8
ADAKAH aku akan menemui apa yang
disukai seperti Yukari? Apa yang aku suka? Ayumi terkelip-kelip sendiri.
Animasi yang selesai ditonton tiga jam lepas sedikit menganggu fikirannya.
Setakat ni apa yang dia buat masih juga belum memenuhi kepuasan diri. Sebelum
ini dia sangka kehidupannya sudah lengkap, tidak perlu merancang apa-apa lagi.
Tetapi... dia mencebik sendiri. |
Matanya memandang bilik kecil itu.
Ini yang terjadi. Dia hidup, tak mati tetapi terkandas antara hidup dan mati.
Betul kata Hadi, dia harus punya kehidupan lebih baik daripada itu. Dia kena
tinggal di bandar. Tetapi, perkataan tetapi itulah yang selalu menjadi masalah.
Sudahlah dia melanggar undang-undang berdaulat Malaysia dan meletakkan diri di
bawah kesalahan tinggal lebih masa. Jika disabit kesalahan di bawah Seksyen
15(4) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dia boleh dikenakan denda tidak kurang
RM 10,000.00 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya. Kalau setakat denda
pejam mata sahaja boleh dibayar. Kalau kena penjara? Alamat lima tahunlah dia
merana. Tak adalah nampaknya dia berpeluang hendak membuat kesalahan baru
dengan bekerja pula. Kalau hendak terus tinggal di Malaysia pilihannya hanya
pulau itu, tiada pihak berkuasa yang akan ambil tahu soal dirinya.
Ayumi teringatkan Pak Hamid pula.
Cadangan Pak Hamid ada juga benarnya. Kalau dia berkahwin dengan lelaki
tempatan kehidupannya akan kurang bermasalah. Sebagai isteri yang mengikut
suami dia boleh menguruskan dokumennya sebaik mungkin. Dan mungkin dia
berpeluang mencari pekerjaan yang sesuai. Mungkin juga darah ahli perniagaan
yang mengalir dalam tubuhnya boleh digunakan. Tetapi apa matlamat hidupnya?
Selepas meninggalkan dunia Ayumi, dia sudah menjadi Natasa. Natasa ini perlu
diatur supaya mempunyai matlamat hidup, Waa... terasa dirinya bagaikan robot
model baru pula. Kusut! Ingatkan boleh tolong kembangkan perniagaan neneknya,
tapi Tina pula tak sudi beri peluang. Ayumi herotkan bibir.
“Sa! Kau buat apa dalam bilik tu?”
suara Tina kedengaran dari sebalik pintu bilik Ayumi yang tertutup rapat.
Kening Ayumi terangkat. ‘Tina dah
balik?’ tanya hatinya. Sempat jam dinding dilirik. Hampir pukul 6.00 petang,
patutlah Tina dah sampai rumah. “Baru nak pergi mandi auntie,” beritahu Ayumi.
Cepat-cepat tuala mandi di ambil dari penyidai.
“Hmm! Cepat sikit. Aku penat ni. Lauk
yang aku beli ni, kau tolong panaskan untuk makan malam,” pesan Tina sebelum
mengatur langkah ke dapur bersama beberapa beg plastik di tangannya. Malam itu,
dia tidak larat mahu memasak. Nak harapkan Ayumi? Memang tak boleh diharap!
Ayumi hanya tahu memanaskan makanan segera yang ada dalam peti sejuk sahaja.
Arwah kakaknya yang cekap memasak dulu tu tak sempat mewariskan ilmu memasak
kepada Ayumi ke? Tina menggeleng tidak faham.
“Manjakan anak sampai nak hantar
makan ke tekak sendiri pun tak lepas,” rungut Tina mengenangkan Tini.
Mujur Tina tidak banyak berleter
petang itu. Ayumi melangkah ke bilik air dalam biliknya dengan senang hati.
Tapi baru sahaja dia mahu masuk ke bilik air suara Tina kedengaran lagi.
“Sa, lepas mandi kau jangan lupa
jerang nasi. Tak ada nasi karang macam mana nak makan? Takkan nak jadi kucing
makan lauk.”
Ayumi menjeling ke atas. Kalau dia
tak masuk tangan menyudahkan kerja Tina yang tak seberapa itu mesti Tina tak
puas hati.
“Okey, auntie,” balas Ayumi.
“Cepat!” laung Tina sebelum berlalu
ke biliknya untuk berehat seketika.
HADI masih merajuk. Mungkin hati
kawannya itu masih terbuku dengan hal semalam. Bermakna hari itu juga mereka
takkan singgah di batas ban. Selepas menghantar Hadi pulang Ayumi tidak rasa mahu
pulang ke rumah. Dia mahu mengambil angin di tepian pantai. Melihat pengunjung
lain menikmati indahnya alam dan ketawa riang dibelai lembutnya bayulaut mampu
buat dia tersenyum juga.
“Saaa...”
Laungan itu membuatkan Ayumi berlari
ke gigi pantai. Mendapatkan lelaki Cina yang memanggilnya. Sesekali dapat
mengikut Tauke Liung menghantar pelancong yang mahu melihat karang, penyu atau
menyelam di tengah laut sangat menyeronokkan. Mungkin hari itu Tauke Liung akan
mengajaknya mengikuti aktiviti yang digemari pelancong dan penduduk tempatan
itu.
“Ya, atuk,” sapa Ayumi sebaik
menghampiri Tauke Liung yang mesra dipanggil atuk oleh penduduk di situ.
Biarpun berketurunan Cina, Tauke Liung sangat fasih bertutur dalam bahasa
Melayu. Kalau tidak melihat fizikal lelaki sebaya Pak Hamid itu pasti orang
menyangka seorang Melayu yang sedang bercakap. Kata Tauke Liung, orang Malaysia
kena fasih berbahasa Malaysia. Bahasa Malaysia bahasa ibunda rakyat Malaysia,
kena cintai dan sayangi. Ayumi hanya boleh tersenyum. Kerana padanya bahasa
Melayu adalah tuah yang diwarisi. Dia bangga boleh bertutur sebaik Tauke Liung.
“Mari ikut atuk,” ajak Tauke Liung.
Jika ada Ayumi bolehlah dijadikan teman bergelak tawa. Muka Ayumi yang mirip
peranakan Cina itu mengingatkan diri Tauke Liung kepada cucunya yang lebih
kurang seusia Ayumi. Tapi cucunya sudah lama tidak pulang ke pulau itu.
“Hari ni kita nak ke mana?” tanya
Ayumi. Bot Tauke Liung dihampiri. Bot itu kosong, belum ada penumpang.
“Atuk nak hantar awak-awak ke tengah
sana,” beritahu Tauke Liung sambil memandang bot nelayan yang agak jauh dari
situ.
Ayumi mengangguk setuju. Dia tahu bot
besar seperti rumah lengkap dengan peralatan dapur yang digunakan nelayan untuk
menangkap ikan itu tidak boleh memasuki kawasan pantai yang cetek. Bot besar
itu terpaksa diikat pada pelantar terapung di laut yang lebih dalam. Jadi
terpaksalah Tauke Liung menghantar awak-awaknya ke sana dengan bot kecil itu.
Ayumi berhati-hati melangkah ke dalam bot Tauke Liung.
Tauke Liung memandu botnya ke jeti.
Lima orang awak-awak sudah sedia menunggu. Sebaik menghantar mereka, Tauke
Liung membawa Ayumi bersiar-siar di laut. Keriangan Ayumi mengubat rasa rindu
Tauke Liung kepada cucunya. Semenjak anak lelakinya sekeluarga meninggalkan
pulau itu dan berhijrah ke luar negara, dia merasa sepi. Kehadiran Ayumi buat
kehidupannya sedikit berseri. Apalagi Ayumi sangat ramah orangnya.
“Hari ni nak kejar penyu, tak?” tawar
Tauke Liung setelah memberhentikan bot berhampiran kawasan yang menjadi tempat
aktiviti menyelam dan meneroka dasar laut.
Ayumi mengangguk riang. Itu antara
aktiviti pulau yang paling disukai. Ayumi memandang beberapa orang pelancong
dan penduduk tempatan yang sedang terapung di permukaan laut tidak jauh dari
bot mereka. Tidak sabar dia mahu menyertai mereka. Tubuh dijatuhkan ke dalam
laut.
Tauke Liung memerhati. Dari permukaan
laut yang jernih dia boleh melihat Ayumi berenang ke atas.
“Atuk cepatlah,” suruh Ayumi setelah
timbul di permukaan.
Tauke Liung mengangguk dan segera
terjun ke laut.
Melihat Tauke Liung menyelam Ayumi
ikut menyelam. Mereka suka bertanding menyelam. Siapa paling lama berada di
dalam air dikira sebagai pemenang. Walau Ayumi tahu dia tak mungkin menang.
Tauke Liung yang sudah sebati dengan kehidupan laut itu selalu sahaja
mengalahkan Ayumi. Pada usia 65 tahun kehebatan Tauke Liung bertahan di dalam
air memang Ayumi kagumi.
Ayumi yang tidak mampu bertahan lama
dalam air berenang ke permukaan. Dia mengambil nafas seketika sebelum
berpusing-pusing mencari kelibat Tauke Liung di dalam air. Sebaik ternampak,
Ayumi mula tersenyum. Tauke Liung baru sahaja bertembung dengan seekor
obor-obor. Jika tidak disengat haiwan laut itu kira bernasib baiklah.
Tauke Liung berenang ke permukaan.
Dia menarik nafas. “Kacaulah benda tu,” rungutnya.
“Atuk yang kacau obor-obor tu,”
beritahu Ayumi.
Tauke Liung menggeleng tidak mengaku
sebelum mereka ketawa melihat obor-obor itu berenang lebih jauh. Ayumi suka
keajaiban dunia air. Di Tokyo, dia langsung tidak terfikir mahu melakukan
aktiviti seperti itu. Kalau Hiroshi tidak menyebabkan hidupnya jadi begitu,
pasti hari itu dia sibuk dengan kehidupan pejabat dan perniagaan. Haruskah
Hiroshi terus dimusuhi?
MALAM cepat benar menjelma. Aktiviti
petang bersama Tauke Liung kini menjadi kenangan yang Ayumi lakarkan dalam buku
catatannya. Selain menulis buku itu sebagai diari, Ayumi juga gemar melukis.
Setiap hal yang menggembirakan hatinya akan dilakar menjadi komik. Dia punya
kemahiran melukis komik sejak dari kecil lagi. Tapi kemahiran itu tidak
diperluaskan. Dia melukis sewaktu hati gembira sahaja. Buku berkulit tebal
dengan perkataan Tokyo tertulis di luarnya itu Ayumi masukkan ke dalam sarung
plastik khas sebelum disimpan ke dalam beg sandangnya.
“Sekarang waktu tidur,” kata Ayumi
sendiri. Dia membetulkan bantal. Ketika itu telefon bimbitnya berbunyi. Telefon
yang terletak di atas tilam itu di ambil. Mesej.
Sa, aku minta maaf. Tak sanggup nak merajuk
dengan kau lama-lama. ^_^
Hadi? Ayumi tersenyum sendiri.
Akhirnya, Hadi mengalah juga. Skrin telefon bimbitnya disentuh.
Kes kecik. Lupakan aje lah.
Setelah menyentuh ikon hantar Ayumi
berbaring. Telefon bimbitnya berbunyi lagi.
Sa, aku nak tanya sikit. Harap jangan marah ;-)
Ayumi kerut dahi. Ni mesti benda yang
akan buat dia marah. Balas Ayumi.
Kalau kau tak buat aku marah. Aku tak marah.
Kau ada jatuh hati dengan Encik Ikan Masin ke?
:-P
Ayumi memandang skrin telefon
bimbitnya. Hadi masih memikirkan Encik Ikan Masin yang dah hilang ‘digoreng’
bandar raya Kuala Lumpur tu. Ayumi menggeleng.
Hailah kawan, apa kes ni?
Balas Hadi
Jawab aje lah.
Ayumi garu kepala. “Hadi oh Hadi! Kau
ni kenapa?” tanya pada telefon bimbit di tangan.
Okey, aku jujur. Adalah sikit.
Okey. Selamat malam. Mimpi indah.
Ayumi telan liur. Dia tak faham
dengan maksud balasan Hadi. Masih merajuk atau dah okey?