Home Novel Keluarga Papa Nak Menantu!
Papa Nak Menantu!
Hasrudi Jawawi
24/1/2014 17:27:32
121,111
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Beli Sekarang
BAB 10
| 10 |

TEPAT jam 9.00 malam, barulah Shakir menamatkan kerjanya. Rasanya cukuplah kerja lebih waktunya untuk hari ini. Sambung esok pula. Jika ingin siapkan tempahan yang ada, sampai minggu depan pun belum tentu siap.

Sisa kain perca yang bersepah di atas lantai disapu lalu dibuang ke dalam tong sampah yang ada. Rutin biasa sebelum menutup kedai. Jika dia pulang tanpa mengemas apa yang perlu, siap sedialah esok untuk sesi bebelan dari Pak Saad.

Selesai sahaja, dia memandang ke luar butik mencari kelibat Syahirah. Sepatutnya Syahirah sudah sampai. Ikutkan janji mereka petang tadi, mereka berdua perlu bertemu di butik ini jam 8.30 tadi. Tetapi sampai sekarang batang hidung kawan baiknya itu masih tidak kelihatan. Beginilah janji Melayu. Tidak pernah mahu tepat.

Lima belas minit kemudian, barulah Syahirah menunjukkan muka.

<div class="separator" style="clear: both; text-align: center;">
<a href="http://3.bp.blogspot.com/-IQlbntm9-6Q/Uz6nchp-idI/AAAAAAAAEr8/fNIlrIjvE50/s1600/Allstars.png" imageanchor="1" style="margin-left: 1em; margin-right: 1em;"><img border="0" src="http://3.bp.blogspot.com/-IQlbntm9-6Q/Uz6nchp-idI/AAAAAAAAEr8/fNIlrIjvE50/s1600/Allstars.png" /></a></div>

“Ha, sampai pun kau. Apa hal lambat?” tanya Shakir selepas Syahirah melangkah masuk ke dalam butik yang masih terang benderang itu.

“Sorrylah beb, aku ada hal tadi,” jawab Syahirah sambil tersengih.

“Hal apa? Kau pergi bengkel tukar sport rim motor kau, kan?” tebak Shakir.

Dia sudah agak hal itu. Cuma dia mahu memastikannya sahaja. Dia masih ingat lagi tentang janji kawan baiknya itu dengan Fariq petang semalam.

Penyapu dan penyodok diletak di tempat asalnya lalu dia melangkah menuju ke ruang santai.

“Haah,” jawab Syahirah sepatah.

“Kau ada ambil tak apa yang aku suruh kau ambil dari mak aku?” tanya Shakir, mahu memastikan.

Syahirah yang baru sahaja mahu melabuhkan punggungnya di atas sofa, terhenti dari berbuat demikian.

“Ya ALLAH, aku lupa,” ujar Syahirah sambil menepuk dahi.

“Laa... kau jangan cari fasal. Benda tu penting tau untuk misi aku membantu kau.”

“Aku lupa nak bawak masuklah. Aku dah ambil petang tadi dari mak kau. Ada kat dalam bakul motor aku. Kejap, aku pergi ambil,” jelas Syahirah.

Dia melangkah keluar dari butik itu untuk mengambil barang yang dirasakan amat penting bagi mereka ketika ini.

Shakir lega. Jika Syahirah lupa untuk mengambil barang itu dari emaknya petang tadi, satu kerja pula dia kena menunggu lagi. Dia duduk di atas salah satu sofa yang ada di sudut tepi butik itu sementara menanti Syahirah.

Tiga puluh saat kemudian, Syahirah muncul bersama beg bimbit di tangannya. Beg itu diletak di atas meja lalu dia melabuhkan punggungnya di sebelah Shakir.

Shakir mencapai beg itu lalu dibuka zipnya.

“Apa benda ni?”

“Laptop,” jawab Shakir sepatah.

Dia mengeluarkan laptopnya lalu skrinnya dikuak ke atas. Butang on ditekan lalu laptopnya mula beroperasi. Skrinnya kelihatan berkelip sekali lalu menyala terang.

“Oh, aku ingatkan apa bendalah dalam beg ni tadi. Berat semacam. Kau nak buat apa dengan laptop ni?”

Shakir memandang Syahirah dengan wajah bosan. Ada jugak yang aku hempuk dengan laptop aku ni, getus hati Shakir sambil menahan geram.

“Dah sah-sah telefon aku dengan telefon kau ada dengan papa kau. Nasib baik aku ada laptop. Kalau tak ada, esoklah baru boleh mulakan rancangan kau nak cari suami segera kat Facebook tu.”

Syahirah tersengih sumbing.

“Oh, macam tu ya. Sorrylah beb. Kau janganlah marah aku.”

Shakir menjeling menyampah pada Syahirah lalu kembali memandang skrin laptopnya.

“Aku tak marah, cuma geram aje dengan kau.”

“Macam tulah, sayang kat kau,” ucap Syahirah sambil memeluk sekejap bahu Shakir.

Perbuatan Syahirah itu membuatkan Shakir rasa lain macam dan terasa sesuatu. Dia tahan perasaan itu dan buat-buat bersahaja.

Selepas laptopnya sudah boleh digunakan, dia terus menghubungkan laptopnya dengan rangkaian WiFi percuma yang ada di sekitar butik itu. Tanpa menunggu lama, dia terus membuka laman web Facebook. Dalam masa yang sama, CD yang diberi Nazrin pagi tadi dimasukkan ke dalam DVD driver di bahagian sisi laptopnya.

“Nah, masukan e-mel dengan password kau,” suruh Shakir sambil menolak laptop ke arah Syahirah.

“Jangan tengok!” arah Syahirah.

Dia mula menaip e-mel dan password untuk akaun Facebooknya.

“Ya ALLAH, lambat gila kau menaip. Tulah, dari dulu aku suruh kau belajar guna komputer, kau tak nak. Sekarang, dah terkial-kial nak menaip,” perli Shakir apabila melihat Syahirah menekan butang kekunci laptop satu per satu.

Siap boleh berfikir sejenak mencari huruf yang seterusnya untuk ditekan.

“Alah, sibuklah kau. Apa hal orang yang buat laptop ni tak susun abjad ikut turutan? Ni, bersepah-sepah. Pening kepala akulah. Huruf A kat hujung, huruf B kat bawah. Tak sekolah ke apa, orang yang buat laptop ni?”

Jika sudah tidak tahu guna, hal remeh lagi tidak logik pun boleh jadi hal besar untuk menutup kelemahan diri sendiri.

“Eleh, pandailah kau nak salahkan laptop kesayangan aku ni. Dia yang tak pandai guna, nak salahkan keyboard aku pulak,” perli Shakir sambil mencebik bibir.

“Samalah macam kau tu. Dari dulu aku suruh ambil lesen motor, tapi kau tak nak. Sampai sekarang bawak motor tak lebih 30 kilometer sejam. Lembap macam siput sedut. Lori yang besar-besar tu jugak kau salahkan, kan?” perli Syahirah, memulangkan paku buah keras.

Syakir mencebik sakit hati. Dia terkena balik.

“Dah ke belum?” soal Shakir, mahu lari dari bercakap soal topik itu.

“Dah,” jawab Syahirah lalu menolak kembali laptop ke arah Shakir.

Shakir membuka folder yang ada di dalam CD pemberian Nazrin pagi tadi. Folder ‘Small’ dibuka lalu dibuka satu per satu gambar yang ada dengan menggunakan aplikasi Windows Photo Viewer. Terpaparlah gambar Syahirah di studio pagi tadi satu per satu di skrin laptopnya.

“Kau pilih, gambar mana kau nak upload kat Facebook kau,” suruh Shakir.

Dia menolak laptop ke arah Syahirah.

“Ala... kita pilih sama-samalah,” balas Syahirah sambil merapatkan tubuh dengan tubuh Shakir.

Apabila bahu Syahirah terkena bahunya membuatkan Shakir semakin rasa tidak selesa. Tiba-tiba dadanya terasa berdebar. Jantungnya berdenyut pantas. Keadaan yang dingin tiba-tiba terasa hangat. Sungguhpun begitu, dia cuba mengawal perasaan itu supaya Syahirah tidak perasan.

“Kau rasa yang mana sesuai untuk aku letak kat profile Facebook aku?” tanya Syahirah, inginkan pendapat.

Dengan rasa janggal kerana Syahirah berada terlalu dekat dengannya sehingga bahu mereka berlaga, Shakir mula memilih gambar yang dirasakan sesuai untuk diupload di Facebook milik Syahirah.

Lima belas minit kemudian, semuanya selesai. Maklumat di bahagian ‘About’ sudah diedit mengikut situasi yang sesuai. Gambar cover dan profile juga sudah ditukar.

“Sekarang, kita tunggu orang hantar mesej pada kau,” ujar Shakir selepas semuanya selesai.

Syahirah tersenyum gembira. Tidak sabar menanti respons dari rakan-rakan Facebooknya selepas dia menukar gambar cover dan profile Facebooknya.

Lima minit sudah berlalu. Shakir yang sedang menyelak majalah Maskulin di sebelah Syahirah hanya menjeling wanita itu yang terus sabar menanti mesej baru di peti mesejnya. Lima minit yang berlalu tetap juga tiada yang menghantar pesanan kepadanya. Di dalam hatinya dia terus berdoa, janganlah ada yang menghantar pesanan pada Syahirah.

“Eh, lama aku tunggu, tak ada pun orang hantar mesej pada aku,” rungut Syahirah yang sudah bosan menanti.

“Sabarlah. Kau jugak kata hari tu, kan? Cari suami segera ni bukan macam pilih jering kat pasar. So, kau kenalah bersabar. Kalau tak hari ni, esok lusa adalah tu yang hantar mesej pada kau,” jawab Shakir.

“Esok lusa?”

Syahirah terkejut besar. Membuntang matanya memandang Shakir.

“Kau tahu tak? Semakin lama kita berlengah-lengah, semakin singkat masa yang tinggal, tau,” sambung Syahirah.

“Ya, aku tahu. Dah tak ada orang nak hantar mesej pada kau, takkan kau nak paksa orang pulak. Walaupun aku tahu kau terdesak, tapi tak perlulah kau nak tunjukkan rasa terdesak tu secara terang-terangan, kan?”

“Erm...”

Syahirah berfikir sejenak.

“Apa kata aku hantar mesej pada dia orang dulu. Okey tak?”

Shakir mengeluh bosan.

“Suka hati kaulah. Kalau kau salah pilih lelaki, jangan salahkan aku, okey?”

Syahirah mencebik lalu dengan terkial-kial dia melihat senarai rakan Facebooknya. Ada 150 orang sahaja rakan Facebooknya. Namun, yang dia kenal hanya Shakir sahaja. Yang lain, dia tidak pernah kenal dan tidak pernah tahu kewujudan mereka. Lumrah berkawan di alam maya, lebih-lebih lagi di Facebook.

Dia terpandang satu profile lelaki yang agak elok di matanya. Profile lelaki itu dibuka lalu maklumat lanjut mengenai lelaki itu dibaca.

“Nama, Ezani Hakim. Pengurus besar syarikat belacan. Elok jugak lelaki ni, kan?” tanya Syahirah, meminta pendapat Shakir sambil membuka gambar profile lelaki itu.

“Eee... botaklah. Kau suka lelaki botak ke?” ujar Shakir.

Dia terkejut apabila melihat gambar yang tertera di skrin laptop ketika ini.

“Comelkan lelaki botak ni? Aku nak cuba hantar mesej pada dialah,” ujar Syahirah dengan teruja.

Shakir mendesah. Nyilu hatinya melihat sikap keterujaan Syahirah ketika ini. Namun, apa yang mampu dia lakukan? Dia hanya mampu berlagak biasa dan memberi sokongan padu walaupun di kalbunya, hanya TUHAN sahaja yang tahu rasa senak yang dirasainya.

Syahirah mencuba nasib dengan menghantar mesej peribadi kepada lelaki bernama Ezani itu. Tidak sampai 30 saat, mesej Syahirah sudah berbalas.

“Yes! Dia balas!” ujar Syahirah dengan gembira.

Dia melompat-lompat kegembiraan. Sempat dia mengenyit mata pada Shakir, kawannya.

“Okey fine, selamat mengurat lelaki,” ucap Shakir dalam nada bosan.

Dia menyandarkan tubuhnya pada sofa lalu kembali menelaah Majalah Maskulin di tangannya. Sekejap-sekejap dia akan menjeling Syahirah yang sedang melayan bakal ‘suami segeranya’ itu.

Aduh, kenapa aku rasa sangat senak dalam dada aku sekarang ni? Senak yang teramat sangat bila aku tengok dia begitu teruja berbalas mesej dengan lelaki tu. Kenapa aku perlu rasa perasaan ni? Detik hati Shakir keresahan.


Previous: BAB 09
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.