BAB 8
“ITULAH, kalau salah
orang, yang kecikpun nampak besar.
Salah sendiri tak nampak. Kalau nampak pun, buat-buatlah tak nampak. Kuman
seberang laut bukan main lagi nampak, gajah depan mata buat-buat tak pandang.
Sebab apa? Sebab nak tutup malu sendiri. Huhhh, tapi dia lupa! Dunia ni
bukanlah besar sangat. Pi mai pi mai, tang tu jugak! Tuhan tu Maha Kaya. Kalau
dia tak buka mulut pun beritahu kita, ada sumber yang akan beritahu. Ada angin
yang akan bawa berita tu, kan?!” Rosmah becok bercakap. Panjang lebar
mukadimahnya.
“Eh, kau bercakap pasal apa ni Ros?
Tak faham aku?” tegur Rohani kepada Rosmah.
“La…kau tak dengar cerita ke pasal
anak perempuan Majistret Halim?!” Rosmah ghairah memulakan gosip.
“Anak perempuan Tuan Halim? Pasal
Marissa? Dah ada berita terkini pasal kehilangan dia ke? Khabarnya dah seminggu
lebih tak balik rumah. Agak-agak ke mana ek? Mintak selisih jauh-jauh daripada
sesuatu yang buruk berlaku kepadanya. Sekarang macam-macam kes berlaku, culik,
rompak, samun, rogol, bunuh….ishhhh, Nauzubillahi mim zalik!” komen Rohani panjang
lebar.
“Itulah, kesian Tuan Halim dan Kak Maryam.
Anak, ya lah…mana tak gusar. Boleh separuh mati tau kalau sesuatu berlaku. Kita
doakan yang baik-baik saja, semoga ALLAH melindunginya walau di mana pun dia
berada.” Hafizah pula menyampuk.
“Apalah korang berdua ni. Cakap pasal rompak, samun, rogol segala bagai.
Tak ada kena mengena langsunglah!” kata Rosmah seraya menggeleng kepala.
“Habis tu?”soal Hafizah dan Rohani serentak.
“Itulah, kalau tak tahu cerita, jangan buat spekulasi. Dengar ni,
aku nak gossip panas. Sensasi gilercerita
ni. Kalah cerita pasal retiskahwin
dengan kerabat. ” Rosmah kecoh, mahu merancakkan gossip.
“Ya ke Ros? Cer cerita. Aku nak tahu juga!” Rohani sepertinya tidak sabar-sabar
mahu mendengar cerita daripada mulut Rosmah. Hafizah juga begitu. Sambil
makan-makan, sambil mereka berkongsi cerita.
“Kau orang tahu tak? Sebenarnya anak
perempuan Majistret Halim tu hilang ke mana? Cer teka?”
“Alaaa…manalah tahu Ros. Tak payah
teka-teka. Tadi kau juga kata tak kena mengena dengan rompak, culik rogol dan
segala bagai. Betul ke tak betul ni? Jangan-jangan Marissa betul-betul diculik
tak? Aduhai…kesian pulak kat Tuan Halim dan Kak Maryam, kan?” Rohani memberi
pendapat. Wajahnya menzahirkan rasa simpati.
“Betulkah Ros dia diculik? Confirm?” tebak Hafizah pula.
“Ish! Ish! Ish! Kena culik ke
bendanya…”
“Dah tu?” soal Rohani dan Hafizah
serentak.
“Kalau kau orang nak tahu, budak
Marissa yang kononnya hilang sebab diculik tu sebenarnya pergi ke Siam. Baru
dapat result SPM, dah gatal merenyam duk
ikut jantan. Dema gi menikah dinun. Pulak tu, dah mengandung anak tak
sah taraf. Tuan Halim suami isteri pulak
tak restu anaknya berkahwin. Yalah, takkanlah Tuan Halim nak restu anak
perempuan kesayangannya itu berkahwin dengan lelaki yang entah dari mana asal
keturunan, kan?
Mereka tu kan golongan profesional. Takkan nak bagi anak hidup
dengan lelaki kutu rayau yang tak ada masa depan, kan? Entah-entah, menantu
Tuan Halim tu, Mat dadah tak? Hahahaha…sekarang, barulah Tuan Halim tu tahu,
bila mana dia terpaksa jatuhkan hukuman kat anak menantu sendiri. Aduh,
kesian-kesian!” Rosmah makin seronok bercerita. Di hujung suara dia tergelak
besar.
“Ishhh! Kau ni, gelak macam tak
ingat dunia pulak. Aku rasa kisah ni serius, melibatkan maruah. Kau tergelak
besar macam kelakar pulak ceritanya,” tegur Hafizah dengan sikap Rosmah.
Matanya melilau ke sekitar café itu khuatir pengunjung lain akan
mendengar perbualan mereka. Namun, di café itu masih tidak begitu ramai pengunjung.
Selain mereka bertiga, cuma ada beberapa orang pekerja daripada department lain. Kedudukan meja mereka
jauh daripada tempat di mana dia berada sekarang. Pekerja café pula sibuk
keluar masuk dari ruang makan ke bahagian dapur dengan urusan masing-masing.
Hafizah menarik nafas lega.
“Betul kata Zah tu. Kau ni Ros,
agak-agaklah. Aku tengok si Marissa tu baik budaknya. Belajar sekolah berasrama
penuh lagi.” Rohani pula sangsi dengan cerita yang dibawa Rosmah.
“Huhhh, baiklah sangat!” Rosmah ketawa mengejek.
“Depan kita memang nampak baik. Belakang kita tak tentu lagi. Apa,
kau ingat sekolah berasrama penuh tu boleh bagi jaminan anak jadi baik?”
sambung Rosmah lagi. Tidak senang nampaknya dia apabila Hafizah mempertikaikan
ceritanya.
“Tapi sekurang-kurangnya didikan agama kat sekolah asrama penuh tu
lagi konsisten berbanding kat rumah. Macam aku ni. Sibuk kerja, sampai tak ada
masa nak tengok-tengokkan hal-hal agama anak-anak. Sembahyang bang mereka siang-siang. Malam-malam je
ada masa bersama mereka.” Hafizah menjelaskan.
“Alah...itu kau, Zah. Aku layan anak-anak memang superb! Biar anak-anak jadi kawan kita,
tempat berkongsi masalah, suka duka. Jangan sampai masalah anak-anak dia orang
pendam sendiri. Bila dah tak terpendam lagi, macam tu lah jadinya. Apabila mak
bapak terlalu sibuk bekerja, kejar duit, nama dan pangkat, anak-anak kehausan
kasih sayang.
Apabila ada teman lelaki tempat berkongsi masalah, cepatlah dia rasa
bahagia dengan lelaki itu. Cepatlah dia nak ikut lelaki tu pergi tang mana pun. Ajak kahwin lari pun
ikut. Ajak buat projek X pun tak menolak. Alih-alih dah mengandung.
Aishhh…mintak jauh!” cerita Rosmah lagi.
“Tapi, betul kah cerita kau ni Ros? Jangan sampai jadi fitnah
pulak!” Wajah Hafizah masih sangsi.
“Fizah, kalau aku buat fitnah, satu hari nanti, pandangan mata aku
ni akan jadi kelabu. Tuhan akan bagi peringatan pada aku,” balas Rosmah yakin.
Dia berasa tersinggung apabila Hafizah masih tidak yakin akan ceritanya.
“Entahlah, Ros. Hati aku ni berat nak percaya cerita kau. Tuan Halim
dan Kak Maryam tu keluarga terhormat. Anak-anak mereka tinggi budi bahasanya.
Bukan sekali dua aku jumpa mereka. Dah acapkali kan kita pergi rumah mereka.
Masa majlis hari raya hari tu, majlis kesyukuran result SPM mereka cemerlang pun kita gi. Aku tengok Marissa dan
Hakim tu, baik budaknya.”
“Huhhh, baiklah sangat! Korang
ni kenapa hah? Tak tau beza halal haram, dosa pahala ke? Dah mengandung anak
luar nikah, masih fikir budak Marissa tu baik?” Rosmah mencemik wajah.
Masing-masing terdiam. Terfikir-fikir akan kebenaran cerita Rosmah.
“Kesian Tuan Halim tu kan? Sewaktu jatuhkan hukuman kat orang lain,
macamlah dia tu bagus sangat. Sekarang dah kena kat anak kesayangan sendiri,
baru tahu langit tinggi rendah.” Rosmah ketawa berdekah-dekah.
“Hei, Ros! Kawal sikit gelak tawa kau tu. ” Hafizah mengingatkan
seraya menggeleng kepala. Selera makannya terbantut mendengar cerita Rosmah.
“Sudah-sudahlah, Ros. Tak baik kau
buat reka cerita macam ni. Berdosa besar tahu membuat fitnah. Kerana fitnah,
suami isteri boleh bergaduh, bercerai berai. Anak beranak boleh berantakan.
Sahabat baik pun boleh bergaduh besar. Boleh berbunuh-bunuhan. Sebab itulah
dalam Al-Quran pun ada mengingatkan, Wal fitnatu asyaddu minal qotli. Dosa melakukan fitnah itu
lebih besar daripada dosa membunuh. Kesan fitnah itu sangat buruk!” tegas
Rohani pula.
“Ishhh, fitnah ke bendanya Ani
oiiii! Pulak tu keluar ayat Al-Quran segala bagai lagi. Aku cakap hal yang
betullah. Kalau kau orang tak percaya, pergilah tanya Tuan Halim sendiri. Dia
berani mengaku ke tidak. Dia berani ke tak buka pekung kat dada dia?”
“Tapi Ros, paling tidak, janganlah
buka aib orang lain. Selagi kita menutup aib orang lain…in sha ALLAH suatu hari
nanti, aib kita tak akan terdedah dengan izin ALLAH. Lebih-lebih lagi Tuan
Halim tu orang yang sangat berpengaruh. Kalau betul pun anak dia jadi macam tu,
bukan salah Tuan Halim tu seratus peratus kan?” Hafizah memberi buah fikiran.
“Hei, korang ni kenapa hah?! Ini hakikat! Bukan isu aib tak aib. Ni
pengajaran untuk kita semua!” Rosmah bersuara keras menekan, mempertahankan
hujahnya. Geram apabila Rohani dan Hafizah tidak sependapat dengannya.
“Ishhh… aku no comment lah Ros! Aku takut nak bercakap hal-hal yang tak pasti ni.
Hal-hal yang melibatkan maruah, baik jangan bercakap kalau tak pasti.” Hafizah
menegur lagi sikap Rosmah.
“Apa lagi yang tak pastinya, cik kak
oii!” marah Rosmah. Suaranya agak lantang membuatkan pengunjung lain di cafe
yang berada di meja lain berpaling ke arah mereka.
“Ermmm…tak apalah Ros. Lain kali saja kita sambung cerita.” Hafizah
sudah bangun mencapai beg tangan.
“Eh, korang nak ke mana
pulak? Kenapa tak habiskan nasi tomato tu?” soal Rosmah menyedari Hafizah mahu
beredar dari situ. Rohani pula gesa-gesa menghabiskan sisa minumannya tanpa
menghabiskan sisa nasi di dalam pinggan.
“Aku tak berselera makan lah Ros. Jom, Ani! Aku nak ke surau. Kau
nak ikut tak? Dah masuk waktu zohor ni.”
“Jom!Jom!” Giliran Rohani pula bangun mencapai beg tangan.
“Ros, cakap benda betul tak apa. Takut tersalah cakap, salah fikir,
berprasangka buruk, membuat fitnah, sia-sia je dapat dosa kering,” nasihat
Rohani sebelum beredar dari situ.
“Is
up to you, ah.Tak percaya, sudah! Aku pun tak harap korang percayakan
cerita ni!” marah Rosmah lagi, separuh melaung kepada Hafizah dan Rohani.
Hafizah dan Rohani buat-buat tak peduli.
Mereka cepat-cepat beredar dari cafe itu apabila bertembung dengan
seseorang.
“Ehem! Ehem! Ketupat panas berapa seringgit kau jual, Ros?” tegur
satu suara.
Lelaki yang bertembung dengan Rohani dan Hafizah mula menghampiri
meja Rosmah.
“Eh, Tuan Yusof!” Terkejut besar
Rosmah apabila menyedari Yusof tercegat di sisi mejanya.
“Enak ke ketupatnya?” tempelak Yusof
lagi.
“Ketupat? Eh, mana ada ketupatnya Tuan Yusof!” balas Rosmah gugup
bercampur bingung. Yusof seorang pegawai kanan di organisasi itu dan berkawan
rapat dengan Majistret Halim.
“Ya ke? Tapi bau ketupat rebus awak
semerbak sampai ke bilik saya. Sebab tu lah saya terasa nak datang sini makan
ketupat. Serunding tak ada ke? Rendang ke?” perli Yusof lagi.
“Ermmm…saya makan nasi tomato lauk ayam merah je ni. Tak ada
ketupat, serunding mahupun rendang kat sini. ” Rosmah menjawab takut-takut.
Tadi, bukan main beria Rosmah bercakap. Kini, kecut perutnya
disindir pedas begitu. Apatah lagi, kornea mata Yusof begitu tajam memandangnya. Yusof menggetap
gigi. Rahangnya kejap menahan geram dengan sikap Rosmah.
“Ermm Encik Yusof baru nak makan ke? Saya belanja ya? Tapi yang
Encik Yusof dengar tadi tu, kiranya, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri
okey? Abaikan saja ya?” Rosmah berlagak tenang.
“Eh, kenapa pulak saya perlu
abaikan?! Takut dengan Tuan Halim? Dah lah mengumpat, menfitnah…sekarang reti
pulak nak merasuah saya?” Suara Yusof kedengaran meninggi. Perbualan tegang
Yusof dan Rosmah menarik minat pengunjung lain yang mulai ramai.
Rosmah menekur lantai kala direnungi tajam oleh Yusof.
“Kalau dah habis makan, pergi sambung kerja awak. Saya nak makan ni.
Saya tak mahu selera saya terbantut
tengok orang yang sanggup makan bangkai saudaranya.” Yusof bersuara
sinis menyebabkan wajah Rosmah merah padam. Gesa-gesa dia beredar dari situ.
Halim yang sejak tadi tercegat di sebalik tiang, terpaku mendengar
dialog cerita mereka hari ini. Setiap patah kata yang dituturkan Rosmah tadi,
jelas menerobos telinganya. Dia datang dari pintu yang berlainan arah dengan
pemain watak-watak dalam drama di cafe itu. Makanya, tiada seorang pun
menyedari kehadirannya di situ. Hasrat hatinya yang mahu mengisi perut
terbantut begitu saja. Pantas dia
beredar pergi dari situ.