Home Novel Keluarga BUDAK PANTAI
BUDAK PANTAI
Miko Yan
6/3/2019 11:54:14
79,384
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 18

SUASANA di persekitaran Blue Inn seperti selalunya, tiada yang berubah. Ombak yang terus setia menghempas pantai. Angin juga terus menyapa dengan hembusan yang sepoi-sepoi bahasa. Hamparan pasir di halamannya tidak kuning atau kelabu, tetap memutih seluas mata memandang. Yang berubah hanyalah spiritual warganya. Mereka kini kian bersemangat.

              Sambutan pengunjung kebelakangan hari cukup membuatkan semua mereka tersenyum. Kedatangan pengunjung bersilih ganti. Berkat kemesraan yang mereka jalinkan dengan para pengunjung barangkali. Barangkali juga disebabkan sentuhan seni dapur Putra yang memikat perut setiap pengunjung. Tidak pernah surut pujian yang diterimanya daripada para pengunjung. Tidak sia-sialah dia berguru dengan beberapa buah buku resepi dan emaknya suatu ketika dahulu. Keletahnya yang penuh dengan humor juga menyenangkan hati dan menghiburkan para pengunjung.

            Walaupun Sofea dan rakannya telah pulang ke Terengganu, disusuli pula Remy dan Marissa yang telah  menghabiskan cuti bulan madu mereka, keriangan di rumah tumpangan itu terus berlanjutan dengan kunjungan pengunjung-pengunjung yang baru bersilih ganti.

             Namun dalam keriangan itu, Putra tidak seperti hari-hari sebelumnya. Sejak membaca berita tentang penahanan Johari di akhbar, dia seperti terganggu. Walaupun lelaki yang ditahan itu tiada pertalian kekeluargaan dengannya, mahupun rakan terdekat, sedikit sebanyak berita itu memberi kesan kepadanya.Tunangan lelaki itu sebenarnya yang menggangu fikirannya. Bayang gadis bernama Dhea itu sentiasa masuk ke kotak fikirannya.

            Sememangnya dia mempunyai sejarah lampau dengan gadis itu. Nama penuh gadis itu ialah Dhea Azlina binti Sufian. Mereka berdua merupakan bekas rakan sekuliahnya sewaktu melanjutkan pelajaran di Universiti Tsukuba suatu ketika dahulu. Gadis itu pernah menaruh hati kepadanya. Namun, dia tidak menyedarinya sehinggalah gadis itu pengsan dan dikejarkan ke hospital selepas mendapat tahu dia menjalin hubungan cinta dengan seorang gadis Jepun bernama Ayumi. Kemudian hubungan mereka terputus apabila masing-masing membawa haluan sendiri selepas tamat pengajian. Putra ketika itu terus membina kehidupan bersama Ayumi di bumi Jepun, manakala Dhea pula pulang ke Malaysia. 

            Namun satu tragedi telah berlaku dan Putra telah kehilangan Ayumi. Putra kemudian pulang ke Malaysia dan bertemu semula dengan Dhea. Namun ketika itu Dhea telah menjadi tunangan Johari. Konflik mula berlaku apabila Johari menyedari Dhea masih menyimpan perasaaan terhadap Putra. Lantas Johari telah menggunakan kekerasan untuk mengugut Putra. Demi tidak mahu dianggap sebagai pengganggu, Putra telah mengambil keputusan mengikat pertunangan dengan seorang bekas rakan sekelasnya sewaktu di bangku sekolah menengah dahulu bernama Liana. Mereka telah bertemu semula secara kebetulan dalam satu majlis reunion. Namun jodohnya dengan Liana juga tidak panjang. Liana telah mengikut jejak Ayumi, tapi bezanya kerana penyakit kanser. Lantaran kesedihan akan kehilangan kedua itu, Putra merasakan dirinya telah disumpah oleh satu badi. Dia mula percaya, betapa setiap gadis yang didekati akan menemui ajal. Oleh kerana itulah dia mahu menjauhi Dhea dengan menghilangkan dirinya ke pulau itu. Begitu tragis sekali kehidupan lampaunya. Sekiranya dia tidak kuat, pasti sudah dia mengambil jalan singkat menamatkan riwayat hidupnya sendiri.

           "Ah, aku sudah buat keputusan! Dhea bukan urusan aku lagi!" Satu dengusan dilepaskan Putra. Dia cuba menenang keresahan hatinya sendiri. Langkah kakinya kemudian menapak ke arah garaj. Fikirnya, dengan menyibukkan diri, bayang Dhea akan berlalu dari kotak fikirannya.  Memandangkan juga hari itu tidak banyak kerja yang perlu dilakukan, dia mahu menggunakan  peluang itu untuk mula membaiki Mini Cooper klasik yang tersimpan di dalam garaj di belakang rumah tumpangan itu sementara menunggu komponen Norton yang ditempah melalui Ah Chong tiba. Kamarul sudah menunggunya di situ.

          Amran pada hari itu mengambil tugas membawa Jessica bertemu dengan kliennya di sebuah restoran di pekan Pangkor. Awalnya dia telah one two som dengan Putra siapa yang harus membawa Jessica yang jelita itu. Putra kalah dalam pertandingan itu, buat pertama kalinya. Manakala Indra dan Ika pula membawa pasangan pelancong dari Perancis yang bernama Piere dan Roxane untuk aktiviti scuba dan snorkeling. Ima seperti biasa menjadi penunggu di lobi dan banyak waktunya diisi dengan membaca majalah-majalah perihal wanita. Tugas mengemas di dapur pula sudah boleh diuruskan oleh Az yang secara rasminya telah bergelar pekerja Blue Inn. 

           Suasana di garaj tenang. Putra tekun membantu Kamarul memeriksa enjin Mini Cooper yang sekian lama tersadai itu. Sesekali Kamarul di sebelahnya memberi penerangan apa yang perlu dilakukannya. Sesekali juga dia menghulur sepana kepada Kamarul. Nyata Kamarul seorang yang arif tentang kereta. Kereta itu sebenarnya berfungsi dengan elok dahulu. Namun selepas berbelas tahun tidak digunakan, enjinnya tidak dapat dihidupkan lagi.

          Sewaktu Kamarul mula berkurung di dalam biliknya, Ika baru sahaja masuk sekolah menengah. Ima pula di darjah lima. Indra lima tahun lebih muda daripada Ima ketika itu. Jadi tiada siapa yang mengguna kereta itu dan tersimpan sekian lama bersama Norton Big 4 di dalam garaj itu.

         Sepanjang Kamarul dilanda kemurungan, tiga beradik itu telah dijaga oleh nenek mereka sehinggalah emak Kamarul itu meninggal empat tahun yang lalu. Kini Blue Inn hanya bergantung harap kepada van Volkswagen Kombi dan Daihatsu terpakai yang dibeli oleh Ika sewaktu dia mula bertugas sebagai seorang guru setahun yang lalu untuk mengangkut penumpang selain bantuan daripada Pak Abu. Jika Mini Cooper itu berjaya dibaiki, bolehlah Ika menggunakannya untuk berulang-alik ke sekolah. Tambahan pula rupa fizikal Mini Cooper Morris yang kompak itu cocok dengan tubuh Ika. Tidaklah dia ditimpa hujan dan berpanas lagi menunggang motosikal ke tempat kerjanya itu. Tidak perlu lagi juga dia mengadap dengan ragam motor kapcainya kerana dia sudah naik segan dengan Cikgu Saiful. Dia tidak mahu berhutang budi lagi dengan pemuda yang berasal dari Pahang itu.Takut juga dia termakan budi nanti.

          “Saya fikir, enjin kereta ini perlu top overhaul lah, bos. Saya rasa kita perlu cuci enjin, pasti ada karat di dalam enjin ini. Saya lihat juga ada kebocoran. Agaknya berlaku di penyambung drive shaft. Kalau tak di situ, mungkin di penyambung gear box atau di oil sum gasket.” Putra memberi pendapatnya selepas dia menilai secara terperinci. Selok-belok enjin kereta sedikit sebanyak diketahuinya.

         “Aku pun rasa begitu.” Kamarul bersetuju dengan pendapat Putra itu. Mereka kemudian bertungkus-lumus membuka enjin itu. Selepas berjaya membuka semua skru pengikat enjin, mereka mengangkat enjin yang berat itu keluar dari bonet dengan dibantu oleh satu alat pengangkat. Bekas pelumba kereta jalanan seperti Kamarul sudah pasti mempunyai peralatan yang lengkap di dalam garajnya itu. Enjin itu kemudian di bawa ke satu ke meja kayu yang masih utuh. Putra mula meleraikan enjin itu satu persatu. Dia yang mempunyai serba sedikit kemahiran membaiki tidak mempunyai sebarang masalah untuk melakukan kerja itu. Dia juga cepat belajar apabila ditunjuk oleh Kamarul.

        “Bos tak nak ke majukan lagi Blue Inn ini?” Putra bersuara selepas ilham itu datang  berlegar dalam kotak fikirannya. Dirasakan juga, waktu itu sangat sesuai untuk dia membentangkan ideanya.

        “Maksud kau?” Kamarul kurang mengerti.

        “Ya lah, kita besarkan sikit lagi. Tambah bilik atau bina chalet baru. Sebab saya tengok kawasan Blue Inn ini luas dan masih ada kawasan lapang yang boleh digunakan. Chalet itu kalau kita tak nak buat cara konvensional, kita boleh cuba konsep baru. Macam konsep kontena ke, murah pun murah kosnya.” Putra menjelas dengan lebih terperinci. Kamarul terdiam. Dia seperti berfikir sejenak.

       “Kalau dibesarkan, tapi tak ada pengunjung, buat apa? Rugi aje nanti.” Kamarul mencari rasional.

       “Itu kita boleh atasi dengan promosi, bos. Sekarang pun, cuba bos tengok. Tanpa promosi pun, kebelakangan hari ini ramai tetamu yang datang berkunjung ke sini. Kalau ada promosi, saya jamin makin ramai pengunjung akan datang. Lebih-lebih kalau kita menawarkan harga yang berpatutan atau lebih murah daripada tempat-tempat penginapan yang lain. Kita untung sikit tak apa, bos. Janji ada ramai pengunjung yang datang. Kalau ramai pengunjung datang, kita pasti akan dapat untung juga.” Putra terus memberi hujahnya. Lebih kepada berkongsi idea konsep perniagaannya. Sekali lagi Kamarul terdiam sejenak.

        “Selain daripada tambahan bilik penginapan, kita juga boleh tambah beberapa struktur lain seperti dewan seminar. Kita tarik agensi-agensi kerajaan dan syarikat-syarikat swasta buat kursus team building di sini. Nak hidupkan suasana malam pula, kita boleh bina sebuah mini bar. Tapi, kita tak perlulah menghidangkan minuman keras, cukup soft drink sahaja. Nak jadikan mini bar itu lagi happening, kita bina satu pentas kecil untuk persembahan busking atau acoustic session. Pasti suasana malam di sini tidak akan sunyi lagi, bos. Untuk kaum wanita, kita juga boleh bina spa untuk mereka.  Saya jamin dengan ada semua itu, pengunjung-pengunjung takkan lari mencari hiburan di kawasan lain, sebab di sini sudah lengkap segalanya.” Putra terus cuba meyakinkan Kamarul dengan idea bernasnya.

        “Siapa yang nak mengurusnya nanti? Ika tak boleh beri komitmen seratus-peratus kerana dia seorang kakitangan awam. Ima pula masih cetek ilmu pengurusan. Indra, lebih berminat kepada bidang perfileman. Aku tak mampu tanganinya seorang diri kalau dibesarkan lagi rumah tumpangan ini.” Kamarul menyatakan kegusarannya.

        “Saya dan Amran kan ada,” balas Putra bersungguh.

        “Kamu selamanya nak menetap di sini?” soal Kamarul yang musykil. Di fikirannya juga masih ada pagar keraguan terhadap cadangan Putra itu walaupun dahulu, sewaktu isterinya masih ada, dia ada terfikir berkaitan perkara itu. Ketika itu, keyakinannya cukup kuat kerana isterinya seorang lepasan Pengurusan Pelancongan dari sebuah universiti tempatan. Tapi sejak isterinya itu lari mengekori lelaki lain, keyakinannya itu runtuh sebagaimana perasaannya juga.

        “Kalau tak dihalau oleh bos, rancangan saya mahu menetap di sini selama mungkin. Sebab saya sudah tidak ada tempat hendak dituju lagi. Dalam dunia ini, saya sebatang kara. Bos, Ika, Ima, Indra, Az dan Amranlah kelurga saya sekarang. Amran pun saya lihat dah sukakan tempat ini. Kita boleh guna kepakarannya selaku bekas seorang pengurus. Walaupun syarikat pembinaan dengan pelancongan itu berbeza, tapi saya rasa konsep mengurus itu sama sahaja. Kalau dia nak balik tempat asalnya, dah lama dah dia tinggalkan rumah tumpangan ini, bos.” Putra terus cuba meyakinkan Kamarul.

        Sekali  lagi Kamarul jadi terdiam. Tapi kali ini ada tanda-tanda dia mula bersetuju dengan buah fikiran Putra itu.

        “Macam inilah, biar aku bincang dengan Ika, Ima dan Indra dulu.”Kamarul akhirnya memberi jawapannya.

       “Okey, bos.” Nyata jawapan Kamarul itu menggembirakan hati Putra. Sememangnya dia tiada niat tersembunyi. Sepenuh hatinya sudah sayangkan Blue Inn. Besar harapannya untuk melihat Blue Inn berkembang maju.

 

SUASANA di sebuah restoran di pekan Pangkor agak tegang sedikit. Perbincangan Jessica dengan kliennya tampak agak serius. Namun Amran tidak mengecam lelaki itu kerana dia duduk membelakangi Amran. Jessica kelihatan bersungguh memberi penjelasan dan hujahnya. Situasi sebegitu sudah biasa dilalui oleh Amran suatu ketika dahulu. Fikirnya, pasti Jessica sedang menguruskan satu kes tuntutan. Syarikatnya pernah beberapa kali terlibat dalam kes tuntutan di mahkamah akibat beberapa isu yang timbul, terutama disebabkan ketidakcekapan adiknya mengurus.

            Bagaimana keadaan di Hashim Holdings sekarang? Hati Amran tiba-tiba berbisik. Sejak dia tiba di pulau itu lebih seminggu yang lalu, dia tidak lagi mengetahui apa-apa perkembangan Hashim Holdings. Dia meraba poket seluarnya. Telefon bimbitnya ditatap sepi. Terdetik di hati untuk menghubungi ibunya. Walaupun dia sudah menukar kad sim  dan nombor telefon yang baru, nombor ibunya masih tersimpan dalam memori telefon tangan itu. Namun selepas berfikir, hasratnya itu dibatalkan. Dia memasukkan semula telefon itu di dalam poket seluarnya. Dia tidak mahu sesiapapun mengetahui dia berada di pulau itu. Apa nak jadi kepada Hashim Holdings bukan lagi urusannya. Dia kini cukup tenang di pulau itu. Walapun sekadar seorang pekerja biasa di sebuah rumah tumpangan kecil, hatinya bahagia. Lebih-lebih lagi, di rumah tumpangan itu ada sekuntum bunga yang mekar dan mewangi. Hatinya telah tertawan.

            Ika… bagaimana harus aku meluahkan rasa hatiku ini kepadamu?’ Hati Amran berbisik nakal.

            Ah, kacau! Hatinya mengguman lagi. Dia sedikit risau, takut-takut kalau dia lambat bertindak Ika akan dimiliki Putra. Dia tahu Ika suka Putra berpandukan caranya memandang Putra setiap hari.

            Wait! Beberapa malam yang lalu kalau tak silap aku, Putra ada sebut Ika itu “adik”. Bermaksud, Putra hanya menganggap Ika sebagai seorang adik sahaja walaupun ikut hukumnya dia boleh memperisterikan Ika kerana mereka bukanlah sedarah sedaging. Amran tiba-tiba mendapat kesimpulan sendiri. Lalu terbit di tubir bibirnya senyuman. Namun, senyum itu tak sempat berpanjangan.

            Bagaimana pula dengan Cikgu Saiful? Nampak daripada gaya cikgu itu, dia seperti menyimpan perasaan kepada Ika. Ah, kacau!’

            “Jom!”

            Amran tersentak dari lamunannya. Jessica sudah berada di sebelahnya.

            “Dah selesai?” Soal Amran. Jessica sekadar mengangguk.

            “Hero Blue Inn nombor dua rupanya.” Satu suara kedengaran dari belakang. Amran segera berpaling. Terkejut besar dia bila memandang seorang pemuda yang cukup dikenalinya.

            “Kirim salam kepada hero nombor satu! Tak lama lagi aku sepak semua keluar dari Blue Inn!” Ujar Jamal dengan angkuh. Senyum sinis di bibirnya cukup menjengkelkan.

            “Jom kita balik.” Jessica segera mengajak. Amran yang masih terkejut mengikut sahaja ajakannya itu.

            Dalam perjalanan pulang ke Blue Inn itu, Amran membisu. Fikirannya masih memikirkan tentang kata-kata Jamal tadi. Lagak lelaki itu sungguh angkuh. Apa maksud Jamal sebenarnya? Apa juga perkaitan Jamal dengan Jessica? Adakah Jesicca itu seorang musuh dalam selimut?

            “Boleh saya tanya sesuatu?” Jessica memecah suasana bisu itu.

            “Eh, boleh. Apa salahnya,” balas Amran.

           "Kuala Lumpur?" Jessica seperti terkejut dengan jawapan Amran itu.

           “Macam mana awak boleh terfikir nak kerja di Blue Inn? Kalau ikutkan, KL lagi banyak peluang kerja.” Jessica mula menyusun soalannya.

           “Saya tak perlu berfikir panjang sebenarnya. Ketenangan di sini terus membuat saya untuk membuat keputusan membina kehidupan di sini. Di sini, saya tak perlu fikirkan traffic jam dan tak perlu hirau hiruk-pikuk manusia.” Amran membalas dengan senyuman.

          “Tapi, gaji di Blue Inn tak seberapa kan?” Jessica terus dengan ayattanya. 

          “Betul, tapi itu bukan keutamaan saya di sini.” Amran membalas lagi, tanpa mengesyaki Jessica cuba menyiasat perihal Blue Inn.

           “Jadi, apa keutamaan awak?”

           Dahi Amran sedikit berkerut. Dia mula merasakan soalan Jessica itu sedikit pelik. Perilaku Jessica yang berterusan memicu ayat tanya juga mula menghadirkan rasa curiga kepadanya.

           “Kita nak terus balik ke Blue Inn atau nak singgah di mana-mana dulu, Cik Jessie?” Amran cuba mengubah topik perbualan.

           “Err, kita terus balik ke Blue Inn. Sebab ada perkara saya nak bincangkan dengan Encik Kamarul.” Jessica menjawab, ada sedikit kehampaan di wajahnya bila Amran tidak menjawab soalan terakhirnya tadi.

           “Okey,” ucap Amran. Selepas itu tiada lagi perbualan sehingga van yang dinaiki mereka tiba di Blue Inn. Jessica terus ke lobi untuk mencari Kamarul. Amran pula selepas mematikan enjin van di tempat parkir, menapak ke arah garaj selepas mengetahui Putra berada di situ.

           “Eh, bos ada di sini juga ya. Tadi Cik Jessie mencari bos di lobi,” beritahu Amran selepas melihat Kamarul turut berada di dalam garaj itu.

           “Cari aku? Kenapa?” Soal Kamarul sedikit pelik. Amran sekadar mengangkat bahunya.

           “Kau buka dululah enjin itu ya, aku nak ke lobi sekejap,” arah Kamarul kepada Putra sambil mencapai sehelai kain buruk untuk mengelap tangannya yang berminyak.

           “Baik, bos.” Putra membalas sambil membuat isyarat ibu jari ke atas. Kamarul kemudian berlalu ke arah lobi meninggalkan Putra dan Amran di situ.

           “Kau perlu apa-apa bantuan ke?” Soal Amran dengan senyuman nakal. Masih berasa puas di hatinya dapat mengalahkan Putra dalam pertandingan one two som awal pagi tadi.

           “Kau tahu ke pasal kereta?” Putra membalik soalan. Masih berbekas juga rasa di hatinya bila tewas di tangan Amran awal pagi tadi. Kekalahannya yang pertama. Rasa geram itu kembali membahang bila melihat senyuman sinis di bibir Amran tika itu.

           “Jangan tengok  aku sebelah mata, bro. Tengok tanganlah. Kalau kau nak tahu, aku dulu pernah bawak Nissan Skyline GTR. Nah! Kalau kau tak percaya, tengok gambar ini.” Amran membalas sambil mengeluarkan telefon tangan dari poket seluarnya. Satu potret yang tersimpan dalam galeri telefon itu ditunjukkan kepada Putra.

           “Wah, gaya, mutu, keunggulan!” Ucap Putra, meminjam motto pada sebuah kotak rokok lama yang terbiar di lantai garaj. Mulutnya dibuat-buat melopong. Amran yang beranggapan Putra memujinya tersenyum bangga.

           “Tapi, tentu kereta itu masih dara kan?” Ungkap Putra kemudian.

            “Hah!” Dahi Amran sedikit berkerut. Fikirannya tidak mengerti maksudPutra itu.

            “Aku rasa, pengecut macam kau ini hanya bawak setakat 60-70kmj sahaja, lebih-lebih tak berani. Pakai GTR pun sekadar nak berlagak, nak pikat gadis-gadis high-class yang selalu pakai high heel dan bermata duitan,” ulas Putra lagi disertai dengan dekah tawa. Amran mengetap bibirnya. Ada-ada sahaja idea Putra mahu menyakatnya.

            “Hoi, tengok kakilah! Rapat lantai pedalnya aku tunjal.” Amran cuba membela diri sendiri. Dekah tawa Putra makin kuat. Tercuit dengan tingkah Amran yang bersungguh menunjuk kakinya menunjal.

             “Ya lah, aku percaya. Tolong aku ambil sepana nombor 14,” balas Putra sambil meminta dihulurkan sebuah alat mengetat dan melonggarkan nat. Sebenarnya lebih untuk menguji.

             “Err, yang ini ke?” Soal Amran selepas terkebil-kebil mencari sepana yang dipinta oleh Putra itu.

             “Itu screw driverlah bahalol! Kata tahu pasal baiki kereta. Sepana dengan screw driver pun tak boleh beza,”sindir Putra. Sepintas di fikirannya teringat akan satu penjelasan daripada seorang ustaz yang menjadi pemandu pelancong dalam satu rancangan kembara agama yang disiarkan di satu saluran televisyen pada bulan puasa yang lalu. Kata ustaz itu, perkataan bahalol yang selalu disebut masyarakat Melayu itu sebenarnya bukan bermaksud yang kurang baik kerana ia datang dari nama seorang wali Allah. Barangkali orang-orang dulu menyebut nama itu kepada seseorang yang lain supaya ianya menjadi doa agar orang itu menjadi warak seperti wali itu juga walaupun kedengaran agak keras seumpama satu seranah.

             “Manalah aku tahu. kereta rosak aku hantar ke bengkel aje,” balas Amran bersama sengihan, macam kerang busuk. Termalu dengan kebodohannya sendiri.

             “Dah tahu bawa kereta itu, sekurang-kurangnya tahu juga selok-belok pasal kereta. Jangan jadi macam perempuan, tahu belasah sahaja sampai jahanam.” Tak pasal-pasal Putra memberi ceramah percuma. Sekilas dia teringat kepada adik perempuannya yang pernah meminta bantuan daripadanya kerana kereta tersadai di tepi jalan akibat minyak pelincir dalam enjin kering. Amran sekadar melebarkan sengihnya.

             “Sekarang, kau tolong aku masukan ketulan-ketulan enjin yang aku dah leraikan ini ke dalam bekas berisi minyak itu. Kejap lagi aku mahu cuci semua ketulan itu. Jangan cakap buat kerja itu pun kau tak tahu.” Putra memberi arahan baru kepada Amran.

           “Baik bos!” Balas Amran sambil membuat tabik hormat. Dia menuruti arahan Putra itu.

           “Tadi waktu aku bawa Cik Jessie ke pekan, kau tahu dia jumpa siapa?” kata Amran selepas kembali teringat kejadian tadi.

            “Siapa?” 

            “Jamal,”

            “Jamal? Apa pulak perkaitan si bedebah itu dengan Jessie?”

            “Itu yang membuatkan aku musykil. Si bedebah itu ada cakap sesuatu yang membuatkan aku rasa tak sedap hati berkaitan dengan Blue Inn.”

            “Dia cakap apa?”

            “Dia cakap, sedikit masa lagi dia akan sepak kita semua keluar dari rumah tumpangan ini.”

             “What?”

            Putra disergah rasa terkejut. Dalam masa yang sama juga di jadi tertanya-tanya.


Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan