Home Novel Fantasi Magnolia
Magnolia
Suhailah Selamat
4/2/2022 07:08:23
15,153
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 3

Lelaki yang memakai kaca mata hitam itu terus menanggalkan cermin matanya. Kakinya menapak laju menuju ke bahagian tengah dewan. Wajahnya kelihatan tenang. Dia mula memunculkan diri di hadapan khalayak ramai. Dalam suasana yang sudah bertukar huru-hara. Tanpa diduga, dalam keadaan mata yang tertutup rapat. Tembakan dilepaskan secara rambang. Mengenai sesiapa sahaja, tanpa mengenal usia dan jantina.

Mata lelaki itu terpejam rapat. Seolah-olah sedang menikmati suasana bingit yang terhasil dari bunyi tembakan dan suara jeritan yang bercampur-aduk. Bagi lelaki itu, bunyinya kedengaran bagaikan sebuah irama muzik. Begitu menenangkan jiwa….

“Ah…” Dia berdesah perlahan. Tangan sebelahnya didepangkan ke sisi. 

Wanita yang berumur dalam lingkungan 40-an itu mula mendekati lelaki itu. Mungkin juga umurnya sebaya dengan lelaki itu. Bahu lelaki itu ditampar mesra. 

“Cukup tu…”

Nama yang disebut oleh wanita itu kedengaran samar-samar di pendengaran telinga Khaira. Setelah tersedar, mulutnya sedikit melopong. Kakinya mula melemah. Badannya menggeletar kuat. Bagaimana… Bagaimana dia boleh menyaksikan keseluruhan adegan itu. Sedangkan skrin besar di hadapannya tidak memaparkan apa-apa langsung kecuali… Garisan berwarna gelap dan terputus-putus! Sejak dari awal lagi siarannya telah terputus.

Khaira menapak beberapa langkah ke belakang sebelum tubuhnya dipusingkan ke sisi dan berlari sepantas mungkin. Dia perlu sampai ke tempat itu secepat mungkin. Nyawa orang itu perlu diselamatkan!

Tanpa sedar, air mata Khaira mengalir laju membasahi pipinya. Sepanjang perjalanan, dia menangis. Tidak jauh di hadapan, kelihatan dua orang lelaki bertubuh tegap sedang berdiri dalam keadaan membelakangkannya. Dia tersenyum lega melihat lelaki tinggi lampai itu masih berada di situ. Sejak dari pagi tadi lagi. 

“Awak…” Tubuh itu dipeluk dari belakang. 

Lelaki berambut panjang itu terus tersentak. Begitu juga dengan lelaki muda di sebelahnya.

Belum sempat mulutnya bertanya, Khaira lebih pantas memintas.

“Tolong jangan tanya saya apa-apa, awak! Saya sendiri tak tahu kenapa saya buat semua ni! Tubuh dan akal fikiran saya bergerak di luar kemahuan saya sendiri. Saya tak boleh nak halang.” Kepala Khaira laju memandang ke atas. Menatap sepasang mata merah yang jelas sekali baru lepas menghamburkan tangisan.

“Siapa kau?” Keras suara lelaki itu bertanya. Langsung tidak mengendahkan kata-kata yang dituturkan oleh Khaira.

“Lari, awak! Lari! Sekarang ni, awak sedang diburu oleh pihak polis! Mereka dah berkomplot untuk jatuhkan awak terus! Mereka nak awak mati!” beritahu Khaira separuh merayu.

Lelaki itu tersenyum sinis.

“So, kau ingat aku takut,” ujar lelaki itu penuh sinis. Tangan Khaira ditarik kasar sehingga tubuh kecil itu terdorong ke hadapan. Wajahnya didekatkan ke wajah gadis itu. 

Seraya itu, Khaira mula mencari anak mata lelaki itu, memberanikan diri membalas renungan redup lelaki itu. Wajah yang dipenuhi dengan jambang kasar itu tidak langsung menakutkan diri Khaira. Terasa sedikit demi sedikit rasa rindunya mula terubat.

“Kita pernah berjumpa dekat mana-mana ke?” Spontan Khaira bertanya.

“Emmm…?” Sebelah kening lelaki itu terjungkit sedikit ke atas. Agak jengkel dengan sikap gadis yang tidak dikenalinya itu. Sesuka hati menyuruh dia pergi. Dan setelah itu, dengan selambanya menyoal dirinya dengan soalan yang bukan-bukan! Urgh, pening!

Titisan salji mulai turun dari langit. Mengenai wajah dan rambut pendek Khaira serta lelaki itu. Buat seketika, masing-masing kelihatan pegun sambil berbalas pandangan di antara satu sama lain. Bagaikan dejavu, mereka seperti pernah melalui situasi yang sama seperti sekarang ini. Mata lelaki itu tidak lepas-lepas dari memandang Khaira. Namun, pandangannya tidak sedingin tadi. Begitu juga dengan gadis itu. 

Mereka hanya diam tanpa sebarang kata. Bagaikan ada renjatan elektrik yang mengalir dalam lelaki itu, pegangannya pada tangan Khaira terus dilepaskan. Segala-galanya berlaku secara tiba-tiba.

Khaira mula diserang perasaan aneh. Terasa bagaikan diri mereka sedang diperhatikan oleh seseorang, Khaira melirik ke sebelah kiri melalui ekor matanya.

“Awak, hati-hati!” 

‘Bang!’ 

Tubuh lelaki itu ditolak ke belakang dengan sepenuh kudratnya. Mereka sama-sama tersembam jatuh ke atas tanah sebelum berguling-guling ke bawah. Mujurlah lelaki itu sempat berpaut pada dahan kayu dengan tangan sebelahnya memegang baju Khaira. Hampir-hampir sahaja mereka melepasi lereng bukit yang agak curam. Sepucuk pistol tercampak keluar dari kut hitam yang dipakai lelaki itu. 

Lelaki itu menolak Khaira jauh ke tengah lereng bukit. Dia juga begitu. Dengan hanya menggunakan sebelah kaki, lelaki itu terus melompat ke atas.  Gayanya kelihatan cukup selamba. Buat kesekian kalinya, Khaira mula jatuh cinta dengan lelaki yang tidak dikenalinya itu. Debaran di dadanya terasa kian kencang.

Pistol di hadapan dipandang tanpa berkedip. Laju tangan Khaira cuba mencapai pistol tersebut. Namun, tangannya pantas disambar oleh lelaki itu. Matanya tajam memandang wajah pucat Khaira.

“Jangan kau cuba sentuh barang kepunyaan aku!” tegas lelaki itu berbaur perintah.

“Ayah!” Lelaki muda itu yang sekadar menjadi pemerhati dari tepi bingkas bangun dari perbaringannya lalu segera mendapatkan mereka. 

“Ayah tak apa-apa?” soalnya separuh cemas. Tubuh Khaira ditarik ke arahnya sebelum ditolak ke tepi. Mengacau betullah perempuan ni! desisnya dalam hati. 

Tiba-tiba tanah yang dipijak lelaki itu retak dan terhakis sedikit demi sedikit. Sekali lagi, lelaki itu hampir terjatuh ke melepasi tebing yang curam itu. Mujurlah si anak sempat menangkap tangan sasa si ayah. 

Gegaran kecil itu telah menyebabkan Khaira hilang imbangan lalu terjatuh di tersandar di belakang pemuda itu. 

“Hei!” Tanpa belas kasihan, dia menolak tubuh Khaira dengan kasar.

Setelah itu, dia membantu ayahnya pula naik ke tebing bukit. Dengan hanya sekali tarikan, tubuh sasa itu terus terdorong ke atas. Kakinya yang gagah melompat tinggi melepasi tebing.

Sedar-sedar sahaja Khaira sudah tercegat di hadapan mereka sambil mengacukan pistol ke arah yang bertentangan dalam keadaan berjaga-jaga. Lelaki bertubuh sasa itu memandang belakang gadis itu dengan pandangan yang sukar untuk dimengertikan.

“Ayah.” Teguran lelaki muda itu terus mematikan lamunannya.

“Dia tidak ubah seperti ibu kau, Kafil. Dia sentiasa berlagak berani. Sanggup berkorban apa sahaja demi ayah. Walau pun terpaksa mengorbankan nyawanya sendiri.” Perlahan-lahan dia mendekati gadis itu. Pistol di tangannya ditarik kasar. 

Khaira tergamam. Terasa seperti ada sesuatu yang mengalir ke dalam jiwanya di saat tangan mereka bersentuhan. 

Sekali lagi, dia ditolak ke belakang.

“Berundur! Biar aku yang uruskan mereka!” Picu pistol ditarik laju. Tanpa menoleh ke belakang, lelaki itu maju ke hadapan dengan megahnya.

“Hei, kan ayah ada suruh kau berundur tadi. Tak dengar ke, ha!” sergah lelaki muda itu pula. Tangan Khaira ditarik kasar ke tepi agar menjauh dari mereka.

“Tak nak! Saya tak nak tinggalkan dia!” tegas Khaira. Dia seakan terpaku melihat kelibat lelaki itu yang sudah menghilang dari pandangan mata. Sedar-sedar sahaja tubuh lelaki itu sedang melayang di udara. Serangan demi serangan terus dilepaskan sebelum kakinya menjejak tanah. Tiga orang lelaki bersuit hitam tumpas sekaligus di tangan lelaki itu.

Tubuh tegap lelaki itu kelihatan semakin lincah melawan sekumpulan lelaki bersuit hitam yang tidak kurang ganasnya. Malah, bilangan mereka seolah-olah semakin bertambah walaupun ramai di antara mereka telah ditumpaskan. Seperti mati, namun hidup semula setelah yang lain tumpas. Menyebabkan bilangan mereka nampak tidak berkurangan.

Angin menderu laju di sekitar mereka. Daun-daun kering berterbangan membentuk pusaran angin.

‘Pap!’ Bagaikan dilibas angin, tubuh lelaki muda itu tercampak jauh ke belakang. Khaira sempat mencapai lengan lelaki muda itu menyebabkan dia turut tercampak ke arah yang sama. Ketika belakang tubuhnya semakin menghampiri batang pokok besar, Khaira cepat-cepat menarik lengan lelaki itu lalu mereka bertukar posisi. Di mana dia berada di hadapan, lelaki muda itu pula berada di belakang.

Tubuh Khaira terhentak kuat pada batang pokok. Ditambah lagi dengan beban tubuh lelaki muda itu yang tanpa belas menghempap tubuh kecilnya. Bunyi tulang patah jelas kedengaran. Khaira jatuh tersembam di atas tubuh lelaki muda itu. Betul-betul di hadapan pusara wanita itu.

Nyawa Khaira bagaikan telur di hujung tanduk. Mulutnya tercungap-cungap cuba mencari nafas. Ketika deruan nafasnya hampir terhenti, suara sumpahan itu kembali terngiang-ngiang di telinganya…. Mata Khaira sempat memandang pada batu nisan tersebut sebelum melirik ke arah wanita yang sedang mendekatinya. Wanita yang sama pernah dilihatnya berada di sisi pemuda yang muncul di skrin besar itu sehingalah pemuda itu mati dibunuh. 

Perlahan-lahan mata Khaira mula tertutup rapat. Tangannya turut terkulai jatuh di sisi. Dia juga dapat mendengar dengan jelas suara jeritan garau lelaki bertubuh tegap itu yang bagaikan sedang berada dalam kesakitan. Hati Khaira bagaikan dicarik-carik. Sakit. Terlalu sakit…








Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.