Tepat jam 8.00 pagi dia sudah bersiap. Mengenakan sepasang baju kurung dan bertudung bawal bercorak abstrak, dia duduk menunggu di atas anak tangga di hadapan pintu kecil yang masih berkunci itu. Ketika Alex membukakan pintu, lelaki itu kelihatan terkejut melihat kehadirannya di situ.
Perjalanan ke Tampin tidak sampai setengah jam. Namun, akibat sekatan lampu isyarat mereka berada di hadapan kilang elektronik itu kira-kira empat puluh minit kemudian.
"Terima kasih hantar Ju... Ju pergi dulu." tuturnya tidak sabar.
"Nanti."
Tidak jadi Uzma hendak keluar. Kepala dipalingkan. Memerhati Alex mengeluarkan beg dompet dari belakang poket jeans. Sekeping not lima puluh ditarik. Bulat biji mata Uzma melihat duit sebanyak itu dihulurkan kepadanya.
"Err, tak perlu. Ju ada duit." tolaknya sopan.
"Ambil. Dah jadi tanggungjawab saya."
Uzma menarik panjang. Beg dompet miliknya di dalam beg galas dikeluarkan. Hanya tiga keping duit kertas berwarna merah yang ada di dalam dompet itu. Not lima puluh itu diambil lalu dengan selamba tiga keping not merah itu diletakkan pada petak ruang berdekatan tombol gear.
"Juma..."
"Ju pergi dulu."
Dia berkeras. Tetap tidak mahu mengambil total yang diberikan. Alex diam termenung.
"Balik nanti saya datang." ucap lelaki itu.
"Eh, tak payah. Rasanya ada van kilang hantarkan. Kalau terlepas naik van baru Ju telefon abang. Bye." katanya sedikit buru-buru lantas tangannya berlabuh di atas pemegang pintu kereta.
Belum sempat ianya ditarik, dia kembali menoleh ke arah Alex. Tangan kanannya dihulurkan ke arah lelaki itu. Alex jelas terkebil buat seketika sebelum menyerahkan tangannya lalu disambut dan dikucup oleh Uzma. Kali kedua setelah hampir satu minggu berkahwin, dia menyalami tangan itu lagi. Satu perasaan halus menyelinap ke segenap saraf. Cepat-cepat ditarik kembali tangannya itu lalu pintu kereta dibuka. Sekilas pandang langsung tidak terlontar kepada lelaki itu ketika dia keluar. Segan yang bersisa biarlah disorokkan dari terlihat.
Tanpa melihat keadaan sekitar terus Uzma melangkah dan berhenti di sebuah pondok pengawal untuk mengambil dan mengisi borang permohonan kerja. Seorang pengawal keselamatan yang usianya hampir sebaya Atuk membawanya ke pejabat kilang. Selesai tugas pengawal itu di situ, dia ditinggalkan untuk menunggu di luar pejabat untuk urusan seterusnya.
Sambil duduk menunggu, direnungi telapak tangan yang telah bertautan dengan tangan lelaki itu tadi. Baru sedar betapa kasar sekali telapak tangan lelaki itu. Tentu sudah terbiasa membuat kerja-kerja berat sebelum ini. Entah bagaimana, hati kecil terdetik ingin mengenali dengan lebih mendalam akan perihal suaminya itu. Peribadi lelaki itu sendiri dan, keluarganya. Melihatkan perhubungan yang mula berkurangan rasa janggal itu, sikit masa lagi tentu lebih banyak perkara tentang lelaki itu diketahui.
Sambil duduk menunggu, dia diam memikir. Sebenarnya, mungkinkah dia telah tersilap sebelum ini? Entah-entah memang lelaki itu mempunyai sikap yang pendiam. Tetapi, dituduhnya cuba menjarakkan diri. Aduh, kenapalah cepat sangat berprasangka.
"Dik, mari masuk." seru seorang wanita muda dari muka pintu pejabat yang ditolak sedikit.
Muat-muat untuk mengeluarkan kepalanya sahaja. Uzma terpana sebentar sebelum bingkas berdiri. Dia masuk ke dalam sebuah pejabat sederhana besar yang agak lengang. Hanya kelihatan tiga orang staf yang sedang berkerja.
"Adik lepasan menengah, eh?" soal wanita itu sebaik berhenti di salah satu meja dan berpaling ke arahnya. Di tangannya terdapat sekeping borang yang diisi olehnya ketika sampai tadi.
Uzma mengangguk.
"Adik boleh mula kerja hari ni?"
"Boleh." Laju dia menyahut.
Benar kata Muna. Memang mudah untuk mendapatkan kerja di kilang elektronik itu. Tak sia-sialah dia mencuba nasib pada pagi ini. Yeay!
"Okay. Nanti akak hantar adik ke kilang. Adik sign dekat sini lepas tu tunggu dekat luar sekejap."
Dengan senyuman yang melebar dianggukkan kepala. Tak sampai lima minit menunggu Uzma mengikuti staf yang mahu disapa dengan panggilan Kak Nur itu. Lalu, dia dibawa ke sebuah bangunan kilang yang berada bersebelahan sahaja dengan pejabat itu.
Bangunan gudang yang berwarna kelabu cerah itu menyamai saiz dua bangunan sekolahnya yang digabungkan. Besar betul kilang itu.
Ketika pintu besar yang bertutup rapat itu ditolak, dia disuruh masuk. Dengan perasaan sedikit gementar dia melangkah.
Wah, memang besar dan luas!
Lapangan luas itu telah dibahagikan kepada beberapa bahagian. Ketika sedang berjalan menyaingi langkah Kak Nur baru dia perasan banyak sekali mata yang tertumpu ke arahnya. Uzma menundukkan pandangan sehinggalah Kak Nur membawanya ke satu bahagian di mana sebuah meja panjang dengan lebih dari dua puluh orang pekerja perempuan sedang mengelilinginya. Kesemuanya mengangkat kepala ketika dia menghampiri sebelum kembali meneruskan kerja.
"Kak Ida, ni pekerja baru. Nur balik ofis dulu, eh."
Lalu Kak Nur itu beredar. Uzma menghampiri seorang wanita di penghujung usia tiga puluhan. Berbadan agak berisi dan mempunyai seraut wajah yang comel. Duduknya di kepala meja panjang itu dan sedang membuat kerja ketika mereka berdua menghampiri tadi.
"Siapa nama?"
"Uzma." sahutnya dengan satu senyuman yang ikhlas.
Kak Ida membalas senyumannya. Mati rasa gementar menerima layanan mesra dari wanita itu.
"Kak Ida team leader untuk bahagian komponen untuk department automotif. Di sebelah sana department medical dan sebelah lagi department tenaga. Mari sini ambil kerusi tu duduk sebelah Kak Ida. Kak Ida nak ajar cara wind coil." terang Kak Ida.
Tanpa berlengah Uzma mengambil sebuah kerusi kosong yang bersusun di tepi dinding di belakang mereka dan duduk bersebelahan wanita itu. Di hadapan mereka ketika ini terdapat empat buah kotak. Satu berisi besi berwarna hitam berbentuk bulat dan berlubang di tengah. Manakala satu lagi berisi wayar keras berwarna emas. Dua kotak lagi tertutup rapat.
"Komponen ni macam transformer. Sebab kita kena lilit wayar ni di sekeliling dia." ujar Kak Ida lagi.
Uzma tergangguk-angguk mendengar penerangan yang jelas itu.
"Okay. Awak tengok Kak Ida buat ye. Guna tweezer bila nak lilit sebab benda ni kecik sangat."
Lalu Kak Ida mengambil sebiji besi bulat itu dan sejalur wayar emas. Dililit wayar itu separuh kemudian ditinggalkan lebihan yang panjang. Lalu diambil sejalur lagi wayar dan sekali lagi dililit seperti tadi.
"Okay. Siap. Senang aje kan? Tugas kita lilit aje."
Uzma mengangguk sahaja. Memang mudah.
"Yang tu satu komponen. Ini satu lagi. Nanti lepas rehat tengah hari baru kita mula buat yang ni. Biasanya macam tulah. Tengok komponen kecil ni. Komponen ni digunakan untuk bahagian dashboard kereta. Macam tadi kita kena lilit wayar tapi pada kaki dia. Tengok Kak Ida buat."
Dia memerhati lagi. Kak Ida membuka kotak yang bertutup itu lalu dikeluarkan sebiji komponen kecil sebesar setengah ruas jari yang mempunyai dua kaki besi yang pendek dengan dua wayar halus terjuntai. Sakit matanya mengecilkan pandangan untuk meneliti cara-cara yang sedang di demonstrasikan di hadapannya itu.
"Okay. Awak cuba buat. Dua-dua ni."
Dia mengangguk. Berbekalkan semangat dan perasaan gementar dicapai komponen pertama dan mula meniru cara yang diajarkan oleh Kak Ida sebentar tadi. Menggunakan tweezer, dengan penuh berhati-hati dia menyiapkan tugasan pertama itu. Siap! Oh, tak susah pun.
"Okay. Yang ni bagus. Tapi kemaskan lagi. Bila tarik wayar tu tarik bagi betul-betul kemas. Cuba yang lagi satu."
Dengan perasaan berbaki gementar, hampir saja terlepas komponen berkaki itu dari tangannya yang sedang berpeluh itu. Bila dipegang baru terasa kecilnya komponen tersebut. Masih menggunakan tweezer sebagai alat bantu, dia menundukkan wajah menilik kaki besi dan wayar yang mahu dililitkan itu. Hampir juling matanya ketika cuba memusingkan wayar halus itu ke sekeliling kaki besi. Fuh! Sebelah kaki besi itu selamat dililit. Sebelah lagi dan, baru satu kali lilit wayar halus itu terputus. Dia menelan liur. Pucat wajahnya menoleh ke arah Kak Ida yang sedang memerhati.
"Okay, takpe. Pertama kali, biasalah... Yang kecik ni awak memang kena berhati-hati dan teliti. Jangan tarik kuat sangat atau memang wayar tu akan putus. Dan komponen ni paling sensitif sebab kita tak nak banyak yang reject dari yang elok. Awak buat yang hitam ni dulu." jelas Kak Ida panjang lebar.
Uzma melirik senyum. Tipis.
"Ain! Uzma duduk sebelah awak. Nanti awak tengok-tengokkan kerja dia tu." ujar Kak Ida kemudian sambil memandang ke arah satu sudut meja.
Uzma turut menoleh. Melihat seorang gadis yang sebaya dengannya menganggukkan kepala sambil tersengih. Setelah mengucapkan terima kasih kepada Ka Ida, dia membawa kerusi yang diduduki bersebelahan gadis bernama Ain itu.
"Hai. Saya, Ain."
Uzma senyum.
"Saya, Uzma."
Lantas bermulalah saat dia meraih pengalaman pertama berkerja di dalam hidupnya itu.
Jam 6.30 petang Uzma tiba di bengkel. Sambil menahan sakit yang mencengkam, digagahkan diri untuk melintasi jalan besar itu sebelum tiba di kawasan lot kedai.
Seperti biasa, kawasan di hadapan lot kedai itu meriah dengan kehadiran pengunjung Warung Ikhwan. Tidak dihiraukan mata-mata yang mengekori langkahnya menuju ke arah bengkel itu. Dia sedang sakit kepala. Takde masa nak memikirkan pandangan orang terhadapnya. Malah, bengkel yang sedang terbuka luas itu pun tidak dijenguk. Dan dia pun tidak pasti sama ada suaminya ada atau tidak di dalam bengkel kerana sepi saja suasana ketika dia melewatinya.
Kaki terus memijak anak tangga ke tingkat atas. Dibukakan pintu lalu terus menuju ke bilik tidur. Beg galas dicampak ke atas katil sebelum tubuh direbahkan.
Ah, lega dapat berbaring.
Sebentar saja. Sakit yang mencengkam membuatkan dia berasa sedikit loya. Dia pernah mendengar petua jikalau sakit kepala, mandi dengan membasahkan kepala adalah salah satu kaedah yang boleh merawat kesakitan itu.
Dalam bermalasan, dia bangkit. Dibukakan kain tudung di kepala dan pakaian lalu, dengan berkain batik dan tuala di bahu dia menuju ke bilik air.
Tadi, sebaik waktu berkerja tamat pada jam 5.30 petang, dia terus menuju ke surau untuk bersolat Asar sebelum bergegas mencari van kilang yang bakal membawanya pulang. Sepanjang perjalanan ditahan rasa sakit itu dengan memejamkan mata. Hingar-bingar dan bau diesel hanya membuatkan sakitnya makin parah.
Lama masa yang diambil untuknya membasahkan diri di dalam bilik air. Terasa lega sedikit. Selesai mandi dia kembali ke bilik tidur dan menukar pakaian yang bersih. Sehelai tshirt berlengan pendek dan sepasang tracksuit.
"Juma..."
Cepat-cepat dia membetulkan pakaiannya. Pintu bilik yang sedia terbuka itu dijeling dengan perasaan lega. Lelaki itu masih berada di luar. Segera dia duduk di birai katil. Sakit di kepala tiada tanda-tanda untuk berhenti namun ditahan sahaja. Apabila Alex tercegat di muka pintu Uzma mendiamkan diri. Segaris senyuman kelat diukirkan.
"Nak makan?"
Geleng. Dia belum lapar kerana telah menjamah roti jala sebagai menu rehat petang di kilang tadi.
"OK."
Lalu lelaki itu berpaling untuk beredar. Uzma menggigit bibir sambil memejamkan kelopak mata lantas merebahkan tubuh ke tilam. Dalam keadaan berbaring mengiring dia menahan sakit di bahagian kepala sebelah kanan yang terasa mencucuk-cucuk. Dinding bercermin separuh yang memberikan kesan cerah di dalam bilik itu menyilaukan pandangannya. Untuk bangun terasa lemah sekali badannya. Akhirnya dia menarik bantal kepala dan menutup wajahnya. Sakit yang menghentak kepalanya itu membuatkan dia terasa ingin menangis. Belum pernah dia merasai sakit kepala yang begitu menyakitkan sebelum ini.
"Juma... Kenapa ni?"
Sambil membatukan diri dia menahan sebak yang tiba-tiba mengetuk pintu dada. Terasa tilam diduduki namun tiada lagi gerakan setelah itu.
"Juma..." seru Alex lagi.
Uzma tetap membisu. Bantal kepala terasa ditarik sedikit dari wajah. Terlihat sepasang mata sedang mengintai. Terkelip-kelip dia membalas renungan lelaki itu.
"Kenapa?" soal Alex lembut.
Uzma menelan air liur. Keprihatinan yang kecil itu tanpa sengaja menyentuh hingga ke dasar hati.
"Sakit." jawabnya perlahan.
"Sakit? Dekat mana?"
"Kepala."
"Nak makan ubat?"
Dia mengangguk.
"Tunggu kejap."
Sekelip mata lelaki itu menghilang dan sekelip mata juga muncul dengan segelas air di tangan juga dua biji ubat penahan sakit.
"Mari." arah Alex lalu duduk di birai katil.
Uzma menolak bantal yang menutupi wajah lantas mengangkat tubuhnya dan duduk bersandar. Ubat ditelan dan dia kembali memejamkan mata.
"Abang..." serunya.
Alex tidak jadi untuk bangun padahal dia berhasrat untuk meninggalkan isterinya itu untuk merehatkan diri dengan tenang.
"Tolong tarik langsir." pintanya.
Gelas minuman diletakkan di atas meja di sisi katil dan lelaki itu bangun. Suasana yang terang bertukar gelap.
"Abang..." panggilnya lagi.
Kelopak mata terus dipejamkan. Memejamkan mata lebih selesa dari membukanya. Sekali lagi Alex tidak jadi keluar. Tanpa membukakan kelopak mata Uzma menepuk tilam di sisi. Lelaki itu menghampiri kemudian duduk.
"Ada apa?"
"Ju tak nak duduk sorang-sorang." katanya jujur.
Memang dia enggan duduk bersendirian ketika sedang sakit. Dahlah sakit, ditinggalkan pula untuk menanggungnya sendirian. Pudar semangat untuk sembuh jikalau begitu.
"Okay,"
Diam.
"Saya tolong picit." tambah Alex lagi.
Uzma mengangguk kecil lantas direndahkan tubuh lalu berbaring menelentang. Menanti tangan lelaki itu berlabuh di atas kepalanya tetapi tiada apa-apa yang berlaku. Seketika kemudian tangannya terasa dipegang. Seperti terkena renjatan elektrik jantungnya mula bergetar. Lembut gerakan yang dirasakan yang bergerak di belakang telapak tangannya. Kemudian antara jari telunjuk dan ibu jari terasa tekanan yang datang dari ibu jari lelaki itu yang menekan dalam kadar perlahan kemudian kuat. Terbuai dan mungkin bercampur keletihan akibat berkerja tadi, dia hampir-hampir terlelap. Sakit yang mencengkam terasa sedikit berkurang. Entah berapa lama gerakan itu dirasai ditangannya sebelum ia berhenti dan barulah dia tersedar dari keasyikan. Cuma tautan tangan mereka masih belum terlerai. Ketika lelaki itu mahu merungkaikan ia cepat-cepat dia kemaskan.
"Abang..." serunya sambil membukakan mata. Lelaki itu diam merenungnya.
"Ju tak jadi nak kerja. Ju rasa kerja tu tak sesuailah dengan Ju. Tadi, banyak yang reject je Ju buat. Ju tak nak kilang tu rugi sebab Ju jadi, lebih baik Ju berhenti aje." terangnya dengan suara yang perlahan dan pegangan dileraikan.
Alex angguk. Kembali menyambung hasrat untuk beredar. Belum sempat bangun sekali lagi dia diseru.
"Abang... Boleh tak kalau Ju mintak abang tidur dalam bilik ni?"
Diam.
"Maksud Ju, bila ada abang dekat atas ni dapatlah Ju berbual-bual. Tak lah sepi aje sorang-sorang." jelasnya lagi.
Sepasang mata berwarna hitam pekat itu merenungnya lama kemudian, satu anggukan diberi. Uzma, menarik segaris senyuman.