Home Novel Keluarga Cinta Senget-Benget
Cinta Senget-Benget
Nina Rose
23/9/2013 21:05:35
83,831
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Beli Sekarang
Bab 6
6

Dengan muka manis Encik Ikan Masin duduk bersandar. Wajah Ayumi diperhatikan. Banyak kali gadis itu bertanya, banyak kali juga dia diam. Pasti sabar gadis itu kian menipis. Dia rasa emosi gadis itu akan semakin terganggu dengan jumlah yang bakal disebut. “Kalau saya kata RM 200, macam mana?” tanya Encik Ikan Masin serius.

Ayumi kerut dahi. Mata Encik Ikan Masin direnung.

“Biar betul? Nak membuli pun agak-agaklah,” protesnya benci dipermainkan. ‘Elok tadi muka dia ni nampak handsome dan menenangkan, sekarang dah macam hantu laut pula.’ Dia tidak puas hati dengan jumlah itu. Jangan-jangan lelaki itu menuntut harga dobi untuk semua pakaian yang telah di dobinya. Melampau!

“Saya tak buli awak. Memang itu harga yang perlu awak bayar. Kenapa? Awak ada masalah nak bayar ke?” tanya Encik Ikan Masin tenang.

“Awak ingat saya ni tak ada duit nak bayar? Kalau iye pun nak suruh saya bayar biarlah nilai yang awak minta tu masuk akal! Awak fikir saya ni bodoh sebab tinggal kat pulau yang terpencil.” Muka tenang dengan senyuman manis masih Ayumi pamerkan, walau dalam hati terasa mahu mencucuk muka Encik Ikan Masin dengan garfu. “Saya anggarkan upah mendobi dan menggosok kot awak tu sampai licin, lebih kurang dalam RM 20.00 aje. Jadi tak payahlah nak mengarut sangat,” tambah Ayumi.

Kata-kata Ayumi buat Encik Ikan Masin tersenyum nipis. Ayumi memang berani. “Saya belum buat penjelasan, awak dah buat andaian bukan-bukan tentang diri sendiri. Saya tak cakap pun awak tak boleh bayar.”

Ayumi hembus nafas. Encik Ikan Masin ni berbelit-belit.

“Awak tahu... air dari ikan yang belum kering tu dah pun rosakkan warna kot saya. Mungkin bahan kimia yang digunakan untuk memerap ikan tu terlalu banyak atau terlarang. Mungkin juga itu bahan eksperimen kanak-kanak,” jelas Encik Ikan Masin. Siapa tahu mungkin dalam bakul itu ikan yang telah dibuang dan menjadi permainan pondok-pondok budak-budak di sana.

Ayumi terdiam. Alasan lelaki itu masuk akal juga.

“Saya tak mintak awak ganti kot tu. Tapi...” Encik Ikan Masin buat muka penuh muslihat. Kopi yang belum habis diteguk.

Ayumi merenung lelaki itu. Entah apa lagi permintaannya.

“Tak payahlah banyak sangat alasan. Saya boleh bayar ganti rugi tu. 200 bukannya dua juta,” beritahu Ayumi. Jangan harap nak membuli.

Encik Ikan Masin tergelak kecil. Ayumi ni kelakar dan mencuit hati. Tapi dia tidak mahu begitu. “Kalau duit saya pun ada. Tapi saya nak awak bayar ganti rugi dengan sesuatu yang lain.”

“Maksudnya? Jangan minta saya masuk bilik awak dah lah. Saya bukan perempuan macam tu,” kata Ayumi mengingatkan. Kalau sudah sejelas itu dia berkata-kata tapi Encik Ikan Masin masih juga berniat salah memang nak kenalah tu.

Encik Ikan Masin merenung Ayumi seketika. Hatinya semakin tercuit. Dia senyum sebelah bibir. Dalam berani penakut juga gadis itu rupanya. “Jangan risau. Saya tak minta benda yang bukan-bukan.”

“Okey, awak nak apa?”

“Teman.”

“Teman?” Ayumi buat muka pelik. Tadi dia dah cakap dia bukan peneman sosial, kan. Tak faham ke?

Encik Ikan Masin mengangguk. “Sudi tak awak temankan saya ambil angin di pulau ni sekejap?” Cawan di tangan diletakkan atas piring semula.

Itu aje? Ayumi berfikir sejenak. “Lepas tu semuanya selesai? Awak tak cipta helah yang lain?” Dia mahukan kepastian. Manalah tahu cerita lain pula yang jadi. Biarpun dia jatuh suka dengan Encik Ikan Masin, dia masih perlu berhati-hati kerana mereka tidak saling kenal.

Encik Ikan Masin mengangguk. “Ya. Kalau setuju jomlah kita pergi sekarang,” Tidak sabar rasanya hendak menghilangkan kebosanan pada hari-hari terakhir dia di situ.

Ayumi pandang Encik Ikan Masin seketika. Mencari kejujuran yang mungkin terpancar dari mata lelaki itu. Teragak-agak juga dia mahu mengikut lelaki itu. Jadi manusia harus bijak meletakkan diri di posisi yang betul. Selagi tidak melanggar hukum alam dan Tuhan, dia perlu memenuhi permintaan lelaki itu.

AYUMI menemani Encik Ikan Masin ke pasar malam yang ada dua kali seminggu di pulau kecil itu. Kebiasaannya ramai penduduk atau pelancong ke situ. Suasana petang agak meriah walaupun aktiviti jual beli baru sahaja bermula.

Hilang rasa terpaksa Ayumi tadi. Dia jarang dapat bersiar-siar di pulau kecil itu biarpun hanya bersebelahan dengan pulau tempat tinggalnya. Di pulau tempat tinggalnya tiada pasar malam seperti itu, kebanyakan penduduk akan ke tanah besar untuk membeli keperluan. Mungkin kerana pulau kecil itu ada banyak resort dan ramai pelancong maka penduduk di sekitar mengambil peluang berniaga. Pelancong pula boleh menikmati pelbagai jenis masakan tempatan dan membeli hasil kraf dengan lebih mudah.

Encik Ikan Masin memegang sebuah topi. Pasar biasa seperti itu pun boleh menggembirakan hati gadis itu. Nampaknya gadis itu seorang yang sederhana. Topi yang disukai, dibayar. Satu untuk lelaki, dipakai ke kepala sendiri dan satu lagi untuk perempuan, dipakaikan ke kepala Ayumi.

Ayumi agak tergamam dengan tindakan Encik Ikan Masin.‘Kenapa?’ tanya hatinya. Ah, Encik Ikan Masin... janganlah nak mencuri hati pula.

Perasan dengan reaksi muka Ayumi yang salah faham Encik Ikan Masin bersuara. “Tak ada niat tersembunyi. Awak pakai topi tu untuk elak apa-apa yang terbang menimpa kepala.” Sebenarnya topi itu cantik dan dia menyukainya. Kebetulan hanya Ayumi bersamanya, tak salah dihadiahkan sahaja sebagai balasan menemaninya bersiar-siar.

Ayumi tersenyum malu. Agaknya kalau kapal terbang yang jatuh dari langit dan menimpa ke atas topi tu boleh ke mereka terselamat? Dia mencuri pandang Encik Ikan Masin lagi dan tersenyum ketika pandangan mereka bertaut.

Manis. Rasa cukup serasi pula bertemankan gadis itu. Encik Ikan Masin mengalihkan pandangan. Boleh cair hatinya melihat bibir kecil gadis itu dari tadi asyik mengukir senyuman.

Setelah membeli kudapan yang diinginkan mereka berjalan menuju ke jambatan tempat orang memancing. Di atas jambatan panjang itu masih ramai pengunjung yang menjamu mata dengan melihat anak-anak ikan berwarna-warni berenang di bawah jambatan. Mereka mengambil tempat yang agak jauh ke tengah.

“Banyak anak ikan kat sini, bang?” tanya Encik Ikan Masin sekadar beramah mesra dengan seorang pengunjung yang membawa anak kecil. Jika di Kuala Lumpur semua itu perlukan bayaran. Ikan yang luar biasa pula hanya boleh dilihat di dalam tangki gergasi Aquaria KLCC.

“Ha’ah, budak-budak suka,” balas pengunjung itu.

Encik Ikan Masin membalas kata-kata pengunjung itu dengan senyuman sebelum mengambil keropok losong yang Ayumi hulurkan. Dia bersandar ke bahagian pengadang jambatan.

“Sebelum ni saya kerap juga ke sana tu, tapi tak pernah jumpa awak,” kata Encik Ikan Masin sambil memandang pulau tempat tinggal Ayumi yang boleh dilihat dari jambatan itu. Setiap kali ke sana dia suka juga memerhatikan wajah-wajah orang di situ.

“Mungkin awak tak perasan. Lagipun kat pulau tu ramai orang,” balas Ayumi. Manalah mereka boleh berjumpa kalau tugasnya awal pagi ke dermaga dan selepas itu pulang ke rumah untuk tidur.

“Mungkinlah.” Setuju Encik Ikan Masin. Untuk seketika matanya terpukau lagi menatap wajah Ayumi.

“Awak ni macam Sizuka.” Entah kenapa wajah watak kartun dalam siri Doraemon itu menerpa ingatannya.

Ayumi menyentuh pipinya. Dia macam Sizuka? Tak cantiklah tu.

“Awak pun handsome. Mesti dah ada girlfriend?” balas Ayumi semakin selesa berbual.

Encik Ikan Masin senyum tak sudah. Amboi! Ke situ pula yang ditanyakan gadis itu. Sensitif pula hendak dijawab.

“Saya belum ada boyfriend?” beritahu Ayumi. “Kalau awak dengan saya, nampak macam sepadan,” usik Ayumi pula.‘Agaknya mereka ada peluang menjalin hubungan lebih jauh tak?’ Hatinya berangan sendiri.

Encik Ikan Masin angkat kening. Terkedu diusik begitu. Biar betul? Ini dah kes getah paip cari kepala pili. Ah, sudah! Encik Ikan Masin rasa lain macam.‘Gempa bumi ke?’ tanya hatinya. Rileks. Rileks... kau kena berdiri di paksi yang betul. Gadis ni mengarut aje. Ayumi dipandang dengan lidah terkelu.

“Hmm... rasa meremang bulu roma. Petang-petang ni sejuk pula angin bertiup. Jomlah balik. Saya teman awak sampai jeti.” Encik Ikan Masin melangkah lebih dahulu ke hadapan. Berlama-lama dengan gadis itu bererti bahaya.

Ayumi mengikut dari belakang. “Awak ni pelik. Kenapa tergesa-gesa? Kita baliklah kejap lagi. Banyak lagi masa ni,” kata Ayumi. Setelah dia membiarkan Hadi menunggu di sana boleh pula Encik Ikan Masin menarik diri dari terus menjadi pelancong yang dipandu.

“Tak ada apa. Saya kesian awak mungkin penat kalau saya ajak pusing satu pulau ni,” dalih Encik Ikan Masin.

“Taklah. Mana ada. Saya seronok dapat temankan awak,” beritahu Ayumi lurus.

Encik Ikan Masin berhenti melangkah. Ayumi dipandang. Dia tiada alasan lagi. Macam mana? Tapi kenapa dia nak larikan diri? Gadis tu kan mengarut aje. Sama macam dia yang suka mengusik juga.

“Kalau awak tak nak saya teman awak lagi. Kita tukar tempatlah,” cadang Ayumi.

“Tukar tempat?” Encik Ikan Masin buat muka pelik.

Ayumi mengangguk. “Awak pula teman saya tengok pulau ni,” pinta Ayumi dengan senyuman.

“Boleh pula macam tu?” Sekarang ni siapa yang teman siapa? Encik Ikan Masin terkeliru.

Ayumi mengangguk lagi. “Kenapa tak boleh? Jomlah kita pergi main layang-layang,” ajak Ayumi. Hujung lengan baju Encik Ikan Masin ditarik mengikutinya.

“Eh...” Encik Ikan Masin tidak selesa tapi terpaksa juga mengikut.

Puas bermain layang-layang Encik Ikan Masin mengajak Ayumi ke masjid pula. Leka bermain waktu asar kian berlalu. Dia rasa hidup tidak lengkap andai meninggalkan satu dari lima waktu wajib itu dengan sengaja. Setelah TUHAN memberi nikmat hidup secara percuma, takkan dia tidak tahu cara hendak berterima kasih pula.

“Kenapa awak nak sangat ke sini? Gerai jual ikan bakar berhampiran jeti kan lagi menarik. Ada karaoke,” tanya Ayumi. Masjid di hadapan mereka di pandang.

“Nak solatlah.” Pertanyaan Ayumi buat Encik Ikan Masin kurang selesa. Merekakan berbeza. Perempuan ada hari cuti, lelaki tidak. Janganlah seret dia sekali dalam cuti yang sedang Ayumi lalui itu.

“Solat?” Ayumi kerut dahi.

Encik Ikan Masin garu kepala. Takkan solat pun tak tahu? Ni bukan kes cuti, ni kes lain.

“Sembahyang?” tanya Ayumi mahukan kepastian. Dia tahu orang Islam ke masjid untuk bersembahyang.

Encik Ikan Masin menjeling ke atas. Laa... keliru perkataan rupanya gadis ni.

“Kalau sebut solat kan lebih manis,” balas Encik Ikan Masin.

Ayumi masih dengan muka tidak faham. Dia tidak pernah singgah ke situ. Kalau lalu selalu.

“Perkataan sembahyang tu digunakan sebelum zaman kedatangan Islam oleh orang-orang yang memberi persembahan kepada Tuhan yang bernama Yang. Jadilah sembahyang. Tapi bila Islam bertapak, kita diajar untuk bersolat, bukan sembahyang. Faham?” jelas Encik Ikan Masin sekadar berkongsi apa yang dijelaskan ustaz di sekolah agamanya dulu. “Awak tak nak solat?”

Ayumi menggeleng.

“Tak apalah, saya faham. Saya pergi dulu. Awak tunggu aje kat sini.” Sudah Encik Ikan Masin jangkakan Ayumi bercuti. Jadi untuk seketika Ayumi ditinggalkan berhampiran kerusi batu di hadapan masjid itu.

Ayumi memandang Encik Ikan Masin hingga menghilang. Dia Islam, Encik Ikan Masin juga Islam walaupun bangsa mereka berbeza. Tetapi kenapa hala tuju hidupnya tak sama? Dia tidak pernah solat. Dia juga tidak pernah melihat Tina dan Zaki bersolat.

Menjelang senja Encik Ikan Masin menemani Ayumi ke jeti. Dalam diam dia seronok ditemani atau menemani Ayumi.

“Arigato,” ucap Ayumi sebaik turun dari van yang mereka naik. “Minggu depan kalau awak free, boleh kita keluar lagi,” tawar Ayumi.

‘Dah serik!’ jerit hati Encik Ikan Masin.‘Tak mahu! Tak mahu! Bahaya kalau terpikat dengan Sizuka tu nanti,’ laung hatinya lagi. “Esok saya dah nak balik KL.”

“Ooo...” Ayumi buat muka hampa. Hatinya yang tertarik kepada Encik Ikan Masin berlagu kecewa. Ketika bot yang dinaiki mula bergerak Ayumi melambai Encik Ikan Masin. ‘Semoga jumpa lagi,’ bisik hatinya.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.