak,” amaran Puan Noraini.

Yes madam!”

Qaira menyahut sambil mengangkat tangan kanan. Seperti memberi tabik hormat kepada ketua. Seminit kemudian, dia mematikan talian. Nafas ditarik dan dilepaskan ringan.

“Apa kes?” soal Lija, berminat.

“Kes biasa!” jawab Qaira lalu tersenyum.

“Ibu takut kau buat hal la tu.”

“Ala… biasalah. Itulah cara untuk aku mengelak daripada berjumpa dengan calon-calon tu semua.”

“Sampai bila kau nak mengelak? Lambat laun, kau kena juga pilih salah seorang daripada calon yang ibu kau kenalkan.”

Qaira tidak membalas. Kata-kata Lija cuba dihadam.

“Mana dia?” tanya Lija sambil melilaukan mata.

Qaira mendiamkan diri. Otaknya sedang memikirkan sesuatu.

“Aira, itu ke dia?”

Lija bertanya buat kali yang kedua. Ditunjuk ke arah seorang pemuda yang sedang duduk membelakangi mereka berdua.

“Haaa!!!” sebut Qaira, tiba-tiba.

“Opocot kau jatuh tergolek!” latah Lija sambil melompat.

Qaira yang melihat membesarkan mata. Terkejut melihat tingkah laku Lija sebentar tadi. Terlepas ketawa daripada bibirnya.

“Aira!!!” tegur Lija, keras.

Sorry la beb. Aku tak sengaja,” kesal Qaira lalu tersengih.

Lija mengurut dada. Wajah Qaira dipandang tajam.

“Kau ni baru sergah sikit dah nak melatah. Ntah apa-apa ntah,” kutuk Qaira, selamba.

Lija tidak membalas. Dia masih mengurut dada yang berdegup pantas.

“Hurm… macam menarik dan tertarik saja,” beritahu Qaira.

“Siapa? Siapa?” tanya Lija, berminat.

Qaira hanya tersenyum. Dia melangkah menghampiri pemuda yang sedang duduk sambil meneguk minuman.

“Hai!” tegur Qaira daripada belakang.

Pemuda yang bernama Sharmin itu terkejut. Tersembur air yang baru diteguk.

Qaira yang melihat ketawa. Geli hati melihat tingkah laku pemuda itu.

“Qaira!” tegur Lija pula sedikit geram.

Qaira tersengih. Dia melabuhkan duduk di kerusi berhadapan dengan Sharmin.

“Hai!” tegur Qaira kemudian.

Sharmin tidak membalas. Dia mencapai tisu lalu mengelap mulut yang sedikit kotor.

“Dah lama tunggu?” tanya Qaira dalam nada sengau.

Lija yang mendengar menahan ketawa. Dia melabuhkan duduk di sisi Qaira.

“Saya Qaira Nur Imani. Awak anak tok imam Haji Mahadi, kan?”

Lija menyiku lengan Qaira. Masih cuba menahan ketawa tatkala mendengar suara sengau Qaira. Pasti Qaira sedang berlakon ketika ini.

Sharmin hanya memandang. Kelu lidahnya untuk bersuara. Rasa terkejut mengenali Qaira Nur Imani. Berbeza dengan apa yang diketahui daripada ayahnya.

“Kenapa diam ni? Suara saya sedap sangat ke?”

“Haa… tak ada.”

Qaira menahan ketawa. Riak di wajah Sharmin diperhati dalam diam.

“Awak….”

“Kenapa? Awak terkejut sebab suara saya sengau ke?”

Sharmin sekadar mengangguk.

“Ala… biasalah tu. Kan kita nak dijodohkan. Mestilah cakap yang baik-baik saja.”

“Tapi…”

“Saya mintak diri dulu. Bye!” ujar Qaira bingkas bangun dari duduk.

Lija turut bertingkah laku yang sama. Dia mengekori Qaira daripada belakang.

“Aaaa…. Aaawakk!!” panggil Sharmin.

Qaira tidak mengendahkan panggilan Sharmin. Dia melangkah keluar dari dalam restoran. Seminit kemudian, pecah ketawanya itu. Ketawa yang ditahan-tahan sejak dari tadi.

Lija turut sama melepaskan ketawa. Kepala menggeleng memikirkan tindakan Qaira.

“Mampus kalau ibu aku tahu,” ujar Qaira masih ketawa.

“Kau tengok tak muka dia tadi? Macam nak terkeluar bijik mata dia disebabkan terkejut,” kata Lija sambil menekan perut. Geli hati!

Qaira hanya ketawa. Dia turut sama menggeleng mengenangkan tindakannya tadi.

“Eh… kejap… kejap.”

Qaira mematikan ketawa. Berkerut dahinya memandang Lija.

“Bukan ke part tadi macam dalam novel….”

“Dia, My Wife!” sahut Qaira.

“Haaa… kau ni Aira. Pandai betul!” puji Lija, menggeleng.

Qaira tersengih. Ingatannya mengimbas semula jalan cerita dalam novelnya yang bertajuk ‘Dia, My Wife!’. Apa yang sedang dilakukannya ketika ini sama seperti satu babak di dalam novelnya.

So, nak ke mana?” tanya Lija ingin tahu.

“Pantai!” jawab Qaira, laju.


“QAIRA ni memang nak kena betul,” geram Puan Noraini.

Telefon bimbit di tangan digenggam erat. Sakit hatinya selepas mendapat tahu tentang Qaira daripada Haji Mahadi.

“Buat malu saja dengan Haji Mahadi tu,” sambung Puan Noraini lagi.

“Hai, yang awak membebel seorang-seorang ni kenapa? Awak bebelkan apa?” tegur Encik Qamil dari arah belakang.

Puan Noraini terkejut. Diurut dada yang berdegup kencang.

Sorry! Abang tak sengaja,” ujar Encik Qamil, kesal.

Puan Noraini tidak membalas. Wajah Encik Qamil ditatap dengan pandangan tajam.

“Awak bebelkan apa?”

“Anak kesayangan awak tu la. Buat hal lagi.”

“Anak saya? Siapa anak saya?”

Encik Qamil mengusik. Wajah isterinya ditatap kasih.

“Awak jangan nak bergurau pulak Encik Qamil. Puan Noraini tengah marah.”

Encik Qamil yang mendengar ketawa. Matanya masih menatap wajah Puan Noraini.

“Anak awak tu buat hal lagi. Anak awak berlakon sengaukan suara. Terkejut budak Sharmin tu. Tak pasal-pasal saya kena explain dengan Haji Mahadi,” terang Puan Noraini dalam nada geram. Dengusan kasar terlepas daripada bibir.

Semakin galak Encik Qamil ketawa. Kepala menggeleng mendengar tentang Qaira.

“Abang!”

“Dia, My Wife!”

“Apa yang Dia, My Wife?”

“Novel anak awak la. Kan ada part tu dalam novel.”

Puan Noraini berfikir sejenak. Otaknya cuba mengimbas isi kandungan di dalam novel Dia, My Wife!.

“Yang awak sibuk-sibuk nak kenenkan dia dengan anak Haji Mahadi tu kenapa? Awak sendiri dah tahu perangai anak awak tu macam mana. Yang awak buat juga tu kenapa?” soal Encik Qamil, menggeleng.

“Kalau saya tak buat macam tu, sampai bila-bila pun anak kita tu tak kahwin. Umur makin meningkat. Entah apa yang difikirkan Qaira tu pun saya tak tahu. Itu tak kena. Ini tak kena. Lelaki macam mana lagi yang dia nak?” bebel Puan Noraini.

“Macam hero dalam novel dia la. Awak ni, Ani. Itu pun tak tahu.”

Selamba Encik Qamil menjawab. Dia segera beredar dari ruang tamu menuju ke bilik. Kepala menggeleng mengenangkan tindakan Puan Noraini. Selama ini, bukannya dia tidak tahu tindakan Puan Noraini. Masuk yang ke lima kali Puan Noraini merancang namun, satu pun rancangan tidak berjaya. Qaira masih lagi mengelak untuk dijodohkan.

Puan Noraini hanya memandang. Sakit hatinya mendengar jawapan daripada suaminya itu. Nafas ditarik dan melepaskannya ringan. Cara apa lagi yang perlu dilakukan supaya Qaira berkahwin? Perlukah dia mengatur perkahwinan tanpa pengetahuan Qaira seperti yang digambarkan dalam novel? Atau dalam erti kata lain, kahwin paksa!

“Novel? Kahwin paksa?” sebut Puan Noraini, berkerut dahi.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.