Bab 2
BAYU pantai menampar
lembut pipi Raudah Maryam. Tudung di kepala, menari-nari rancak mengikut arah
tiupan angin. Raudah Maryam tercegat di pasiran Pantai Teluk Kemang itu, dekat
dengan pepohon rhu. Pandangan matanya dilemparkan ke segenap buana yang
terbentang luas. Langit cerah. Sang suria galak bersinar. Lelayang juga begitu
riang berterbangan melintasi samudera nan membiru.
Ombak sesekali datang mendakap pantai. Rakus. Deburannya
menenggelamkan ratusan suara pengunjung yang datang ke situ. Anak-anak kecil
berlari-larian. Di tangan mereka memegang lelayang. Pelbagai jenis lelayang ada
di jual di situ. Bermacam saiz dan berwarna-warni.
Ada juga berlepakan di tepian pantai bersama keluarga, menyiapkan
istana pasir. Ada yang bermandi-mandian. Ada juga yang berjalan menyusuri gigi
pantai sambil galak melayani buih-buih kecil yang menenggelami betis mereka.
Hari ini, hari Rabu tetapi cuti sekolah masih berbaki. Jadinya, ramai keluarga
meluangkan masa bersama anak masing-masing. Kerana Marissa Norhanis juga, hari
ini, Raudah Maryam dan Halim terpaksa emergency
leave.
“Ada nampak kakak tak?” soal Halim sambil memegang bahu Raudah
Maryam. Isterinya yang ralit melayani
panorama pantai itu berpaling lantas bersuara, “Tak ada pun kakak, abang. Tak
datang sini nampaknya dia.” Raudah Maryam bernada hampa.
Kalau diikutkan klu yang cuba dicari mereka, Marissa Norhanis memang
tidak datang ke sini. Sudah dua hari mereka menginap di sebuah hotel di Teluk
Kemang, Port Dikcson. Hotel yang sama setiap kali mereka sekeluarga pergi
bercuti di sini. Tetapi, tiada sebarang klu yang menunjukkan Marissa Norhanis
pernah ke mari.
Sudah dua hari mereka mencari Marissa Norhanis di hotel-hotel
sekitar dan cuba mendapatkan kerjasama pihak pendaftaran penginapan. Tetapi
kebanyakan hotel, tidak mendedahkan identiti pelanggan mereka atas alasan
keselamatan dan privasi.
“Kita nak staylagi sehariatau terus balik KL?” soal Halim sambil
melabuhkan punggung di sebuah kerusi batu.
“Abang…malam tadi, saya bermimpikan kakak. Kakak macam ada kat
kawasan-kawasan pantai. Saya fikir, dia memang berada kat sini. Macam yang
pernah dia buat dulu.”
“Asal merajuk je lari. Asal lari je sebab adalah yang dirajuknya. Sebijik ikut perangai ibunya,” sindir
Halim.
“Sudah-sudahlah menyakitkan hati saya, bang. Sekarang ni bukan masa
kita nak salahkan sesiapa. Kita cari jalan penyelesaian. Kita kena cari kakak
dan pujuk dia balik ke rumah.”
“Kesian kakak tu. Agaknya, kurang dapat kasih sayang kita. Itulah
yang jadi macam tu. Awak sebagai ibunya, terlalu sibuk kebelakangan ni nak
dengar masalah anak-anak. Abang pun perasan.” Halim bersuara perlahan.
Raudah Maryam terkesima. Kata-kata Halim terkesan di sukma. Memang
dia sangat sibuk kebelakangan ini. Bekerja dengan Kementerian Pertahanan, masa
bekerja jadi tidak menentu. Bukan mengikut waktu pejabat. Adakalanya, mesyuarat
petang dibawa ke malam. Lepas mesyuarat, beberapa kertas kerja harus diteliti
dan laporan harus disiapkan.
Pernah beberapa tahun lepas, Marissa Norhanis dan Hakim merajuk
dengan mereka. Semuanya kerana Raudah Maryam termungkiri janji kerana berdepan
masalah di tempat kerja. Percutian yang dirancang mereka untuk ke luar negara
terbatal. Perasaan teruja Marissa Norhanis dan Hakim bertukar rasa kecewa yang
amat sangat. Apatah lagi percutian itu adalah hadiah kerana mereka memperolehi
keputusan yang cemerlang dalam Peperiksaan Menengah Rendah, PMR.
Tanpa disangka Raudah Maryam dan Halim, Marissa Norhanis dan Hakim
ke Port Dickson secara senyap-senyap. Ketika itu, Halim dan Raudah Maryam
keluar bekerja. Dua beradik itu menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Seremban. Dari
Seremban ke Port Dickson pula, mereka menaiki teksi.
“Sah lah tu merajuk panjang. Letih saya nak layan perangai anak-anak
ni. Nak turutkan sangat salah, tapi…kalau bangkang macam ni lah jadinya.” Nada
suara Halim kedengaran kecewa.
“Ermmm…sesekali, kakak kena terima hakikat. Bukan semua benda yang
dia nak, dia akan dapat.” Raudah Maryam berhujah.
“Itulah…sebenarnya, dunia remaja macam kakak tu, dia mahukan lebih
perhatian daripada kita. You and I, very
busy person. Lately, sejak kakak
duduk di asrama, memang kita jarang mendengar ceritanya, kan?” kata Halim.
“Yalah. Kakak balik rumah
hujung minggu pun, tak banyak masa untuk kita dengar masalah dia. Di asrama
pun, kalau kita nak jumpa dia tiap-tiap minggu, tak boleh. Kakak pulaksibuk dengan aktiviti asrama.”
Raudah Maryam melemparkan pandangannya ke tengah laut. Halim mengeluh kecil.
‘Kakak, di mana dirimu sayang?’ Raudah Maryam merintih dalam hati.
“Kita cari-cari dulu kakak kat kawasan ni. Kalau tak ada juga, kita
pusing-pusing , patah ke belakang cari kat Pantai Cermin, Tanjung Biru dan
Pantai Purnama. Kalau tak jumpa juga, terpaksalah kita tuju ke Pantai Cahaya
Negeri, Pantai Saujana, Bagan Pinang dan Tanjung Gemok. ”
“Nampaknya, macam banyak tempat aje kena pergi. Sempat ke tak sempat
ni bang kita nak cari kakak?”
“Ermmm…kalau tak sempat, kita stay
sini lagi sehari. Esok kita sambung cari lagi,” balas Halim.
“Aisyyy…mana pulak perginya budak bertuah ni!” rungut Raudah Maryam
seraya berjalan ke gigi pantai. Halim membuntutinya. Seharian itu, mereka
menyusuri pantai dengan harapan akan menemui Marissa Norhanis.
DI DAPURrumah, Raudah
Maryam menelan liur pahit. Hatinya dipagut rasa bimbang yang teramat sangat.
Memikirkan ke mana perginya Marissa Norhanis, fikirannya buntu. Hatinya
berdebar-debar. Segala kerja yang dibuatnya menjadi serba tak kena. Nak
memasak? Dia tiada mood untuk berbuat demikian. Nak makan, seleranya sudah
termati sejak dua hari yang lalu. Hanya air masak pemberi tenaga dirinya. Di
benaknya, hanya memikirkan pasal Marissa, Marissa, Marissa!
Di bilik perpustakaan rumah, Halim mundar mandir. Raut wajahnya
tegang sekali. Sesekali, dia menulis sesuatu di buku catatan. Sesekali juga dia
melayani telefon di bilik itu yang tak putus-putus berdering. Sesekali, Halim
memandang syiling rumah. Sesekali juga, Halim tergesa-gesa ke tingkap nako
apabila terdengarkan bunyi kenderaan di kawasan rumah mereka. Puas bermundar
mandir, Halim duduk di kerusi. Seminit dua, dia bangun dan menjenguk ke luar
tingkap. Halim benar-benar dalam kegelisahan.
Hakim hanya memerhati gelagat orang tuanya yang sedang kegelisahan.
Berita tentang kehilangan Marissa Norhanis belum menemui sebarang klu. Petang
tadi, sebaik saja pulang dari Port Dikcson, mereka terus membuat laporan
kehilangan Marissa Norhanis. Jejak Marissa Norhanis tidak ditemui di sana.
Hakim yang sibuk dengan perlawanan bola sepak hari ini dan semalam
juga buntu memikirkan sikap Marissa Norhanis. Kesudahannya, dia langsung tidak
dapat menumpukan permainan dengan baik. Selaku kapten pasukan, Hakim beberapa
telah melakukan kesilapan dalam strategi perlawanan. Malah, dia juga telah
ditegur beberapa kali oleh ketua jurulatih.
Kalau tidak kerana perlawanan ini penting, dia sudah tidak peduli
untuk menyertainya. Kalau boleh dia mahu menemani Raudah Maryam dan Halim
mencari Marissa Norhanis. Tetapi, sebagai ketua pasukan, dia juga perlu
memberikan komitmen yang tinggi. Rakan sepasukan memerlukannya. Mujurlah,
pasukan bola sepaknya menang walaupun sekadar menang tipis 1-0.
‘Kakak ni kenapa? Sanggup buat semua orang runsing? Tak tahu ke
semua orang sayang kakak? Kenapa kakak keluar dari rumah ni, pergi tanpa
sebarang pesan. Sesuka hati kakak saja!’ Hakim membentak geram.
Hakim tidak fikir Marissa Norhanis diculik. Dalam tempoh 72 jam,
telefon rumah mahupun telefon bimbit mereka tidak menerima sebarang panggilan
masuk daripada sesiapa yang meminta wang tebusan. Dia menghela nafas berat. Harap-harap,
sekejap lagi, ada panggilan telefon yang diterimanya daripada Marissa Norhanis
atau sesiapa saja yang memberi perkembangan positif tentang kakaknya itu.
Pun begitu, naluri Hakim kuat mengatakan yang Marissa Norhanis telah
membuat satu keputusan penting dalam hidupnya. Tapi ke mana Marissa Norhanis
pergi, Hakim tidak dapat pastikan. Mungkinkah Marissa Norhanis bersama Zafran
tika ini? Mungkinkah? Hati kecil Hakim menebak.
Kalaulah benar seperti mana diduga, harus bagaimana reaksi yang akan
diterima Halim dan Raudah Maryam nanti. Memikirkan semua itu, hatinya kian
merusuh hebat.
“Ya ALLAH, walau di mana pun kakak berada tika ini, walau dengan
siapa, ku mohon Ya ALLAH agar KAU lindungi dirinya. Sekiranya dia bersama
Zafran, KAU tutupkanlah segala pintu-pintu maksiat agar mereka tidak pernah
sesekali terjebak dalam melakukan dosa. KAU jauhilah mereka daripada melakukan
sekecil-kecil mahupun sebesar-besar zina. Demi ALLAH, aku sangat menyayangi
kakakku juga keluarga ini. Ya Rahman Ya Rahim, peliharakanlah keluarga kami
daripada orang-orang zalim, juga daripada kami menzalimi diri kami sendiri.
Aamiin.”