Home Novel Komedi/Romantik Komedi GILA TAK RINDU
GILA TAK RINDU
muRni aQiLa
6/4/2015 12:32:50
104,785
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 5

"PATUT ke aku tak jumpa dia? Patut ke?” Nomi terherot-herot bibir memikirkan kewarasan keputusannya itu. Dia masih serba salah. “Tapi, aku dah janji dengan dia. Aku yang buat janji tu. So... aku kenalah tunaikan. Betul tak?”

Dia yang sedang duduk di meja kerja seluas gelanggang ping pong itu menyelak-nyelak sebuah majalah fesyen Muslimah. Di atas meja itu menimbun beberapa naskhah majalah. Dia sedang mencari idea untuk membuat rekaan terbaharu.

“Aku dengan Mr. Krab tu taklah mesra pun. Dia langsung tak tahu yang aku ada butik. Aku jadi model butik sendiri lagilah dia tak tahu. Memanglah aku ada cakap yang aku kerja kat butik. Tapi, dia tak tahu butik tu aku yang punya. Saja aku tak nak bagi tahu. Aku nak tengok dia berkawan dengan aku ni ikhlas ke tak.”

Dia ketawa mengenangkan banyak lagi pembohongan yang terpaksa dia buat.

“Ya ALLAH... teruknya aku! Ada ke patut aku cakap aku ni pekerja butik je. Dahlah dia tahu butik ni kat Shah Alam. Buatnya dia cari aku, mati aku! Dahlah dia ada cakap yang dia pernah belajar kat Shah Alam. Tapi nasib baik pulak dia kata dia duduk kat Damansara. Taklah dekat sangat.” Dia tergeleng-geleng, risau kalau Mr. Krab betul-betul mencarinya.

Dia membelek semula majalah di hadapannya. Tapi, dia tak boleh fokus. Asyik teringatkan Mr. Krab.

“Dia cakap kat aku yang dia engineer. Tu je yang aku tahu. Bila aku banyak berahsia, dia pun sibuk nak berahsia jugak. Hmm... tak apalah. Kira adillah tu.” Tiba-tiba dia teringat sesuatu. “Oh... dia ada gambar!”

Dicapai telefon bimbitnya dan membuka aplikasi WeChat. Moments Mr. Krab dibuka. Dia mula mencari dan akhirnya jumpa! Gambar sekumpulan lelaki berdiri. Dia mengira.

“Satu, dua, tiga, empat, lima, enam...” Jarinya ditunjuk pada gambar itu. “Sepuluh orang!” Dia mula pening. “Semuanya macam boleh tahan handsome.”

Diteliti gambar itu lagi. Nampak keseluruhan tubuh badan mereka dari hujung rambut sampai hujung kaki. Jadi, muka masing-masing tak berapa jelas. Masalahnya, yang mana satu Mr. Krab? Dalam sepuluh orang dalam gambar itu, yang mana satu Mr. Krab?

Dia mengeluh. Telefon bimbit diletakkan ke tepi. Kalau nak fikir pasal Mr. Krab, memang takkan habis!

Dia menyambung kerja semula. Habis senaskhah majalah dibelek, dia mengambil majalah lain pula. Apabila melihat fesyen yang dirasakan sesuai dengan konsep butik yang dikongsi bersama Tiara itu, dia melakar semula di sebuah buku yang dikhaskan untuk membuat lakaran.

Dia tak melakar bulat-bulat idea dari majalah itu. Ada beberapa perubahan dan penambahbaikkan dilakukan untuk menghasilkan rekaan yang terbaik. Ketika dia sedang melakar, tiba-tiba tangannya terhenti.

“Eeii... kenapa aku asyik terbayang-bayang si Mr. Krab ni?” Diameletakkan pensel di atas buku lakarannya. Dia menggaru-garu kepala yang terasa rimas.

“Apa persepsi dia bila jumpa aku nanti? Entah-entah bila jumpa aku, dia terus tak nak kawan dengan aku. Manalah tahu aku ni bukan taste dia. Taste lelaki ni kadang-kadang pelik sikit. Lebih-lebih lagi dia fikir aku ni pekerja butik je. Tak sesuai dengan dia yang kerja engineer. Baik aku tak payah jumpa dia. Cakap je yang perjanjian terbatal. Habis cerita!” Dia membuatkeputusan.

“Tapi aku teringin sangat nak jumpa dia. Nak jugak kenal macam mana rupa dia. Eeii... kenapa dengan aku ni?” Dia menggaru-garu kepala dengan lebih ganas.

“Woi!”

Nomi tersentak. Terkejut. Lantas, dia berpaling. Dilihat Tiara sedang berdiri di hadapan pintu bilik kerja itu dengan muka terpinga-pinga.

“Kau dah kenapa?”

Nomi tersengih-sengih. Dia membetulkan ikatan rambutnya yang panjang melepasi bahu itu supaya kemas semula. Apabila berada di dalam bilik kerja, dia lebih selesa membuka tudung. Senang nak buat kerja.

“Apasal kau ni?”

“Err...” Nomi terfikir-fikir. Dia melihat buku lakarannya. “Ni hah... pening kepala otak aku!”

Tiara melangkah masuk setelah menutup pintu. Dia bersandar pada meja kerja. “Ya ke?” Wajahnya kelihatan sangsi. “Aku dengar kau cakap sorang-sorang tadi. Nak jumpalah... tak nak jumpalah...”

Muka Nomi cuak. Alamak! Dia dengar ke aku membebel sorang-sorang tadi? “Err... err...” Dia dah tak tahu nak temberang apa lagi.

“Ni mesti pasal Mr. Krab, kan?” teka Tiara sambil tersengih-sengih.

“Eh, kat luar ramai customer. Macam sesak je aku rasa.” Nomi cuba mengalih topik berbualan. Mukanya dibuat-buat serius.

Tiara ketawa macam pontianak. Geli hati dia melihat Nomi. “Hai... Norafifi Aziami, Norafifi Aziami...”

Haa... kalau Tiara panggil nama penuh Nomi yang susah disebut, maknanya ‘kelakar’ sangatlah lakonan Nomi tu.

Nomi memonyokkan muka. Habislah dia jadi bahan ketawa Tiara.

“Ni… aku nak bagi nasihat. Nomi yang aku kenal seorang yang berani, berdikari, berwawasan, teguh pada pendirian. Takkan disebabkan Encik Ketam kau tu, kau dah macam orang putus urat otak pulak?” Tiara ketawa lagi.

Muka Nomi masih monyok. Memang betul kata Tiara tu. Tapi, kes Mr. Krab ni lain.

“Belum bercinta otak kau dah tak stabil.”

“Bukan aku nak bercinta pun! Nak jumpa je,” bangkang Nomi. Dia tahuTiara nak perlinya tentang prinsip cinta yang dipegang selama ini.

Tiara menghempas nafas berat. “Nomi... aku rasa baik kau jumpa jelah Encik Ketam kau tu. Apa jadi lepas tu, belakang kira. Kau sendiri yang janji dengan dia. Kalau tak tunaikan janji, boleh munafik tau.”

“Aku tahu...” Akhirnya, Nomi menjawab.

“Dah, tak payah senakkan otak tu. Jumpa jelah. Kau jangan risaulah, Nomi. Aku jamin Mr. Krab takkan buat apa-apa. Paling teruk pun, dia cuma ajar cara berjalan dengan lurus. Tu pun dia ajar anak dia. Ketamlah katakan.” Tiara ketawa berdekah-dekah mengenangkan peribahasa ‘bagaikan ketam mengajar anaknya berjalan lurus’.

Nomi turut ketawa, tapi ketawa yang dipaksa. “Kau ni... buat lawak pulak! Kau ingat kelakar? Kau rasa kelakar?” Dia menjeling sahabatnya itu. Huh!

Tiara buat cara lucu ketam berjalan.

Terhambur ketawa Nomi.



SAMBIL baring menatap kipas siling yang berputar, Nomi meletak tangannya di atas dahi. Jauh dia termenung dalam kegelapan malam. Sejak tadi, dia cuba pejamkan mata. Langsung tak mahu lelap.

Dia mengira-ngira dengan jari. Lagi lima hari tarikh yang sepatutnya dia berjumpa dengan Mr. Krab. Arghh... lagi lima hari! Cepatnya masa berlalu!

Dia mencapai sebiji bantal, lalu menutup mukanya. Kakinya yang diselubungi selimut menendang-nendang ke atas. Konon-konon bila buat macam tu, bolehlah menghilangkan tekanan perasaan.

“Arghhh!”

Seketika dia diam. Bantal yang menutup muka diketepikan. “Kenapalah aku janji nak jumpa dia? Kenapalah bodoh sangat aku ni? Bongok!” Ditunjal kepala sendiri.

Dia teringat kata-kata Tiara.

“Aku rasa baik kau jumpa jelah Encik Ketam kau tu. Apa jadi lepas tu belakang kira. Kau sendiri yang janji dengan dia. Kalau tak tunaikan janji, boleh munafik tau.”

“Yalah, Ti. Kau cakap memanglah senang.” Nomi mengeluh selepas itu. “Mr. Krab ni pun satu... Gila!” Dia menggeram pula. “Kenapa dia setuju je dengan janji tu? Patutnya cakaplah ‘tak nak’! Huh!”

Setelah berfikir dan berfikir, akhirnya dia mencapai telefon bimbit di sebelah bantalnya. Aplikasi WeChat dibuka. Dia mencari nama Mr. Krab lantas menghantar mesej. Mungkin Mr. Krab dah tidur sekarang ni. Tapi, tak apa. Mesti dia akan baca esok.

Assalamualaikum... Tak sangka kita dah kenal hampir setahun. Mesti awak ingat lagi tarikh kita kenal, kan? 11 November. Awak pernah cakap tak sabar nak jumpa saya. Dan seperti yang saya janji, saya dah sedia nak jumpa awak 11 November nanti. Insya-ALLAH lagi 5 hari, kita jumpa. Awak tetapkan tempat dan masa okey? Nite!

Nomi meletak telefon bimbitnya ke tepi bantal semula. Apa pun yang jadi... dia dah bersedia. Siapa pun Mr. Krab tu... dia akan terima.

Mata dipejamkan rapat-rapat.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.