Home Novel Keluarga XANDER
XANDER
kamika
25/7/2023 11:34:27
33,775
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 21


Usai bersolat Subuh, Uzma kembali menyambung tidur. Mengantuk masih tersisa kerana berkerja sehingga ke dinihari. Mengasing dan menyusun sejumlah fail pelanggan supaya lebih tersusun dan mudah untuk dirujuk kembali. Apabila dia terjaga, suasana masih sepi. Tiada Alex untuk naik mengejutkannya. Uzma menggosok mata beberapa kali sebelum mulut yang menguap besar ditutup dengan belakang telapak tangan. Entahkan jam berapa tetapi hari semestinya sudah cerah melihatkan sinar cahaya yang agak terang di balik tirai langsir.

Dalam keadaan sedikit mamai, dia merasakan sedikit kelainan pada dirinya. Dilirik ke bawah. Oh! Dia datang bulan! Lupa pula nak buat stok roti kering itu ketika berbelanja dahulu. Sudah! Selimut yang melilit di kaki ditarik lalu dihamparkan. Ia dijadikan sebagai alas sementara telefon yang disimpan di dalam laci meja kecil itu dikeluarkan. Sudah pukul sembilan lebih. Dia pasti tentu Alex sedang berkerja di bawah ketika ini. Gasaklah. Dengar ke tidak dia mahu mencuba. Pertolongan daripada lelaki itu amatlah diperlukan ketika ini.

Dia, mendail nombor milik Alex. Tentu lelaki itu hairan apabila mendapat panggilan daripadanya. Telefon didekatkan ke telinga. Deringan kedengaran tetapi tidak bersambut. Dicuba lagi. Tetap sama.

"Juma!.. Kenapa??"

"Arghh!!!"

Dia terjerit kecil. Telefon yang dipegang tercampak ke atas katil. Tak menyangka lelaki itu sudah berada di tingkat atas. Dada diurut beberapa kali menenangkan perasaan yang terkejut. Dalam tersipu-sipu dia membuka mulut.

"Abang boleh tolong Ju, tak?"

"Hmm?..."

Wajah cemas Alex dikerling sekilas sebelum lirikan dibawa ke bawah. Segan.

"Erm, sebenarnya Ju nak minta maaf. Cadar ni habis kotor sebab kena... kena..."

Tak jadi dia nak berkata-kata lagi. Hal sulit itu jikalau boleh enggan dihebahkan. Malu melihat keadaan dirinya seakan anak dara sunti yang masih kebocoran ketika tidur malam!

"Juma?.." seru Alex tak sabar.

"Kena darah." jawabnya tanpa mengangkat pandangan.

"Darah??"

Sekelip mata Alex datang menerpa ke arahnya. Duduk di birai katil sambil menilik batang tubuhnya yang dibalut dengan tshirt dan seluar cotton. Uzma menggeleng. Menepis tangan lelaki itu yang berlabuh di tubuhnya.

"Ju tak luka tak cedera, lah. Sebenarnya Ju datang bulan." jelas Uzma dengan wajah berkerut menahan malu.

"Oh."

Wajah Alex ketara lega.

"Abang pergi ke kedai Ah Seng boleh? Tolong belikan pad." pinta Uzma tanpa berlengah.

Bingkas, Alex berdiri dan menghilang. Tidak sampai sepuluh minit lelaki itu muncul kembali dengan seplastik tuala wanita. Dihulurkan kepadanya. Dia menyambut dengan perasaan hairan menerima plastik berwarna kuning itu. Mak aii! Tiga bungkusan yang berlainan jenis dibelikan. Mujurlah salah satunya jenama yang sering digunakan olehnya.

Enggan melengahkan masa, dia mula membaluti selimut ke tubuh untuk ke bilik air. Selimut itu digunakan untuk menutupi kesan merah yang melekat pada seluar tidur yang dipakainya itu. Tanpa disedari, perbuatannya itu mendapat perhatian Alex. Dengan selamba lelaki itu mencempung tubuhnya. Uzma pantas mengeraskan diri.

Dengan mudah lelaki itu membawanya masuk ke dalam bilik air. Didudukkan dirinya di atas mangkuk tandas jenis duduk itu kemudian, lelaki itu keluar sebelum kembali lagi dengan sehelai tuala dan kain batik yang sering digunakan olehnya apabila masuk ke bilik air. Terkelip-kelip matanya melihat aksi bersahaja lelaki itu menyangkutkan kain itu di belakang pintu sebelum daun pintu itu ditutup.

Selesai urusannya, dia kembali ke bilik tidur. Mahu mengemas dan membersihkan katil pula. Tetapi, dia terkejut bukan kepalang tatkala melihat katil itu sudah bertukar cadar yang baharu. Tidak berpuas hati dibuka sedikit bahagian tempat tidurnya. Bersih dan kering. Nampaknya kotoran itu cuma mengenai selimut dan cadar sahaja. Ketika dia siap mengenakan pakaian dan bersedia untuk turun ke bawah, sekali lagi dia dikejutkan dengan makanan yang sudah tersedia di atas meja kopi di ruang tamu. Dia menggigit bibir mengenangkan ketelitian lelaki itu dalam melayani dirinya. Bohong seandainya hatinya tidak tersentuh dengan perbuatan tersebut. Maukah dia menarik balik kata-kata yang diucapkan dengan Menara Kuala Lumpur menjadi saksi? Dapatkah dia menahan lagi perasaannya daripada terbit terhadap lelaki itu? Dan apakah keraguannya terhadap keikhlasan lelaki itu, benar?

Sambil membawa dulang kayu itu ke meja tinggi di tepi tingkap untuk menikmati sarapan pagi itu di situ, fikirannya hebat berperang memikir sama ada mahu suka atau tidak kepada suaminya sendiri.

"Abang, ada email masuk. Macam email peribadi je sebab nama individu." katanya lalu menoleh ke arah Alex yang sedang menilik kayu dan papan bersebelahan dengan meja kerjanya itu.

Siap bersarapan tadi dia terus turun ke bengkel dengan mengepit komputer riba. Kerja-kerja mengimbas resit dan invois yang tebal yang disimpan di dalam sebuah fail keras dilakukan di bilik belakang. Sengaja dilakukan kerja itu di situ kerana dia enggan duduk di luar dan menadah telinga mendengar bunyi bising ketika suaminya sedang bertukang. Bosan bersendirian di dalam bilik itu dan yakin kerja-kerja memotong telah selesai dilakukan, barulah dia keluar dan duduk di situ pula.

"Dari siapa?"

"Amber dot James."

Kelentang!!

Uzma sedikit terperanjat. Ditoleh kembali ke arah Alex. Sebatang kayu terjatuh lalu diambil dan ditegakkan. Kemudian lelaki itu kembali menilik kayu-kayan yang makin susut jumlahnya.

"Abang..," serunya.

Dia sudah berdiri disamping lelaki itu. Entahkan sedang mengira atau memikir melihatkan pandangan Alex yang tidak putus menilik rak berkotak yang melekap pada dinding yang disusunkan dengan papan lapis mengikut jenis masing-masing. Sementara kayu-kayan pula disandarkan sahaja pada dinding.

"Arghhh!!!"

Dia menjerit kuat lantas melompat menyembunyikan diri di balik lelaki itu. Belakang baju lelaki itu dipegang kemas. Seekor anak lipan tiba-tiba menjalar dari bawah kayu tersebut dipandang dengan perasaan ngeri. Dengan selamba Alex mencapai tin penyembur lipas berwarna hijau yang diletakkan di salah satu rak berkotak tersebut. Sekali semburan anak lipan itu kaku tidak bergerak. Tahulah dia alasan tin racun itu diletakkan di situ selama ini.

"Dah mati." ujar Alex apabila dilihat Uzma masih berlindung di belakangnya.

Perlahan-lahan, genggaman pada pakaian lelaki itu dilepaskan. Fuh! Selamat.

"Takut?"

"Mestilah. Binatang berbisa tu. Lagi satu geli... Tengok dia merayap macam tu, eeiii..." ucapnya dengan mimik muka menahan rasa geli dan seriau tatkala terpandangkan bangkai lipan tersebut.

"Nanti Juma buat inventory." ujar Alex seakan tidak mendengar rungutannya sebentar tadi.

"Maksud abang?"

Dia turut kembali serius seperti mana lelaki itu.

"Kira bilangan kayu dan papan yang ada. Selain dari tu, alatan dan aksesori seperti tukul, screwdriver, kertas pasir, berus, cat..."

"Oo..."

Uzma menganggukkan kepalanya beberapa kali. Membayangkan kerja-kerja membuat kiraan stok seperti yang dilakukan oleh staf yang dilihat ketika keluar ke pasaraya sebelum ini.

"Tapi, Ju tak kenal jenis-jenis kayu. Dan, bukan semua alat dan aksesori ni Ju kenal." akuinya.

Alex bercekak pinggang. Menoleh ke arahnya sebentar kemudian berpaling ke arah meja kerja di mana aksesori dan alat pertukangan diletakkan.

"Nanti saya senaraikan jenis kayu dan nama aksesori. Lepas tu Juma taip dalam laptop kemudian print." arah Alex.

"Dah print?" soalnya tidak sabar.

"Tampal dekat kotak ni dan meja tu. Selebihnya pada alat bertukang." kata suaminya lagi.

Uzma menoleh ke arah yang sama kemudian mengangguk beberapa kali sebelum kembali ke meja kerja dan duduk di situ. Alex pula melangkah ke arah meja panjang. Menilik potongan kayu dan papan yang telah siap dipotong dan disusun. Campuran dua jenis kayu iaitu semangkok dan melunak digunakan untuk projek aksesori kafe Low & Fade. Ketika mengusulkan rekaan campuran itu, pendapatnya terus disokong oleh Mifzal dan Aira tanpa banyak soal. Sebanyak lima belas kotak bakul pelbagai saiz, sepuluh dulang dan beberapa keping papan pemotong perlu dibekalkan kepada pasangan itu. Kelmarin, sejumlah aksesori seperti bekas dan kotak bakul bersaiz kecil telah berjaya disiapkan. Mereka memerlukan produk itu kira-kira dua minggu dari tarikh tempahan dibuat.

"Erm, abang... Ju nak tanya sesuatu." ujar Uzma sambil berpaling melihat Alex menghampiri meja besar.

"Erm?.." sahut Alex sambil tangannya menarik laci meja untuk mendapatkan sebotol gam kayu dan berus. Diletakkan di meja panjang sebelum dia menghampiri meja alatan pula.

"Semua perabot dalam rumah ni abang ke yang buat?" soal Uzma mendongakkan kepala memerhati lelaki itu yang sedang berdiri di sisinya. Sedang mengambil alatan untuk mengepit kayu.

"Hmm." sahut Alex setelah berjaya mencapai seberapa banyak alat clamp yang boleh dikaut oleh kedua tangannya lalu dipindahkan ke meja besar di tengah.

Uzma senyum tipis. Jadi benarlah tekaannya sebelum ini. Melihatkan corak dan hasil kerja pada setiap perabot dan kelengkapan kayu di tingkat atas terbukti sama dengan aksesori yang dihasilkan oleh lelaki itu dengan dua jenis warna kayu yang digabungkan dalam sejenis produk.

"Kenapa abang dah tak buat perabot?" soalnya kemudian. Dia sudah bangun untuk mendekati lelaki itu.

"Saya lebih suka buat aksesori. Mudah dan tak buang masa. Lagipun perabot mahal. Bukan semua orang mampu." Alex beralasan.

Uzma merenung lelaki itu sebentar. Tiada persoalan kerana dia telah terpedaya dengan alasan tersebut.

"Tapi, apa salahnya abang buat untuk kawan abang tu. Siapa, ye?.."

Sejenak dia berfikir.

"Ha...Kak Aira. Diorang kawan lama abang, eh?.. Baik dan mesra aje diorang layan kita. Ju pun jadi tak kekok duduk bersama-sama." ujarnya mula menutur ayat berbunga bagi memujuk lelaki itu agar bersetuju dengan permintaan pasangan suami dan isteri itu.

Alex diam tidak menyahut. Fon kepala di bahu disangkutkan ke telinga. Tangan, lincah menyatukan dua jenis kayu itu lalu disusun saling bersebelahan kemudian ditukar pula. Mungkin sedang tercari-cari rekaan bentuk ira yang dirasakan cantik dan sesuai.

"Apa kata abang terima permintaan diorang. Perabot tu diorang nak letakkan di kafe... Di tempat yang banyak orang. Kalau di rumah tu lainlah. Bila ramai pengunjung datang dan tengok hasil kerja abang, tentu bertambah pelanggan abang, kan?" katanya tidak berputus asa memujuk.

Alex diam lagi. Uzma mengetap bibir.

"Lagipun, diorang tu customer tetap abang. Dah lama pulak tu. Sepatutnya abang kena hargai diorang. Bukan ke hubungan baik antara penjual dan pembeli tu dikira branding dan boleh memberi imej dan kesan yang baik pada perniagaan? Tak sepatutnya abang hampakan mereka. Ju nampaklah reaksi mereka berdua. Macam kecewa aje..." tambahnya lagi. Sebenarnya, kesabarannya mula tinggal separuh. Isy, asyik senyap tak menjawab. Marah ke dengar dia membebel?

"Abang... Ju cakap dengan abang ni." tuturnya sambil mendongak memandang lelaki itu yang tidak mengendahkan percakapannya.

"Abang!.." panggilnya sedikit kuat.

Amboi! Penat dia membebel suaminya boleh layan lagu. Dengan selamba diangkat kedua belah tangannya untuk mencabut fon kepala itu. Patutlah senyap. Baru teringat kepada fon kepala berjenis sama yang dipakainya tersedia dengan alunan daripada Micheal Learns to Rock sebaik melekap di telinga. Spontan, kedua tangannya itu kejap dipegang. Terkebil-kebil dia membalas pandangan suaminya.

"Apa yang Juma cakap semuanya saya dengar. Nanti, saya bincang dengan Fizal." balas Alex lembut.

Panas pipi Uzma kerana sangkaannya salah. Perlahan-lahan ditarik kembali tangannya dan lelaki itu melepaskan. Sedikit tergesa-gesa dia kembali ke meja kerja. Berpura-pura sibuk mencari sesuatu di dalam skrin komputer itu sambil bibir menguntum senyum kerana rancangannya telah berjaya.

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.