Home Novel Fantasi The Door Within
The Door Within
sipencintapena
5/7/2021 21:47:55
59,647
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 13


Elika dan Gloria saling berpandangan sebelum memandang perigi itu semula.

“Ada soalan?” tanya Waheda yang berdiri berhampiran dengan perigi. Pandangannya masih terhala pada perigi tersebut.

“Saya tak ada soalan. Tapi saya nak buat permintaan. Tu pun kalau nenek tak keberatan,” kata Elika. Waheda menoleh membalas pandangan gadis itu.

“Boleh. Elika nak apa?” tanyanya lembut.

“Pada malam tu nanti, saya tak nak nenek temankan kami kat sini. Biar lah kami berdua aje ada kat sini,” jawab Elika dengan senyuman hambar. Gloria memandang sahabatnya itu.

“Kami bukan apa. Walaupun tempat ni bukan tempat kami tapi perasaan sedih tetap ada nak tinggalkan tempat ni. Ramai orang baik kat sini. Terutama keluarga diraja. Kami tak nak perasaan sedih tu semakin bertambah bila nenek ada nanti,” celah Gloria sambil tersenyum memandang Waheda.

“Nenek faham. Nenek akan tunaikan permintaan tu. Lagipun nenek sendiri takut tak dapat menahan perasaan,” balas Waheda. Gloria mengangguk faham.

“Terima kasih,” ucapnya dengan perasaan gembira. Elika berjalan menghampiri Waheda. Perlahan kedua tangan orang tua itu digenggam.

“Terima kasih,” ucapnya dengan perasaan terharu bercampur gembira. Waheda mengangguk dengan senyuman.

“Nenek gembira bertemu dengan kamu berdua,” katanya.

“Kami juga gembira. Walaupun perjalanan yang tak dirancang ni sangat mendebarkan namun bertemu dengan nenek dan yang lain adalah memori yang sangat berharga buat kami,” balas Elika. Gloria mengangguk setuju. Waheda tersenyum lebar.

                               *****

Firdaus bersandar pada kerusinya. Angin yang sejuk bertiup menyapa wajahnya. Sukar dia mahu jelaskan bagaimana perasaannya saat ini. Setelah bertemu dengan Elika, dia mula menyimpan impian untuk hidup bersama dengan gadis itu. Dia sangat rasa bahagia apabila di sisi Elika Dia sentiasa teruja melalui hari-hari setelah kehadiran gadis itu. Namun semuanya musnah sekelip mata apabila kebenaran dirungkai. Firdaus mengeluh berat. Dia benar-benar tidak dapat menerima kenyataan itu.

                               *****

“Kau ada jumpa Firdaus tak hari ni?” tanya Gloria sambil menghidangkan sarapan. Elika menggeleng.

“Lepas ni aku nak jumpa Safiq. Malam tadi aku dah janji nak jumpa dia,” jawabnya sambil mencapai sudu.

“Aku dengar tadi putera tu langsung tak keluar bilik sejak semalam. Biasanya awal pagi putera dah berjalan dengan kuda kesayangannya. Namun hari ni semua dayang kat dalam tu sibuk sebab putera langsung tak nak ada sesiapa yang masuk dalam biliknya apatah lagi bertemu dengannya,” beritahu Gloria. Elika terdiam mendengar kata-kata sahabatnya itu.

“Kau duduk lah makan dengan aku,” ajaknya. Berkerut kening Gloria dengan reaksi gadis itu.

“Kau gaduh dengan putera ke?” soalnya sambil menarik kerusi. Elika membalas pandangan Gloria.

“Aku dah beritahu dia pasal kita,” jawabnya. Bulat mata Gloria memandang Elika.

So? Apa reaksi dia?” soalnya dengan perasaan berdebar.

“Mesti lah Daus dah tahu. Tu kan sejarah keluarga dia,” jawab Elika. Gloria menarik nafas lega. Dia memandang Elika yang hanya tunduk menjamah sarapannya.

“Esok adalah hari pemilihan. Mesti putera sedih sebab tak dapat pilih kau,” katanya dengan nada perlahan. Elika membalas pandangan gadis itu.

“Kenapa pula dia perlu sedih?” soalnya dengan perasaan berbaur.

“Aku tak buta lah Elika. Sejak awal lagi aku nampak yang putera tu suka kat kau,” kata Gloria. Elika menyambung semula suapannya tanpa memberi sebarang komen. Gloria turut mencapai sudu. Dia tidak mahu mengulas lebih lanjut lagi. Risau andai ada hati yang terguris.

                                  *****

“Semalam Daus ada datang melawat saya. Dia ada bertanya mengenai sejarah perigi,” beritahu Rasyid. Waheda mencapai cawannya lantas menghirup teh yang masih berasap.

“Syid jawab apa?” soalnya selepas meletakkan semula cawannya. Rasyid menarik nafas panjang.

“Dia mahu pastikan sejarah perigi itu. Saya sudah berikan jawapan untuk persoalannya. Saya juga beri amaran pada Daus supaya tidak mengungkit lagi sejarah perigi itu,” jawabnya tenang.

“Bonda minta maaf,” ucap Waheda dengan nada perlahan. Rasyid terdiam mendengar ucapan orang tua itu.

“Bonda sudah biarkan Syid membesar tanpa seorang ayah,” sambung Waheda dengan perasaan sebak. Rasyid tunduk cuba menenangkan diri.

“Bonda pentingkan diri. Bonda langsung tidak fikir akibat apabila bonda berkahwin dengan orang luar,” kata Waheda lagi. Dia tidak menyesal dengan keputusannya berkahwin dengan Yusuf. Tapi dia kecewa apabila terpaksa membesarkan Rasyid tanpa seorang ayah. Dia sedar akan kesakitan yang ditanggung oleh anak tunggalnya itu. Apa yang mampu dia berikan kepada lelaki itu hanya lah kasih sayang yang dia ada.

“Ini takdir yang Syid dan bonda kena lalui. Syid tidak menyesal bonda. Walaupun Syid mungkin tidak akan bertemu dengan ayah lagi. Ayah tetap ayah Syid. Suami kesayangan bonda,” balas Rasyid dengan senyuman. Dia akui hidupnya sunyi tanpa Yusuf. Namun dia masih boleh hidup gembira kerana Waheda tidak pernah membuatnya merasa kurang. Yusuf seorang ayah yang baik. Cuma takdirnya bukan untuk bersama dengan ayahnya. Jika dia sedih dengan pemergian ayahnya, sudah pasti bondanya juga turut berduka.

“Terima kasih Syid,” balas Waheda dengan senyuman. Dia lega kerana Rasyid sudah boleh menerima takdir yang sudah tertulis pada mereka.

                               *****

Safiq hanya memandang wajah gadis di hadapannya itu.

“Kenapa awak nak jumpa saya?” tanya Elika ingin tahu. Safiq tersenyum.

“Esok adalah hari pemilihan. Saya yakin kamu pasti akan terpilih. Akhirnya impian kamu akan tercapai. Saya tumpang gembira,” katanya. Elika terkedu dengan kata-kata lelaki itu.

“Elika, saya tidak tahu sejak bila Daus jatuh hati dengan kamu. Tapi saya boleh lihat dia bukan saja sudah jatuh hati dengan kamu malah tidak boleh hidup tanpa kamu,” sambung Safiq sambil tergelak kecil.

“Dulu masa kecil Daus selalu larikan diri daripada kamu. Sekarang kamu sudah jadi orang kegemarannya. Saya dengar Daus selalu lawat kamu,” katanya lagi. Elika diam tidak membalas. Safiq mula perasan riak wajah Elika yang kelihatan serius.

“Saya dan Daus tak ada apa-apa. Esok saya tak akan jadi puteri Daus,” balas Elika dengan nada tegas. Terangkat kening Safiq membalas pandangan gadis itu.

“Safiq, saya datang dari dunia lain. Terdampar kat sini tanpa dirancang. Saya bukan Elika yang awak dan Daus kenal. Mungkin wajah kami serupa tapi jasad kami berbeza. Kami tak sama. Saya akan kembali semula ke dunia saya tak lama lagi. Awak jangan risau. Daus dah tahu. Saya yakin awak pun tahu pasal ni. Saya keluar dari perigi,” sambung Elika. Giliran Safiq pula yang terkedu.

“Sejarah itu betul?” soalnya dengan suara yang sangat perlahan hampir tidak kedengaran. Elika diam tidak menjawab. Hanya keluhan berat yang dilepaskan.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.