Home Novel Keluarga ADUH! PENING...
ADUH! PENING...
Asmah Hashim
21/6/2015 11:57:24
84,446
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 4

Kalau Nadia ada rancangan, dia juga ada rancangan. Rancangan baik punya. Hujung minggu yang sungguh membosankan. Suaminya bercuti dengan Nadia dan anak-anak di Gambang. Bukan main lagi pilih tempat. Jauh nun di Pahang. Ingat dia tidak berani pergi agaknya. Kau tengoklah Nadia, ini Aleeya tau, bisik Aleeya dalam hati. Dia sudah mengajak beberapa teman sekerjanya yang masih bujang dan yang sudah tinggal sendirian. Bercuti di mana? Gambanglah juga. Aleeya ketawa di dalam hati. Dia akan memandu sendiri bersama kawan-kawannya.

“Kenapa ke Gambang? Kat sini pun ada Water World, kalau kau nak mandi-mandi,” kata Rozita bertingkah.

“Ala kak… nak rasa keindahan alam semulajadi, jauh dari hiruk pikuk kenderaan,” ujar Aleeya. Takkan nak beritahu agendanya pada kawan-kawan, malu besarlah dia nanti. Uh! Kenalah skoding suami sendiri. Entah apalah yang diborakkan oleh suami dan jandanya. Memang tak boleh percayalah. Helo… dia perempuan juga tau!

“Kalau macam tu, maaflah akak tak boleh ikut. Nanti apa pula kata suami akak,” kata Rozita menolak ajakkan Aleeya.

“Tak apa kak, saya faham. Saya pergi dengan Lin, Ros dan Ina ajelah,” ujar Aleeya. Tak kisah siapa pergi sebenarnya, yang penting ada saksi dan kawan. Taklah dia dituduh mengintip. Tak pasal-pasal kena intip suami sendiri.

“Selamat bercuti dan bergembira ya. Jangan nakal sangat. Kau tu isteri orang,” pesan Rozita.

Aleeya menyengih. Tahulah… mana boleh lupa. Biarpun Nadia sudah lupa yang dia bukan berstatus isteri lagi.

“Leya… nak bertolak pukul berapa?” tanya Lin punyalah teruja.

“Selepas subuh,” beritahu Aleeya dengan muka selamba.

“Uh… awalnya kak?” Ina menggeleng. Lepas subuh selalunya dia tidur semula, apatah lagi hujung minggu, waktu bersenang-lenang menjaga tubuh yang bertungkus-lumus bekerja lima hari seminggu.

Perjalanan ke Gambang mengambil masa tiga jam dari Kuala Lumpur, maklumlah orang perempuan yang memandu, banyak masa dihabiskan di R&R, berbual, makan-makan dan berehat. Tidak sabar hendak sampai ke sana. Suaminya sejak malam tadi sudah bertolak ke sana. Uh! Tak sabar nak bercuti dengan anak-anak dan bekas isterinya. Cemburu cepat-cepat menghadir. Dengan Ikmal dia beritahu bersama dengan kawan-kawan di sekitar Kuala Lumpur. Tipu sunatlah. Mana boleh berterus-terang, nampak sangat dia tak percaya dengan suaminya.

Sampai di hotel, mereka terus mendaftar masuk. Aleeya sudah tersenyum sendiri. Kejap lagi bolehlah dia cari suaminya berada. Oh, suamiku di manakah kau? Sudah macam tajuk novel penulis Alaf 21, Sri Diah Shaharudin. Penulis novel yang amat diminati.

“Kak Leya cari siapa? Terjengah-jengah,” tegur Lin yang sudah mengangkat beg untuk ke apartment yang sudah mereka tempah awal. Hotel itu ada bilik dan apartment dengan harga yang berpatutan.

“Tak cari sesiapalah!” Aleeya mengangkat begnya dan mengekori rakan-rakannya yang lain. Seronok juga bercuti di sini. Ini pertama kali dia datang ke tempat itu. Dengar kata ada Taman Tema Air dan Taman Safari, ala macam zoo. Tapi kena naik kenderaan yang disediakanlah, sebabnya harimau dan singat terlepas keluar. Uh, tak mahulah jadi sajian binatang buas tersebut.

Sampai di bilik dia mula menelefon suaminya, kononnya hendak bertanya khabarlah. Pandai betul dia berlakon. Boleh jadi pelakon tambahan lepas ini. Erk… ada syarikat kekurangan pelakon tambahan boleh hubungi nombor ini 144 tekan,tekan tak dapat. Aleeya menyengih sendiri. Teringat dialog Saiful Apek dalam cerita Anak Mami.

“Lepas ni kita nak ke mana dulu kak?” tanya Ina sambil membuka pintu sliding.

Ros pula sedang meneliti pamplet yang diambil di kaunter pendaftaran.

“Wei, banyak aktiviti lasaklah. Boleh main pin ball, boleh pandu ATV… wah, wah, wah!” Kata Rose teruja. Maklumlah pertama kali sampai.

“Tak sia-sia akak ajak kami ke marilah. Memang berbaloi!” Sambung Ina gembira. Dia turut meneliti pamplet yang ada.

“Kan… rugilah Kak Rozita tak ikut. Kita ambil gambar banyak-banyak nanti kita whatsapp kat dia,” kata Aleeya ceria. Padan Nadia minta suaminya bawa anak-anak mereka ke mari. Memang menarik sangat. Sampai hati Ikmal tidak mahu bawa dia dan ikutkan sahaja kehendak Nadia.

“Masih awal lagi ni, masih sempat mandi-manda di Taman Tema Air tiga empat jam,” kata Lin.

“Betul,” sampuk Ina.

“Tak nak cari mana dulu ke? Mana tahu makanan di dalam sana mahal. Selalunya macam itukan? Tempat yang ada Taman Tema Air macam ni mesti mahal, ka?”

“Ala… bukan mahal sangat pun. Jomlah kak Leya… mana tahu jumpa jejaka perasan atau bakal jodoh kami.” Ina mengenyit mata.

“Uh! Gatal!” Aleeya membaling bantal ke arah Ina yang memang terkenal dengan gediknya di pejabat. Umur muda lagi tetapi galak nak bernikah masalahnya calon pun belum ada lagi.

“Jangan nak gedik sangat, kang akak masukkan kau duduk sekali dengan rimau kat safari tu.” Aleeya menjegilkan mata.

“Ala akak ni.” Ina mencebik.

“Cepatlah bersiap. Perut akak dah berkeroncong,” ajak Aleeya. Malas hendak melayan rakan sekerjanya yang masih tercari-cari calon yang sesuai untuk dijadikan calon suami.

“Laa… bukan baharu makan di R&R Temerloh, akak kan makan nasi tadi?” Lin kehairan. Kuat makan juga kawannya ini.

“Itu pagi tadi, sekarang sudah pukul berapa? Nak mandi ke tidak?” Aleeya sudah menyimpan beg pakaiannya ke dalam bilik. Ada tiga bilik dalam apartment itu, seorang satu biliklah kiranya.

“Jomlah, nanti takut yang ada jadi singa pula kalau kita lambat,” usik Ros sambil mengenyit mata kepada kawan-kawan yang lain.

“Singa? Uh… perli nampak?” Aleeya menunjukkan penumbuk.

Pecah gelak mereka bertiga.

“Boleh tahan brutal kakak kita ni,” gurau Ina pula tidak hiraukan penumbuk yang ditunjukkan oleh Aleeya yang pastinya bergurau dengan mereka.

Mereka menaiki kenderaan yang disediakan oleh pihak hotel untuk ke Taman Tema Air yang terletak ke dalam sikit dari tempat penginapan mereka. Orang begitu ramai mengunjungi Taman Tema Air itu. Maklumlah yang pertama ada di Gambang dan Pahang. Jadi berpusu-pusulah barisan manusia. Harga mahal atau murah bukan masalah yang pasti anak-anak gembira dan suka. Tidak kira tua muda berpesta airlah gamaknya. Setelah membayar harga tiket masuk, hah! Duduklah sampai tempat itu tutup. Mata Aleeya meliar sahaja, mencari kelibat orang tersayang. Uh! Di manalah suamiku, detik hati kecilnya. Nak telefon ke tidak ni? Tergaru-garu kepala sendiri di sebalik tudung yang menutup rambutnya.

“Kak, kenapa macam kucing nak beranak aje?” tanya Lin yang sejak tadi memerhati tingkahlaku teman sepejabatnya itu.

“Kau pernah tengok kucing beranak ke?” Tanya Aleeya dengan wajah serius. Hatinya sedang risau ada sahaja DJ tak bertauliah menyibuk.

“Hish… pernahlah. Tengok dalam youtube,” jawab Lin tersengih.

“Uh!” Aleeya menonong sahaja masuk ke dalam Taman Tema Air. Matahari memancar lip, lip, lip menembak ke seluruh tubuh dan mukanya. Terasa membahang, sesuailah sangat berendam di air yang tenang dan memang tiada buaya. Buaya darat tak pasti ada ke tidak.

“Kak! Amboi, tak sabar nak mandi ke?” Usik Ros, berlari-lari anak dia mengejar Aleeya yang berjalan laju di hadapan.

“Okey, masing-masing buat hal sendiri, nanti akak cari kau orang kat taman selera tu…” sambil jarinya menunjuk ke arah bahagian yang menjual beraneka jenis makanan. Dia perlu mencari suaminya. Aleeya menyengih dan langkahnya laju berjalan.

“Laa… kenapa terpisah pula?” Lin mencebik.

Ros dan Ina saling berpandangan.

“Apa kena dengan Kak Leya tu… macam ada yang tak kena aje?” Ros mengangkat kening. Bertanya kepada teman-teman yang lain.

Masing-masing mengangkat bahu.

“Hoi! Jom main air!” Lin sudah melangkah ke bahagian pelampung. Sewa pun sewalah.

“Masa untuk bergembira!” jerit Ros dan Ina serentak. Mereka menyengih sesama sendiri. Aleeya? Biar dia selesaikan masalahnya.

Aleeya terjengah-jengah di setiap bahagian di Taman Tema Air itu. Kelibat suami dan anak-anak berserta Nadia tidak juga kelihatan. Takkan sudah balik? Aleeya mengeluh. Walaupun hati berlagu riang untuk bermain air tetapi tetap terasa tawarnya. Nak telefon ke tidak ni? Detik hati kecilnya. Telefon sudah berada di tangannya. Masih berkira-kira.

Dia menekan nombor telefon suaminya. Berdebar-debar rasa hati.

“Abang kat mana?” Setelah memberi salam.

“Ada kat Gambanglah, kenapa?”

“Kat mana? Gambang tu besarkan?” Aleeya menahan rasa, geram, marah, cemburu bercampur baur menjadi satu. Cakap sahajalah ada di mana? Takkan nak main sorok-sorok kut?

“Kalau cakap pun bukan awak tahu di mana?”

“Cakap ajelah!” Suaranya sudah sedikit meninggi.

“Kat Taman Teman Air ni, tengokkan budak-budak mandi.”

“Oh! Okey, semoga bergembira!” Aleeya cepat-cepat mematikan talian telefon. Mandi di sini, tapi di mana? Kenapa tak nampak? Kaki sudah lenguh berjalan. Di mana pula? Uh… Dia terus berjalan dari satu ruang ke satu ruang sehinggalah dia sampai di bahagian menara yang agak tinggi. Bercucuran air keluar dari menara itu menyirami beberapa orang kanak-kanak yang bermain di bawahnya. Kelihatan Nadia bersama anak-anaknya sedang bergembira. Aleeya cepat-cepat menyorok di sebalik tiang pondok yang terdapat di dalam kawasan itu. Suaminya mana? Matnya meliar lagi. Wah! Bukan main menyengih tengok Nadia dan anak-anaknya bermain air. Uh! Si Nadia pula bukan main lagi pakai baju mandi nampak bonjolan sana-sini. Nak menggoda suami diakah? Rasa cemburu membuak-buak di hati. Sabar Aleeya, jangan fikir yang bukan-bukan, bisik hati kecilnya sendiri. Mata suaminya pula amboi, tak sudah-sudah memandang Nadia dan anak-anaknya.

“Kak! Intai siapa?” Lin menyergah.

Ros dan Ina sudah berada di belakangnya. Bila pula budak-budak ini muncul di belakangnya. Mereka tidak mandi ke? Baju pun tak basah.

“Tak ada siapalah. Kau orang tak mandi ke? Baju pun tak basah?” tanya Aleeya sedikit perlahan. Takut suara halalintarnya didengari oleh suami dan Nadia.

“Kenapa cakap perlahan?” Ina mengerut dahi.

“Jomlah pergi mandi!” Ajak Aleeya kalau dia layan lagi pertanyaan teman-temannya yang mula bernada syak wasangka, boleh kantoilah.

“Kak! Itu macam suami akak aje,” Ros menundingkan jadi ke arah Ikmal yang sudah mula bermain air dengan anak-anaknya. Siap main siram-siram lagi dengan mereka. Uh… Nadia pun bukan main lagi. Bergetar sudah jantungnya.

“Mana? Silap orang kut?” Aleeya mengelak. Aduh! Tak sempat nak sorok.

“Takkanlah saya tak kenal suami akak!” Ros memeluk tubu. Matanya dikecilnya memandang wajah Aleeya yang kelihatan serba-salah itu.

“Suami akak dengan siapa tu?” tanya Lin pula yang sudah mula mengintai.

“Uh!” Aleeya melangkah laju meninggalkan perkarangan bahagian kanak-kanak menuju ke taman selera yang terdapat di dalam Taman Tema Air itu.

“Kak!” Laung Ina.

Ketiga-tiga mereka mengejar Aleeya.

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.