Home Novel Keluarga Papa Nak Menantu!
Papa Nak Menantu!
Hasrudi Jawawi
24/1/2014 17:27:32
121,111
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Beli Sekarang
BAB 09
| 09 |

LEPAS waktu makan tengah hari barulah Syahirah dan Shakir sampai di butik Pak Saad. Mereka tidak tahu yang Pak Saad sudah menahan geram sejak pagi tadi. Siap sedialah tahan telinga sebentar lagi.

“Weh, kau masuklah dulu,” suruh Syahirah sambil mengintai ke dalam butik dari sebalik dinding luar butik itu.

Kelibat Pak Saad tidak kelihatan di dalam.

Shakir yang turut bersembunyi di sebalik dinding itu, laju menggeleng.

“Tak nak, kaulah masuk dulu. Semua ni sebab kau tau.”

“Eh, apa hal pulak sebab aku? Dah sah-sah idea ni idea kau.”

“Masalahnya, aku rancang nak jumpa Ila Selasa depan. Tapi kau pulak yang beria-ia nak jumpa dia hari ni. Siapa yang salah sekarang ni?”

“Aku jugaklah yang salah ni?’

“Mestilah.”

Syahirah menjeling bengang lalu kembali mengendap ke dalam butik. Mencari kelibat papanya yang tidak kelihatan.

“Ada tak, papa kau kat dalam?”

“Tak adalah wei, dia keluar beli makanan kut. Tak pun, dia solat kat bilik belakang.”

Shakir turut terhendap-hendap ke dalam butik. Mencari kelibat Pak Saad yang entah ke mana.

“Mengendap apa tu?” tanya suatu suara dari arah belakang mereka.

Namun, mereka tidak sedar akan pemilik suara itu.

“Tengah mengendap Pak Saad,” jawab Shakir, masih menjengah-jengah ke dalam butik.

“Pak Saad tu, papa akulah,” ujar Syahirah, membetulkan.

<div class="separator" style="clear: both; text-align: center;">
<a href="http://3.bp.blogspot.com/-IQlbntm9-6Q/Uz6nchp-idI/AAAAAAAAEr8/fNIlrIjvE50/s1600/Allstars.png" imageanchor="1" style="margin-left: 1em; margin-right: 1em;"><img border="0" src="http://3.bp.blogspot.com/-IQlbntm9-6Q/Uz6nchp-idI/AAAAAAAAEr8/fNIlrIjvE50/s1600/Allstars.png" /></a></div>

Dua saat berlalu. Masuk saat yang ketiga, mereka berdua tersentak kecil. Air liur ditelan, kesat. Perlahan-lahan Shakir dan Syahirah saling berpandangan. Sekarang, baru mereka teringat. Mereka sebenarnya cukup kenal dengan pemilik suara itu. Dengan rasa cemas, mereka menoleh serentak ke arah suara tadi.

“Mengendap aku ya? Ambil ni.”

Dengan perasaan geram dan sakit hati, Pak Saad terus memiat cuping telinga kedua-dua manusia di hadapannya itu lalu ditarik masuk ke dalam butik.

“Aduh sakit pa, sakit!” rengek Syahirah sambil menahan telinga.

“Pak Saad, sakit,” rengek Shakir juga.

Terkial-kial mereka berdua mengikut rentak langkah Pak Saad.

Pak Saad pula terus memiat lagi kuat sehinggalah ke dalam butik. Sampai di dalam, barulah telinga Shakir dan Syahirah dilepaskan.

“Duduk!” suruh Pak Saad dengan garang sekali sambil bercekak pinggang.

Syahirah dan Shakir akur lalu duduk di atas sofa yang ada sambil mengusap telinga yang terasa pedih. Merah sebelah telinga masing-masing.

“Apa papa ni? Main piat-piat telinga pulak. Kita orang bukan budak kecik lagi tau,” rungut Syahirah sambil buat wajah cemberut.

Shakir terus diam. Dia tidak berani mahu melawan Pak Saad. Dia sedar dia salah.

“Memanglah kau orang bukan budak kecik lagi. Kalau kau orang berdua budak kecik, dah lama aku cekik-cekik sampai mati, tau! Ke mana kau orang berdua pergi, hah?” marah Pak Saad.

Shakir memandang Syahirah. Syahirah memandang Shakir. Buat seketika mereka saling berpandangan.

“Hai, masing-masing dah tertelan ubat gegat ke? Dah tak ada suara? Aku ni, dari pagi sampai ke tengah hari tadi dah macam tak ada kerja lain, duk cuba call kau orang berdua aje. Setiap kali call, asyik perempuan operator tu aje yang jawab. Kalau ada telefon, tapi tak reti nak jawab call, baik buang aje telefon tu dalam tasik! Baik kau orang berdua cakap. Ke mana kau orang berdua pergi?” bebel Pak Saad.

Dia mahukan soalannya dijawab. Selagi soalan itu tidak dijawab, selagi itu dia tidak akan puas hati. Dia perlukan penjelasan!

Syahirah memberi isyarat bukan lisan pada Shakir supaya memberi jawapan untuk soalan papanya itu. Shakir pula buat perkara yang sama. Mereka saling tarik tali mahu memberi jawapan.

“Eh! Yang kau orang main jeling-jeling ni apa hal? Jawablah soalan aku tu!” bentak Pak Saad.

Dia sudah tidak tertahan amarahnya.

“Kita orang ada hal sikit kat bandar tadi,” jawab Syahirah takut-takut.

Dia terpaksa menjawab apabila papanya sudah membentak.

“Hal apa, sampai masing-masing dah tak reti nak jawab call aku?”

“Bukan tak nak jawab pa, bateri phone kita orang, habis.”

Pak Saad semakin marah. Alasan yang tidak bisa diterima dengan mudah.

“Bagi telefon kau orang berdua kat aku,” pinta Pak Saad sambil menghulur tangan.

“Ha? Papa nak buat apa?”

“Bagi ajelah!” bentak Pak Saad dalam nada tinggi.

Shakir dan Syahirah yang terkejut dengan bentakan Pak Saad itu, kelam-kabut mengeluarkan telefon pintar masing-masing lalu dihulur kepada Pak Saad.

Pak Saad melihat skrin telefon pintar yang ada di tangannya. Bar bateri di kedua-dua telefon masih penuh.

“Kau punya fasallah ni. Kalau kau tak suruh off phone pagi tadi, mesti benda ni tak akan jadi tau,” marah Shakir pada Syahirah di sebelah dalam nada berbisik.

“Eh, kalau kita tak off phone, kau ingat kita boleh aman ke pagi tadi? Sah-sah papa aku akan call dan terus call tau,” balas Syahirah dalam nada yang sama. Tetap tidak mahu kalah.

“Dah! Tak perlu nak salah menyalahkan. Kau ingat aku tak dengar apa yang kau orang berdua bisikkan.”

Shakir dan Syahirah terkejut apabila Pak Saad tiba-tiba mencelah.

“Disebabkan aku bengang dan marah, telefon kau orang berdua ni biar aku simpan hari ni. Esok baru aku kasi balik,” ujar Pak Saad, menjatuhkan hukuman.

“Eh, mana boleh macam tu papa. Tu kan telefon Syah.” ujar Syahirah, tidak boleh terima.

“Apa hal pulak tak boleh? Telefon ni, papa yang belikan, kan? Jadi, suka hatilah papalah nak simpan ke tak.”

“Telefon saya pulak, macam mana Pak Saad? Saya beli telefon tu guna duit saya sendiri,” celah Shakir.

“Kau beli guna duit gaji kau, kan?”

Shakir mengangguk.

“Duit tu dari aku, kan? Kira duit aku jugak. Jadi, aku simpan. Esok baru aku kasi balik telefon ni kat kau,” ujar Pak Saad lalu menyumbat kedua-dua telefon pintar di tangan ke dalam poket kemeja.

“Hah? Apa pulak macam tu Pak Saad? Sah-sah...”

“Dah, jangan nak banyak bunyi pulak. Kau orang berdua tak nak bagi tahu aku ke mana kau orang berdua pergi pagi tadi, kan? Jadi, ni hukuman untuk kau orang berdua,” pintas Pak Saad sambil melangkah ke meja kerja dengan wajah selamba.

Syahirah sudah buat muka tidak puas hati. Geram dia melihat papanya. Terasa dirinya seperti kanak-kanak. Dimarahi disebabkan hal kecil. Tertekan dibuatnya. Shakir yang tidak ada kaitan dengan hubungan kekeluargaan mereka turut terbabit sama.

“Tapi Pak Saad, kalau mak saya call macam mana?” soal Shakir.

Dia masih cuba meraih belas kasihan Pak Saad yang sudah mula membentang kain di atas meja.

Syahirah memandang Shakir dengan sakit hati. Ada sahaja alasan kawan baiknya itu mahu mendapatkan telefon pintarnya semula. Andai Shakir mendapatkan telefon pintarnya semula, pasti dia tidak akan berpuas hati. Dia pun mahu juga.

“Tak apa, nanti aku tolong jawabkan. Aku beritahu mak kau, kau tertinggal telefon kat sini,” jawab Pak Saad.

Shakir merengus bengang.

Syahirah menahan tawa melihat nasib kawan baiknya itu.

“Ni semua salah kau. Tak fasal-fasal aku terbabit sama.”

Syahirah hanya menjelir lidah, mengejek.

Pak Saad tiba-tiba muncul di hadapan mereka semula bersama beg kertas di tangan.

“Shak, memandangkan kau masuk lambat, malam ni kau kerja over time. Banyak baju nak kena siapkan tu. Ada jurulatih zapin datang pagi tadi menempah baju zapin untuk kumpulan zapin dia,” beritahu Pak Saad.

“Kerja over time? Tak pernah-pernah...”

“Dah kau masuk lambat, haruslah kau kena cover balik waktu kerja yang kau dah ponteng pagi tadi,” pintas Pak Saad sebelum sempat Shakir menghabiskan kata-kata.

“Ala...” keluh Shakir, kecewa.

Disebabkan Syahirah, dia yang kena kerja lebih masa malam ini.

“Baju ni hantar kat Mak Senah yang duduk kat taman perumahan seberang sungai tu. Hantar cepat! Alamat rumah dia ada kat dalam beg ni,” suruh Pak Saad pada Syahirah sambil menghulur beg kertas berisi baju yang sudah siap dijahit.

“Ala... Syah baru sampai ni. Penat pun tak hilang lagi.”

“Ada papa kisah? Cepat hantar!”

Dengan malas Syahirah bangkit berdiri.

Pak Saad berkerut dahi apabila terpandang sesuatu yang aneh di wajah Syahirah.

“Kejap!” pinta Pak Saad sambil memegang kedua-dua pipi Syahirah lalu dihadapkan muka anaknya itu menghadap ke mukanya. Bulu mata Syahirah ditelitinya.

Syahirah yang terkejut dengan tindakan papanya itu hanya menuruti tanpa menepis atau menolak.

Perlahan-lahan Pak Saad mengetip hujung bulu mata sebelah kanan anaknya dengan hujung jarinya lalu ditarik ke depan. Dia melihat hujung jarinya. Ada kesan hitam. Dia mencium bau bahan berwarna hitam yang melekat pada jarinya itu.

“Kau pakai maskara ke, Irah?”

Shakir sudah mengg igit jari dengan perasaan cemas. Syahirah sudah menelan air liur. Macam manalah papanya boleh perasan kesan maskara pada bulu matanya. Buat seketika Syahirah dan Shakir saling berpandangan.

Alamak, apa aku nak jawab ni? Detik hati Syahirah, cemas.


Previous: BAB 08
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.