Home Novel Keluarga BUDAK PANTAI
BUDAK PANTAI
Miko Yan
6/3/2019 11:54:14
79,430
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 22

SUASANA di ruang dapur malam itu sedikit muram. Masing-masing seperti masih terbayang kejadian di perkarangan restoran makanan laut siang tadi. Putra bersandar pada sebatang tiang di tengah ruang itu sambil memicit-micit tangan kanannya. Masih terasa sengal tangan yang menumbuk muka Jamal dan Rani Misai itu. Kamarul membatu di meja makan seperti masih kebuntuan. Indra  juga. Hanya wajahnya sahaja menunjukkan dia dalam keadaan memendam geram. Ika pula tekun membantu menuang bibir Amran yang mula membiru. Mata bertemu mata. Akhirnya sama-sama termalu.

           Jessica sejak pulang dari balai polis hanya berkurung dalam bilik inapannya. Seakan dia trauma dengan kejadian yang telah berlaku. Sungguh dia tidak menyangka kliennya akan bertindak ganas sebegitu. Sudah difikirnya masak-masak mahu menarik diri daripada mengendalikan kes tuntutan itu.

            “Aduh!” Tiba-tiba Amran memecah kesuraman itu.

            “Tahan sikit,” pujuk Ika sambil tangannya terus menuang bibir Amran dengan menggunakan ais yang dibalut sehelai tuala kecil.

            “Macam budak-budak, baru kena sikit,” keluh Putra, mahu mencipta satu jenaka demi menarik semua di situ kembali kepada keadaan sediakala. Nyata sendaanya itu membuatkan semua di situ tergelak.

            “Sikit kau kata, berdebik-debik aku kena tau,” balas Amran, buat muka mengada-ngada. Lebih nak bermanja dengan Ika sebenarnya.

            “Apasal kau tak elak?” Putra terus mencipta keriangan dengan ajukan dialog Pak Mustar dalam filem Pendekar Bujang Lapok. Berderai lagi tawa di situ. Nyata dia pandai merubah suasana.

            “Macam mana nak elak? Belum belajar cara mengelak.” Amran yang mula terikut-ikut dengan jenaka Putra, meniru suara watak Ajis. Makin gamat jadi suasana di situ. Makin bingung kepala Ima dibuat mereka berdua seperti tiada apa-apa yang berlaku walaupun muka Amran mula membengkak dan lebam.

            “Kita semua perlu berhati-hati selepas ini. Jamal dan Rani Misai itu pasti takkan berdiam diri.” Kamarul mula bersuara. Serentak itu suasana kembali terdiam. Wajah masing-masing kembali serius.

            “Betul, tahu sangat dengan perangai dua beranak itu. Tak habis-habis nak cari pasal!” Ika menambah.

            “Err, boleh saya tahu apa hubungan lelaki bermisai itu dengan Jamal? Bukan main lagi dia membela Jamal itu. Dia juga macam tak puas hati dengan bos dan Blue Inn.” Putra cuba merungkai kekamurannya.

            “Rani Misai itu ayah saudara Jamal, dari sebelah ayahnya.” Kamarul menjelas dengan wajah yang kesal. Nyata dia cukup kesal dengan permusuhan keluarga yang kian berlarutan itu.

           “Oh, begitu rupanya! Boleh saya tahu juga kenapa mereka berdua itu tak puas hati sangat dengan bos dan selalu nak menganggu Blue Inn?” Putra mahu kepastian lanjut daripada mulut Kamarul sendiri. Sebelum ini dia hanya mendengar daripada Amran sahaja. Kamarul melepaskan satu nafas.

            “Begini ceritanya, aku dua beradik sahaja. Adik aku itu ialah mak kepada Jamal. Sewaktu arwah ayah aku meninggal, dia dah tinggalkan wasiat untuk membahagikan harta yang ada. Salah satu harta itu ialah dua bidang tanah. Masing-masing ada bahagiannya. Aku dapat tanah ini, adik perempuan aku pulak dapat satu lagi Tanah di hujung pulau.”

           “Tanah yang Jamal dah jualkan kepada seorang tauke Cina!” Ika mencelah. Nyata raut wajahnya menyimpan seribu rasa bengang.

           “Sekarang bila dia dah habis duit hasil jualan tanah maknya itu, dia mula mendakwa tanah yang aku warisi ini masih ada haknya. Memang tak dinafikan tanah ini lebih besar daripada tanah yang dah dijualnya itu. Tapi aku memilikinya dengan sah mengikut faraid. Hitam putihnya juga ada walaupun hanya bertulis tangan. Jika mengikut hukum syarak pun, aku memang layak mendapat tanah ini selaku anak sulung dan anak lelaki. Jamal tak boleh terima kenyataan itu. Punca dia beriya-iya mahukan tanah ini sebab dia dah dipengaruhi oleh tauke Cina itulah, kononnya ada sebuah syarikat pemaju dari China mahu membeli tanah Blue Inn ini untuk dijadikan tapak sebuah hotel lima bintang. Sebab itulah Jamal menjadi kelabu mata. Dihasut juga perasaan tamak haloba. Aku dapat tahu juga, Jamal dah berjumpa dengan pemaju itu dan dia cuba meyakinkan pemaju itu dia juga ada hak atas tanah ini.” Kamarul menyambung penerangan panjang lebarnya.

            “Jamal itu memang seorang yang tamak!” Bentak Ika.

            “Orang bodoh! Senang sangat dihasut! Otak letak kat kepala lutut! Tak cukup-cukup lagi ke dah hilang satu tanah pusaka!” Tambah Indra pula, yang sememangnya cukup membengkak rasa geramnya terhadap Jamal.

            “Seperti anjing dengan bayang-bayang, orang yang tamak selalunya rugi.”  Ima  yang mula memahami apa yang telah terjadi menokok.

            "Yang bapak sauadaranya itu menyibuk apa hal pulak?" Amran cuba merungkai satu lagi sebab musabab.

            " Si Rani itu sebenarnya cuba menangguk di air keruh. Dia itu banyak hutang judi. Sebab itu dia bersungguh-sungguh menghasut Jamal, dengan harapan adalah bahagiannya untuk dia bayar semua hutang judinya itu." Jelas Kamarul secara terperinci lagi.

            Dengan penerangan Kamarul itu, juga ditambah dengan celahan, bentakan dan tokok Ika danadik-adiknya, kekamuran di benak Putra dan Amran hilang. Kini, dapat mereka konklusikan perkara itu secara mutlak. Sememangnya bahana kepada dua penyakit masyarakat yang sudah berakar-umbi sejak permulaan peradaban masyarakat Melayu yang berevolusi dengan ajaran kapitalis Eropah yang datang untuk menjajah pada zaman dahulu kala lagi. Penyakit yang tak boleh diubati oleh doktor dan ubat-ubatan, iaitu penyakit perasaan hasad dengki atau akronim sinisnya PHD dan juga penyakit tamak haloba. Apabila dua penyakit bangsa ini bersatu dalam jiwa, hubungan persaudaraan pun sanggup diputuskan. Peribahasa takkan putus air dicincang takkan terpakai lagi kalau melibatkan dua penyakit bangsa ini. Malah,pertumpahan darah pun boleh terjadi. Betapa hebatnya komplikasi penyakit perasaan itu.

           Putra dan Amran saling berpandangan. Saat itu, hati mereka menjadi semakin bermotivasi untuk sama-sama mempertahankan Blue Inn.

Previous: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan