Home Novel Komedi/Romantik Komedi GILA TAK RINDU
GILA TAK RINDU
muRni aQiLa
6/4/2015 12:32:50
104,884
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 4

NOMI sudah bersiap. Ada temu janji dengan Warda dan Tiara. Dia bersiap serba ringkas. Hanya menyarungkan blaus fishtail jenis material crepe warna krim bercorak abstrak, seluar jean warna hitam dan selendang warna merah.

Sambil menyanyi kecil lagu Dan Sebenarnya, dia membuat kemasan terakhir untuk penampilannya. Setelah puas dengan penampilan diri, dia keluar ke ruang tamu sambil masih menyanyi.

“Oh bulan... yang melayan diriku lagi. Pabila air mata membasahi pipi. Dan lagu-lagu di radio seolah-olah memerli aku. Pabila kau bersama yang lain...”Acah-acah suara merdu macam Yuna kononnya. Tak boleh blah! Menyanyi penuh perasaan pulak tu!

Terkejut dia melihat papanya sedang duduk di sofa sambil membelek telefon bimbit. Terhenti nyanyiannya.

“Papa ingat artis mana tadi,” tegur Khalid yang tersenyum melihat wajah terkejut Nomi.

Nomi ketawa. Dia mendapatkan papanya itu dan bersalaman. “Awal papa balik hari ni.” Dia duduk di sebelah Khalid.

“Papa lupa mama ada meeting persatuan dia.”

Nomi ketawa. “Mama tu kalau meeting, mesti lambat habis.”

“Ni Nomi nak pergi mana?”

Dinner.”

“Dengan siapa?”

“Warda dengan Tiara.”

“Macam mana bisnes?”

Nomi menyengih. Khalid kalau dah tanya pasal bisnes, dia jadi cuak pula. “Hmm... okey!”

“Okey memanglah okey. Okey yang macam mana?”

Nomi gigit jari. Alamak! Apa aku nak cakap ni? Sudahlah hari ini dia tutup butik pukul 7.00 petang. Risau juga kalau Khalid bising. “Err... okey, alhamdulillah. Biasalah... butik baru nak naik. Competitors ramai. Tapi hari-hari sale on target, pa.”

Khalid terangguk-angguk. Riak wajahnya nampak puas hati. “Baguslah. Papa yakin Nomi boleh buat. Sebab papa tengok Nomi memang minat pasal bisnes. Hobi pulak melaram, bergaya, berfesyen. Sesuailah tu! Tengoklah dressing Nomi ni.”

“Cantik tak, pa?” Senyuman Nomi mula meleret.

“Baju ni semua dari butik Nomi ke?” Khalid memandang Nomi dari atas ke bawah.

“Mestilah! Manalah tahu ada orang tanya, nanti Nomibagitahulah nama butik Nomi tu. Amacam bussiness strategyni, pa?” Nomi terangkat-angkat kening, nak menunjukkan yang otaknya bergeliga.

Khalid ketawa. “Papa bangga dengan anak papa ni.”

“Ni semua tunjuk ajar papa jugak. Papa kan mentor Nomi? Darah papa yang suka bisnes tu mengalir dalam badan Nomi ni. Lagipun, kalau bukan papa yang support modal semua, tak jadi jugak semua ni.”

“Tahu pun! Kalau Nomi tak buat betul-betul, siap!”

Nomi mula kecut perut mendengar amaran Khalid. Dia menyengih.“Nomi pergi dulu, pa. Dah lambat ni.”

Khalid menghantar Nomi dengan pandangan.

Nomi menuju ke pintu. Baru beberapa langkah, Khalid memanggil. Dia berhenti dan berpaling.

“Hujung bulan ni papa nak tengok akaun butik.”

Tertelan air liur Nomi dibuatnya. Dia takut kalau-kalau kemajuan butik Charm & Sweet tak seperti yang Khalid harapkan. Dia hanya mampu menyengih walau terasa ketat bibirnya.



ALANGKAH seronoknya dapat berkumpul begini. Malam itu, mereka makan steamboat dan grill. Mulut masing-masing potpet-potpet bercerita. Dah lama Nomi dan Tiara tak jumpa Warda. Macam-macam cerita yang timbul.

Mereka rapat sejak sama-sama belajar di Limkokwing University dalam kursusFashion and Retail Design.

“Ni... ada sesuatu yang aku nak bagi tahu.” Warda menarik perhatian Nomi dan Tiara agar mendengar apa yang dia nak cakapkan.

Nomi dan Tiara bulatkan mata merenung Warda yang seperti memberi efek suspen.

Warda melebarkan senyum sambil memandang Nomi dan Tiara secara bergilir. Dia mahu bersuara, tapi teragak-agak.

“Cakap... cakap...” Tiara buat gaya Ahmad Nifsu dalam cerita Seniman Bujang Lapok.

Nomi turut buat aksi yang sama.

Nak tergelak Warda melihatnya. Dia menunjuk cincin di jari manis yang baru saja disarung. “Aku baru bertunang bulan lepas.”

Suasana serta-merta menjadi kecoh dengan jeritan gembira dan dekahan ketawa mereka.

“Senyap-senyap je kau ni!” Tiara marah dalam gembira. Ditepuk paha Warda kerana geram.

Menyeringai muka Warda menahan pedih.

Mereka ketawa lagi.

Sorrylah tak jemput. Majlis untuk keluarga je. Insya-ALLAH, tahun depan kahwin, aku jemput.” Warda rasa bersalah pula.

Nomi menepuk bahu Warda. “Tak apa. Yang penting majlis kahwin nanti kau jemput kita orang. Dengan orang mana? Korea eh?” usiknya.

Terhambur gelak mereka. Terkenang bagaimana fanatiknya Warda dengan artis K-pop. Teringat juga memori ketika mereka bercuti di Korea dulu.

“Eeii... tak payahlah ingat lagi benda tu! Kalau tunang aku tahu, malu aku, woi...” Berkerut muka Warda bila ingat balik perangainya yang dulu gila meroyan dengan artis Korea.

Tiba-tiba Warda teringat sesuatu. “Eh, Nomi... kau dah jumpa Mr. Krab? Yang kita kenal kat Korea tu?”

“Err... err...” Nomi menggigit bibir. Tajam ingatan Warda ni. Boleh pulak ingat pasal Mr. Krab.

“Dia orang jumpa 11 November nanti!” Tiara tak teragak-agak memberitahu. Dia anggap dirinya wakil Nomi.

Apa lagi, Nomi pula yang menjadi sasaran usikan. Kecoh lagi meja mereka. Nasib baik meja mereka di luar bangunan restoran. Duduk bertiga, tapi macam 20 orang lagaknya. Kecoh betul!

“Weh, weh weh! Relaks... bertenang.” Nomi mengangkat tangan. Tak senang duduk dia kena usik dengan Warda dan Tiara. “Belum tentu lagi aku nak jumpa dia. Okey?”

“Apasal pulak?” Warda memandang Tiara. Agak kecewa.

“Kau ni, Nomi... kejap nak jumpa. Kejap tak nak.” Tiara membebel.

“Entahlah. Tak ada feel,” cemik Nomi tanpa perasaan.

“Adoii... tak ada feel pulak.” Tiara mengeluh.

“Buat apa nak tunggu feel? Dah jumpa nanti... datang sendiri feel tu. Ewah!” Warda ketawa mengusik. Terangkat-angkat keningnya.

Tiara ber‘high five’ dengan Warda.

Nomi senyum. “Kau orang gelaklah. Gelak. Aku cakap sungguh ni. Aku takkan jumpa Mr. Krab tu.” Dia kelihatan tak main-main.

“Aisey... melepaslah kita nak tumpang kenal Mr. Krab tu, Ti.” Warda tergeleng-geleng. Dia berdecit hampa.

“Tak apa! Mr. Kambing ada.” Nomi menunjuk daging kambing gril yang sudah dicucuk dengan garpu. Disumbat daging itu ke dalam mulut.

Terkekeh-kekeh mereka ketawa.
Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.