Home Novel Keluarga BUDAK PANTAI
BUDAK PANTAI
Miko Yan
6/3/2019 11:54:14
79,451
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 19

PETANG itu, Putra berehat di buaian hammock di pinggir pantai bersama Amran. Masing-masing menghilangkan penat seharian bertungkus-lumus membaiki kereta di garaj. Beberapa ketika sudah mereka melayani perasaan sendiri sambal menikmati udara petang yang menyegarkan. 

           “Apa yang kau menungkan?” Soal Amran selepas perasan Putra tidakseperti selalunya, diam seribu bahasa.

           “Hah?” Putra sedikit tersentak dari lamunannya.

           “Apa yang kau menungkan?” Amran menukas.

           “Err… tak ada apa-apa,” balas Putra sambil membetulkan baringannya di buaian. Sebenarnya dia terfikirkan tentang gadis yang bernama Dhea itu. Walaupun telah cuba dihindari, namun saat-saat mengelamun sebegitu, gadis itu terlepas juga dari pagar ruang fikirannya.

          “Takkanlah tak ada apa-apa, aku kenal sangat  kau tu, mesti ada sesuatu yang kau sedang fikirkan. Jangan-jangan kau tengah khayalkan Cik Jessie,” rumus Amran.

          “Betul, aku tengah khayalkan dia. Aku khayalkan, aku tengah berenang-berenang berdua-duaan dengannya di balik pulau terpencil sana. Fuh, seksi giler dia!” Putra mendapat idea untuk menyakat Amran. Nyata sakatannya itu berkesan. Amran menjuih bibirnya.

         “Mahu ke Cik Jessie pandang kau, selekeh. Lagi satu, pulau terpencil itu tak pernah dikunjungi orang sebab berpuaka, takkan berani kau bawa dia ke situ!” ujar Amran yang terpedaya dengan kata-kata Putra tadi. Senyuman Putra bertambah lebar. Seperti puas hatinya dapat memperbodohkan Amran.

         “Aku bukan fikir pasal dialah, aku fikirkan tentang apa yang kau beritahu aku tengah hari tadi.” kata Putra. Sememangnya dia juga ada terfikirkan tentang itu. Dirasakannya Jamal sedang merencana sesuatu.

         “Aku pun fikirkan perkara itu. Aku rasa Jamal mahu membuat tuntutan ke atas Blue Innlah?” Rupa-rupanya perkara tengah hari tadi juga masih berlegar-legar di ruang fikiran Amran.

        “Buat pertama kalinya, apa yang bermain dalam fikiran kau itu sama dengan apa yang berlegar di fikiran aku sekarang,” balas Putra. Kini tiada lagi senyum sumbing di bibirnya.

        “Tak habis-habislah si bedebah itu mahu mengganggu. Kenapalah dendam sangat dia kepada bos dan Blue Inn?” Amran melepaskan satu keluhan.

         “Itulah, aku rasa dia mesti ada bertikai sesuatu dengan bos. Barangkali berkaitan tanah tapak Blue Inn ini,” balas Putra.

         “Aku pun rasa macam itu. Kalau tak, takkanlah Cik Jessie berurusan dengannya.” Amran menyokong.

         “Aku rasa bukan Jamal seorang sahaja ada polemik dengan bos.” Sekonyong-konyong juga Putra teringat akan lelaki bermisai tebal yang bertekak dengannya di jeti sewaktu menjemput Jessica semalam.

         “Maksud kau?” Amran mengerut dahinya.

         “Semalam, sewaktu aku jemput Cik Jessica di jeti. Aku ada bertekak dengan seorang lelaki. Lelaki itu pun sama macam Jamal. Macam dia ada rasa tak puas hati dengan bos. Mulutnya pun boleh tahan, mengeluarkan kata-kata tak senonoh terhadap Ika dan Ima.  Aku paling pantang orang macam itu. Aku semburlah dia balik. Memang hilang hormat aku pada dia. Walaupun dah tua, masih lagi nak biadap. Rumah kata pergi, kubur kata mari!”

          Suasana menjadi diam seribu bahasa selepas Putra meluapkan rasa geramnya itu. Masing-masing buntu dengan fikiran yang tidak mempunyai apa-apa jawapan. Akhirnya, masing-masing mengelamun  tentang kisah hidup sendiri.



MALAM itu, Putra sedikit bosan. Amran telah keluar menemani Ika dan Ima membawa Kamarul ke klinik kerana Kamarul tiba-tiba mengadu sakit kepala selepas makan malam tadi. Dia tidak ikut sama kerana perlu mengemas ruang dapur waktu mereka pergi tadi. Lagipun tiada siapa yang menjaga Blue Inn jika dia pergi sama. Indra selepas makan malam, keluar ke pekan Pangkor. Malam itu, Indra beraksi bersama bandnya di sebuah pentas gig Skinhead. Az pula entah ke mana menghilangnya. Katanya nak ke pasar malam. Dua pelancong dari Perancis itu juga telah keluar bersiar malam. Cuma Jessica sahaja terus ke biliknya selepas makan malam tadi.

            Dia menggeliat malas. Hatinya mula berasa mati kutu. Kalau ada Amran, boleh juga dia mengasah idea mengenakan rakannya itu. Selepas mundar-mandir di lob, dia menapak ke hamparan pasir. Matanya meninjau, menjejak sesiapa di hamparan itu.

            Bibirnya mengukir senyum. Langkahnya laju dimajukan ke hadapan, menuju ke pantai. Hatinya berdetak riang dengan peluang itu. 

            “Hai, jauhmenungnya, teringat dekat seseorang di Ipoh ke?” Putra mula mengisi peluang itu.

            “Eh, Putra! Terkejut saya,” balas Jessica yang nyata tersentak dengan sapaan Putra itu. Tangannya mengurut dada. Putra tersenyum panjang.

             “Terkejut ke?” 

            “Mana tak terkejut, boleh gugur jantung saya,” ungkap Jessica yang tiada sedikit pun pelat walaupun dia seorang peranakan Cina. Barangkali pekerjaannya sebagai seorang peguam menjadikannya betah berbahasa Melayu.

            “Sorry, apa dimenungnya? Sampaikan tidak sedar kedatangan saya,” tanya Putra lanjut.

            “Tak ada apa-apa,saya cuma terpesona dengan keindahan di sini,”  jelas  Jessica berbasa-basi. Memang benar, suasana malam itu agak mempersonakan dengan bulan penuh yang menerangi pantai.

            “Oh begitu, boleh saya duduk bersama Jessie,” pinta Putra lembut.

            “Eh, apa nak minta-minta pula, duduklah,” balas Jessica pantas.

            “Manalah tahu,takut  saya mengganggu Jessie. Mana tahu Jessie nak menenangkan fikiran sendirian,” sambung Putra sebelum melabuhkan punggungnya di hamparan pasir, di sisi Jessica.

         “Tak adalah, seperti Jessie cakap tadi, Jessie terpersona dengan keindahan di sini. Sungguh menenangkan,” ucap Jessica dengan senyuman melirik di bibirnya. Nyata senyuman itu bisa mencairkan hati lelaki. Putra tersenyum lagi. Fikiran nakalnya teringatkan Amran. Pasti rakannya itu berbulu jika melihat dia berdua-duan dengan Jessica sebegitu.

          Diam mengisi ruang buat seketika bila masing-masing menghantar pandangan mata ke arah lautan. Kedamaian malam dengan hembusan angin dan desiran ombak pantas membuatkan fikiran mereka melayang.

          “Ciptaan Tuhan... satu anugerah yang perlu kita hargai. Tuhan menciptakannya dengan pelbagai tujuan. Untuk kita bersyukur, sayang dan hormat. Untuk merasai keindahan ini, kita harus bermesra dengannya, barulah kita akan dapat memahami nikmat sebenarnya.” Tanpa disedari kata-kata itu terluah dari mulut Putra. Dia sebenarnya hilang dalam alam fikiran sendiri.

            Jessica mengerut dahinya. Matanya merenung Putra. Lama juga dia merenung. Hatinya mula tersentuh. Dia tahu, Putra bukan sekadar mengatur kata-kata indah, tapi kata-kata itu sememangnya datang dari lubuk hati. Putra akhirnya menyedari tingkah Jessica itu.

            “Kenapa Jessie pandang saya sebegitu?” Aju Putra.

            Jalur-jalur merah pantas membias di wajah Jessica yang sedikit tersentak. Putra tersenyum sendirian melihat keletahnya itu.

            “Err… tak ada apa-apa,” balas Jessica. Juga mengukir senyum. Walaupun pendek, cukup untuk menambat hati lelaki Putra.

            Suasana kembali diam. Putra kekeringan idea, buat pertama kalinya. Begitu juga Jessica. Walaupun dia seorang peguam, dia hilang kepetahannya entah mengapa? Hening malam terus merangkak tanpa sepatah kata. Yang kedengaran hanya deburan ombak menghempas pantai.

            “Di Ipoh tiada suasana sebegini” Kebisuan itu akhirnya pecah berderai apabila Jessica kembali bersuara. Seakan dia cuba mengosongkan fikirannya. Dia sebenarnya sedikit terganggu dengan isi perbincangan denganJamal siang tadi.

            “Sebut pasal Ipoh, Jessie sememangnya berasal dari Ipoh ke?” Soal Putra.

            “Saya memang lahir di Ipoh. Tapi sebenarnya orang tua saya asal Melaka. Papa dan mama saya berhijrah dan buka firma guaman di Bandar Raya Ipoh.” Jessica membuat penjelasan. Riak wajahnya lembut dan tenang.

           “Ada darah baba dan nyonyalah ni ya?” Putra menelah.

           “Ha’ah.” Jessica terus manis dengan senyuman.

           “Patutlah fasih berbahasa Melayu,” rumus Putra.

           “Satu Malaysia ma…”

           Kedua-duanya tertawa kelucuan. Perbualan mereka bertambah rancak selepas itu tanpa mereka sedari yang perlakuan mereka itu diperhati oleh seseorang di lobi Blue Inn.

          “Macam mana sambutan pengunjung di sini?” soal Jessica di hujung tawanya. Seperti dia mula menjadi seorang peguam.

          “Okey. Sejak kebelakangan ini, makin dapat sambutan. Tak putus kami terima tetamu,” balas Putra tanpa mengesyaki dia sebenarnya sedang diselidik oleh Jessica.

           “Ya ke?”

           Putra mengangguk.

           “Sebelum ini?”

          “Sebelum ini saya tak pasti, err.. baru seminggu lebih saya di sini.” Putra membalas dengan sengihan.

          “Mengagumkan!”

           “Apa yang mengagumkan?” Soal Putra yang sedikit kamur. Muncul sedikit kerutan di dahinya.

          “Maksud saya, Putra tidak seperti baru bekerja di sini,” Jessica memberi kefahaman kepada Putra.

          “Mungkin itu sememangnya kepakaran saya,” ungkap Putra dengan senyuman.

          “Pakar?” Jessica pula dilanda kekamuran.

          “Pantas menyesuaikan diri di mana-mana saja saya berada,” terang Putra.

           “Oh begitu.” Kamur di benak Jessica reda. Benar! Di matanya juga, Putra seolah-olah sudah lama menjadi sebahagian dari pulau di persisir Laut Selat Melaka itu. Cara Putra berkomunikasi dengan Kamarul dan anak-anaknya seperti tiada kekok dan cukup untuk dia membuat kesimpulan bahawa Putra seorang yang serasi dengan suasana di situ.

           “By the way, masakan yang awak hidangkan lewat petang tadi seperti biasa, sungguh lazat sekali. Di mana awak belajar ilmu masakan itu?” Puji Jessica yang tiba-tiba teringat makanan yang telah dinikmatinya.

          “Belajar daripada buku dan Encik Google aje,”  

          “Really?”

           “Yup, absolutely,” Putra bermain dengan rima. Jessica tertawa kecil, terhibur dengan jenaka spontan Putra itu.

           “You’re a really an awesome guy.” Jessica mengungkap di hujung tawanya.

            Putra sekadar mengukir senyum. Walaupun ayat pujian itu klisebaginya, tapi terdetik juga sedikit bangga di hatinya.

           “Awak ingin tinggal selamanya di sini ke?”

           Putra jadi sedikit hairan dengan soalan Jessica itu. Sekilas terlintas kembali apa yang dibincangkan dengan Amran di pinggir pantai petang tadi. Dalam masa yang sama juga, dia berusaha untuk mencari jawapan bagi soalan itu. Fikirannya ligat beroperasi. Hampir seminit dia memerah otak untuk mencari jawapan yang paling sesuai.

         “Hmm, saya tidak tahu seberapa lama saya akan berada di sini. Hanya tuhan yang tahu segalanya. Kita manusia hanya mampu merancang, ketentuannya milik tuhan.” Putra memberi jawapannya. Walaupun jawapannya itu agak klise, dia sesungguhnya tiada jawapan selainnya.

          Jessica seperti sedikit hampa dengan jawapan Putra itu. Sebagai seorang peguam dia mengharapkan satu jawapan yang spesifik kerana dalam Bahasa undang-undang tiada ayat-ayat sastera yang abstrak.

          “Awak ada impian?” Soalnya kembali, betapa menjelaskan dia tidak berpuas hati dengan jawapan Putra sebelumnya.

          “Hmm… setiap orang di dunia ini pasti ada impian sendiri. Ya, sudah tentu saya ada impian,” jawab Putra bersahaja.

          “Apa impian awak?”

           “Impian saya… sebelum menutup mata untuk selamanya saya ingin gapai satu impian yang saya pasang sejak kecil lagi. Saya mahu jelajah lautan yang luas di depan mata kita ini. Saya mahu jadi seperti Dato’ Azhar Mansor. Membelah Samudera luas dengan sebuah perahu layar,” olah Putra dengan senyuman girang, seperti dia sedang berkhayal sedang merealisasikan impiannya itu. Jessica tercuit dengan perilakunya itu, lantas dia melambai-lambaikan tangannya di hadapan wajah Putra. Putra tersedar dari lamunannya. Pantas rasa malu membias ke wajah Putra. Jessica tertawa kecil melihat telatahnya itu.

          Satu nafas panjang kemudian dihela Jessica. Tegang di kamar fikirnya mula kendur. Senyum terus terukir di wajahnya. Jawapan daripada Putra itu meredakan sedikit gelisah di hatinya. Mereka terus berbual seketika lagi di situ sebelum Jessica meminta diri untuk kembali ke biliknya. Putra mengiringinya sampai ke lobi.

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan