Home Novel Fantasi The Door Within
The Door Within
sipencintapena
5/7/2021 21:47:55
59,658
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 15


Hana memeluk erat tubuh gadis itu. Idham hanya tersenyum sambil menepuk lembut bahu Elika.

“Tidak mengapa. Bukan jodoh Elika dengannya,” pujuk Hana dengan senyuman.

“Elika tidak apa-apa?” tanya Idham. Gadis itu dilihatnya sangat tenang. Itu agak merisaukan dirinya.

“Jangan risau ayah. Elika baik aje,” balas Elika dengan senyuman. Idham mengangguk lega.

“Rehat dulu. Ayah hendak masak sendiri malam ini sempena kepulangan Elika,” katanya dengan senyuman. Elika mengangguk gembira.

“Mama akan tolong ayah. Elika mandi dulu ya,” celah Hana.

“Baik mama,” balas Elika sebelum berlalu. Idham dan Hana saling berpandangan sebelum tersenyum.

“Nasib baik saya ikut nasihat abang. Harapan itu tinggal kenangan,” kata Hana. Idham hanya tergelak kecil.

                                 *****

“Kamu sudah gila?” marah Rasyid sambil memandang tajam ke arah Firdaus yang tenang berdiri di hadapannya. Safiq yang berdiri di sisi Firdaus mula berdebar. Dia bukan takut dengan ayahnya. Tapi dia takut sekiranya Rasyid membuat keputusan yang tidak diduga pada Firdaus. Permintaan Firdaus agak keterlaluan walaupun ada kebenarannya.

“Saya mohon ayah,” rayu Firdaus lantas duduk sambil menundukkan kepalanya. Pamela yang duduk di sisi Rasyid menoleh ke arah Waheda yang duduk tidak jauh dari mereka. Dia berharap orang tua itu dapat melakukan sesuatu untuk menenangkan Rasyid yang sedang marah. Uyana yang duduk di sisi Waheda hanya memerhatikan suasana dengan perasaan berbaur.

“Kenapa tiba-tiba hendak Safiq gantikan tempat Daus semula? Selepas Daus bersusah payah belajar banyak perkara untuk sampai tahap ini, Daus dengan tidak berfikir panjang mahu pergi macam itu saja?” soal Rasyid tidak berpuas hati.

“Daus minta maaf ayah. Terima kasih dengan tunjuk ajar serta peluang yang ayah sudah beri. Tapi Daus tidak boleh teruskan. Abang bukan saja layak tapi memang tanggungjawabnya untuk gantikan ayah. Tolong tunaikan permintaan Daus,” balas Firdaus dengan perasaan sebak. Memang banyak kesukaran yang dia tempuh untuk menggantikan tempat Rasyid. Namun dia tidak akan menyesal dengan keputusannya. Rasyid mengeluh berat. Dia menoleh ke arah Waheda. Waheda hanya tersenyum membalas pandangannya. Rasyid menoleh pula ke arah Safiq.

“Safiq, kamu setuju dengan Daus?”  soalnya. Safiq membalas pandangan ayahnya.

“Ya ayah. Saya setuju dan berjanji akan jalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik,” balasnya tenang.

“Bagaimana dengan Uyana? Kamu berdua ini memang menyusahkan ayah,” kata Rasyid dengan nada keras.

“Saya akan melamarnya ayah,” balas Safiq. Berkerut kening Rasyid mendengar kata-kata lelaki itu. Dia menoleh pula ke arah Uyana. Kelihatan gadis itu hanya mengangguk tersenyum. Rasyid mengeluh lagi.

“Maafkan ayah, Uyana,” ucapnya dengan perasaan bersalah. Dia yakin sudah pasti kedua-dua anaknya itu telah merancang segalanya. Pamela berdiri lantas melangkah ke arah Uyana. Dia duduk di sisi gadis itu lantas memeluk bahunya.

“Maafkan anak ibu,” ucapnya.

“Tidak mengapa ibu. Uyana memang sayang abang Safiq,” balas Uyana jujur. Pamela menarik nafas lega. Rasyid memandang kedua-dua anaknya itu.

“Baik lah ayah tunaikan permintaan itu. Tapi dengan satu syarat. Daus tidak boleh keluar istana ni untuk merantau tanpa kebenaran ayah,” katanya dengan nada tegas. Firdaus terkedu. Safiq menarik nafas lega mendengar syarat ayahnya itu. Dia lega keana Firdaus tidak mendapat syarat yang berat.

                                *****

Elika hanya memandang Hana yang sedang menghidangkan buah yang sudah siap dipotong.

“Terima kasih ibu. Ayah makan malam hari ni adalah makan malam yang paling sedap,” katanya dengan senyuman lebar. Idham dan Hana serentak tergelak.

“Ibu harap Elika dapat lupakan putera dan mulakan hidup baru,” kata Hana. Elika tersenyum.

“Ibu jangan risau. Kalau ibu nak tahu, Elika bukannya suka sangat pun dengan putera tu,” balasnya separuh bergurau. Hana tergelak besar.

“Nak tanya, dalam rumah ni ada perigi ke?” soal Elika sambil memandang Idham. Idham memandang Hana. Hana tersenyum hambar.

“Memang ada. Tapi dulu Elika sendiri yang tidak mahu perigi itu dimusnahkan. Sebab itu kita rahsiakan hal ini. Elika lupa?” soal Idham. Elika terdiam. Benar tekaan Waheda.

“Elika,” panggil Hana apabila melihat gadis itu terdiam agak lama.

“Raja tahu yang kita ada perigi itu?” soal Idham risau. Elika menggeleng pantas.

“Tak ayah. Elika ni dah tua kot. Tu yang lupa,” balas Elika dengan senyuman. Hana dan Idham menarik nafas lega. Elika menggenggam jemari Hana.

“Ibu, saya gembira sebab berpeluang jumpa ibu sekali lagi. Elika nak ibu tahu yang selama ni Elika baik-baik saja. Elika sayang ibu,” ucapnya dengan perasaan sebak. Dia ingin kembali namun pada masa yang sama hatinya berat mahu meninggalkan wanita itu. Namun Elika sedar ini bukan duniannya. Dia tidak sepatutnya berada di tempat itu. Hana tersenyum membalas genggaman gadis itu.

“Ibu pasti Elika akan baik-baik saja. Ibu yakin Elika akan jumpa lelaki yang lebih baik lepas ini,” balasnya. Dalam diam Idham mengeluh perlahan. Elika menoleh ke arah orang tua itu.

“Ayah, terima kasih kerana sudah jaga ibu,” ucapnya. Walaupun tidak pernah menemui Idham di dunianya namun dia yakin Idham adalah lelaki yang baik untuk Hana. Dia percayakan Idham.

“Ayah gembira bertemu dengan Elika,” balas Idham dengan senyuman. Elika agak terkejut mendengar kata-kata Idham. Adakah orang tua itu tahu mengenai dirinya?

“Abang merepek apa ini? Macam Elika ini orang lain pula bila cakap macam itu,” celah Hana dengan kening berkerut. Elika tergelak kecil.

“Elika pun gembira jumpa ayah,” balasnya. Idham ikut tergelak. Hana hanya menggeleng melihat telatah kedua-duanya. Dia gembira melihat senyuman yang terukir pada wajah Elika. Gadis itu memang seorang yang kuat semangat.

                                *****

“Boleh nenek tanya?” soal Waheda sambil memandang Firdaus yang sedang termenung di hadapannya. Firdaus hanya tersenyum membalas pandangan orang tua itu.

“Kenapa tiba-tiba ambil keputusan untuk berundur?” tanya Waheda.

“Daus takut nek. Daus tidak cukup kuat mahu jalankan tanggungjawab yang diamanahkan,” balas Firdaus perlahan.

“Selama nenek kenal Daus, tidak pernah lagi nenek lihat Daus macam ini. Daus seperti orang yang sudah putus asa. Tidak ada semangat mahu teruskan hidup,” komen Waheda. Firdaus tersenyum.

“Nenek jangan risau. Daus masih boleh teruskan hidup seperti biasa,” balasnya.

“Patut lah Daus pilih Uyana. Rupanya bukan untuk Daus. Daus macam ini sebab Elika kan? Nenek tahu Daus. Selama ini mata Daus itu tak pernah pandang wanita lain selain Elika,” kata Waheda.

“Sayangnya tidak mungkin Daus boleh memiliki wanita sehebat Elika,” balas Firdaus dengan nada perlahan. Riak wajahnya jelas kelihatan kecewa. Waheda menarik nafas panjang. Nampaknya cucunya itu sudah tahu siapa Elika.

“Kita semua kena terima kenyataan itu Daus. Sakit namun itu adalah realiti,” katanya separuh memujuk. Firdaus tersenyum hambar.

                                 *****

Gloria menggenggam erat jemari gadis itu. Elika membalas dengan senyuman.

“Kau dah sedia?” soal Gloria dengan perasaan berdebar. Elika mengangguk.

“Kita cuma perlu lompat dalam perigi ni kan?” soal Gloria lagi yang agak risau.

“Ya. Nenek kata kita lompat dan semuanya akan kembali seperti biasa. Cuma aku tak pasti kita akan kembali kat mana. Mungkin dalam hutan tu ataupun kat rumah. Aku pun tak tahu,” balas Elika. Gloria mengangguk faham.

“Selamat tinggal Mataair,” ucap Gloria sambil memejamkan mata. Elika turut memejamkan mata. Kedua-duanya melompat ke dalam perigi. 

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.