Home Novel Fantasi The Door Within
The Door Within
sipencintapena
5/7/2021 21:47:55
59,657
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 7


Elika mengeluh perlahan.

"Kita nak buat apa sekarang?" soal Gloria dengan kening berkerut. Elika diam tidak membalas. Dia juga buntu. Gloria meraup wajahnya.

"Kita akan tinggal kat sini selama-lamanya," katanya seperti orang putus asa.

"Esok aku nak jumpa putera tu. Aku rasa dia tahu kita bukannya asal sini," kata Elika separuh meneka. Dia sebenarnya masih ragu-ragu dengan telahannya sendiri. Gloria berpaling memandang gadis yang sedang duduk tidak jauh darinya.

"Kau nak buat apa jumpa dia? Aku risau lah. Kita tak tahu lagi apa peraturan kat sini kalau nak jumpa putera tu," balasnya agak bimbang.

"Tak apa. Aku tanya Varna dulu," balas Elika.

"Kita kena guna semua cara untuk keluar dari tempat ni. Tempat ni bukan tempat kita," sambungnya dengan perasaan sebak apabila teringatkan ibunya. Dia tidak dapat membayangkan perpisahan kali kedua dengan wanita itu. Gloria menghampiri Elika lalu memeluknya. Dia faham perasaan Elika. Tidak ada sesiapa yang mahu berpisah dengan ibu sendiri. Elika membalas pelukan gadis itu dengan senyuman hambar.

                                    *****

"Macam mana hari ini?" tanya Hana sambil memandang Elika yang sedang duduk di hadapannya.

"Tunggu dulu. Elika sedang makan itu," tegur Idham yang duduk di sebelahnya.

"Saya tidak sabar," balas Hana dengan senyuman. Elika hanya memandang kedua-duanya. Fikirannya tiba-tiba teringatkan ayahnya. Apa agaknya yang dilakukan oleh ayahnya saat itu? Adakah ayahnya itu risaukan dirinya?

"Elika," panggil Hana lembut. Lamunan Elika terhenti.

"Esok Elika kena pergi lagi," jawab Elika dengan nada perlahan.
 
"Elika lulus ujian? Ibu sudah agak. Anak ibu tidak pernah gagal," puji Hana dengan riak wajah gembira. Elika hanya tersenyum hambar. Idham hanya memandang wajah gadis itu yang jelas tidak gembira. Apa yang berlaku? Sebelum ini gadis itulah orang yang paling gembira jika perkara itu berkaitan dengan putera Firdaus. Namun apa yang dilihatnya saat ini sangat berbeza. Bukan sahaja sikap gadis itu yang berbeza. Cara makan, pemakaian, malah rambut pendek gadis itu juga agak membuatnya sangsi. Dia tahu dia tidak sepatutnya berfikiran sedemikian. Namun Elika yang membesar di depan matanya itu memang tidak suka rambut pendek. Dua minggu yang lalu dia terkejut apabila Elika meminta Hana menggunting rambutnya selepas selesai saja ujian pertama di istana.

"Abang," tegur Hana apabila melihat suaminya itu hanya termenung sedari tadi. Idham membalas pandangan wanita itu.

"Ada masalah?" tanya Hana. Lelaki itu memang jarang termenung. Entah apa yang mengganggu fikirannya kali ini.

"Tidak ada," jawabnya sambil memandang kerusi Elika yang telah kosong.

"Dia sudah masuk bilik. Elika makan sikit saja. Nampak macam tidak ada selera," kata Hana seperti tahu apa yang difikirkan oleh suaminya itu.

"Nanti abang tanya Elika," balas Idham dengan senyuman. Hana hanya mengangguk. Dalam diam dia juga risaukan anaknya itu. Dia dapat rasakan ada sesuatu yang mengganggu Elika. Hendak bertanya dia risau pula Elika akan terganggu dengan ujiannya.

                                   *****

"Kenapa awak masih ada di sini?" soal Nana dengan kening berkerut melihat Elika yang sedang menarik kerusi.

"Saya tak tahu," jawab Elika tenang.

"Hei! Awak menipu. Awak sudah gagal ujian ketiga. Awak tidak patut berada di sini," kata Nana yang jelas tidak puas hati.

"Putera yang suruh dia datang," celah Varna yang baru sampai. Nana mendengus geram.

"Biarkan dia," bisik Uyana yang duduk di sebelah Elika. Elika hanya tersenyum.

"Baik lah, hari ini sebelum kita mulakan ujian keempat, kamu semua dibenarkan untuk melawat sekitar istana. Masa yang diberikan hanya satu jam sahaja. Selepas satu jam, semua mesti kembali ke sini," jelas Varna. Elika memandang sekeliling.

What?

"Yang lain mana?" soal Elika apabila melihat hanya tinggal lima orang calon yang berada di dewan besar itu.

"Yang lain gagal. Sekarang cuma tinggal kita berlima," jawab Uyana dengan senyuman manis. Elika mengangguk perlahan.

"Tidak mahu keluar?" soal Uyana apabila melihat gadis itu masih duduk di kerusinya.

"Tak apa. Awak keluar dulu," balas Elika dengan senyuman. Uyana mengangguk sebelum berlalu. Elika menarik nafas dalam sebelum berdiri menghampiri Varna yang sedang bercakap dengan salah seorang pembantu.

"Ya Elika?" tanya Varna apabila perasan Elika sudah berdiri tidak jauh darinya.

"Boleh tak saya jumpa putera?" soal Elika separuh meminta. Varna menggeleng.

"Tidak boleh. Selepas selesai ujian baru lah kamu dibenarkan untuk bertemu putera. Itu pun jika kamu orang yang berjaya melalui lima ujian yang telah ditetapkan," jawab Varna sambil menepuk lembut bahu gadis itu. Elika mengeluh perlahan.

"Gloria ada di luar menunggu kamu. Ingat satu jam saja," sambung Varna sebelum berlalu. Elika hanya mengangguk.

                                   *****

"Elika," panggil seseorang. Langkah Elika dan Gloria terhenti. Kelihatan Safiq yang berdiri tidak jauh dari tempat mereka sedang melambai. Gloria pantas menunduk lalu menjauh.

"Kau nak ke mana?" soal Elika terkejut dengan telatah gadis itu. Soalannya tidak berjawab apabila Safiq sudah berdiri di hadapannya.

"Elika," panggil Safiq lagi kini berdiri tepat di hadapan Elika. Dia menatap lembut wajah terkejut gadis itu.

"Ya saya," balas Elika masih dengan perasaan terkejutnya.

Siapa pula mamat ni?

"Tidak sangka kamu semakin cantik bila sudah dewasa. Masih ingat saya?" soal Safiq dengan senyuman manis. Elika menggeleng. Safiq tergelak kecil.

"Mesti lah kamu tidak ingat. Sebab dari dulu kamu itu asyik berkepit dengan Firdaus," katanya. Terangkat kening Elika mendengar kata-kata lelaki itu.

"Awak ni siapa? Maksud saya, apa hubungan awak dengan Firdaus?" soalnya dengan perasaan ingin tahu.

"Dulu maksud awak tu bila? Saya selalu berkepit dengan Firdaus?" soalnya lagi mula rasa tidak sedap hati. Safiq memandang Elika dari atas ke bawah. Kata-kata Firdaus mula terngiang-ngiang di telinganya. Safiq berdehem perlahan.

"Saya baru merantau sekejap. Saya Safiq, abang Firdaus," balasnya sambil tergelak kecil cuba menyedapkan hatinya. Elika menggigit bibir.

"Kamu masih tidak ingat? Sejak kecil kamu itu selalu ekori Firdaus. Tidak kisah dia nak mandi kamu tetap nak tunggu depan bilik air," beritahu Safiq dengan senyuman. Elika terkedu.

"Tak mungkin," balasnya dengan perasaan keliru. Safiq menarik gadis itu ke dalam pelukannya. Elika terkedu.

"Rindu sangat dengan kamu. Dulu masa kecil kamu itu akan datang jumpa saya kalau merajuk dengan Firdaus," beritahu Safiq dengan senyuman. Gloria yang berdiri tidak jauh dari kedua-duanya ikut terkejut.

                                 *****

Ujian keempat para peserta perlu menjawab soalan yang dikemukakan oleh putera. Untuk lulus para peserta perlu memberikan jawapan yang memuaskan hati putera. Elika mengeluh perlahan mendengar penerangan Varna. Jika diberi pilihan dia lebih sanggup menjawab soalan peperiksaan daripada menjawab soalan lelaki itu.

"Semoga berjaya," ucap Uyana sambil menyentuh tangannya. Elika hanya tersenyum hambar membalas pandangan gadis itu.

"Elika, ikut saya," arah Varna sebelum keluar dari dewan. Elika bangun dari kerusi dengan berat hati. Dia sempat menangkap jelingan tajam Nana semasa berjalan melepasi gadis itu. Elika mengeluh lagi. Kata-kata Safiq sebentar tadi masih terngiang-ngiang di telinganya. Seingatnya dia tidak pernah mengenali lelaki yang bernama Firdaus. Mungkin kah dia juga wujud dalam dunia ini?

"Elika, masuk lah. Putera ada di dalam," arah Varna dengan senyuman. Elika memandang pintu di hadapannya sebelum menarik nafas dalam.


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.