Home Novel Keluarga I LOVE YOU CIKGU
Bab 30

“IMAN, pintu terkunci. Mungkin mak dan abah pergi surau,” beritahu Sara Raihana bila mereka tiba di rumah dan mendapati kedua-dua ibu bapa mereka tiada di rumah. Iman yang turut melihat pintu yang terkunci, hanya menggaru-garu kepala.

“Kita tunggu kat sini ajelah,” ujar Iman sambil menunjuk ke arah buaian besi yang berada di tepi halaman rumah. Mereka berdua duduk di atas buaian itu dan kemudian secara spontan Iman menggerakkan buaian itu perlahan-lahan.

“Sara dah pilih hari untuk majlis akad nikah kita nanti?”

“Dah. Kalau kita buat hari Sabtu hujung bulan depan, boleh tak?”

“Insya-ALLAH. Iman akan usahakan. Rasanya tak ada masalah sebab cuti Iman banyak lagi,” kata Iman.

“Iman dah pergi kursus kahwin?”

“Dah. Iman dah cukup bersedia untuk jadi seorang suami,” jawab Iman bersemangat.

Sara Raihana hanya tersenyum. Iman turut tersenyum gembira. Iman mengerling ke arah Sara Raihana yang mulai menguap beberapa kali. Mungkin ayunan buaian itu mempengaruhi kantuknya.

“Sara ingat tak masa kita pergi ke Tasik Meromitik?” tanya Iman.

“Hmm...ingat,” jawab Sara Raihana perlahan sambil melentokkan kepala di bahunya.

“Iman sentiasa ingat detik-detik indah sewaktu kita kat sana. Saat Sara terjatuh dan berada dalam pelukan Iman, membuatkan Iman memasang tekad untuk memperisterikan Sara. Sara tahu tak, ramai gadis yang cuba mendekati Iman, tetapi Iman menolak kerana sentiasa ingat janji Iman pada ummi. Hati Iman tetap pada Sara,” kata Iman meluahkan isi hati.

Ketika dia menoleh ke arah Sara Raihana, dilihatnya Sara Raihana sedang lena di bahunya. Rupa-rupanya dia hanya bercakap seorang diri. Iman membiarkan Sara Raihana tidur sambil meneruskan hayunan buaian. Perlahan-lahan dia menarik Sara Raihana untuk baring di atas ribanya. Beberapa ketika keadaan menjadi sunyi sepi. Bunyi kereta Pak Cik Majid menyedarkan Sara Raihana daripada lenanya. Perlahan-lahan dia membuka mata kerana silau dengan cahaya lampu kereta Pak Cik Majid.

“Kalau nak tidur, naiklah ke atas. Tak elok kalau orang tengok kamu berdua tidur kat sini,” tegur Mak Cik Rohaya ketika keluar dari kereta dan ternampak Sara Raihana sedang tidur di atas ribaan Iman dan Iman tidur bersandar di buaian.

Sara Raihana yang malu dengan teguran itu segera masuk ke dalam rumah tanpa mempedulikan Iman setelah Pak Cik Majid membuka pintu. Dia terus meluru masuk ke bilik dan menutup pintu dengan agak kuat. Iman hanya berdiri sambil terpinga-pinga. Dia tidak menyangka sikap Sara Raihana sebegitu rupa di sebalik kelembutan yang selalu dilihatnya. Pak Cik Majid mengajak Iman masuk ke rumah dan menunjukkannya bilik bersebelahan bilik Sara Raihana untuk bersolat dan berehat.

Iman keluar dari bilik setelah selesai Solat Isyak dan duduk bersembang-sembang dengan kedua-dua ibu bapa Sara Raihana. Kelibat Sara Raihana masih belum kelihatan membuatkannya tercari-cari. Perasan akan hal itu, Pak Cik Majid pun bersuara.

“Iman, abah nak nasihatkan Iman satu perkara. Bila Iman dah berkahwin dengan Sara nanti, tolonglah tegur dan bimbing dia. Sara ni keras kepala sikit dan jika ada benda yang tak kena di hatinya, dia hanya akan diamkan diri dan tak bercakap dengan orang yang dia rajuk hingga berhari-hari,” ujar Pak Cik Majid.

“Itu belum mogok lapar. Kalau dia mogok lapar, sampai sakit-sakit perut pun dia tak nak makan,” sampuk Mak Cik Rohaya menceritakan kelakuan Sara Raihana yang sebenar.

“Kenapa dia mogok lapar?” tanya Iman berminat ingin tahu.

Mungkin selama ini dia hanya dapat melihat sifat yang elok dan baik sahaja pada diri Sara Raihana.

“Bila marahkan seseorang atau membantah kata-kata orang tu,” jawab Pak Cik Majid.

“Insya-ALLAH, Iman akan cuba yang terbaik untuknya.”

“Iman pergi belajar tentang agama Islam?” tanya Pak Cik Majid ingin tahu.

“Iman belajar dengan Ustazah Habsah dan suaminya sewaktu masih bersekolah hingga ke hari ni. Iman jugak masuk kelas mengaji al-Quran dan tajwid serta belajar agama dengan Ustaz Salleh kat Pahang. Bila Iman cuti, Iman akan menyertai kumpulan dakwah dan kebajikan buat kerja-kerja amal.”

Pak Cik Majid hanya mengangguk tanda berpuas hati. Dia tidak ragu melepaskan Sara Raihana kepada Iman. Walaupun Iman tergolong di dalam saudara baru tetapi amalan serta keimananya kadangkala mengatasi orang Melayu yang Islam secara keturunan.

“Aya, pergilah tengokkan Sara tu. Panggil dia ke sini untuk berbincang,” ujar Pak Cik Majid menyuruh Mak Cik Rohaya memanggil Sara Raihana.

Mak Cik Rohaya menuju ke bilik Sara Raihana. Setelah mengetuk pintu dia memasuki bilik itu. Agak lama Mak Cik Rohaya berada di bilik Sara Raihana.

“Adalah tu yang tak kena. Sara...Sara...dah dua kali nak kahwin pun tak berubah-ubah perangai dia. Manja terlebih,” kata Pak Cik Majid sambil menggeleng-geleng.

Iman hanya memerhati tanpa kata.

“Iman jangan bagi muka sangat pada Sara, nanti dia naik tocang,” kata Pak Cik Majid lagi.

Mak Cik Rohaya yang terdengar perkataan itu setelah dia keluar dari bilik Sara Raihana pula menambah.

“Iman jangan ambil hati dengan sikap Sara tadi, ya.”

Iman hanya tersenyum dan mengangguk sambil memerhatikan Sara Raihana yang keluar dari bilik dengan muka yang kurang ceria.

“Abah...Iman...Sara mintak maaf,” ucap Sara Raihana sambil duduk di tepi Mak Cik Rohaya.

“Baiklah. Tapi jangan buat perangai macam budak-budak lagi,” kata Pak Cik Majid.

Iman yang mendengar hanya tersenyum. Sara Raihana tidak berkata apa-apa sambil mencapai teko lalu menuang air kopi ke cawannya. Dia minum beberapa teguk lalu meletakkan kembali cawan itu.

“Kalau ikut tarikh yang Sara pilih untuk akad nikah, dah masuk bulan Rejab. Petang tadi mak dah berbincang dengan Abang Long dan dia setuju kita buat kenduri kat sini lepas raya puasa. Sara setuju tak?” tanya Mak Cik Rohaya.

“Tak buat kenduri pun tak apa. Lagipun dah nak buat kenduri masa akad nikah tu.”

“Itu kat sana. Kat sini kita buat untuk saudara-mara dan jiran sekampung,” kata Mak Cik Rohaya.

“Baiklah. Sara ikut aje.”

“Kalau macam tu Iman akan tanggung semua perbelanjaan kenduri kat sini,” kata Iman.

“Tak payah. Biar Sara yang tanggung,” kata Sara Raihana pula.

“Habis tu kalau Iman tak keluarkan belanja, takkan nak kahwin free?

“Iman bagi duit mas kahwin cukuplah, tak payah hantaran,” kata Sara Raihana.

“Iman ada duit. Dah dua tahun Iman kerja dan kumpul duit semata-mata nak pinang Sara. Kalau tahu Sara tak nak duit hantaran, lepas SPM dulu lagi Iman dah masuk meminang,” kata Iman bergurau.

“Eh, ke situ pulak. Kalau lepas SPM siapa yang nak? Dahlah budak lagi, Sara pulak yang kena tanggung,” balas Sara Raihana.

“Apa kata kalau soal hantaran dan hal-hal yang berkaitan adat peminangan kita serah pada ibu dan abah. Lagipun ummi dah janji nak masuk meminang Sara lepas dia balik dari umrah dua minggu dari sekarang,” kata Iman memberi cadangan.

“Itu ibu setuju. Biarlah ada orang yang masuk meminang secara rasmi dan kita tentukan belanjanya nanti. Sara dan Iman ikut aje keputusan perbincangan wakil kedua-dua pihak,” cadang Mak Cik Rohaya bagi menamatkan perbezaan pendapat antara Iman dan Sara Raihana.

Akhirnya mereka berdua terpaksa akur dengan kehendak Mak Cik Rohaya.

“Iman dah beli cincin untuk Sara?” tanya Pak Cik Majid pula.

“Belum. Tadi tak sempat nak ke kedai emas,” kata Iman.

“Abah cadangkan beli dulu sebelum Iman balik ke Pahang dan serahkan pada keluarga ummi Iman. Nanti ummi Iman boleh bawa bersama cincin tu semasa peminangan.”

“Sara, esok sebelum kita balik ke Taiping kita singgah ke kedai emas dulu,” cadang Iman.

Sara Raihana hanya mengangguk tanda setuju. Iman tersenyum kerana hajatnya untuk meminang Sara Raihana akan terlaksana malah jika sebelum ini dia menjangkakan akad nikahnya mungkin mengambil masa yang lebih lama tetapi sekarang telah berubah. Segalanya akan menjadi kenyataan hanya dalam masa sebulan. Dia bersyukur kepada ILAHI kerana memperkenankan doanya untuk memiliki Sara Raihana.

Menurut Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin, bahawa seorang lelaki mengahwini seorang wanita solehah supaya terpelihara daripada gangguan syaitan, supaya terjaga agamanya, supaya memperolehi anak-anak yang soleh daripada wanita itu dan seterusnya anak-anak itu mendoakan untuknya. Lalu apabila lelaki berkenaan mencintai wanita itu kerana semua sebab-sebab di atas, maka dia adalah tergolong sebagai salah seorang pencinta kerana ALLAH. Iman ingin menjadi pencinta itu. Hatinya tersenyum lebar.


p/s Setakat ini sahaja cerita ni di Ilham. Adakah Iman dan Sara akan berbahagia? Kenapa Sara begitu takutkan Farid? Untuk mengetahui kesudahan cerita ni dapatkannya dikedai-kedai buku berhampiran anda. Terima kasih. I Love You ...

Previous: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.