Home Novel Fantasi The Door Within
The Door Within
sipencintapena
5/7/2021 21:47:55
59,680
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 12


Safiq tersenyum sambil berjalan menghampiri Firdaus. Dia menarik kerusi di hadapan lelaki itu.

“Bila sampai?” tanya Firdaus sambil tersenyum membalas.

“Baru saja. Maaf hari itu abang tidak sempat beritahu kamu. Niat mahu jalan sekejap. Tidak sangka pula abang ambil masa yang lama. Nasib baik sempat balik sebelum pemilihan,” balas Safiq.

“Abang memang macam itu. Pergi tidak beritahu. Balik pun sama,” kata Firdaus separuh menyindir. Safiq tergelak kecil.

“Macam mana dengan proses pemilihan? Saya ada nampak Daus dan Elika makan bersama tadi. Daus sudah buat pilihan?” tanyanya ingin tahu. Firdaus terdiam mendengar soalan lelaki itu.

“Atau Daus masih tidak boleh terima Elika? Abang tahu sejak kecil lagi Daus tidak suka pada Elika. Betul tidak?” tanya Safiq lagi separuh meneka.

“Daus suka Elika yang ini. Tapi sangat mustahil untuk Daus pilih Elika jadi puteri,” jawab Firdaus dengan nada perlahan.

“Kenapa?” tanya Safiq dengan kening berkerut. Firdaus menarik nafas berat.

“Daus sudah jatuh sayang dengan Elika sejak pertama kali melihatnya. Kenapa bila Daus sudah mula sayang tiba-tiba pula Elika yang tidak mahu terima Daus?” soalnya dengan perasaan kecewa. Dia sentiasa ingat janjinya pada gadis itu. Kawan? Baginya Elika bukan hanya sekadar kawan.

“Abang tidak faham. Apa yang berlaku?” tanya Safiq agak keliru. Firdaus tersenyum hambar. Susah untuk dia jelaskan pada abangnya itu.

“Saya mahu rehat. Abang pun rehat lah dulu,” katanya sebelum bangun dari kerusi lantas berlalu. Safiq menggaru kepalanya.

Apa yang berlaku?

                                 *****

“Apa keputusan Daus?” tanya Rasyid sambil memandang Pamela.

“Daus belum buat keputusan. Saya ada tanya dia beberapa hari yang lalu,” jawab Pamela. Rasyid mengangguk faham.

“Jangan lambat sangat buat keputusan. Tidak lama lagi kita akan umumkan siapa yang terpilih,” katanya.

“Safiq sudah kembali?” tanya Rasyid lagi.

“Sudah. Sekarang ini dia sedang berbual dengan Daus,” jawab Pamela.

“Saya terfikir mahu carikan calon isteri untuk Safiq. Apa pendapat kamu?” tanya Rasyid.

“Saya tidak ada masalah. Lagipun umur Safiq sudah sesuai untuk mendirikan rumah tangga. Abang ada calon untuk Safiq?” tanya Pamela pula.

“Belum ada. Kamu tanya Safiq dahulu. Kalau dia setuju, kita akan teruskan rancangan,” balas Rasyid separuh mengarah. Pamela mengangguk setuju walaupun dia ragu-ragu reaksi Safiq nanti. Anak sulungnya itu kadangkala sukar difahami. Hidup bebas menyebabkan Safiq sering melakukan perkara yang disukainya.

                                 *****

Nana menghampiri Uyana yang sedang duduk membaca buku.

“Uyana, sejak tinggal dalam istana ini aku tidak pernah bertemu dengan Elika lagi,” katanya. Uyana hanya memandang sekilas ke arah gadis itu.

“Kenapa? Kau rindu dengannya?” soalnya separuh menyindir. Nana tersenyum sinis.

“Kau tidak rasa pelik? Aku dengar dari dayang yang Elika sering berkepit dengan putera. Tidak adil lah buat kita,” balasnya dengan riak wajah jelas tidak puas hati.

“Biar lah dia. Kau itu buta? Sudah jelas putera itu pilih Elika. Aku harap kau berhenti lah berharap pada putera,” kata Uyana separuh menasihati. Nana mendengus geram.

“Aku tidak faham dengan kau ini. Kenapa kau mahu jadi isteri putera? Kenapa kau bersusah payah ikut pertandingan ini?” soalnya bertalu.

“Apa maksud kau?” soal Uyana kembali.

“Aku tengok kau tidak kisah bila putera mahu pilih Elika. Kenapa? Sebab Elika itu kawan kau?” tanya Nana tanpa menjawab. Uyana tersenyum sinis.

“Suka hati aku lah,” balasnya. Berkerut kening Nana memandang gadis itu.

“Aku tidak kisah siapa yang akan jadi isteri putera. Yang penting orang itu bukan kau. Aku bukan tidak suka kau. Cuma dengan sikap kau yang macam ini buat aku tidak percaya yang kau akan jadi isteri yang baik,” sambung Uyana separuh menyindir. Nana mendengus lagi. Dia pantas berlalu. Uyana hanya menggeleng melihat langkah laju gadis itu. Uyana menutup buku yang sedang dibacanya. Dia mengeluh perlahan. Misinya masih belum selesai. Uyana bingung sendiri pada siapa dia hendak bertanya. Rancangannya untuk masuk ke dalam istana sudah berjaya. Namun dia mempunyai masalah untuk mencari orang yang boleh menjawab persoalannya.

                             *****

Safiq menahan langkah Elika yang sedang dalam perjalanan menemui Waheda.

“Apa khabar?” tanya Safiq. Elika tersenyum. Sudah lama dia tidak melihat kelibat lelaki itu. Malah dia hampir lupa akan kewujudan Safiq.

“Baik. Saya dah lama tak nampak awak,” balas Elika. Safiq tersengih.

“Saya baru balik. Kamu hendak jumpa nenda saya?” soalnya. Elika mengangguk.

“Lepas jumpa nenda, saya mahu jumpa kamu. Boleh?” pinta Safiq.

“Boleh aje. Tapi esok lah. Sekarang dah malam,” balas Elika. Safiq tergelak kecil.

“Kalau sudah masuk dalam istana ini, saya akan lupa bila hari siang dan malam berganti,” katanya. Elika ikut tergelak. Dia pun sering mengalami situasi yang sama. Jika dalam istana lampu sering dipasang sepanjang masa sehingga menyebabkan dia sentiasa menyangka hari belum siang.

“Saya pergi dulu. Jumpa esok,” kata Elika sebelum berlalu sambil diiringi oleh beberapa orang pengawal. Safiq hanya memandang langkah gadis itu. Kata-kata Firdaus masih terngiang di telinga. Apa sebenarnya maksud lelaki itu?

                                 *****

Firdaus menemui Rasyid. Dia kini sedang duduk berdepan dengan ayahnya.

“Kamu jarang hendak bertemu ayah jika tidak ada perkara penting,” kata Rasyid. Firdaus tersenyum.

“Maaf sebab jarang sekali melawat ayah,” ucapnya dengan perasaan bersalah. Walaupun mereka tinggal dalam istana yang sama namun mereka jarang bertemu kerana mempunyai tugas masing-masing untuk dilakukan.

“Tidak mengapa. Kamu memerlukan bantuan ayah?” tanya Rasyid. Firdaus menarik nafas berat.

“Sebenarnya Daus datang ini mahu tanya ayah sesuatu. Daus harap pertanyaan ini tidak buat ayah marah,” katanya dengan perasaan berdebar.

“Ayah tidak janji,” balas Rasyid kini dengan riak wajah serius. Firdaus agak gementar melihat reaksi orang tua itu. Dia tahu yang soalannya sebentar lagi pasti akan membuat Rasyid meradang. Namun dia perlukan kepastian.

“Pasal sejarah perigi dalam negara ini. Daus perlukan kepastian,” kata Firdaus sambil memandang tepat wajah ayahnya.

“Kepastian? Kepastian apa? Sejarah itu betul atau tidak?” soal Rasyid.

“Ya ayah,” balas Firdaus. Rasyid terdiam sejenak seperti memikirkan sesuatu.

“Kenapa sejarah ini tiba-tiba diungkit semula? Daus sudah lupa dengan amaran ayah?” soalnya dengan kening terangkat.

“Maafkan Daus. Daus bukan tidak ingat. Tapi Daus perlukan jawapan itu daripada ayah,” balas Firdaus sambil menundukkan kepalanya.

“Memang benar. Atuk kamu bukannya asal sini. Dia sudah lama kembali ke duniannya sejak ayah masih kecil lagi. Ayah melarang kamu semua untuk mengungkit kembali hal itu bukan sebab ayah mahu melupakan sejarah. Tapi sejarah itu menyakitkan ayah,” kata Rasyid dengan riak wajah tenang. Giliran Firdaus pula yang terdiam.

“Kamu sudah mendapat kepastian yang kamu mahu?” tanya Rashid selepas melihat lelaki itu hanya mendiamkan diri.

“Ya ayah. Terima kasih. Daus janji tidak akan ungkit lagi perkara ini depan ayah,” balas Firdaus sambil berdiri. Rasyid hanya mengangguk. Dia tidak menahan apabila Firdaus berlalu. Rasyid tertanya-tanya mengapa tiba-tiba hal itu dibangkitkan oleh Firdaus.


Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.