Home Novel Komedi/Romantik Komedi GILA TAK RINDU
GILA TAK RINDU
muRni aQiLa
6/4/2015 12:32:50
104,783
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 3

HAMPIR pukul 10.00 malam. Tugas penghantaran piza selesai. Setelah menghantar piza yang terakhir dipesan pelanggan, Adib kembali ke restoran tempatnya bekerja itu.

“Okey, Kak Bibah. Jumpa malam esok!” ujar Adib pada pengurus restoran piza segera itu selepas mengetik kad kedatangannya.

Habibah yang sedang mengira wang di mesin peti cash sempat mengangkat tangan menunjukkan isyarat ibu jari.

Adib berlalu keluar dari restoran itu dengan senang hati. Senang hati apabila semua kerja sudah selesai. Dia membuka baju uniform yang dialas dengan baju-T di dalamnya. Uniform itu dilipat lebih kurang sebelum memasukkannya ke dalam beg sandang.

Baru saja dia menunggang motosikal, telefonnya berbunyi. Lantas, dia mengeluarkan telefon bimbit dari kocek depan beg sandangnya. Segera dia menjawab panggilan itu.

“Helo, beb!”

“Kau datang tak?”

Adib terangguk-angguk. “Datang, datang! Aku baru habis kerja ni. Ni aku terus nak gerak jumpa kau.”

“Okey! Aku tunggu kat tempat biasa.”

Talian dimatikan. Adib lantas menghidupkan enjin motosikal.



ADIB memarkir motosikal berdekatan dengan restoran itu yang dibuka sehingga jam 3.00 pagi. Topi keledar dibuka dan dibawa bersama ke dalam restoran.

Matanya melilau mencari kelibat seseorang. Akhirnya, dia nampak sesusuk tubuh yang ingin ditemui sejak semalam. Dia melangkah menghampiri sebuah meja yang terletak di sudut tepi.

“Hai, bro!” tegurnya.

Lelaki itu berpaling. Terserlah wajahnya yang tampan seiras Henry Golding. Kacak dan maskulin. “Eh, Dib... duduklah,” pelawa Risham dengan senyuman.

Adib terus duduk sambil meletakkan topi keledar dan beg sandangnya di kerusi sebelah. “Kau baru sampai ke?”

“Aku baru je order. Kau nak order apa-apa tak?”

Adib menggeleng. “Aku dah kenyang.” Dia mengeluarkan beg duit dari beg sandang. Sejumlah wang dikeluarkan dari beg duit itu, lalu diserahkan kepada Risham.

Risham memandang beberapa kepingan not RM50 yang dihulur Adib. “Eh, banyak sangat ni!”

“Aku bayar lebih, Sham. Advance sebulan. Cepat sikit habis hutang aku kat kau.” Kemudian Adib melepaskan nafas panjang. Terbayang baki RM3000 yang perlu dilangsaikan pada sahabatnya itu. “Tak apalah. Gaji aku bulan ni lebih sikit. Kau jangan risaulah!”

“Betul ni?” Risham teragak-agak nak menyambut kepingan wang dari tangan Adib.

Adib mengangguk penuh yakin.

Barulah Risham mengambil wang itu dan memasukkannya ke dalam beg duit.

Wajah Adib tergambar kegalauan. Sukarnya hidup dikelilingi hutang. Hutang PTPTN, hutang Risham, duit belanja untuk emak di kampung, bayar sewa rumah, duit makan minum, keperluan seharian, belanja untuk adik-adik... nak menyimpan duit lebih sikit tiap-tiap bulan pun susah. Terpaksalah kerja lebih masa waktu malam.

Dia memandang Risham yang memakai baju kemeja jenama Camel. Mesti mahal. Untunglah jadi anak orang kaya. Aku ni beli baju tak pernah fikir jenama. Asal okey dan harga berpatutan, aku beli je. Kadang-kadang baju kat pasar malam pun, aku beli.

Dia dengan Risham walaupun belajar sama-sama di UNISEL, ada rasa hormat dia pada lelaki itu. Risham anak orang berada. Sanggup meminjamkannya RM30 ribu. Dia pinjam bukan suka-suka. Masa tu memang dia terdesak sangat. Nasib baiklah Risham baik hati.

Seketika, datang seorang pelayan membawa coklat panas untuk Risham.

Risham memandang pelayan lelaki itu. “Ambil order, bro.” Dia memandang Adib pula. “Orderlah.”

“Eh, tak apa... tak apa...” Adib menggoyang-goyangkan tangan pada pelayan itu tanda tak mahu. “Aku dah kenyanglah, Sham. Lagipun aku tak boleh lama. Dah penat sangat ni.”

“Laa...” Risham seakan sedikit terkilan. Baru saja dia nak menyambung cakap, muncul seseorang di sisinya. Dia menoleh. Senyumannya terus melirik manis.

Adib turut memandang ke arah yang sama. Gadis itu sangat cantik dan bergaya. Rambut perang tuanya beralun cantik. Sepadan dengan kulit gadis itu yang putih melepak.

“Hai, Sham...” sapa gadis itu pada Risham sebelum beralih memandang Adib. “Eh, Adib pun ada.”

“Saya dah nak balik ni, Kisya.” Adib berdiri sambil menyandang beg dan mengambil topi keledar. “Saya jumpa Sham sekejap je.”

“Okey, beb. Apa-apa hal nanti call aku.” Risham mengangkat tangan, tanda mengalu-alukan Adib pergi.

“Okey!” Adib terus berlalu. Sebenarnya, dia tak betah duduk dalam restoran mewah begitu lama-lama. Lebih-lebih lagi duduk dengan orang kaya macam Risham dan Kisya.

Setelah Adib berlalu, Kisya duduk di sebelah Risham. “Sorry, you... I’m late. I isi minyak tadi.”

It’s okay. I pun baru sampai jugak sebenarnya.” Risham berdalih kerana mahu menjaga hati Kisya. Dia memandang Kisya tak berkelip.

“Apa you ni, pandang-pandang I?” Kisya menepuk lengan Risham, mula berasa malu diperhatikan sebegitu.

“Kenapa you cantik sangat?” usik Risham. Dia masih merenung Kisya tak puas-puas.

“You janganlah tengok I macam tu. I korek mata you tu nanti baru tahu!” Kisya mula geram.

Risham ketawa.

Kisya tersipu-sipu. Dia kalah setiap kali Risham memandangnya lama.

“You nak apa-apa tak? I orderkan.” Tanpa menunggu, Risham menggamit seorang pelayan perempuan.

Pelayan perempuan itu menghampiri.

“You nak apa?” soal Risham pada Kisya.

Pelayan itu memandang Risham sambil menunggu pesanan.

Kisya kelihatan tak senang melihat cara pelayan itu memandang Risham. Lantas, dia memaut lengan Risham erat. “I nak... hmm... hot caffe latte.”

Risham berpaling ke arah pelayan yang menunggu itu dan mengulang apa yang Kisya mahu. Setelah selesai, pelayan itu berlalu dari situ.

Kisya menjeling pelayan tadi. “I tak sukalah cara dia pandang you. Macam nak menggatal je!”

Risham ketawa. “Mana ada! You ni ada-ada jelah.” Dia mencuit hidung Kisya, membuatkan Kisya senyum semula.

“You... weekend ni you busy tak? Jom, kita pergi Pulau Redang.”

“Redang?” Risham teringat yang dia ada hal lain hujung minggu ni.

Kisya buat riak manja. “Jom. Please...”

Akhirnya, Risham mengangguk. Demi Kisya, dia sanggup ketepikan hal lain.

Senyuman Kisya meleret. “Nanti kita snorkeling nak?” Dia terus bercerita tentang rancangan bercutinya dengan penuh teruja.

Risham hanya mendengar. Ralit dia memandang wajah cantik Kisya. Sangat cantik. Rambut panjang beralun, mata agak bulat, hidung kecil mancung, bibir nipis, dagu tajam, kulit cerah. Boleh dikatakan Kisya sangat sempurna sebagai seorang gadis. Dia rasa sungguh beruntung.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.