Home Novel Keluarga BUDAK PANTAI
BUDAK PANTAI
Miko Yan
6/3/2019 11:54:14
79,402
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 15

SUASANA di halaman Blue Inn malam itu cukup riang sekali. Unggun api telah dinyalakan di situ. Putra, Amran dan Indra mula sibuk memangang ayam, ikan,daging dan sosej. Sesekali mereka dibantu oleh Sofea dan rakan-rakannya. Ika dan Ima masih di ruang dapur menyediakan hidangan tambahan. Manakala Az berbual santai dengan Remy dan Marissa sambil menikmati hidangan barbeku.

                Keraian malam itu lebih kepada meraikan Kamarul. Setelah sekian lama dilanda kemurungan, Kamarul kini mendapat semangat baru untuk meneruskan hidupnya. Secara kebetulan juga sebagai tanda penghargaan kedatangan Remy dan Marissa. Malam itu juga boleh dianggap sebagai malam perpisahan kepada Sofea dan rakan-rakannya yang akan pulang semula ke Terengganu esok setelah selesaipenyelidikan mereka di pulau itu.

               “Along mula curigalah, siapa sebenarnya Putra tu?” Cetus Ika tiba-tiba.Tangannya terhenti seketika menyenduk nasi goreng untuk dimasukkan ke dalam sebuah bekas.

               “Maksud Along?” Ima mengerut dahinya. Ternyata dia kurang mengerti dengan kata-kata kakaknya itu.

               “Ya lah, sejak dia datang rumah tumpangan kita ini dah tak sunyi lagi. Pengunjung datang bersilih ganti. Terasa suasana Blue Inn yang lama dulu dah kembali. Yang paling Along musykil bagaimana dia boleh buat ayah keluar dari bilik? Selama ini, macam-macam cara kita dah lakukan untuk memujuk supaya ayah keluar dari biliknya, tapi semuanya gagal. Ima tak rasa curiga ke?” Ika menyatakan apa yang was-was di hatinya.

               “Entahlah, Along.” Ima membalas, seakan malas untuk memerah otaknya.

               “Ima ada terfikir tak? Entah-entah dia dihantar seseorang ke sini.” Ika terus menzahirkan rasa curiganya.

               “Siapa?” Sekali lagi  dahi Ima berkerut.

               “Emak,” jawab Ika dengan wajah yang serius. Ima lantas memandang tepat ke mukanya.

               “Untuk apa emak mahu menghantar orang sepertinya ke sini?” Ima masih belum dapat menjejak asas kepada jawapan Ika itu, walaupun apa yang dikatakan kakaknya itu seperti ada betulnya.

               “Barangkali emak telah mengetahui kehidupan kita sekarang dan rasa bersalah. Oleh kerana itu, dia hantar seseorang untuk memulihkan suasana di sini.” Ika memberi teorinya.

               “Kalau emak betul-betul rasa bersalah, mengapa tidak emak sendiri sahaja yang muncul.” Ima tak fikir begitu.

                “Ya tak ya jugak. Hmm... hah, satu perkara lagi yang memusykilkan Along, waktu kejadian di Samudra Bar tempoh hari. Bila polis datang aje, cepat-cepat dia pergi ke van. Semacam dia tak mahu bertembung dengan pegawai-pegawai polis itu, entah-entah dia itu banduan yang lari dari penjara.”

                “Hisyy, Along ni! Ke situ pulak fikirnya. Kita sendiri pun kalau dah terlibat dengan ketegangan seperti itu, pasti tak mahu berpanjangan ke balai polis. Begitulah juga Abang Putra. Mungkin kehadiran Abang Putra ke sini hanyalah satu kebetulan. Bagi Ima, siapapun Abang Putra itu? Ima rasa bersyukur sangat dia datang ke sini. Ima dapat rasakan dia seorang yang jujur, ikhlas dan tiada niat tersembunyi.”  Ima sedikit meragui teori kakaknya itu. Benar, dia rasa sangat bersyukur kerana kedatangan Putra telah merubah suasana muram yang selama ini menyelubungi Blue Inn.

              “Along bukan mencurigai niatnya, tapi along dapat rasakan dia ada rahsianya sendiri."

              “Rahsia?” Ima makin dilanda bingung dibuat kakaknya.

             “Ya, rahsia! Macam Si Amran itu. Datang ke sini membawa diri kerana kecewa dengan keluarganya. Yang Along musykil juga, dia kata dia seorang yang tak berpelajaran tinggi. Tapi, tengok gayanya tak begitu. Kepala otaknya bergeliga dan cara dia berfikir juga kreatif dan inovatif. Tutur katanya juga kadang kala berbaur falsafah, seumpama seorang yang terpelajar. Malah dia boleh bertutur Bahasa Inggeris dengan baik. Tengok semalam, dia speaking dengan Encik Remy dan Puan Marissa bukan main fasih lagi. Kalah Along yang kerja cikgu ini.” Ika meluahkan rasa curiganya secara lebih konkrit.

              Ima terdiam sejenak. Fikirannya mula terhasut dengan prasangka kakaknya itu. Putra sememang diakuinya seorang yang multi-talented. Jika tak berpelajaran tinggi, masakan dia boleh berbahasa Inggeris dengan lancer? Dia sendiri yang selalu berurusan dengan pelancong asing itu pun pada tahap merangkak-rangkak sahaja. Mana mungkin orang seperti Putra yang mendakwa dirinya tak berpelajaran tinggi itu mampu berbahasa asing itu dengan lancar?

             “Entahlah, Along. Ima buntu memikirkan siapa sebenarnya dia? Ima tak tahu macam mana nak merungkaikannya. Tapi, harapan Ima cuma satu, moga-moga dia tiada niat serong kepada kita semua. Kita sama-samalah doakan, moga-moga dia terus mencipta keriangan dalam keluarga kita. Ima mahu sangat lihat Blue Inn kembali seperti sewaktu emak ada dahulu,” luah Ima dengan penuh harapan.

             “Along pun begitu. Berharap keluarga kita kembali mengecap rasa bahagia seperti dulu dan Blue Inn maju semula,” balas Ika  dengan wajah yang kembali ceria. Beransur hilang rasa curiganya. Prasangkanya juga mahu segera dibuang jauh-jauh.

             Ima mengangguk dengan senyuman. Kata-kata Ika itu menjadi penutup perbualan itu. Mereka berdua kemudian beriringan menapak ke arah halaman Blue Inn.

            Suasana di dataran pasir kian meriah. Riuh suara berbual dan gelak tawa menguasai  ruang itu. Sesekali kedengaran pula ombak menghempas pantai. Bagaikan ritma iringan kepada keriangan di situ.

            Putra mula mengalas gitar. Sofea dan rakan-rakannya mula bersorak dan mengambil tempat duduk di hadapan Putra. Masing-masing tidak sabar mahu mendengar Putra berlagu kerana tidak puas mendengar kelunakan suara Putra beberapa malam sebelumnya.  Melihat situasi itu  Remy dan Marissa juga mengambil tempat duduk di lantai pasir. Malam itu Putra akan ditemani Indra yang akan bermain sebuah lagi gitar.

           “Malam ini, saya secara peribadi berasa sangat berbesar hati untuk menghiburkan kalian semua. Untuk bos, selamat kembali! Buat Sofea dan kawan-kawan, sebelum pulang ke Terengganu esok, harapan kami di sini moga-moga kamu semua membawa kenangan terindah selama menginap dan menggunakan perkhidmatan Blue Inn. Tak lupa juga kepada Encik Remy dan Puan Marissa, semoga honeymoon di sini akan melimpah-ruahkan lagi kasih sayang antara kalian berdua. Lagu pertama dari saya dan Indra malam ini ialah sebuah lagu yang berjudul Kau Ilhamku. Kami ingin mengatakan kalian semua telah memberi kami inspirasi. Terimalah…” Putra memberi ucapan aluan yang agak panjang sebelum mendendangkan lagu yang cukup popular daripada penyanyi Man Bai itu.

           Semua yang ada di situ bersorak riang tatkala Putra memulakan nyanyian dan petikan gitarnya. Sofea dan kawan-kawannya turut mengikut nyanyi bersama Putra bila masuk ke bahagian korus lagu itu. Remy dan Marissa juga. Nyata lagu itu sudah menyeberangi tambak dan popular sampai ke Singapura. Mereka menyanyi sehingga habis lagu itu. Kamarul, Ima dan Az mengiringi mereka dengan bertepuk tangan. Ika dan Amran pula sekadar memasang telinga dari dapur barbeku kerana mengambil alih tugasan membakar.

          “Lagu seterusnya ini pula saya dedikasikan kepada semua wanita-wanita yang berada di sini. Encik Remy dan Puan Marissa mesti tahu lagu ini, kerana lagu ini dipopularkan oleh sebuah band yang mana penyanyinya berasal dari Singapura, iaitu Teachers Pet. Sebuah lagu yang berjudul Wanita Warisan Terakhir, sebagai satu penghargaan kepada semua wanita yang berada di sini malam ini, dan di mana-mana sahaja mereka berada,” ungkap Putra. Nyata dia bijak untuk mengambil hati kedua-dua tetamu dari seberang laut itu. Remy dan Marissa tersenyum lebar. 

         “Jadi saya berbesar hati ingin menjemput Encik Remy untuk menyanyikan lagu ini bersama saya,” tambah Putra lagi. Remy yang bersemangat terus bangkit bangun. Semua yang ada di situ bertepuk tangan dan bersorak riang. Paling kuat bersorak pastilah Marissa sendiri, yang cukup teruja kerana bakal mendengar suara suaminya sendiri.

         “Lagu ini saya tujukan khas buat isteri saya yang tersayang. Kaulah Wanita Warisan Terakhirku. I love you so much, baby.” Remy secara spontan mengucapkan kata-kata indah itu. Semua yang ada di situ sekali lagi bersorak dan bertepuk tangan. Marissa yang mulanya malu-malu pantas mengambil telefon tangannya untuk merakam saat indah itu untuk dijadikan kenangan.

         “Oh, sweetnya…” ucap Ika tanpa sedar apa yang diucapnya itu didengari oleh Amran. Tidak disedarinya juga Amran telah merenungnya. Setelah beberapa saat, baru dia menyedari Amran merenungnya. Dia jadi malu sendiri. Amran tergelak kecil.

         “Kenapa gelakan Ika?” Soal Ika dengan riak malu masih jelas diwajahnya.

         “Lucu lihat wajah Ika yang malu-malu begitu,” balas Amran.

         “Mana ada Ika malu!” Ika cuba menangkis kata-kata Amran itu.

         “Ika dah ada pak we?” Amran bersuara lagi. Soala Amran itu membuatkan Ika sedikit tersentak. Tak disangka Amran akan bertanya soalan sebegitu. Selama ini, dilihatnya Amran seperti segan-segan untuk berbual dengannya. Perlahan-lahan dia menggeleng kepalanya. Dia sendiri tidak pasti akan jawapannya itu kerana Cikgu Saiful ada meluah perasaan kepadanya. Walaupun dia belum memberi kata putus, namun sikap baik pemuda dari Pahang itu disenanginya. Peribadi Cikgu Saiful yang nampak alim itu juga antara kriteria lelaki yang disukainya. Cuma dia kini lebih berhati-hati untuk memilih pasangan selepas putus tunang dua tahun yang lalu.

         Amran mengerut sedikit dahinya, tidak percaya dengan gelengan Ika itu.

        “Kenapa? Tak percaya?” Soal Ika pula selepas melihat kerutan di dahi Amran. Beza usia antara mereka berdua hanyalah dua tahun sahaja. Amran sebaya dengan Putra, iaitu 27 tahun.

        “Tak percayalah. Gadis secantik Ika takkanlah tak ada orang punya lagi,” balas Amran jujur. Bahagia juga hatinya bila mendengar jawapan Ika tadi, bermaksud dia ada peluang.

        “Betul. Ika single and available lagi,” ujar Ika dengan bersungguh. Kembang juga dia bila dipuji cantik. Lebih-lebih lagi pujian itu datang daripada seorang pemuda maskulin seperti Amran.

         Beberapa jenak selepas itu mereka terdiam. Masing-masing sekadar berbalas senyum. Amran kembali menjadi segan kembali, entah mengapa? Padahal selama ini dia mencari peluang sebegitu untuk berbual panjang dengan Ika. Ika sememang dilihatnya cukup menawan hati. Rasa pelik kemudian bertandang ke kamar fikirannya, mengapa Ika masih belum berteman?

         Keriangan di situ berterusan. Putra dan Indra terus rancak menghiburkan tetamu dengan beberapa buah lagu malar hijau lagi sebelum berhenti rehat.

         Selepas meletakkan gitarnya, Putra mendapatkan Amran. Dia mengukir senyum nakal tatkala menghampiri Amran dan Ika. Kepalanya sudah berfikir untuk menyakat Amran, seperti selalu dibuatnya.

       “Tak ada air ke untuk aku? Haus ini.” Soal Putra, mula menyusun strategi sakatannya. Jika tak menyakat Amran dirasai tak lengkap harinya.

        “Kau tak nampak ke? Melambak dalam balang  di sana tu. Pergilah ambik,” balas Amran dengan wajah geram. Dia tahu, Putra sengaja mahu menyakatnya. Walaupun baru seminggu bersahabat dengan Putra, dia sudah masak dengan tabiat Putra yangsentiasa mencari jalan untuk mengenakannya. Kadang kala dia terasa pelik juga, Putra seperti tidak pernah kering idea untuk mengusiknya.

         “Alah, tolonglah ambik kejap. Penat tau, menghiburkan tetamu, bukan macam kau setakat balik-balik ayam aje sambil bermain mata dengan adik aku yang cantik ini,” balas Putra kembali, sengaja membuat kemalas-malasan. Sempat juga dia mengusik Ika.

         Adik? Ika sedikit tercengang. Dia mula tertanya-tanya maksud Putra itu. Walaupun dia tahu Putra mengusik, namun seperti ada satu makna yang mahu diberitahu oleh Putra.

        “Hisyy, kau ni! Tak boleh tengok aku senang sikit.” Amran kemudian mengalah. Dia segera menapak ke arah balang air. Putra memandang Ika dengan senyuman puas dapat membuli Amran. Ika yang masih bermain dengan kata tanya sekadar tersengih. Beberapa saat kemudian, Amran kembali dan  menghulur segelas minuman kepada Putra.

        “Hah, macam ini baru betul. Sedia berkhidmat setiap masa. Lebih-lebih lagi kepada senior.” Sekali lagi Putra menyakat Amran ketika menerima huluran daripada Amran.

        “Banyaklah kau senior!” Bentak Amran. Putra mula mendekah tawa. Ika mengeleng-geleng kepalanya. Senang juga hatinya melihat dua sahabat yang selalu berperang itu,  walaupun kadang-kadang hadir juga rasa kasihan kepada Amran yang sering dibuli oleh Putra. Namun dia sedar Putra bukan berniat mahu berbuat begitu sebenarnya. Dia tahu Putra cuma mahu mendorong Amran membuang rasa segannya.

Selesai menghilangkan hausnya, Putra kembali semula menyertai Indra.Suasana bertambah riang bila Putra menjemput Esther untuk berlagu bersamamereka. Beberapa lagu telah disampaikan oleh Esther. Sememangnya gadis genitdari Sabah itu memiliki bakat nyanyian. Suaranya lunak bak suara penyanyilepasan Akademi Fantasia, Stacy.

Tanpa disedari, dari kejauhan keriangan di Blue Inn itu diintip oleh dua orang pemuda. Salah seorang daripada pemuda itu kelihatan merakam situasi yang sedang berlangsung di perkarangan Blue Inn itu dengan kamera telefonnya.


Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan