Home Novel Komedi/Romantik Komedi GILA TAK RINDU
GILA TAK RINDU
muRni aQiLa
6/4/2015 12:32:50
106,484
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 11

“HUARGHH... huarghhh... huarghh...” Tiara menerjah masuk ke dalam butik sambil terjerit-jerit. Dia yang baru sampai ketika itu menggelabah. Macam kena penyakit berjangkit. Nampak Nomi yang sedang mengemas, makin kuat dia menjerit.

“Huarghh! Nomi! Huarghh! Huarghh!”

Tercengang-cengang Nomi dibuatnya. Apa hal dia ni? Kerencatan otak ke? Dipandang Tiara yang meroyan entah apa-apa entah.

“Nomi! Ya ALLAH, Nomi... Ya ALLAH!!!” Tiara mencampak beg tangan ke lantai. Tercungap dia mengambil nafas. Tadi, dia berlari-lari ketika memanjat tangga.

“Apa benda kau ni?” Nomi acuh tak acuh. Dia kembali mengelap habuk dengan bulu ayam.

“Dada aku nak pecah ni, Nomi. Nak pecah!”

“Ya, ya... sebelum pecah tu bagitahu aku dulu kenapa. Lepas tu nak pecah ke, nak meletop kebabom ke, nak pom pom pom ke... suka hati kau. Haa... cepatbagitahu. Apa bendanya?” Nomi nak tergelak.

Saja dia bergurau begitu. Tak nak Tiara serius sangat. Kadang-kadang Tiara ni gempak je lebih, tapi tak ada yang penting pun.

Tiara menghempas tubuhnya ke sofa. “Aku kalau cerita kat kau, mesti melompat kau terkejut. Confirm!

Nomi mengangkat kening.

“Ada orang curi gambar kita kat Instagram!”

Bulat mata Nomi. “Curi?”

“Itu yang buat aku rasa macam nak pecah dada ni. Kurang ajar betullah! Sesuka hati je ambil gambar kita, lepas tu buat macam gambar sendiri. Promote baju yang dia jual. Maknanya... baju yang dia jual sebiji macam baju kita, Nomi oii. Arghh... sakitnya hati!” Tiara menumbuk-numbuk perlahan dadanya yang konon terasa sakit.

Makin terbeliak mata Nomi memandang Tiara. “Heh, melampau betul! Siapa yang buat macam tu? Nak makan penampar agaknya! Siapa, Ti? Bagi tahu aku. Eeii... geram pulak akulah!” Dihempas bulu ayam yang dipegang. Siapa tak marah kalau jadi macam ni?

“Kan aku dah cakap. Kau mesti terkejut. Kau tak percaya.”

Nomi menghampiri Tiara dan berdiri di hadapan gadis itu. “Gila tak terkejut? Tapi taklah sampai melompat macam kau cakap tadi.”

“Kau ambil handphone aku dalam beg aku tu,” tunjuk Tiara dengan bibirnya.

Nomi mengambil beg tangan Tiara di atas lantai itu, lalu menghulurkannya pada Tiara. Biar Tiara ambil sendiri telefon bimbitnya di dalam beg itu.

“Ni... aku nak tunjuk kat kau ni.” Tiara sudah membuka telefon bimbitnya. Aplikasi Instagram dibuka dan dia mencari-cari akaun yang telah mencuri gambar mereka.

Nomi duduk di sebelah Tiara sambil menjengah kepala memandang skrin telefon bimbit sahabatnya itu.

“Hah! Ni... ni dia.” Tiara menghulurkan telefon bimbitnya pada Nomi.

Nomi menyambutnya. Terus terlopong dia kerana terkejut. “Yalah, Ti! Ni gambar kita! Dia crop habis watermark kat gambar kita. Kurang ajar!”

“Ada customer kita yang bagitahu aku. Kalau tak, memang aku tak tahu pasal ni. Dahlah dia jual murah! Mana aku tak angin? Heh!” dengus Tiara kegeraman.

“Tak apa, tak apa... aku tahu apa nak buat.” Nomi bangun semula mengambil telefon bimbitnya di atas meja kaunter bayaran. “Aku nak komen kat gambar tu. Mula-mula, aku guna akaun aku. Aku mention nama butik kita. Lepas tu, aku guna akaun butik pulak komen kat gambar dia. Biar orang tu gabra.”

Lantas dia mencari aplikasi Instagram. Namun, dia terperasan ada notifikasi di aplikasiWeChat. Alangkah terkejut melihat Mr. Krab memohon untuk menjadi kawannya. Aik?! Bukan ke memang selama ni mereka dah jadi ‘friend’? Tapi, kenapa kali ni gambar profil Mr. Krab lain? Gambar kasut yang dipakai diambil darisudut atas.

Agaknya ni akaun baru Mr. Krab. Sebab tu dia add aku balik. Memikirkan kebarangkalian itu, dia terus ‘accept’ akaun baru Mr. Krab itu.

“Lepas ni, kita kena buat watermark besar-besar sikitlah, Nomi. Kalau lepas ni ada lagi yang curi gambar kita, siap! Aku report polis. Aku tak kira!” Tiara menyatakan amarannya. Pagi-pagi lagi dah buat dia marah dan geram.

Nomi sedikit tersentak. “Err... ya, ya. Betul! Aku setuju!” Lalu dia keluar dari aplikasi WeChat danmembuka Instagram pula.

Dia bangun menuju kekerusi kaunter bayaran dan duduk di situ. Dia buat apa yang dirancangnya tadi.

“Kita kena selalu check, Nomi. Benda ni tak boleh dibiarkan. Nanti makin menjadi-jadi pulak. Makin naik lemak dia orang ni. Senang-senang je nak curi gambar kita.”

Nomi terangguk-angguk sambil menaip sesuatu di ruangan komen gambar mereka yang dicuri. “Betul, betul...”

“Tapi bila aku fikir-fikir balik, aku tahu kenapa gambar kita ni orang curi. Kau tahu sebab apa?”

Nomi mengerling Tiara sekilas. “Kenapa?” Dia sudah selesai meninggalkan komen dengan akaunnya. Tinggal mahu komen menggunakan akaun butik pula. Tapi tunggulah seketika dulu. Nanti nampak sangat macam dirancang-rancang.

“Tu maknanya... baju-baju, tudung, semuanya yang ada dalam butik kita ni cantik sangat. Sampai ada orang nak tiru design kita. Tak gitu?” Tiara ketawa. Seronok betul dia.

Nomi turut ketawa. Betul jugak tu! Belum setahun dah ada yang nak tiru rekaan mereka. Siap curi gambar lagi. Tu tanda-tanda positif tu.

Tiba-tiba Nomi menepuk dahi sendiri. “Ohh... baru aku teringat. Aku lupa nak cakap kat kau, Ti.”

“Apa?” Muka Tiara tertanya-tanya.

“Papa aku nak tengok akaun kita hujung bulan ni.”

“Huarghh!” Tiara terjerit.

Nomi tergelak. Tiara punya respons melebih-lebih pulak.

“Hu... hu... hu... jung bulan ni?”

Nomi mengangguk.

“Alamak... aku dahlah buat akaun cincai-cincai. Tak complete sangat. Asal aku dengan kau faham, sudahlah. Ni kalau papa kau yang ada syarikat audit nak check, rasa nak terkencing aku ni.” Tiara bingkas bangun membawa beg tangannya menghampiri meja kaunter. Dia menggelabah.

“Aku nak semak balik akaun bulan-bulan lepas.” Terus Tiara duduk dan mengeluarkan fail-fail dari dalam laci.

Makin tergelak Nomi. “Aku dah check dah akaun tu semua. Okey. Papa aku tu nak tengok progress. Nak tengok margin keuntungan kita. Tu je.”

Mendengar kata-kata itu, barulah lega hati Tiara. Namun sekejap je. “Eh, tiap-tiap bulan kita belum pernah rugi, kan? First three months jelah kita sangkut sikit. Lepas tu dah okey, kan?” Dia menyelak-nyelak fail yang sudah dibuka.

“Okey, memanglah okey. Tapi, aku rasa papa aku mesti tak puas hati tengok akaun kita nanti. Rasanyalah...” ujar Nomi yang masih membelek telefon bimbitnya.

Alangkah terkejutnya dia apabila menerima notifikasi dari aplikasi WeChat. Lalu dia membukanya. Mesej daripada Mr. Krab! Serta-merta wajahnya berubah cerah.


Salam, awak...

Sorry saya tak reply mesej awak.

Handphone saya hilang.

Ni nombor baru saya. WeChat baru saya.

Kita patutnya jumpa hari ni, kan?

Okey... kita jumpa malam nanti.

Pukul 8.00 kat The Grilled.

Saya pakai baju warna merah.

Awak pakai warna merah jugak okey?

Bye! ^^


Sebaik saja selesai baca mesej itu, Nomi ketawa berdekah-dekah.

Tiara kehairanan. Terus dia menutup fail. “Kenapa? Kenapa? Kenapa?Orang tu balas komen kau kat Instagram dia ke?” Tiara cuak.

“Ya ALLAH...” Senyuman Nomi meleret.“Bukan pasal tu!” Dia kemudian membalas mesej Mr. Krab, memberitahu bersetuju untuk berjumpa.

Dan dia tinggalkan nombor telefon bimbit supaya mudah Mr. Krab menghubunginya. Mulai sekarang, dia berjanji takkan berahsia apa-apa dengan Mr. Krab.

“Ah, sudah... senyum sorang-sorang pulak dah.” Tiara sangsi.

Nomi ketawa. Dia berlalu dari situ. Bulu ayam yang dicampak atas lantai dikutip semula, mahu menyambung mengemas.

“Kau kenapa, Nomi? Janganlah buat aku seram tengok kau macam tu!” laung Tiara. Renungannya ke arah Nomi mula prejudis.

Senyuman Nomi melebar. “Mr. Krab nak jumpa aku malam ni!”

“Fuyohh!” Tiara ketawa, seronok bila tahu janji temu Nomi menjadi. “Yeah! Akhirnya, Mr. Krab akan jumpa Spongebob!”

Nomi ketawa. Dia kemudian menyanyi lagu Melly Goeslow. Bulu ayam jadi mikrofonnya. “Bagaikan langit di sore hari, berwarna biru, sebiru hatiku. Menanti khabar yang aku tunggu, peluk dan cium, hangatkan untukku...” Dia senyap. Dipandang ke arah lain pula.

Tiara memerhati.

Nomi pantas memandang Tiara dan menyanyi. Macam dalam drama. “Bagaikan langit di sore hari, berwarna biru, sebiru hatiku. Menanti khabar yang aku tunggu, peluk dan cium, hangatkan untukku...”

Tiara ketawa sambil tergeleng-geleng melihat telatah Nomi menyanyi penuh perasaan.


TELEFON bimbit berwarna putih itu diletakkan ke tepi. Adib menghempas nafas berat. Dia sudah membaca mesej balasan Nomi. Nomi bersetuju mahu bertemu dengannya.

Kedua-dua tangannya meraup rambut lurus yang terjuntai di bahagian hadapan sebelum ditekup ke muka yang ditongkatkan ke atas meja.

“Betul ke keputusan yang aku buat ni? Ya ALLAH...” gumamnya sendirian.

Kalau ikutkan hati, rasa berat sangat nak jumpa Nomi tu. Berat hati. Bahkan, dia rasa tak sedap hati. Rasa macam nak batalkan pertemuan dengan Nomi.

“Tapi aku dah janji dengan Sham.” Keluhannya terhembus. Dia termenung dalam tekupan tangannya. Macam-macam yang bermain dalam fikiran.

“Tak apa, Dib. Kau buat je macam Sham cakap tu. Lepas jumpa, jangan bagi respons positif. Berdiam lebih baik. Lama-lama, pasti aku dengan dia akan saling melupakan dan hubungan terus terputus. Yang penting, hutang aku dengan Sham settle. Tu je yang aku kena fikirkan sekarang.” Dia cuba memotivasikan diri.

“Penat sangat ke, Abang Adib?”

Adib tersentak. Automatik dia melurutkan tekupan tangan di muka. Terpapar wajah Hazza di hadapannya. Bibirnya menguntum senyuman. “Hazza...”

“Abang nampak macam penat. Banyak kerja kena buat ke?” soal Hazza mesra.

Adib ketawa. “Tak adalah. Penat sikit je.”

“Ohh...” Lalu Hazza mengeluarkan sebiji mufin dari dalam kotak yang dibawanya. “Nah, untuk abang.” Diletakkan mufin coklat itu di atas meja Adib.

“Wah...” Adib mula terharu. “Terima kasih, Za.”

“Bukan Za, bang... tapi bos yang bagi. Za cuma tolong edarkan je.”

Adib tersenyum malu. Dia sudah tersalah anggap.

“Sebab Abang Adib penat, Za bagi dualah!” Hazza meletakkan sebiji lagi mufin di atas meja Adib.

“Eh, tak apa ke? Nanti bos marah pulak abang dapat dua, orang lain dapat sebiji je.” Adib mula rasa bersalah.

Hazza menggoyang-goyangkan jari telunjuknya. “Kalau bos marah Abang Adib, Hazza marah dia balik!” guraunya.

Terhambur ketawa Adib. “Ada-ada je Za nilah!” Diperhatikan Hazza berlalu.

Senyumannya terukir. Dia benar-benar sudah jatuh cinta pada Hazza. Manis, ayu, sopan, sedap mata memandang, baik...

Ketika memandang meja semula, dia terpandang telefon bimbit. Terus mati senyumannya. Macam mana aku nak jumpa perempuan lain dan berpura-pura? Sedangkan dalam hati aku cuma ada Hazza?

“Erghh...” Dia menekup mukanya kembali.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.