Home Novel Komedi/Romantik Komedi GILA TAK RINDU
GILA TAK RINDU
muRni aQiLa
6/4/2015 12:32:50
106,483
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 9

KHALID yang baru keluar dari bilik terhenti melangkah. Perlahan-lahan dia menutup pintu sambil memasang telinga. Dia dengar dengan jelas suara Nomi menyanyi di dalam bilik air yang terletak di ruang tingkat atas rumahnya itu.

“Oh... asmara... yang terindah, mewarnai bumi... yang kucinta menjanjikan aku... terbang ke atas ke langit ketujuh... bersamamu. Oh... dewi cinta... sandarkan aku di bahumu, ada kurasa rindunya hati, teredakan sudah hadirmu sayang, tenangkan diriku...”

Bukan main kuat lagi Nomi menyanyi.

Tergeleng-geleng Khalid sambil tersenyum senget. Entah lagu apa entah yang anaknya menyanyi. Kalau ikutkan telinganya, itu bukan menyanyi, tapi ‘melalak’! Dia bukan tahu lagu orang muda sekarang. Lagi-lagi bila Nomi menyanyi. Hancur!

Dia menuruni anak tangga dan menuju ke ruang meja makan. Hasyimah ketika itu sedang menyendukkan bihun goreng ke pinggan.

“Anak awak tu... dia ingat bilik air tu pusat karaoke?” adu Khalid pada isterinya.

Hasyimah hanya tersenyum.

“Dari dulu tak berubah. Ingatkan dah besar panjang ni tak terlolong-lolong lagi dalam bilik air.” Khalid masih mahu menjadikan Nomi sebagai topik perbualan.

“Ni abang tengok makin kuat pulak dia menyanyi,” sambungnya lagi. Air kopi O yang sudah dituang dalam cawan diteguk sedikit.

Hasyimah melabuhkan duduk sambil menyuakan pinggan yang penuh dengan bihun goreng ke hadapan suaminya. “Anak abang,” komennya sambil senyum.

“Anak awak jugak.” Khalid mencapai sudu dan garpu. Setelah membaca bismillah, dia mula menikmati sarapannya itu.

“Binti nama abang.” Hasyimah masih mahu mengusik.

Khalid terdengus perlahan.

Hasyimah ketawa. Dia turut menikmati bihun gorengnya. “Dah hobi dia menyanyi dalam bilik air. Nak buat macam mana? Biasanya, dia menyanyi perlahan sikit. Tapi hari ni entah apa dia mimpi agaknya. Kuat betul dia menyanyi.”

Khalid tergeleng-geleng. “Awak nasihatlah anak tunggal awak tu, Syimah. Kot sampai ke tua perangai tak berubah macam tu. Kat rumah sendiri tak apalah jugak. Buatnya kat rumah mak mertua pun terlalak terlolong macam ni, buat malu je!”

“Jarang-jarang dia menyanyi. Biarlah... sedap jugak suara dia nyanyi, bang. Kadang-kadang seronok saya dengar. Cuba abang dengar betul-betul. Sedap suara dia tu.” Hasyimah beria-ia memuji.

“Ahh... awak ni. Suara kambing pun awak kata sedap,” cebik Khalid.

Terkekeh-kekeh Hasyimah ketawa.

Khalid mengerling mata ke atas, ke arah bilik air. Masih terdengar sayup-sayup Nomi menyanyi.

Nomi di dalam bilik air sedang ‘naik syeikh’. Bilik air dah jadi macam konsert solonya. Dengan berkemban, botol syampu dijadikan mikrofon. Air pancuran dipasang mencurah-mencurah sesekali membasahi tubuhnya. Dan dia masih menyanyi lagu rancak Melly Goeslow bertajuk Bagaikan Langit.

“Bagaikan langit di sore hari, berwarna biru, sebiru hatiku. Menanti khabar yang aku tunggu, peluk dan cium, hangatkan untukku...” Terangguk-angguk Nomi menyanyi. “Ewaahh!!” Dia buat gaya bermain gitar elektrik.

“Oh... asmara... yang terindah, mewarnai bumi... yang kucinta menjanjikan aku... terbang ke atas ke langit ketujuh... bersamamu. Oh... dewi cinta... sandarkan aku di bahumu, ada kurasa rindunya hati, teredakan sudah hadirmu sayang, tenangkan diriku...” Nomi terlompat-lompat sambil menyanyi.

“Ayuh, semua! Say ‘Mr. Krab gila’!” Sempat lagi dia mengutuk Mr. Krab yang telah buat dia sakit hati.

Orang dah mesej dia tak balas. Senyap je! Nak jumpa ke tak nak? Kalau tak nak, cakaplah tak nak! Senang sikit kepala otak aku ni tak payah nak fikir-fikir. Huh!

“Oh... asmara... yang terindah, mewarnai bumi... yang kucinta menjanjikan aku... terbang ke atas ke langit ketujuh... bersamamu. O... Mr. Krab gila... sandarkan aku di bahumu, ada kurasa rindunya hati, teredakan sudah hadirmu sayang, tenangkan diriku...” Dia ketawa pula kerana dapat menggelar Mr. Krab gila dalam nyanyiannya.

Dia menyanyi semula dengan begitu gembira.



“DAH pukul 10.15 malam dah. Takkan tak sampai lagi?” Adib melilaukan pandangan ke arah tempat parkir kereta. Langsung tak nampak kereta Honda Civic Risham.

Dia menanggalkan topi keledar setelah mematikan enjin motosikal yang diparkir berdepan dengan restoran yang dijanjikan. Dia turun dari motosikalnya. Lambat-lambat dia melangkah masuk ke dalam restoran itu bersama topi keledar untuk mencari tempat duduk.

Sebaik saja dia duduk, pelayan datang mengambil pesanan. Dia hanya meminta minuman. Tatkala minuman yang dipesan tiba, muncul Risham bersama wajah keruhnya.

“Eh, sorry... aku lambat sikit,” ujar Risham berbahasa setelah duduk.

“Tak apa.” Adib menyedut air teh O ais sedikit.

Risham duduk bersandar. Lemah. Dia menghela nafas panjang dan melepaskannya keras. Apabila datang seorang pelayan menghampirinya, dia buat isyarat tak mahu memesan apa-apa. Pelayan itu berlalu.

Pelik Adib melihat aksi Risham itu. “Kau okey tak ni?”

Risham melepaskan nafas yang teramat panjang. Kedengaran begitu lemah. Lama dia diam merenung Adib.

Adib sudah rasa ada yang tak kena. Dia menyedut semula minumannya.

“Aku ada hal penting nakbagitahu kau.”

Adib menoleh memandang Risham.

Risham seriuskan wajahnya. “Ini betul-betul penting.”

Mendengar suara dan melihat wajah Risham, tahulah Adib yang sahabatnya itu tak bergurau. Tubuhnya tegak. “Tu sebab kau mesej aku? Nak jumpa aku kat sini?”

Risham mengangguk.

Terdiam Adib. Mesej Risham itulah yang membuatkan dia tak senang duduk sejak semalam. Mesej itu begitu misteri baginya, membuatkan dia tertanya-tanya.

“Aku tak main-main, Dib. Aku harap sangat kau boleh tolong aku.” Risham bertegas.

Kerana mereka bersahabat dan Risham dah banyak menolong, Adib susah nak cakap ‘tak boleh’. Dia dah banyak berhutang duit dengan lelaki itu. Kalau tak kerana dia benar-benar memerlukan, tak mahu dia berhutang. RM30 ribu bukannya sikit.

“Macam nilah...” Risham tunduk seketika dan kemudian memandang Adib tajam. “Berapa lagi hutang kau kat aku?”

Alamak! Soalan apa ni? Sampai menyebut-nyebut pasal hutangnya. Bulan ni dia dah bayar hutang Risham. Adib sedang berkira-kira.

“Hutang kau kat aku tinggal lagi... tiga ribu.” Risham memberitahu.

Adib mengangguk. Setelah hampir dua tahun, sudah tak banyak yang perlu dia bayar pada Risham.

“Aku akan anggaphutang tu...” Risham terdiam sejenak merenung Adib. “Settle,” sambungnya.

Terangkat kening Adib. “Kau biar betul? Tak...”

“Tapi...” Lekas-lekas Risham menyambung. “Kau kena buat sesuatu untuk aku.”

Makin tak senang duduk Adib kini. Dahinya berkerut.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.