Home Novel Keluarga BUDAK PANTAI
BUDAK PANTAI
Miko Yan
6/3/2019 11:54:14
79,464
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 9

USAI asar petang itu, Putra mula sibuk di dapur memerap potongan ayam, daging, ikan, udang dan sotong. Malam nanti akan diadakan satu sesi barbeku di halaman Blue Inn. Ideanya itu bukan sekadar untuk meraikan Jessica dan pelajar-pelajar UMT yang baru tiba, tetapi juga untuk meraikan semangat baru di Blue Inn. Pantas ideanya itu dipersetujui oleh Ika, Ima dan Indra kerana sememangnya Blue Inn sudah sekian lama tidak riuh dengan keraian sebegitu.

            Dia tersenyum sendirian tatkala melihat Amran bersama Indra di halaman pasir di hadapan Blue Inn dari pintu jendela dapur itu. Mereka berdua sedang sibuk dengan satu tugasan yang juga terilham daripada kotak fikirnya. Dia  terasa sedikit lucu tatakala mengenangkan Amran, rakan sekerja barunya itu. Daripada seorang pelancong bertukar menjadi seorang pekerja. Sepintas,  dia teringat apa yang dibebel oleh Amran sewaktu dipapahnya ke bilik selepas kejadian di Samudra Bar tempoh hari.

          “Apa salah I, Min? Apa salah I? Semua orang dah tak sayang pada I ke? Semua orang dah nak jauhkan diri daripada I. Apa salah Am, ayah? Am masih tak cukup bagus ke?

Kenapa ayah layan Am macam ni? Kenapa Riz yang selalu diutamakan? Am bukan anak ayah ke?”

         Sekonyong-konyong terbit rasa simpati di hati Putra. Baginya, Amran ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Untuk menghadapi dugaan bertimpa sebegitu sememangnya perlu ketabahan. Andai tidak, pasti akibatnya akan memudaratkandiri sendiri, seperti yang pernah dilaluinya sebelum ini. Dia terpaksa menjadi tabah untuk melupai kesengsaraan itu.

            “Jauh menungnya,” tegur Ika yang tanpa disedari muncul di ruang itu.

             Putra sedikit tersentak. Perlahan-lahan senyum sipu tersimpul di bibirnya dan cuba menutup rasa itu dengan melarikan sedikit pandangannya dengan menunduk kepalanya.

            “Apa dimenungnya tadi?” Soal Ika kembali. Tangannya menuang air masak ke sebiji gelas.

            “Err… tak ada apa-apa,” balas Putra cuba berlagak bersahaja.

            “Takkanlah, Ika tengok sekejap senyum, sekejap sedih, mesti ada sesuatu yang dimenungnya,” cungkil Ika lagi. Kini dia betul-betul berdiri di hadapan Putra. Terus  Putra dikepung rasa serba-salah. Rupa-rupanya Ika sudah lama memerhatinya. Riak wajah Ika juga tidak seperti selalu dilihatnya kala itu.

            “Err… Ika boleh jadi perisik," senda Putra cuba mencari jalan keluar sebelum ke persimpangan mati.

            “Kenapa pulak?” Ika mengerutkan sedikit dahinya.

            “Ya lah, jejak tak boleh didengar. Sesuai jadi perisik,” ungkap Putra dengan senyuman. Ika turut tersenyum, mula mengerti maksud Putra itu.

            “Malam tadi pun pandai bersembunyi di sebalik pokok kelapa. Nasib baik buah kelapa tak gugur.Kalau tak, benjol kepala,” ujar Putra lagi. Nyata dia menyedari kehadiran Ika yang mencuri dengar perbualannya dengan Amran malam tadi. Di hujung kata-katanya itu, dia mengukir senyum.

            Ika yang mulanya terkelu, ikut tersenyum. Jejalur merah pantas muncul di wajahnya. Kini mereka termalu sesama sendiri.

            “Macam mana tahu?”

            “Macam mana tahu ya? Hmm, dulu saya pernah buat perkara yang sama seperti Ika buat itu.”

            Kedua-duanya kemudian mengekek tawa sebelum tercipta ruang bisu antara mereka. Masing-masing bermain dengan bisikan hati sendiri.

            Menyedari suasana kembali kekok, Ika segera meneguk air yang bersisadi dalam gelas sebelum ke singki untuk mencuci gelas itu. Putra pula menyambung semula kerja perapannya. 

            “Nak Ika tolong ke?” Soal Ika sesudah mencuci gelas di singki, cuba menghilangkan kembali rasa kekoknya.

            “Dah nak siap,” balas Putra dengan senyuman pendek.

            Ika kemudianmenarik sebuah kerusi di meja makan dan melabuh punggung di situ, betul-betul mengadap Putra. Putra mengukir senyum kepadanya. Hatinya senang dengan kehadiran Ika itu. Seperti Ika telah menerima kehadirannya di Blue Inn itu dengan berlapang hati. Sememangnya peluang untuk berbual panjang dengan gadis yang berwajah manis itu selalu dinanti-nantikan. Ada iras-iras Mira Filzah wajahnya.Terutamanya ketika dia senyum.

            “Boleh saya Tanya sikit?” Ika meringankan lagi mulutnya kerana fikirannya sudah tidak tertahan lagi menyimpan rasa tertanya.

            “Tanya apa?” Putra membalas pantas.

            “Putra cakap, Putra ke sini sebab laut dan mencari kedamaian. Apa maksud mencari kedamaian itu?” Ika menyusun kata-katanya.

            Jantung Putra seakan dijentik. Riangnya beriak gelisah. Dia mengerti betapa Ika cuba mencungkil kisah dirinya. Fikirannya kemudian beroperasi ligat, cuba mencari jawapan yang sesuai untuk soalan Ika itu agar ia tidak diungkit lagi. Rahsia hidupnya biarlah terkunci rapi di dalam peti hati sepinya.

            “Err… kedamaian yang seperti semua orang cari,” ungkapnya dalam payah. Dia gagal untuk mencari isi jawapan yang lebih baik.

            “Apa, Putra turut dirundung kekecewaan? Sebagaimana Amran?” duga Ika kembali. Riak wajahnya seperti dia mahu menjadi pendengar yang setia. Sememangnya dia berhoroskop Gemini, sama juga dengan Putra yang lahir pada 1 Jun. Menurut dongeng horoskop, sesiapa yang lahir pada bulan Jun ialah seorang pendengar yang setia.

            Putra makin dilanda serba-salah. Ika seolah-olah bersungguh mahu mendalami dirinya.

            “Ika tengok saya bagaimana?” Putra cuba bermain dengan helah.

            “Hmm, tengok daripada air muka yang ceria memanjang, nampak macam tak ada apa-apa masalah. Entahlah,” balas Ika dengan dahinya yang berkerut.

            Putra tersenyum panjang. Dia kembali lega. Akhirnya dia berjaya mencari jalan keluar. Bukan niat untuknya menyembunyikan kisah sebenar, tapi dia tidak mahu merosakkan suasana Blue Inn yang kini mula ditandang ceria.

          “Oh, berdua-duaan di sini rupanya. Patutlah kat lobi tiada orang. Kalau Cikgu Saiful itu tahu, alamak patah hatilah cikgu itu nanti” Ima yang tiba-tiba muncul menyampuk. Sempat juga dia mengusik.

         “Hissy, mana ada berdua-duan. Along datang minum air ajelah.” Ika segera mematahkan anggapan liar Ima itu.

        “Ya ke?” Ima berseloroh lagi sambil mengangkat nakal keningnya.

         “Ya lah!” tegas Ika dengan kulit mukanya sudah kemerahan.

         “Siapa Cikgu Saiful?” Soal Putra yang jadi berminat.

          “Err, tiada sesiapalah,” tangkis Ika cepat-cepat. Wajahnya makin merah padam jadinya.

           Ima mengekek tawa bila melihat Ika membeliakkan mata dan mengetap bibir ke arahnya. Dia faham maksud kakaknya itu. Putra dibiarkan tertanya-tanya.

           "Esok, siapa yang iringi pelajar-pelajar UMT itu ke taman laut?" Soal Ima, segera ke tujuan asal dia mencari kakaknya.

         "Hmm, minta Indralah yang bawa mereka sebab Indra sahaja yang berkelayakan. Amran boleh jadi peneman." Ika membuat keputusan.

         "Okey, nanti Ima beritahu mereka berdua."

          "Bercakap pasal kelayakan ini, nanti Putra dan Amran perlu ambil kursus penyelamatan di air. Ika dah daftar nama Putra dan Amran tadi secara online. Nanti pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat akan panggil. Setiap beach boys perlu ada sijil itu baru dibenarkan membawa pengunjung atau pelancong membuat aktiviti di air," ujar Ika panjang lebar.

          "Aye, aye, captain!" balas Putra secara berjenaka.

        "Kalau begitu, Ima kembali ke depan semulalah, Along dan Abang Putra sambunglah berbual balik ya," ungkap Ima dengan mengukir senyum senget ke arah Ika.

        "Along pun dah nak ke depanlah," cepat-cepat Ika membalas. Faham benar dia dengan senyuman nakal adiknya itu.

        Putra sekadar mengukir sengih tatkala dua beradik itu seperti mahu berlumba ke lobi.

        "Err, Ima! Dah siap ke gelanggang tu?" Laung Putra sebelum Ima dan Ika melewati pintu dapur.

        Langkah Ima terhenti dan dia berpaling semula ke arah Putra.

       "Hampir dah nak siap, bang. Sekejap nanti bolehlah kita rasmi." 

       "Good, dah tak sabar abang nak spike si mamat bandar tu. Err, satu lagi, siapa Cikgu Saiful tu?" Sempat juga Putra melaung satu usikan walaupun dia sudah mengerti maksud Ima tadi.

       "Tanya orang sebelah ni." Ima melaung balas. 

       "Apa pulak Tanya Along? Dasar mulut tempayan!" Letus Ika dengan membias warna-warna kemerahan di wajahnya. Lengan Ima cuba dikutilnya. Namun, Ima sempat mengelak. Lalu dikejarnya Ima yang sedang mengekek tawa keriangan.

       Melirik senyum Putra melihat keletah dua beradik itu. 


SUASANA di pinggir pantai di hadapan Blue Inn petang itu mula riuh dengan gelak tawa dan suara muda-mudi. Mereka semua riang bermain bola tampar pantai. Gelanggang itu telah terbina hasil idea Putra dan direalisasikan oleh Amran dan Indra. 

            Amran, Ika, Sofea,Esther dan Aisyah sedang bertanding lima lawan lima dengan pasukan Putra yang terdiri daripada Putra sendiri, Ima, Indra, Tijoh dan Luna. Riang dan rancak mereka bermain. Semestinya telatah Putra yang bersahaja dan suka menyakat menghadirkan gelak tawa yang tiada hujung kepada semua. Tidak kering gusi semua di situ dengan keletahnya yang kadang-kadang seperti kebudak-budakkan. Amranlah yang banyak menjadi mangsa spikenya. Juga menjadi mangsa sakatannya.

            Keriangan itu turut menarik perhatian Kamarul Idham. Dia menonton keriangan itu dari jendela bilik tidurnya. Perlahan-lahan terbit satu rasa di hatinya. Hatinya mula kembali menyerap satu rasa yang sekian lama hilang dari jiwa dan raganya. Blue Inn dirasakan seperti kembali bernyawa. Kala itu, dia mula merasakan kehadiran Putra dan Amran telah membawa rahmat. Anak-anaknya juga dilihat seperti sudah pulih daripada kesepian, terutamanya Indra yang selama ini hidup memberontak.

            Rupa-rupanya juga bukan Kamarul sahaja yang tertarik perhatiannya ke gelanggang bola tampar pantai itu. Dari jendela sebuah bilik lagi, Jessica menonton keriangan itu dengan ekor mata yang tersirat sesuatu di fikiran.


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan