Home Novel Komedi/Romantik Komedi GILA TAK RINDU
GILA TAK RINDU
muRni aQiLa
6/4/2015 12:32:50
106,577
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 13

"TAK guna punya perempuan! Tak guna!” Adib terpekik. Dia menendang angin. Nafasnya tercungap kerana menahan marah. Di tengah-tengah jalan itu, dia bercekak pinggang. Geram dan panas hati! Kereta Nomi sudah lesap. Kalau tak, aku tendang kereta dia sampai kemek.

“Bang!”

Adib berpaling ke arah seorang lelaki antara yang beramai-ramai mengerumuni parit melihat motosikalnya. Lelaki itu menghampirinya.

“Bang... habis motor abang saya tengok. Total lost!” komen lelaki itu.

“Memanglah! Kalau dah berendam dalam air macam tu, memang takkan boleh selamat lagi dah,” ujar Adib dengan suara marah.

“Habis tu, takkan abang nak lepaskan perempuan tu macam tu je? Kalau saya, bang... jangan haraplah. Orang macam tu, kita kena ajar!” Lelaki itu jadi batu api.

Makin panas hati Adib. Betul jugak cakap budak ni. Takkan aku nak biarkan Nomi macam tu je. Sekurang-kurangnya, aku kena minta ganti rugi! Biar padan muka dia!

“Abang jangan risau. Benda ni kalau naik court pun abang boleh menang. Sebab saya kebetulan tadi ada rakam video dia langgar motor abang.” Lelaki itu menunjukkan telefon bimbitnya.

“Betul ke?” Muka Adib berubah ceria.

Lelaki itu mengangguk, lalu menunjukkan rakaman video itu pada Adib.

Eh, ehh... baik pulak budak ni. Senyuman Adib terukir. Dia menonton rakaman itu. Cukup untuk dijadikan bukti. Cukup untuk membuktikan Nomi pesalah dan pembuli jalan raya! Biar dia masuk lokap. Padan muka dia!

Baru dia teringat yang Nomi ada memberinya nombor telefon. Dia mengeluarkantelefon bimbit dari poket seluar dan mendail nombor telefon Nomi. Tak berjawab. Dia mendail lagi. Agak lama barulah panggilannya bersambut.

“Helo...”

Adib senyum sinis mendengar suara Nomi. “Lebih baik awak menyerah!” Dia memberi amaran.

“Siapa ni?” Nomi pelik. Tiba-tiba je cakap macam tu.

“Jangan nak pura-pura tanya. Dah langgar motor orang, main blah macam tu je! Cantik muka?” Adib menyindir.

“Dah awak yang salah, nak salahkan orang pulak. Lain kali jaga motor tu elok-elok! Jangan tunjuk sangat kebodohan sendiri kat orang!” Nomi langsung tak gentar berdepan dengan Adib yang bersuara garang itu.

“Oh... kebodohan ya? Okey, kita tengok siapa yang bodoh sebenarnya. Saya dah dapat rakaman video awak langgar motor saya. Kita jumpa kat court!” ugut Adib pula.

“Elehh... nak ugut-ugut. Blahlah!”

“Okey! Tak nak bertanggungjawab tak apa. Sekarang jugak saya upload rakaman video tu dalam Youtube!”

“Hah?!” Mata Nomi terbeliak. Jadi, Adib betul-betul ada video tu? Dia yang sedang memandu terus jadi tak keruan.

“Yes, Cik Nomi. Rakaman video. Ada orang rakam awak langgar motor saya! Orang tu sekarang ada depan saya.” Adib mengerling lelaki itu yang berdiri di hadapannya.

Lelaki itu senyum bangga sambil menunjukkan ibu jari.

“Oh... berani nak kelentong saya. Ingat saya bongok macam awak? Awak dengan lelaki tu... dua-dua saya tumbuk!” Nomi masih tak mahu percaya. Si ketam ni saja nak gertak.

“Okey! Kalau macam tu... see you in court!” tegas Adib, tak mahu lagi berlembut walaupun Nomi tu perempuan.

“Eh, eh, ehh...” Nomi menggelabah. Adib memang betul-betul ada rakaman video tu! “Okey, okey... kita jangan panjang-panjangkan cerita. Ni benda kecik je pun.” Dia ketawa, konon-konon kelakar. Kalau hal ni dah dibawa ke mahkamah, kucar-kacir hidupnya nanti. Lebih baik selesaikan secara budi bicara.

“Kecik awak kata?” berang Adib datang semula. “Kalau awak tak datang kat sini balik dalam masa 10 minit, nanti awak tahulah kecik atau besar dunia ni. Faham?!” Terus dia mematikan talian. Dia mendengus. Geram betul dia dengan Nomi. Suka cari pasal betul perempuan ni!

Nomi mencampak telefon bimbitnya ke kerusi sebelah. Geram! “Apa yang dikecohkan entah. Benda kecik macam ni pun nak kecoh satu dunia. Kalau motor tu dah masuk dalam parit, keluarkan jelah. Apa yang kecoh sangat? Kalau basah, keringkan jelah! Dah kering, eloklah balik. Itu pun nak kecoh!”

Amboi, senang betul si Nomi ni kalau bercakap. Dia tak tahu kalau kenderaan bermotor sudah berendam dalam air, kena buat overhaul. Banyak makan kos. Selepas buat overhaul pun belum tentu boleh berfungsi dengan baik. Mesti banyak komponen yang rosak.

“Dahlah bagi aku masa 10 minit je! Aku nak cari U-turn ni pun tak tahu kat mana. Eii... menyusahkan orang betullah dia ni!” Nomi membebel-bebel.

Sepanjang jalan, dia membebel-bebel marahkan Adib. Sehinggalah akhirnya dia sampai di restoran itu. Masih ramai yang menyibuk di situ. Dilihat Adib sedang menunggu bersama seorang lelaki.

Adib tersenyum kemenangan. Dia berjaya membuatkan Nomi tunduk pada perintahnya.

Nomi memberhentikan kereta di tepi jalan sebelum keluar. Di sisi pintu kereta, dia berdiri. Dilihat sebuah lori penunda sudah berada di situ. Dapat dilihat juga motosikal Adib terhampar di atas jalan. Basah kuyup. Dah macam kain buruk dia tengok. Dia menutup hidung. Mesti busuk. Eeuww...

Adib perhatikan Nomi dari jauh sambil cuba menyabarkan hati. Geram betul aku dengan perangai perempuan macam ni! Siap kau kejap lagi!

“Bang...”

Adib menoleh. Lelaki tadi itu kemudian menadah tangan.

Adib pelik. “Apasal?”

“100, bang. Kalau abang nak rakaman ni, bagi 100 dulu. Kita settle kat sini je.” Lelaki yang tinggi kurus itu beriak serius.

“Eh, kau ni! Ingatkan betul-betul nak tolong aku.” Adib bertambah-tambah panas hati.

“Saya tolonglah ni, bang. Saya minta 100 je. Bukan sejuta. Benda ni penting, abang tahu tak? Macam-macam abang boleh claim nanti. Jangan nak berkira sangatlah, bang. Kalau tak nak, tak apa. Saya tak rugi apa-apa pun...” Selamba lelaki itu jual mahal. Dia tahu, Adib pasti mahukan rakaman itu.

“Kau ni kan...” Adib mendengus.


MUJUR bengkel itu masih dibuka walau sudah hampir jam 10.00 malam. Motosikal Adib tegak berdiri dalam keadaan hodoh di dalam bengkel itu. Tauke bengkel berdiri bercekak pinggang. Adib sekejap-sekejap menggaru kepala dengan muka keresahan. Nomi berwajah monyok. Ketiga-tiga mereka merenung motosikal itu.

“Teruklah ini macam,” komen tauke bengkel itu sambil menggeleng-geleng melihat motosikal Adib.

Mahunya tak teruk? Sudahlah basah kuyup bau busuk, tempat pemegang motor bengkok, tayar depan pun bengkok, calar sana sini, cermin sisi kiri dan kanan patah. Nombor plat depan dan belakang patah... pendek kata jahanamlah!

“Ada orang langgarlah, tauke. Dia punya mata bukan macam kita. Dia punya mata, dia kasi letak kat lutut. Itu pasal jadi ini macam. Dia langgar motor saya sampai tergolek, jatuh masuk parit.” Adib bercakap dengan loghat Cina sambil mengerling Nomi.

Nomi tunjuk muka meluat kena perli. Sakit hati!

“Ini bukan jatuh biasa punya.Dia jatuh tergolek, lepas tu terseret dinding parit punya jatuh.Ni overhaul, mahu tukar barang, spare part... mahu bikin betul-betul punya, banyak lama ma.”

Dengar perkataan ‘banyak lama’, Adib rasa tak senang hati. “Berapa lama, tauke?”

“Paling cepat pun dua minggu lebih ini macam. Spare partkalau ada semua,boleh kasi cepat siap.” Lelaki berbangsa Cina itu memberitahu dengan pelat.

“Tak apa, tak apa... janji siap hah, tauke. Spare part kasi original punya. Semua yang mahal. Kasi tip top! Tak apa. Ini orang dia banyak wang.” Adib tunjuk Nomi yang sejak tadi berada di situ sambil berpeluk tubuh.

Terbeliak mata Nomi ketika ini. Amboi kau! Nak spare part semua original. Ni dah kira nak mengikis aku dah ni!

“Kalau itu macam, angkat baru punyalah. Tambah lagi dua ribu macam tu.Lagi bagus. Baru punya.” Tauke bengkel itu ketawa.

“Betul jugak tu, tauke. Angkat baru punya lagi bagus.” Adib ketawa juga.

Tambah lagi dua ribu? Amboi... sedapnya kau! Nomi menjeling Adib. Dipandang tauke bengkel itu pula. “Tauke ada jual motor second hand? Yang buruk pun tak apa. Saya mahu angkat bagi dia.”

“Second hand?” Adib buat muka jijik. “Apa kelas? Tak nak! Tak nak!”

“Tak nak sudah! Banyak songeh! Repair jelah motor ni, tauke. Tauke tak repair ini motor, saya hentam sama tauke!” Nomi kuatkan suaranya, membuatkan tauke dan Adib terdiam.

Tauke itu terkulat-kulat mendengar amaran Nomi.

Adib pun kecut juga. Terus dia menarik tauke bengkel itu ke meja kaunter pembayaran untuk memberikan butiran diri.

“Itu orang yang kasi langgar lu punya motor ka?” soal tauke itu berbisik.

Adib mengangguk.

“Banyak garang loh. Lu jaga diri baik-baik. Nanti lu dia kasi langgar jugak.”

Adib ketawa.

Nomi menjeling Adib dan tauke yang dilihat sedang seronok ketawa. Eleh... ketawakan akulah tu! Macam aku tak tahu.

Sudah selesai, Adib mendapatkan Nomi. “Dah, jom... hantar saya balik!” arahnya.

Nomi geram. Tak pasal-pasal aku jadi kuli si ketam gila ni. Nasib baik semua urusan dah selesai. Tinggal nak hantar ketam gila ni balik, lepas tu semuanya selesai!


NOMI memberhentikan keretanya di tepi sebuah apartmen yang terletak di Kota Kemuning. “Dulu kata duduk dengan famili kat Damansara. Dah pindah pulak ke?” cebiknya.

“Untuk pengetahuan cik kak, semua yang saya beritahu awak dulu, tu semua saya tipu je.” Hah... nilah peluang Adib nak buat Nomi makin tak sukakannya.

Nomi membelek muka Adib dengan senyuman sinis. “Huh! Dah agak dah. Tengok muka pun dah tahu muka temberang. Kaki kencing! Penipu!”

So what?” Suara Adib melenting. Panas hati dituduh sebagai penipu. “Ada otak tak nak fikir. Kenal kat media sosial ni semua tak boleh pakai. Semuanya temberang! Dah banyak orang kena tipu. Takkan tak ada otak nak fikir?!” marahnya.

Nomi memandang Adib meluat. “Cepatlah berambus! Keluar!” arahnya.

Adib tersenyum sinis. “Ingat orang takut ke awak buat suara macam nenek sihir tu?”

Muka Nomi masih serius. Kalau Adib ingat buat lawak macam tu dia boleh ketawa, silap besarlah! “Cepatlah keluar. Saya tak ada masa nak layan orang macam awak ni.”

“Habis, awak ingat saya ni banyak masa nak layan awak?”

Nomi diam. Tak suka betul dia dengan orang macam Adib ni. Sepanjang perjalanan ke situ tadi, mereka berdua diam seribu bahasa.

“Dengar sini baik-baik, Cik Nomi. Mulai esok, awak kena hantar saya pergi kerja! Bila saya balik kerja, awak kena ambil saya. Lepas balik kerja, saya ada kerja part time. Itu pun awak kena hantar dan ambil saya. Faham?!” Adib memerintah Nomi sesuka hati.

“Hah?!” Nomi terlopong. Rasa nak marah ada, nak mengamuk pun ada. Ingatkan lepas hantar Adib balik, dia boleh melompat riang sebab tak perlu lagi berjumpa dengan lelaki itu. Tapi...

“Tak payah nak ‘hah?!’ sangatlah, Cik Nomi. Awak kena ingat. Awak yang langgar motor saya. Awak yang jahanamkan motor saya! So, awak mesti bertanggungjawab. Selagi motor saya tak siap, selagi tu awak kena hantar saya ke mana saya nak pergi! Faham?!”

Makin melopong Nomi mendengar arahan Adib itu. Wah... kau betul-betul ambil kesempatan, Encik Ketam.

Pap!

Nomi terkejut apabila mulutnya yang terlopong itu ditepuk Adib. Dia tepuk mulut aku? Kuat pulak tu!Errghh... Terus dia angin satu badan. Meluap-luap amarahnya.

“Sakitlah, bongok!”

“Padan muka!” Adib tunjuk ibu jari.

“Eeii...” Nomi mengetap gigi kegeraman. “Jangan...”

“Esok pagi ambil saya kat sini pukul 8.00. Sharp!”

Hati Nomi bertambah sakit apabila Adib memotong cakapnya.

“Awak ingat saya ni kuli? No way! Pandai-pandailah awak nak pergi kerja macam mana. Tak ingin saya nak hantar awak. Boleh blah!”

“Kalau awak tak datang ambil saya, saya sebarkan rakaman awak langgar motor saya dalam Facebook, dalam blog, dalam Youtube... biar jadi viral. Biar satu dunia tahu kereta Swift awak ni langgar lari motor saya. Dalam video tu nampak dengan jelas nombor plat kereta awak.” Adib begitu seronok dapat menundukkan keangkuhan Nomi. Dia nak ajar Nomi cukup-cukup. Biar dia rasa!

“Lelaki jenis apa awak ni?! Berani...”

“Awak yang paksa saya jadi macam ni. Jangan ingat saya tak berani nak buat. Jangan nak cabar saya,” celah Adib tanpa sempat Nomi menghabiskan kata-kata.

“Errghh...”Nomi menjeling Adib. Masam mencuka wajahnya.

“Jumpa lagi esok. Selamat malam. Tidur dengan nyenyak ya?” perli Adib sebelum membuka pintu kereta.

“Cepatlah keluar!” Sakit hati Nomi melihat reaksi Adib yang tersengih-sengih.

Selepas Adib menutup pintu, dia tunduk sedikit supaya Nomi dapat melihat wajahnya. Dia melambai-lambaikan tangan dengan riak muka yang membuatkan Nomi bertambah-tambah sakit hati.

“Eeii... meluatnya aku tengok dia ni. Meluatnya! Meluatnya!” Nomi dah tak sanggup melihat kejelikan perangai Adib. “Errghh... stress!” jeritnya geram.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.