Home Novel Fantasi The Door Within
The Door Within
sipencintapena
5/7/2021 21:47:55
59,689
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 14


Safiq menggeleng perlahan melihat Firdaus yang sedang bersandar pada kerusinya. Dia kelihatan sedang termenung.

“Daus,” tegurnya lembut sambil menarik kerusi di hadapan lelaki itu. Firdaus diam tidak menyahut.

“Saya minta maaf sebab tidak dapat bantu Daus,” ucap Safiq dengan perasaan bersalah. Selama ini dia tidak pernah gagal untuk membantu lelaki itu. Namun kali ini dia juga benar-benar buntu. Perlahan Firdaus mengalihkan pandangannya pada lelaki itu.

“Ganti tempat Daus,” pintanya dalam nada perlahan. Safiq terkedu.

“Apa maksud Daus?” soalnya dengan perasaan berdebar. Dia takut hendak meneka apa yang akan dikatakan oleh adiknya itu.

“Ganti tempat Daus. Bukan sepatutnya abang yang akan gantikan tempat ayah?” soal Firdaus dengan pandangan sayu. Safiq menggeleng.

“Abang tidak sanggup?” soal Firdaus lagi dengan riak wajah kecewa.

“Ayah tentu akan marah. Lagipun rakyat sudah tahu yang Daus akan gantikan tempat ayah,” balas Safiq semakin rasa bersalah. Memang patut dia dipersalahkan. Jika dia tidak sibuk merantau sudah pasti Firdaus tidak akan jadi mangsa. Adiknya itu sudah banyak berkorban untuknya. Safiq mengeluh.

“Tolong lah Daus,” pinta Firdaus lagi.

“Daus hendak buat apa selepas ini? Hendak merantau?” soal Safiq dengan kening berkerut. Firdaus hanya tersenyum hambar. Dia tidak menjawab pertanyaan lelaki itu.

                               *****

Waheda memandang ketiga-tiga orang gadis yang duduk di hadapannya sebelum beralih memandang Firdaus yang duduk di sisi Rasyid. Dia dapat melihat dengan jelas pandangan Firdaus hanya terhala pada Elika yang sedang tunduk. Waheda menggeleng perlahan.

“Boleh kita mulakan?” soal Rasyid sambil memandang Waheda. Waheda mengangguk setuju. Rasyid memandang ketiga-tiga gadis itu.

“Saya ucapkan tahniah kepada kamu bertiga kerana sampai pada tahap ini. Seperti yang kamu tahu hanya seorang puteri yang akan dipilih. Saya serahkan sepenuhnya hak tersebut kepada putera untuk memilih puterinya. Saya harap calon yang tidak terpilih boleh menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka. Hormati keputusan pihak istana. Kamu semua bertanding secara adil,” kata Rasyid dengan senyuman. Dia menoleh memandang Firdaus. Firdaus hanya mengangguk perlahan. Safiq yang duduk di sebelah kiri Rasyid agak risau melihat wajah tenang adiknya itu.

“Uyana, saya pilih kamu sebagai puteri serta permaisuri pada masa akan datang,” kata Firdaus sambil memandang gadis itu. Uyana terkedu. Dia menoleh memandang Elika yang duduk di sebelahnya. Elika hanya tersenyum membalas pandangan gadis itu. Nana mendengus perlahan. Dia benar-benar tidak faham. Selama ini putera langsung tidak pernah melawat Uyana. Tapi mengapa gadis itu pula yang terpilih?. Nana beralih memandang Elika. Gadis itu kelihatan tenang.

Apa yang berlaku?

                              *****

Uyana berpaling memandang Firdaus. Kini hanya mereka berdua yang berada di kamar milik lelaki itu.

“Saya tidak mahu berbincang dengan putera dalam bilik ini,” kata Uyana yang jelas tidak puas hati.

“Saya minta maaf. Tempat ini saja yang sesuai untuk kita berbincang,” balas Firdaus sambil duduk di atas sofa.

“Kenapa putera pilih saya? Bukan sepatutnya Elika?” soal Uyana masih tidak berpuas hati. Firdaus terdiam mendengar soalan gadis itu.

“Kalau kamu tidak suka saya, kenapa mahu ikut pertandingan ini?” tanyanya semula dengan riak wajah yang serius. Uyana menggigit bibir.

“Saya tanya putera dulu,” katanya perlahan. Terangkat kening Firdaus memandang gadis itu.

“Saya ikut pertandingan ini sebab mahu cari kebenaran sejarah perigi dalam negara ini,” beritahu Uyana sambil melarikan pandangannya ke arah lain. Takut dia hendak melihat reaksi Firdaus. Dia tahu adalah kesalahan berat dalam negara itu jika bertanya mengenai sejarah perigi. Firdaus tidak terkejut mendengar kata-kata gadis itu. Dia tahu sejak semua perigi dihapuskan dalam negara itu, ramai dalam kalangan rakyat yang tertanya-tanya. Perigi dimusnahkan tanpa sebab. Rakyat terpaksa akur kerana itu adalah arahan raja.

“Perigi itu boleh menghubungkan dunia luar dengan dunia kita. Elika adalah salah seorang yang datang dari perigi itu. Elika bukan orang sini. Dia datang dari dunia lain. Kamu mungkin susah hendak percaya tapi itulah kenyataannya. Sebab itu moyang kami dulu lakukan penghapusan perigi secara besar-besaran. Saya mewakili pihak istana minta maaf. Ini rahsia yang kami tidak boleh beritahu rakyat,” kata Firdaus dengan perasaan bersalah. Uyana masih lagi terkedu membalas pandangan Firdaus.

“Jadi itu sebab putera tidak pilih Elika?” soalnya dengan nada perlahan. Sebetulnya dia masih kurang percaya dengan kata-kata Firdaus sebentar tadi. Safiq menolak pintu bilik Firdaus.

“Boleh saya masuk?” pintanya. Firdaus hanya mengangguk. Uyana yang masih terkejut hanya diam memandang Safiq yang sedang melangkah masuk. Safiq tersenyum menghampiri Uyana. Dia menghulurkan tangannya.

“Safiq,” katanya. Uyana memandang lelaki itu dengan kening berkerut.

“Uyana,” balasnya perlahan sambil menyambut huluran tangan lelaki itu. Dia pernah terserempak dengan lelaki itu namun tidak pernah bertegur sapa. Hanya berbalas senyuman.

“Uyana, terima kasih. Saya percaya awak akan jadi permaisuri yang baik untuk abang saya. Jumpa lagi,” kata Firdaus dengan senyuman sebelum berlalu keluar. Bulat mata Uyana memandang langkah lelaki itu.

“Saya tidak sekacak Daus. Tapi saya harap awak boleh terima saya,” kata Safiq dengan senyuman. Uyana menyentuh dahinya yang berdenyut.

“Maafkan saya dan Daus,” ucap Safiq dengan perasaan bersalah. Mereka tidak pernah berniat untuk mempermainkan gadis itu. Apabila Firdaus mencadangkan untuk memilih Uyana, dia tidak membantah kerana dia juga sudah lama memerhatikan Uyana dari jauh. Namun dia pendam hasrat berkenaan kerana tahu yang gadis itu bertanding untuk menjadi isteri Firdaus.

“Awak percaya saya?” tanya Uyana sambil membalas pandangan lelaki itu. Safiq tersenyum lebar.

“Siapa tidak percaya dengan bakal isteri sendiri,” balasnya. Uyana mula tersenyum. Dia menggeleng.

“Saya macam sedang bermimpi,” katanya. Safiq tergelak kecil. Dia juga seperti tidak percaya dengan apa yang berlaku. Semuanya bagaikan mimpi.

                                  *****

“Aku tunggu kau lusa kat sini,” kata Gloria. Elika mengangguk tersenyum. Hari ini dia akan kembali ke rumah bertemu dengan keluarganya.

“Elika,” tegur satu suara. Elika berpaling. Nana menghulurkan tangan.

“Aku minta maaf. Aku tidak rasa yang kita akan bertemu lagi selepas ini,” ucapnya. Elika tersenyum menyambut huluran tangan gadis itu.

“Aku juga. Nana, kau gadis yang baik. Pasti lepas ni kau akan jumpa seseorang yang lebih baik untuk kau. Aku gembira bertemu dengan kau,” balasnya ikhlas. Nana tersenyum. Dia terharu. Walaupun selama ini dia sering membuli gadis itu, namun Elika tidak pernah berdendam dengannya.

“Aku balik dulu,” katanya sebelum berlalu. Elika hanya tersenyum memandang gadis itu berlalu.

“Wah, cepat sangat minah tu insaf. Macam dia tahu aje kita akan balik,” celah Gloria yang masih berdiri di sisinya.

“Tak baik cakap macam tu. Dia ikhlas kot. Lagipun tak seronok lah cerita kalau tak ada minah senget. Betul tak?” balas Elika dengan senyuman. Gloria tergelak besar.

“Kau ni lagi parah daripada aku. Dah pergi. Kau kata tak sabar nak jumpa mama kau. Ni kali terakhir kau akan bertemu dengan mereka. Aku harap tak ada lagi kekesalan selepas ni. Kau bertuah Elika,” kata Gloria dengan senyuman. Elika mengangguk tersenyum.

“Aku pergi dulu,” katanya sebelum melangkah ke arah kereta yang sudah menanti.

“Tunggu,” Gloria menahan.

“Apa lagi?” tanya Elika dengan kening berkerut.

“Kau ada jumpa putera tak?” soal Gloria ingin tahu. Elika memandang sekeliling. Risau dia andai ada yang mendengar.

“Tak ada. Aku memang tak nak jumpa lagi dengan dia. Aku pergi dulu,” kata Elika tanpa menunggu balasan daripada gadis itu. Gloria hanya memandang langkah laju Elika.


Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.