Puas sudah dia bergolek ke kiri dan kanan. Menggerudi otak memikirkan solusi demi membantah perintah ala-ala kuku besi daripada Atuk. Ditambah pula sisipan hasrat Mak Teh yang tidak putus bergentayangan di mindanya itu.
Dijodohkan dengan Angah?
Biar betul. Niat Mak Teh yang terpendam sekian lama itu rupanya mahu melihat dia dan Angah disatukan sebagai pasangan suami dan isteri. Bingung fikiran Uzma memikirkan hasrat ibu saudaranya itu.
Benarkah perbualan mereka semalam itu suatu kenyataan?
Bukan mimpi?
Jika ditelusuri kembali layanan Mak Teh terhadapnya selama ini biasa-biasa sahaja. Tiada yang berbeza dan luar biasa. Tak macam orang nak bermenantu. Iye ke Mak Teh nak menantukan dia? Yang paling utama, nak ke Angah berkahwin dengan dia? Perangai dua beranak itu lebih kurang sama sahaja ketika melayaninya. Berbual seperti biasa dan mesra semenjak dia kecil sehingga kini.
Atuk pula...
Aduh!
Masak Uzma begini. Bagaimana caranya mahu melembutkan hati orang tua berkepala batu itu? Pulak tu, dah ada calon sendiri pulak tu. Entah-entah kawan Atuk? Eei.. Seriau seluruh tubuhnya memikirkan kemungkinan yang satu itu. Isy, tak boleh jadi ni.
Dia berbaring memandang siling pula sambil memeluk bantal peluk berisi kekabu yang baru diganti. Usai solat tadi terus direbahkan badan di situ. Jujur dia akui, setelah perkara itu menjadi sebuah isu, ketika bersolat pun fikirannya akan melayang-layang memikirkan akan perihal itu. Doa yang dipanjatkan kepada Ilahi pula panjang dan lebar. Memohon petunjuk akan setiap gerak yang bakal dilaksanakan
Muna!! Dia segera teringatkan sahabat baiknya itu. Uzma terus terbangun. Di sebuah para kayu buatan Atuk, disidai pakaian solat berwarna putih itu. Telefon di meja solek dicapai. Lantas dia duduk di birai katil kelamin peninggalan arwah emak dan ayah. Meski sudah berusia, kayunya masih utuh.
"Una, macam mana?" ucap Uzma tidak sabar sebaik panggilan yang dibuat disambut oleh kawan baik yang mesra disapa Una singkatan daripada nama penuhnya iaitu Munawwarah.
"Aaa... Ju, kejap lagi aku datang ke rumah kau. Tunggu, ek."
Klik.
Talian diputuskan. Uzma terkebil seketika sambil merenung skrin telefon yang sudah terpadam. Harapannya kini tergantung kepada Muna pula. Malam tadi agak lama mereka bergayut di telefon. Muna jelas terkejut. Malah memahami keadaan dirinya yang tiba-tiba diuji oleh dugaan yang tidak pernah terlintas di fikiran.
Bagi Uzma, Munalah satu-satunya teman perempuan terpaling akrab. Semenjak tadika mereka bersahabat sehinggalah kini ukhwah itu masih terjalin. Ditambah dengan gelaran yatim piatu yang dipikul, kedua ibu dan bapa Muna menerima dan melayani dirinya dengan mesra. Malah, kerana keakraban mereka berdua, bukan sekali dia bermalam di rumah keluarga Muna. Begitulah eratnya hubungan persahabatan mereka.
Sambil menanti kedatangan Muna, dia menjengah ke dapur. Bahagian dapur yang berumahkan papan itu masih tegap berdiri menempatkan sebuah bilik tidur dan bilik air. Dijeling bilik tidur Atuk. Pintunya terbuka luas menandakan orang tua itu belum pulang selepas berjemaah di surau. Meniti usia senja, begitulah kebiasaan Atuk di samping keluar mencari rezeki. Orang tua itu gemar memanfaatkan sisa-sisa masa yang terluang dengan melakukan amal-amal soleh sebagai bekalan di kampung akhirat.
Dilirik jam di dinding yang menunjuk tepat ke angka lima. Air di dalam cerek yang dimasak sebelum menunaikan solat tadi masih panas. Di dalam sebiji mug bersaiz sederhana, kopi dibancuh. Kemudian dia menyudu beberapa sudu besar gula ke dalam sebiji kole sederhana. Bancuhan kopi pekat dituang ke dalam kole tersebut sebelum dikacau sebati. Dua biji cawan dihidang di dalam dulang itu lalu dibawa ke anjung.
Salah satu dari cawan kosong itu dituangkan air yang berwarna hitam pekat. Biskut lemak yang disimpan di dalam tin bersaiz sederhana menjadi santapan. Baru tiga keping biskut dijamah, bunyi ngauman motosikal milik Muna kedengaran. Deruman enjin Yamaha 125ZR berbelang kuning itu sudah lali pada pendengarannya. Sebaik berjaya memperoleh lesen menunggang, dialah orang pertama yang menjadi penumpang bagi motosikal second hand itu. Dan, dengan motosikal itulah dia menumpang kawan karibnya itu berulang-alik ke sekolah. Muna memarkir motosikalnya betul-betul di hadapan pintu kayu yang turut dipagari oleh dawai jaring bercorak segi empat kecil itu.
"Ju, jom!"
Tanpa turun dari motosikalnya Muna memekik. Terkelip-kelip Uzma memerhati seakan temannya hadir berpakaian laksana seorang puteri raja.
"Oii, jomlah!" seru Muna sekali lagi sekaligus menyedarkan dirinya dari khayalan pendek itu.
"Eh, nak ke mana?" tanya Uzma dalam tersipu-sipu.
Dia tidak merancang untuk keluar. Bahkan dia ingatkan temannya itu mahu berbual di rumah sahaja.
"Kat sini tak sesuailah nak bincang. Dengar dek orang nanti." ujar Muna yang memiliki kulit kuning langsat hasil campuran darah bangsa Cina dari keturunan ayahnya.
Meski bertubuh kurus dan sederhana tinggi, raut wajah berbentuk bulat itu kelihatan comel. Lebih-lebih lagi ketika dia tersenyum. Terserlah lekuk lesung pipit di kedua belah pipinya.
Tak sesuai?
Tetapi, jiran Atuk cuma satu. Iaitu rumah Wan Cu yang berada di sebelah belakang. Selain dari itu cuma dusun sekangkang kera yang sunyi dan sepi. Sebab itulah pintu kayu yang menjadi tembok pemisah di antara dirinya dan Muna itu sentiasa dikunci rapat. Bimbang sekiranya kejadian tidak diingini berlaku.
"Yelah, yelah. Sekejap." sahutnya.
Terpaksa akur setelah melihatkan mimik kasihan yang sengaja dibuat-buat oleh sahabatnya itu. Sementara Muna menanti di atas motosikal, Uzma kembali ke ruang dapur. Menarik pintu kayu itu dari dalam sebelum mengunci dengan selak yang dipaku di bahagian atas dan bawah. Kemudian, dia ke bilik tidurnya. Sehelai tudung sarung bercorak abstrak yang tergantung di dalam almari dikeluarkan lalu disauk ke kepala. Dompet dan telefon di meja solek dimasukkan ke dalam poket tracksuit yang mempunyai zip. Anak kunci yang bergantungan berhampiran peti televisyen dicapai lalu pintu besar di ruang tamu ditutup rapat.
Setelah memastikan pintu kayu di serambi turut diselak, barulah dia bersedia untuk keluar. Uzma pasti tentu Atuk tertanya-tanya akan keberadaan dirinya. Oleh itu, dia menghantar satu pesanan ke dalam peti mesej di telefon Atuk. Sebenarnya, orang tua itu tidaklah pandai menggunakan telefon bimbit. Hanya tahu menjawab panggilan dan membaca mesej sahaja. Itu pun dikira sangat beruntung kerana dapat memudahkan sebarang hubungan telekomunikasi dibuat.
"Leceh rumah banyak pintu ni." sindir Muna sambil tersengih.
Uzma tidak menjawab. Hanya mampu tersenyum sinis dengan gurauan temannya itu. Setelah menyarungkan topi keledar, Muna mula menunggang perlahan motosikal meredah laluan sempit yang melewati kebun getah dan semak-samun di kiri dan kanan jalan sebelum tiba di jalan utama. Kemudian, kelajuan ditambah sehinggalah motosikal itu berhenti di bahu jalan di sebuah pondok menunggu bas yang kosong.
"Memang tak ada orang." getus Uzma ketika turun dari motosikal tersebut lalu duduk di sebuah bangku panjang yang disediakan.
Muna tersengih sebelum turut duduk di samping teman baiknya itu.
"Nak cakap apa sampai kena pergi jauh dari orang ni?" soal Uzma sambil meletakkan helmet di sisi.
Lapangan sawah yang menghijau di hadapan mereka kelihatan kekuningan di simbahi sinar mentari petang. Nun di ufuk barat, sejalur garisan bukit bukau terpampang seakan menampung langit pertama dari mencecah permukaan bumi. Gelap tona warnanya menandakan ianya terletak jauh dari daerah itu.
"Kau, okay?" tanya Muna memecah kesunyian yang bermaharajalela.
Meretak lamunan singkatnya. Mampukah dia berterus-terang? Atau mahukan dia membuka dan mempamerkan serelung perasaan yang bercampur-baur meliliti seketul hati kecilnya itu? Uzma tersenyum hambar. Bukan dia tidak mahu melempiaskan curahan perasaannya. Sekali dia bermula, renyuk jiwanya bertemankan rasa runcing yang mencengkam. Biarlah dia memilih untuk bermula dengan gagah. Itulah yang dirasakan tepat buat masa ini.
"Kau dah tau nak bagi alasan apa?" tanya Muna setelah menyedari persoalan sebelumnya tidak disukai oleh Uzma.
Seperti tadi Uzma memilih diam. Kerut-merut dahi Muna memandang sahabat di sisi. Penuh dengan simpati lalu, dia turut menunduk memandang lantai. Entah mengapa pengakhiran perjumpaan ini mampu diramalkan.
"Aku tunggu kau." kata Uzma perlahan sekali.
Muna mengangkat pandangan. Terasa berat bahunya meski tidak seberat beban yang ditanggung oleh kawan baiknya itu.
"Aku tak tahu, Ju. Benda ni bukan perkara biasa-biasa. Kalau dulu, bila kita nak ponteng sekolah ke apa boleh jugak beri macam-macam alasan. Ini, kahwin! Nak bagi alasan apa kalau tak nak kahwin? Lainlah, kalau kau dah ada boyfriend. Suruh dia masuk minang cepat-cepat." ucap Muna panjang lebar.
Kepala Uzma terus menunduk bagaikan resmi padi. Makin berisi, makin tunduk. Hanya, isi yang terkandung di benaknya bertimpa dengan masalah sahaja. Kemudian, kepalanya segera diangkat. Dia menoleh ke arah Muna dengan secebis senyuman yang penuh bermakna.
"Una! Kau memang terer. Aku dah tahu caranya!" seru Uzma penuh bersemangat.
Gelombang keanehan terpapar di wajah bening milik Muna. Tanpa berlengah ditarik tangan Muna agar mereka segera beredar.
Tiba di Pekan Chengkau, Muna mematikan enjin motosikal di hadapan Warung Ikhwan. Warung yang popular di kampung dengan menu pisang karamel berkeju. Tetapi, Uzma tidak pernah merasai menu yang viral sehingga ke kampung sebelah itu kerana dia tidak gemarkan bau keju tengik itu. Uzma terus mengambil tempat di sudut yang agak jauh dari pengunjung yang ramai. Setelah memesan sepinggan goreng pisang dan minuman, mereka kembali menyambung perbualan.
"Kau nak suruh Isyraf pura-pura jadi boyfriend kau?" tanya Muna buat kesekian kali meminta kepastian.
"Ye. Terpaksalah... Tapi, bukan boyfriend betul-betul." kata Uzma memulai sesi brainstorming mereka berdua.
Perbincangan mereka terhenti tatkala Ridhuan, teman sekelas mereka yang berkerja di warung itu datang menghantar pesanan. Setelah berbual sepatah dua barulah remaja itu beredar untuk menyambung pekerjaannya.
"Maksud kau?"
"Isy, macam mana aku nak cakap ye. Berdua-duaan gitu?"
"Apa??" ujar Muna dengan suara yang meninggi.
Nada tingginya mendapat perhatian pengunjung lain buat sesaat dua sebelum ianya reda.
"Shhh!!! Berdua-duaan bukan bermaksud duduk bergesel macam belut tu. Eeii... Geli aku! Duduk sambil bersembang cuma berdua... Ala, Una... Tolonglah. Kalau kau pun terkejut dengan apa yang aku boleh fikirkan ni, aku apatah lagi. Aku tak nak kahwin lagi, Una... Tapi, apa yang mampu aku buat untuk halang semua ni? Aku tak boleh nak fikir apa-apa dah. Macam, semuanya jalan mati." lirih sekali suaranya yang jelas dipaksa untuk keluar dengan tenang.
Andai tiada sesiapa di situ, Uzma pasti air mata yang dibentengi dari luruh semenjak semalam pasti pecah. Tetapi, bukankah dia sudah membuat pilihan untuk bertahan selagi mampu.
"Tolonglah aku, Una. Tolonglah..." rayu Uzma tanpa perasaan malu.
Kepada Muna sahajalah tempat dia meluahkan rasa sengsaranya itu. Air muka Muna tampak ketara perubahannya. Serba salah dan bimbang. Uzma menjangkau tangan temannya yang berlabuh di atas meja.
"Kau rasa apa yang patut aku buat?" soal Uzma separa bermaya.
Muna mengetap bibir. Melirik ke arah sebuah deretan lot kedai dua tingkat yang berusia hampir dua puluh tahun. Tidak dia seorang yang memandang ke situ. Uzma juga sama. Mata mereka tertancap pada satu batang tubuh yang sedang tekun berkerja. Jikalau bukan kerana Muna yang memberitahu, tak mungkin dia tahu lot paling hujung itu merupakan sebuah bengkel kayu. Selama ini diingatkan kedai itu kosong tidak berpenghuni kerana kerap bertutup rapat.
"Kenapa Isyraf?"
Dia menoleh. Tangan mereka masih bertaut di atas meja itu.
"Maksud aku, nanti dia tak setuju pulak. Entah-entah dia marah ke..." tambah Muna lagi.
Uzma menarik nafas yang dalam lalu melihat kembali ke arah pemuda yang bernama Isyraf itu.
"Sebab dia Isyraflah aku berani. Aku tahu dia tak kan marah. Dan aku tahu bila dia dah jelas dengan keadaan ni dia akan faham." jelas Uzma.
Pastikah dia Isyraf tidak akan marah? Dalam bingkai memorinya, mereka bertiga mempunyai hubungan yang agak rapat semenjak di tingkatan satu.
Suatu masa dahulu ketika Uzma mendapat sakit gastrik, Muna dan Isyraflah yang membantunya memanggil guru meminta pertolongan. Muna ditugaskan menemani dirinya di bilik rehat manakala Isyraf disuruh membelikan makanan. Semenjak itu Isyraf termasuk sahabat yang rapat kepada Uzma. Perwatakan Isyraf pula tidaklah kasar seperti mana teman-teman Isyraf yang lain. Apabila bercakap dengan mereka berdua lembut sahaja tutur Isyraf kepada mereka. Tetapi, jikalau dengan kawan-kawan lelakinya, kasar juga bicaranya. Di mata Uzma dan Muna, mereka dapat rasakan layanan istimewa yang mereka terima daripada Isyraf atas dasar nama persahabatan yang terjalin tanpa sengaja itu.
"Erm, bila kau nak buat benda tu?" tanya Muna sambil menggoyang sedikit tautan mereka.
Uzma berkalih ke dalam mata Muna. Ke depan, dia tidak pasti adakah perasaan yang sama dia punyai. Namun, ketika ini azamnya membara untuk meruntuhkan sedikit keegoan Atuk dalam membuat keputusan. Bendera putih yang dinaikkan semalam diturunkan kembali. Bukanlah niatnya mahu mendapat gelaran cucu derhaka. Tetapi, buat masa ini, dihimpit dengan suatu arahan yang sukar ditolak mentah-mentah, Uzma terpaksa menggunakan jalan licik sebegini sebagai protes dalam senyap.
"Malam ni."
Balasan yang diberikan mendapat respon yang agak ketara daripada Muna. Tangan yang bertaut pantas dileraikan. Muna menekup mulut dengan kedua belah tangannya. Matanya membulat. Nampak sangat terperanjat. Uzma memberi isyarat jari telunjuk di bibir.
"Isyraf kerja sampai pukul berapa? Macam mana nak buat supaya aku dan dia boleh tinggal berdua dan kau pulak jadi reporter..."
"Ju?.. Biar betul?"
Angguk. Wajahnya serius. Menjelaskan betapa dia tidak bermain-main.
"Okay... Kejap. Bagi aku bernafas jap." pinta Muna sambil mengurut dadanya perlahan-lahan.
Tudung bawal berona hitam yang dikenakan ditarik hujungnya lalu dibawa ke dahi. Renik peluh kecil yang terbit disapu. Kemudian gadis itu melemparkan pandangan yang jauh ke arah Isyraf yang tiada lagi di situ.
"Okay. Aku dah tahu macam mana. Kau, kena berani dan bersedia." kata Muna di saat pandangannya dikembalikan ke hadapan.
Uzma tersenyum kelat.
Atuk, maafkan Ju!