Pengembaraan di Dunia Watika.
BAB 1
Amani sangat gembira dan lapang
sungguh fikirannya hari ini, manakan tidak peperiksaan akhir tahun untuk
tingkatan satu telah pun selesai. Semua kawan-kawannya telah mengajak Amani untuk
meraikan sama-sama hari ‘merdeka’ mereka
di restoran makanan segera di Bandar Tasik Puteri pada hari ini.
“Jomlah Amani,” ajak kawannya Hakim agak
hampa bila Amani telah membuat keputusan tidak ikut serta dengan kumpulan mereka pada hari tersebut.
“Tak
apalah Hakim, aku rasa nak rehatkan minda aku kat rumah sajalah. Sepanjang
minggu peperiksaan ni aku tak cukup tidur.
Kau pun tahukan, aku puas bersengkang mata mengulangkaji pelajaran
semata-mata untuk mendapatkan A’s untuk semua mata pelajaran aku,” jelas Amani
matanya memandang Hakim tanpa berkedip.
Dengan
wajah yang sungguh gembira dan beriak nakal Amani mencubit manja lengan kawannya
itu, “Aku nak balas dendam sekarang ni dengan tidur sepuas-puasnya……!,” ungkap Amani
untuk melempiaskan niat hatinya yang telah lama terbuku semenjak dari pagi
lagi.
“Alah,
Amani kalau setakat tidur, malam karang pun kau boleh balas dendam kau tu. Kau tidurlah selama mana yang kau nak, lagi
pun besokkan cuti sekolah?” umpan Hakim.
Kumpulan mereka tentu tak akan lengkap dan happening tanpa kehadiran Amani bersama mereka. Tentu Shin, Hazim, Monika dan Danial akan
kecewa bila Amani tak turut serta. Itu sudah pastinya, hubungan persahabatan
diantara mereka memang rapat dan telah terjalin sejak dari sekolah rendah lagi.
Persahabatan
itu terus membawa hingga ke sekolah menengah walaupun mereka tak sama kelas
lagi. Amani, Hakim, Danial dan Hazim mereka
di dalam satu kelas manakala Monika berserta Shin mereka masing-masing
berasingan kelas dan jurusan. Tetapi itu tidak bermakna mereka tidak boleh
bersama-sama sentiasa walaupun minat dalam pelajaran lain-lain. Yalah seperti
yang selalu diungkap oleh para remaja atau sesiapa saja, ‘asalkan kepala sama saja,
semua pun boleh masyuuk’.
Minda
Amani memproses maklumat dan ‘umpan’ yang Hakim telah ajukan kepadanya dengan
cepat sekali.
“Ha’ah
lah, betul jugakan Hakim. Geligalah otak kau, tak sia-sia kau menjadi ketua
kelas untuk tingkatan kita…,” puji Amani.
“Ha! Baru kau tahu penangan aku.
Tengok oranglah kalau kau nak kelentong pun.” Hakim sedikit bangga dan kembang
hidung bila Amani memujinya, walaupun dalam nada mengusik.
Amani
dan Hakim berjalan seiringan menuju ke pintu pagar depan sekolah sambil Hakim menyanyi-nyanyi
kecil lagu kegemaran remaja sekarang ini dari kumpulan Bunkface ‘Revolusi’.
“Wah!
Hakim gembira nampak, almaklumlah peperiksaan dah habis. Tapi aku berani jamin
kau tentu akan dapat keputusan yang cemerlang seperti biasa. Kalaulah aku ada
otak bijak macam kau tak perlulah aku bersengkang mata setiap malam untuk mengulangkaji
pelajaran.”
“Bukan
macam tu Amani, akupun kena buat ulangkaji juga. Macam aku ni, cabarannya lagi
besar. Bila kau dah selalu dapat keputusan cemerlang, kau kena kekalkan
kecemerlangan kau tu. Susah sebenarnya untuk mengekalkan kedudukan yang
cemerlang sebenarnya…..tension tau! Tension!,” balas Hakim sambil ketawa bila
mengingatkan kembali kesusahan yang perlu dia hadapi untuk mengekalkan keputusan cemerlang dalam pelajarannya setiap
tahun.
Di
pintu pagar sekolah Sri Kemboja, Amani telah nampak kelibat kawan-kawannya yang
lain Monika dan Danial. Agaknya mereka sudah lama menuggu, wajah Monika yang berpeluh-peluh
tu tak henti-henti dilapnya dengan sapu tangan kerana menahan panas cuaca hari
itu. Manakala rambutnya yang panjang sampai ke pinggang di ikatnya tocang dua.
Tocang itu dihiasinya dengan reben berwarna hitam.
“Aik?,
Mana yang lain?” tanya Hakim kehairanan kerana kelibat dua orang lagi ahli
kumpulan mereka tak muncul.
“Hazim kena bersihkan papan hitam
kelas dulu baru boleh balik. Kau tak tahu ke? Kau kan ketua kelas tu? Shin pula
tengah beli air untuk kita semua. Kata Shin, tentu kita semua akan kehausan
sebab cuaca hari ini luar biasa panasnya. Kau tak perasan ke?” Monika memberitahu
kepada Hakim kenapa dua orang sahabat
mereka tiada di situ sambil tangannya mengipas-ngipas mukanya kerana kepanasan.
“
Yelah, berbahang betul hari ni.” Hakim baru perasan dengan bahang cuaca pada
hari itu. Dia berdiri di sebelah Danial yang kelihatan sedikit memerah wajahnya
menahan bahang cuaca.
‘Berpeluh dah ketiak aku ni,” Danial
pula menambah serentak dia duduk mencangkung, selepas puas berdiri. Dia
mengibas-ngibaskan kemeja sekolahnya bagi mendapatkan angin.
“Hei!
Dah sampai dah yang lain? Mana Hazim? Takkanlah tak siap lagi bersihkan papan
hitam tu. Ni bersihkan ke atau buat papan hitam semula ni?” Shin melangkah
dengan penuh gaya ala-ala hero dari cerita Jepun yang selalu dia ceritakan
kepada kawan-kawannya. Shin adalah
peminat kepada cerita anime Jepun. Apa
saja tentang anime Jepun terutama sekali adiwira-adiwira dari sana seperti
Kamen Rider dan Power Rangers, pastilah Shin orangnya yang akan memberikan
perkembangan terkininya diikuti oleh Hakim dan Amani.
Sepuluh
minit sudah berlalu, mereka menunggu Hazim
di pintu pagar sekolah. Air yang dibeli oleh Shin pun hampir habis diteguk
mereka berempat bergilir-gilir.
“Eh, mana Hazim ni? Biar aku pergi tengok jap. Korang tunggu sini.” Amani bergegas masuk semula ke kawasan
sekolah. ‘Apalah yang dibuat dek Hazim
ni, lama sungguh dia membersihkan papan hitam. Papan hitam tu taklah besar
sangat, takkan dia nak bersihkan semua papan hitam yang ada di sekolah ni kut?,’
bisik hati Amani sambil tergelak kecil. Bayangan nakal dan lucu mula bermain di
kepala Amani sambil dia mengatur langkah mencari Hazim.
Sampai
di kelas Amani terlihat kelibat seseorang sedang memapah seorang murid dan
mendudukkan murid tersebut di meja belakang kelas. ‘Eh apa dah jadi ni? Amani
melajukan langkahnya dan kelibat budak tadi telah hilang dan kelihatan Hazim sedang
duduk dan seperti terpukau.
“Hoi!
Hazim! Hazim!” panggil Amani mengejutkan kawannya.
“Hazim,
apa dah jadi kat awak ni? Awak sihat ke?” Amani menggoyang-goyangkan bahu Hazim
untuk menyedarkan Hazim ke dunia realiti
semula.
“Eh!
Amani? Apa awak buat kat sini?” Hazim melihat sekeliling seperti orang
kebingungan dan tercari-cari sesuatu.
“Cari
kaulah. Apa dah jadi pada kau? Kau macam bingung je? Siapa yang papah kau tadi
tu Hazim?” tanya Amani bertalu-talu. Perasaan
ingin tahunya membuak-buak bagai air terjun yang melimpah di sungai.
“Entahlah,
akupun tak ingat sangat,” jawab Hazim sambil tangannya menyentuh dahinya
seperti ingin mengingati kembali sesuatu tapi tak boleh.
“Dah! Jomlah semua tengah tunggu
kita kat pintu pagar sekolah, sampai air pun dah habis kita orang bedal,” Amani mencuit
lengan Hazim yang masih kebingungan sedikit.
“Boleh
jalan tak ni?” tegur Amani bila dia melihat Hazim masih di dalam keadaan tak
menentu. Hazim dan Amani melangkah anak longkang di depan bilik guru sekolah
mereka. Kawan-kawan yang lain melambaikan tangan ke arah mereka bila
ternampakkan kelibat mereka berdua.
Dalam
hati Amani masih lagi tertanya-tanya siapakah budak lelaki yang dia nampak
sedang memapah Hazim sebentar tadi? Oleh kerana Hazim sendiri pun tak ingat
jadi Amani membiarkan saja perkara tu buat sementara.
Sepanjang
perjalanan mereka berenam ke restauran
makanan segera tersebut, mereka sentiasa bergurau dan bercerita mengenai kertas
soalan peperiksaan pada hari tersebut. Hari yang terakhir. Karangan Bahasa
Malaysia memang merupakan satu subjek kegemaran Amani dan Monika tetapi bukan
pula bagi kawannya Danial dan Hakim. Manakala Shin dan Hazim pula biasa saja,
mereka sedaya-upaya menjawab mengikut kepada tajuk yang mudah. Mereka memilih
untuk duduk di meja berdekatan dengan dinding cermin, senang hati melihatkan
aktiviti yang dilakukan oleh pejalan kaki di luar. Hakim dan Danial menjadi
wakil mereka semua untuk membuat pesanan makanan. Yang lain-lain menunggu di
meja makan.
“Cuti sekolah ni nanti kita nak buat
apa ye?” Monika memulakan perbualan. Monika gadis sunti India tunggal dalam
kumpulan tersebut. Namun begitu dia kelihatan seperti budak melayu kerana
bapanya berbangsa cina dan ibunya berbangsa India. Monika amat sukakan subjek sains dan sedikit
pendiam . Selalunya mereka pasti akan melakukan berbagai aktiviti di waktu cuti
sekolah penggal akhir yang panjang ini. Seperti cuti tahun lepas mereka
habiskan dengan aktiviti kem remaja ‘Summer Kem’ di Ampang. Habis saja kem
tersebut yang memakan masa cuma seminggu itu, mereka melawat Taman Tema Genting
Highlands dan bermalam di sana dengan ibu-bapa Danial selama tiga hari dan dua
malam. Tahun ini mereka masih belum lagi merancang untuk membuat apa- apa.
Amani mengeluh sedikit kerana masih belum terlintas lagi di fikirannya aktiviti
yang hendak mereka lakukan bagi cuti kali ini. Amani pula seorang gadis yang
bermata hitam bulat, berambut ikal paras bahunya dan berkulit putih merah. Alis
matanya lebat dan lentik, merupakan seorang yang panjang akal dan bijak.
Seorang anak gadis yang amat comel dan menarik, lincah orangnya.
“Apa kata kita pergi melawat Zoo
Negara beramai-ramai nak? Kali ni kita pergi tanpa diiringi oleh ibu-bapa kita
boleh?” Hazim memberikan cadangannya. Hazim berambut sedikit kerinting dan
perang, berkulit putih kuning dan bermata sedikit sepet, manakala anak matanya
pula berwarna coklat cair. Wajahnya kacak seperti pelakon Korea senyumannya
manis dan bijak berkata-kata.
Setelah
sepuluh minit menunggu, akhirnya makanan mereka sampai di bawa oleh Hakim dan
Danial. Hakim seorang yang berbadan tinggi dan tegap. Berambut hitam lebat dan
berkulit sawo matang. Seorang yang bijak dan suka mereka cipta dan melukis.
Perwatakannya matang dan selaku ketua bagi kumpulan mereka berenam ini. Danial
memberikan makanan masing-masing dan duduk di sebelah Hazim sambil menghisap
air milo aisnya dengan laju sekali. Danial seorang budak yang kurus dan tinggi.
Berbulu mata melentik dan bermata bulat, berkulit putih dan hidungnya mancung
kecil. Seorang yang cergas, berlari laju dan suka bersukan. Dia juga seorang
yang pandai berkata-kata dan panjang akal. Danial selalu menggantikan Hakim
selaku ketua bila Hakim tidak hadir di
kalangan mereka. Manakala Shin pula
jejaka cina yang kacak seperti pelakon Hong Kong Eddison Chang. Bertubuh tinggi
tapi tidak kurus, bermata kecil dan berhidung mancung. Seorang yang bijak, suka
membaca dan bersukan. Mereka berenam selalu
menghabiskan masa bersama dan melakukan setiap aktiviti yang menarik
bersama-sama juga.
“Kawan-kawan, cuti ni nanti kita
semua nak buat aktiviti apa?” Danial mula mengajukan pertanyaan yang sama
dengan Monika sebentar tadi. Mulutnya mula mengunyah burger ayamnya dengan
laju.
“Saya
dah tanyakan soalan tu tadi, tapi masih belum dapat idealah..,” Monika mencelah
dan memandang kepada semua kawan-kawannya. Matanya memandang kepada Hazim yang
sedang memegang air milonya, tersenyum.
“Kalau
susah-susah, belum dapat idea lagi. Jomlah datang ke rumah aku. Kita menonton
cd terbaru Kamen Rider Zero...,” ajak Shin selamba. “Tak pun marilah kita
membaca buku baru saya mengenai Ikhtiar Hidup di Hutan Amazon dan Ikhtiar Hidup
di Pulau Terpencil pasti berguna nanti maklumat yang di berikan,” jelas Shin
lagi.
“Hei!
Hazim yang kau ni asyik tersenyum saja, kenapa?” Monika menegur sambil matanya
menilik dan membelek Hazim dari atas ke bawah untuk mencari punca yang
membuatkan Hazim tersenyum. Namun tidak diketemukan.
“Monika...macamlah
kau baru kenal semalam dengan Hazim ni. Kan dia memang suka tersenyum. Mesti
dia sudah ada idea tapi tunggu kita semua
tanyakan pada dia barulah dia nak cakap,” Amani mencebikkan bibirnya
sedikit bengang dengan Hazim yang kadang-kadang suka berahsia dengannya. Masih
lagi terbayangkan pemuda misteri yang memapah Hazim, Amani masih tak dapat nak
lupakan pemuda tersebut. Siapa dia ye? Pelajar sekolah mereka atau orang luar? Amani tak perasankan
pakaian pemuda itu. Kalau orang luar, macamana dia boleh memasuki kawasan
sekolah? Banyak persoalan di benak Amani yang dia tak menjumpai jawapannya. Nak
tanya kepada Hazim, dia sendiripun macam tak sedar saja apa yang telah berlaku
kepada dirinya ketika itu. Fikiran Amani ligat memikirkan tentang pemuda itu
masih dia tak senang hati selagi belum lagi terjawab akan misteri ini. Di luar
sedar dahi Amani berkerut seribu dan tangannya menyentuh bibirnya yang mungel
itu. Keadaan begitu, memang situasi
biasa bila Amani mula menggunakan akalnya ke tahap maksimum. Kawan-kawan yang
lain semua terdiam dan memerhatikan gelagat Amani.
“Hei!
Amani takanlah begitu serius sekali awak berfikir untuk aktiviti kita kali ini.
Sampaikan berkerut seribu wajah awak tu!” Hakim menegur dan yang lain
tersenyum.
“Jangan
begitu Amani nanti lekas tua tau!” usik Danial pula diiringi dengan ketawa kawan-kawan yang lain. Monika mengajuk
dengan menyepetkan matanya ke arah Amani.
“Hish!
Mana ada!” Amani agak terkejut kerana tingkah-lakunya telah diperhatikan oleh
kawan-kawan yang lain. Tanpa dia sedari.
Amani tersenyum sipu-sipu sambil membetulkan duduknya.
“Apa
kata kita pergi ke perpustakaan yang terletak bersebelahan dengan stesen
keretapi lama Kuala Lumpur?” Danial memberikan cadangannya.
“Nak tak. Apa pendapat kau Hakim?” sambungnya
sambil menoleh ke arah Hakim yang duduk di sebelahnya.
“Boleh
juga. Memandangkan kita masih belum ada rancangan yang tertentu lagi,” Hakim
memandang kepada semua kawannya. Yang lain hanya menganggukkan kepala tanda
bersetuju.
“Alah!
Apa kecoh-kecoh ni, kita masih ada lagi masa seminggu untuk bersekolah. Masih
ada lagi waktu untuk memikirkan aktiviti yang kita nak buat,” celah Shin
selamba sambil mengumpil penutup minumannya.
Amani
dan lain-lain hanya menganggukkan kepala mereka. Fikiran masing-masing menerawang
sudah entah ke mana. Banyak imaginasi yang mereka bayangkan untuk diisikan
sewaktu cuti sekolah. Bagaimana kalau kita hanya bermalas-malasan menghabiskan
masa dengan berkelah dan membaca novel di rumah saja. Tetapi cadangan itu hanya
tersemat di minda Amani saja. Kawan-kawan yang lain sudah
bersedia untuk pulang ke rumah.
Masing-masing mangangkat bag dan melangkah keluar dari restauran itu.
Semasa
melangkah kaki keluar restauran, Amani terasa seperti ada seseorang sedang
merenung ke arah kumpulan mereka. Amani
menoleh ke arah tersebut, tetapi tiada sesiapa di situ. Matanya masih meliar
melihat-lihat sekeliling, takut-takut sekiranya pemuda tadi ada mengekori
mereka. Namun, tiada sesiapa pun....