Home Novel Komedi/Romantik Komedi GILA TAK RINDU
GILA TAK RINDU
muRni aQiLa
6/4/2015 12:32:50
104,873
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 6

ADIB sekejap-sekejap melihat jam tangannya. Hampir waktu rehat. Kemudian, dia terjenguk-jenguk ke satu arah. Dia teragak-agak. Disandarkan tubuhnya ke kerusi semula. Dia keresahan dalam debaran.

Rakan-rakan yang duduk berdekatan dengan mejanya seorang demi seorang berlalu pergi.

“Jom makan, Dib!” ajak Erwan yang duduk di meja depan Adib.

Adib menggelabah. “Tak apa, tak apa... kau pergi dulu. Aku turun kejap lagi. Ada benda aku nak siapkan.” Dia pura-pura memfokuskan pandangan pada skrin komputer.

Erwan berlalu bersama yang lain-lain.

Adib masih tertunggu-tunggu. Sambil pura-pura buat kerja, dengan ekor mata dia mengerling ke arah pintu masuk pejabat.

Tatkala ternampak susuk tubuh yang ditunggu-tunggu, spontan dia berdiri. Rambut lurusnya disauk ke belakang. Sambil menenangkan perasaan, dia berlagak selamba menghampiri gadis itu.

“Hazza...” tegurnya bersama senyuman.

Hazza yang berjalan paling belakang bersama rakan sepejabat yang lain menoleh. Melihat Adib, dia senyum. “Nak keluar makan ke?”

Makin lebar senyuman Adib. Hatinya ketawa. Dia dah tanya! Cantik! Peluang terbuka luas. “Za pun macam nak makan jugak nampaknya. Apa kata, kita makan sekali.”

“Jomlah...” pelawa Hazza dengan senang hati. Makan dengan rakan sepejabat ramai-ramai apa salahnya?

Adib senyum lagi.

Mereka beriringan keluar dari pejabat menuju ke ruang lif. Dilihat ramai juga rakan sepejabat yang mahu makan bersama. Padahal dia cuma nak berdua-duaan dengan Hazza. Hmm... macam mana, eh? Dia terfikir-fikir.

“Eh, Hazza... abang tertinggal barang kat mejalah. Hazza tunggu kejap boleh tak? Kejap je. Abang nak ambil barang sekejap.” Dia bercakap gaya kelam-kabut semacam. Tanpa menunggu balasan Hazza, terus dia berlalu masuk ke dalam pejabat semula.

Sampai di dalam pejabat, dia melangkah lambat-lambat. Dia senyum. Sengaja. Biar yang lain-lain tu pergi dulu. Hazza mesti tunggu aku punya. Yang lain-lain tu menyibuk je! Kacau daun betul!

Sampai di mejanya, dia tak tahu nak buat apa untuk melengahkan masa. Juga tak tahu apa alasan nak diberi pada Hazza nanti. Dia tercari-cari sesuatu. Di atas meja matanya melilau. Kemudian, dia beralih ke laci pula. Dibuka satu per satu sambil mata tajam melilau. Dan akhirnya!

Di dalam laci paling bawah, dia menjumpai sesuatu. Bibirnya menguntum senyum. Lantas, dia mengambilnya. Setelah itu, dia kembali semula mendapatkan Hazza di ruangan lif sambil menyorokkan sesuatu yang dipegang itu di belakangnya. Dilihat Hazza masih menunggu.

Sorry, sorry... okey jom.” Adib cepat-cepat menekan butang lif di tepi dinding.

“Lamanya. Abang Adib buat apa kat dalam? Barang apa yang tertinggal tu?” Hazza mula tunjuk muka kelat. Bosan menunggu Adib sedangkan kawannya yang lain sudah turun ke kafe.

Perlahan-lahan Adib mengeluarkan sesuatu yang disembunyikan, lalu menghulurkannya kepada Hazza. “Untuk Hazza...”

Hazza memandang ke arah tangan Adib itu. Pen? Mukanya berkerut. Pen? Dia masih waswas. Pen?

“Ambillah.” Senyuman Adib tersimpul malu-malu.

Pen? Hazza masih keliru, namun dia menyambut jua pen nan sebatang itu.

Ketika itu, pintu lif terbuka. Mereka melangkah masuk. Adib menekan butang untuk ke kafe di tingkat paling bawah.

“Abang beli hari tu. Tengok pen ni macam cantik, tu yang abang beli. Abang beli dua. Satu untuk Hazza,” helah Adib.

“Oh...” Hazza terasa bosan, namun tetap melebarkan senyuman. Pen tu biasa saja sebenarnya. Cuma ada corak-corak di luarannya. “Tak payahlah susah-susah beli untuk Za lagi, Abang Adib. Rasa macam menyusahkan pulak.”

“Tak susahlah!” Adib menyengih. Untuk Hazza... apa saja abang sanggup lakukan. Sempat dia menyambung ayat itu di dalam hati.

“Tapi abang boleh bagi pen ni kat ofis, kan? Ni nak pergi makan baru bagi.” Hazza merasakan pemberian Adib itu langsung tak bermakna baginya.

“Abang takut lupa. Abang ni pelupa, Za. Bila dah ingat, baik abang bagi terus. Kalau tak, terperamlah pen ni dalam laci meja abang.”

“Oh...” Hazza tersenyum lagi, pura-pura suka. “Terima kasihlah. Susah-susah je.” Dia kurang selesa apabila Adib baik sangat dengannya. Padahal dia cuma anggap Adib tu rakan sepejabat saja. Tak lebih daripada itu.

Ting!

Pintu lif terbuka. Mereka melangkah keluar.

Adib berjalan sambil menyelukkan kedua-dua tangan ke dalam poket seluar slack hitamnya. Dia rasa sangat bahagia dapat berjalan berdua dengan Hazza begini. Dia menoleh ke arah Hazza.

“Disebabkan Hazza terpaksa tunggu abang lama, so... hari ni abang belanja Hazza.”

Serta-merta senyuman Hazza menguntum. “Betul ni?”

Adib mengangguk bersama senyuman.

Hazza rasa seronok. Inilah antara sebab dia berbaik dengan Adib. Adib suka belanja makan. Tak pernah berkira. “Tahu pun abang dah buat Za berjanggut tunggu tadi.”

Adib ketawa.

Mereka melangkah masuk ke dalam kafe. Ramai juga di situ. Mereka beratur mengambil nasi campur. Adib yang berdiri di hadapan Hazza mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluarnya. Cadangnya, dia nak ambil gambar Hazza yang sedang memilih lauk itu senyap-senyap. Kalau rindu, bolehlah dia menatap gambar itu bila-bila masa.

Baru dia perasan ada mesej yang dia terima, tapi belum dibaca. Matanya terbeliak. Makin lama makin terbeliak. Dia membaca mesej yang agak panjang itu berkali-kali. Terhempas keluhannya.

“Kenapa?”Hazza hairan melihat reaksi Adib.

Adib tersentak. Dia menggeleng-geleng. “Tak ada apa-apalah. Tak ada apa-apa.” Senyumannya kembali terukir. Dia menghampiri kaunter bayaran dengan fikiran gusar. Hatinya kini mula tak tenang biarpun sedang bersama gadis yang sudah lama dipuja.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.