Home Novel Komedi/Romantik Komedi GILA TAK RINDU
GILA TAK RINDU
muRni aQiLa
6/4/2015 12:32:50
104,979
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 7

PETANG itu walaupun sudah habis waktu pejabat, Adib belum berura-ura mahu pulang. Ada lagi kerja yang perlu disiapkan. Lagipun, waktu masuk kerja sambilannya lambat lagi. Tatkala melihat Hazza dan kawan-kawannya sudah bersiap-siap mahu beredar, lantas dia berdiri sambil membawa sehelai kertas.

Dia berpura-pura selamba. Padahal dadanya bukan main berdebar lagi. Dia melangkah lambat-lambat supaya dapat berselisih dengan Hazza.

Seperti yang dirancang, mereka bertembung. Mata Adib segera mencari mata Hazza. Apabila pandangan mata mereka bertentangan, Adib menguntum senyum. Terasa seluruh rasa bahagia menyerap dalam diri tatkala Hazza membalas senyumannya.

“Kau tak balik, Adib?” Salmah yang berjalan paling depan menegur Adib. Langkahnya terhenti.

Adib menoleh memandang Salmah. “Err... belum lagi, kak. Ada kerja nak siapkan. Ni nak fotostat kertas ni dulu.” Dia menunjukkan sehelai kertas di tangannya.

“Oh... haa... yalah. Kerja rajin-rajin. Kita orang balik dulu.” Salmah dan empat orang yang lain termasuk Hazza mengekori Salmah yang paling tua.

Bye, Abang Adib...” Hazza sempat menyapa Adib bersama senyuman manis.

Adib ketika itu rasa nak meletup jantungnya. Senyuman dan suara Hazza seolah-olah telah mencairkan seluruh nalurinya. Spontan tangan kanannya terangkat dan melambai Hazza.

Bye...” Senyumannya melirik.

Dia melambai sehingga hilang bayang Hazza daripada pandangan. Kemudian, barulah dia menuju ke arah mesin fotokopi. Tersenyum-senyum dia menahan perasaan gembira yang sukar nak diungkapkan dengan kata-kata.

Di mesin fotokopi, dia tersandar di dinding. Masih tersengih-sengih.

“Ya ALLAH... senyuman dia. Manisnya...” Adib melepaskan nafas panjang. “Kenapa makin lama aku makin suka kat dia? Kenapa makin lama dia makin menawan?” bisiknya teruja.

Dia kemudian menarik nafas dalam-dalam. “Wahai hati, sabarlah. Belum sampai masanya lagi.” Kertas di tangan ditatap. Dia tersenyum lagi. Entah kertas apa entah yang dia bawa kononnya nak difotostat.

Seketika dia teringatkan sesuatu. Segera dia menyeluk tangan ke dalam poket seluar dan mengeluarkan telefon bimbit. Mesej yang masih belum dibalas itu dibaca berulang kali. Senyumannya kendur perlahan-lahan.



HAZZA yang menumpang Salmah setiap kali pergi dan pulang daripada kerja melolos masuk ke dalam kereta Avanza Salmah. Dia kerja baru setahun. Belum cukup wang nak beli kereta sendiri.

Salmah menghidupkan enjin kereta. “Hai... lega sikit rasanya.”

“Lega apa, kak?” Hazza yang memakai tali pinggang keledar bertanya.

“Akak tak payah ambil anak-anak kat taska. Suami akak dah ambil. Dia balik awal hari ni. Lega betul rasanya. Boleh kita terus balik. Tak payah menempuh jam lama-lama.”Kereta Salmahbergerak dari kawasan parkir itu.

Hazza senyum. Rumah mereka yang terletak di Sungai Buloh sentiasa sesak. Rumahnya dengan rumah Salmah agak dekat.

“Kau dengan Adib tu ada apa-apa ke?” Tiba-tiba Salmah yang sudah berumur 40-an itu bertanya soalan cepumas.

Terus meledak ketawa Hazza. “Kak Salmah ni... memandai-mandai je,” ujarnya setelah ketawa reda.

“Laa... akak tanya je.”

“Tak ada apa-apalah, kak. Kita orang kawan je. Officemate. Tak lebih dari tu.” Hazza membuat pengakuan.

“Habis... tengah hari tadi akak tengok kau orang makan berdua. Mesra je nampak?” Salmah masih tak puas hati.

Hazza tergeleng-geleng. “Mana ada, kak.”

“Kau ingat akak tak ada mata? Kau tak payah nak sorok-sorok. Akak ni dah lama hidup, Za. Baik kau mengaku je.” Salmah masih mahu mengusik.

Hazza ketawa. “Akak ni... Za makan je dengan dia. Bukan ada apa-apa pun. Dah dia kata nak belanja makan. Rezeki jangan ditolak. Betul tak?”

“Tapi, akak tengok dia tu macam suka kat kau, Za.”

Hazza ketawa lagi.

“Eh, budak ni! Akak cakap, kau ketawa. Akak cakap, kau ketawa. Asyik ketawa je. Kau suka kat dia, eh?”

“Hisy!” Hazza menafikan. Dia diam merenung ke jalan raya. Dia pun perasan yang Adib seperti suka padanya. Tapi, rasanya Adib sekadar suka-suka je.

“Kalau Adib nak kat kau, kau terima jelah. Dia tu baik. Handsome pun boleh tahan. Bila senyum, manis muka dia yang ada janggut sejemput kat dagu tu. Suka akak tengok dia.” Salmah memuji Adib pula.

Hazza mendengar dengan perasaan bosan.

“Apasal?Kau tak suka dia ke?”

“Dia tak pernah pun cakap suka kat Hazza, kak.”

“Dia tu pemalu sikit.”

“Kalau suka, cakap jelah. Hazza tak sukalah lelaki yang pemalu ni. Entahlah... Hazza tahu dia baik. Tapi kadang-kadang Hazza rasa bosan bila dengan dia.”

Berkerut dahi Salmah.

“Hazza suka lelaki yang nampak bersungguh nak majukan diri. Dia dah kerja kat situ dua tahun kan, kak? Hazza tengok dia tu... entahlah.” Hazza melepaskan nafas panjang.

Makin berkerut dahi Salmah. “Sebab dia naik motor? Sebab tu kau cakap dia macam tak nak majukan diri?”

Hazza mengangguk.

Salmah terdiam.

“Za bukan apa, kak. Takkan dah dua tahun kerja masih naik motor? Takkan tak mampu nak beli kereta lagi? Dia tu techician, kak. Hazza yang kerja pembantu tadbir je ni dah nak beli kereta.Insya-ALLAH mungkin bulan depan Za nak beli kereta bila duit simpanan Za dah cukup. Dari situ, Za tengok dia ni macam tak ada wawasan.”

“Kau tak boleh menilai orang macam tu, Za. Mungkin dia ada perancangan lain. Mungkin dia nak beli rumah dulu. Manalah tahu dia nak beli banglo dulu baru beli kereta.” Salmah bersangka baik. Selama ini, dia tak pernah terfikir pun tentang Adib yang bermotosikal. Tak ambil tahu pun sebenarnya. Baginya, itu semua tak penting.

“Tak logiklah, kak. Biasanya, orang mesti beli kereta dulu. Lepas tu baru beli rumah.”

“Manalah kita tahu. Orang ni lain-lain fesyen dia, Za.”

“Entahlah, kak. Yang pasti, Hazza tak ada hatilah kat dia. Hazza anggap dia kawan je. Dia pun rasanya tak adalah anggap Za ni lebih-lebih.”

Salmah mengangkat bahu. Terpulanglah. Takkanlah dia nak paksa Hazza suka kat Adib tu. Hati dan perasaan orang mana boleh dipaksa.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.