BAB 4
“Aaargh!” mereka bertiga
terus-terusan menjerit. Hakim dah hampir-hampir nak terkencing dalam seluar
manakala Danial pula sudah hampir nak hilang suaranya kerana menjerit begitu
lama. Amani menangis sambil mulutnya juga menjerit sehinggakan terasa tekaknya
perit. Akhirnya tubuh Amani terjatuh terjelepuk di atas sesuatu setelah satu
jam lebih dia terjatuh dari atas semenjak di sedut oleh buku itu. Manakala Hakim dan Danial langsung tidak kelihatan. Amani pengsan
seketika akibat dari impak dari kejatuhan itu. Tak tahu sudah berapa lama dia
tidak sedarkan dirinya. Amani membuka matanya dengan penuh kepayahan. Kepalanya
terasa pening dan seluruh badannya sakit-sakit bagai dipalu. Amani cuba mengingati kembali apa yang telah
berlaku. Tangannya menyentuh kepalanya yang sedang pening. Sayup-sayup dia
dapat mendengar suara orang sedang bercakap-cakap namun dia tak faham apa bunyi
butir percakapan mereka.
Amani cuba bangun dengan perlahan-lahan. Dia
melihat sekelilingnya. Dia seperti berada di dalam sebuah bilik stor yang
dipenuhi dengan skrol-skrol kertas lama disusun
bertingkat-tingkat. Amani mengamati semula suara yang sedang bercakap-cakap
itu. Kedengarannya seperti suara
perempuan sedang berbual dengan lelaki. Amani berjalan menuju ke arah suara
tersebut. Amani membuka sedikit daun pintu itu. Kelihatan seorang perempuan
atau lebih tepat lagi seorang gadis muda
yang sangat comel berpakaian seperti gaun panjang kembang berwarna krim
dan pink sedang duduk di atas lantai kayu dan di hadapannya seorang lelaki yang
kacak. Rambutnya yang panjang itu diikat ke belakang dengan tali berwarna
merah. Mereka sedang berbualkan sesuatu. Amani langsung tidak faham apa yang
mereka bualkan itu. Lalu Amani melangkah keluar dari bilik stor itu.
“Eeerr...
Maaf, boleh saya tumpang tanya? Saya berada di mana sekarang ni ye?” Amani
memandang kepada gadis comel itu yang sekarang ini kelihatan terkejut dengan kemunculan Amani yang secara tiba-tiba
itu. Lelaki tadi cepat-cepat bangun dan berdiri dalam keadaan bersedia. Di pinggang
lelaki itu tersisip sebilah pedang panjang, sebelah tangannya memegang hulu
pedang itu dalam keadaan bersiap sedia. Amani juga dalam keadaan berwaspada. Bersiap sedia untuk melarikan diri jika keadaan mula merbahaya.
“Siapa awak? Dari mana awak datang?
Macamana awak boleh masuk ke dalam istana ini tanpa pengetahuan pengawal?” Banyak
sungguh soalan lelaki tersebut. Amani terkedu. Dia tak dapat nak menjawab semua
soalan itu. Dia sendiripun tak tahu macamana dia boleh sampai ke situ. Amani
menjadi takut bila terlihatkan pedang dan lelaki itu yang berbadan tegap dan
tinggi. Walaupun wajahnya kacak, muda dan seperti baik hati namun Amani tetap
ketakutan. Hampir-hampir dia nak menangis! Melihatkan Amani seperti hampir-hampir
hendak menangis, naluri belas kasihan lelaki itu menjalar di dalam hatinya.
Dengan suara yang lembut memujuk lelaki kacak itu memperkenalkan dirinya, “
Saya Guren, pahlawan utama bagi negara Watika. Jangan takut, awak ni dari
mana?” tak sempat Amani nak menjawab, tiba-tiba beberapa orang pengawal yang
berpakaian seragam serba biru telah membawa masuk dua orang tahanan. Lantas Amani
menoleh ke arah mereka.
“Hakim! Danial!..” Amani sedikit
terjerit kerana kegembiraan. Akhirnya dia dapat juga melihat wajah-wajah yang
dia kenali.
“Awak kenal mereka berdua ini?”
tanya Guren. Amani menganggukkan kepalanya sambil tersenyum. Guren memandang
kepada Amani lama sedikit seperti meminta lebih penjelasan. Tetapi Amani hanya
diam.
“Lepaskan mereka,” Guren memerintahkan
pengawal dengan nada suara tegas, lain nadanya semasa dia bercakap dengan Amani
tadi. Tampak jelas bahawa Guren adalah seorang pahlawan dan ketua yang sangat
berkuasa dan disegani. Amani hanya mampu memandang. Dia berlarian menuju kepada
kawan-kawannya.
“Sebenarnya kami berada di mana?”
tanya Amani lagi menyambung perbualan yang tergendala tadi, “Apa nama negara
ini?”
Gadis
comel yang sedari tadi hanya membisu akhirnya bersuara, “Kamu sekarang sedang
berada di dunia Watika, jauh dari dunia kamu yang asal Dan negara ini bernama
Watika,” Hakim, Danial dan Amani terlopong, “Apa? Dunia Watika!?” jerit mereka
serentak.
Pemergian
Amani untuk mencari Hakim dan Danial telah menjadi tanda tanya kepada Hazim. Dia
mula rasa tak sedap hati, mungkin kawan-kawannya tersesat di dalam perpustakaan
ini kut? teka Hazim sendirian. Dia memandang kepada Shin dan Monika yang sedang
leka membaca. Memang tidak dinafikan perpustakaan tersebut tidaklah terlalu besar
seperti Perpustakaan Negara. Hazim mencuit tangan Shin, mata mereka berpandangan.
“Shin
mana Amani, Hakim dan Danial, hah? Dari tadi tak nampak batang hidung dia orang
ni...” Hazim mula bimbangkan kawan-kawannya. Shin mula memandang sekeliling mana
tahu kalau-kalau boleh ternampak mereka
dari situ. Monika juga melakukan perkara yang sama. Matanya yang bulat itu
tercari-cari kelibat kawan-kawannya terutama sekali Amani.
Tetapi
usaha mereka itu hampa. Tak sedap hati, mereka bertiga telah bangun dari tempat
duduk masing-masing dan mula mencari kawan-kawan mereka melalui barisan-barisan
rak-rak buku itu. Tiba-tiba Hazim ternampakkan
sebuah buku yang telah terbuka di atas lantai. Dia juga dapat mendengarkan
bunyi angin yang datang dari buku tersebut! Tidak disedari sejak bila pula Shin
dan Monika sudah berada disampingnya. Mereka bertiga memberikan tumpuan kepada
buku di atas lantai itu. Mata masing-masing tidak berkedip memandang buku itu. Lebih
menghairankan lagi apabila kedengaran bunyi angin yang datang dari buku
tersebut!
Dengan
penuh berhati-hati mereka bertiga menuju ke arah buku tersebut. Shin mendahului
mereka bertiga, Hazim memegang lengan Shin manakala Monika pula memegang
belakang baju Hazim. Sungguh lucu
gelagat mereka itu. Degupan jantung masing-masing berdegup kencang. Perasaan
cemas menyelubungi hati mereka, namun kerana perasaan ingin tahu yang sangat
kuat mereka teruskan juga. Apabila Shin tersentuh sahaja buku tersebut, tak
semena-mena tubuh mereka telah disedut masuk ke dalam buku itu seperti mana
yang telah terjadi kepada Hakim, Amani dan Danial sebelum itu. Tubuh mereka melayang-layang di udara. Agak
lama mereka dalam situasi begitu. Akhirnya mereka terjatuh terjelepuk di tengah
sebuah padang yang berumput tebal. Jadi
badan mereka kurang sakit.
“Aduh!”
Hazim mengaduh. Dia terjatuh betul-betul di atas badan Shin dan Monika pula terjatuh
jauh sedikit dari mereka berdua. Perlahan-lahan Monika bangun dan melihat
keadaan sekelilingnya. Mereka sekarang ini sedang berada di tengah padang yang
berumput berwarna ganjil. Ungu tua! Mata Hazim tak berkelip-kelip memandang kerana
kehairanan dengan suasana sekelilingnya. Sampaikan dia tidak sedar yang dia
telah menghempap Shin.
“Hoi
Hazim, best ke kau dudukkan aku ni? Empuk ke kau rasa sampai tak ingat nak bangun-bangun
dari badan aku ni...” perli Shin sedikit meradang.
“Bangunlah
cepat! Kalau awak tu ringan macam anak
kucing tak palah jugak. Ini dahlah besar, berat pulak tu macam bapak gajah.” Ungkap
Shin.
“Alamak!
Shin ke? Aku ingatkan tilam dunlop aku yang di rumah tu... hehehehee... maaflah
aku tak sengaja terjatuh atas kau. Kejatuhan yang tidak dapat dikawal-kawallah
Shin...” Hazim bingkas bangun dari Shin sambil menguntum senyum manisnya.
“Hei!
Kawan-kawan, kita di mana ni ye?” Monika memintas perselisihan kecil antara
Shin dan Hazim. Sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal itu Shin mula
melihat sekelilingnya. Hah? Dia mula pelik. Rumput berwarna ungu? Kita kat mana
ni, desis hati Shin. Seperti juga Hazim, matanya juga tak berkedip bila memandangkan
warna rumput yang ungu di padang itu...
“Kita
dah sampai kat planet mana ni hah?” Hazim mula bertanya. Wajahnya penuh dengan
perasaan kehairanan.
“Entahlah..tak
kanlah planet Zuhal kot?” Shin pula mula menambah sedap cerita untuk
mengurangkan rasa panik yang mula menerjah hatinya. Monika yang sudah mula
panik merapatkan badannya kepada Shin dan memegang lengan Shin. Monila berasa
gementar. Sementara mereka bertiga sedang berkira-kira untuk menuju arah ke
mana tiba-tiba datang sekumpulan orang yang beruniform serba biru mengelilingi
mereka.
“Jangan
bergerak! Kamu semua telah di kepung!” Kedengaran satu suara yang garau dari
salah seorang dari kumpulan beruniform
itu. Hazim, Shin dan Monika membatukan diri. Mereka juga tak berani hendak
membuat yang tidak patut di tempat yang ganjil begini.
“Mari
ikut kami ke istana Puteri Suki,”mereka di arahkan supaya berjalan dengan
segera. Mereka bertiga di bawa berjalan memasuki sebuah kenderaan seperti
sebuah kapal yang terapung di atas tanah. Seakan kenderaan ‘hovercraft’ tetapi
bukan. Kenderaan ini kelihatannya lebih canggih lagi dan laju dengan bunyi
enjin yang senyap. Monika masih lagi menempel di sisi Shin. Seluruh anggota badannya
gementar dan dia rasa bagai tak mampu untuk berdiri lagi. Lemah segala
otot-otot kakinya. Hazim masih lagi tersenyum, seakan-akan memberikan sokongan
dan keberanian untuk Monika. Hazim menyentuh lengan Monika.
“Janganlah
bimbang. Mereka ni nampaknya macam spesis yang tak makan orang,” bisik Hazim
sambil matanya memandang kepada salah seorang pengawal terbabit. Monika
membeliakkan matanya. Perasaan bimbang mula menerpa hatinya, “Makan orang?”
Monika mula rasa takut.
“Hazim!
Janganlah buat Monika takut! Kita tak tahu lagi situasi kita macam mana. Lagi
pun kita di mana pun masih belum diketahui lagi tau. Janganlah menambahkan lagi
panik yang dah ada sekarang ni. Kalau Monika menangis awak nak pujuk ke?” Shin
mula naik radang dengan Hazim yang ingin bergurau tu, tetapi tidak bertempat.
“Maaf,
maaf. Saya tak bermaksud nak menakutkan Monika. Cuma berharap agar dia lebih
positif dan berani lagi” jelas Hazim sambil mengangkat kedua-dua tangannya
meminta maaf. “Monika cuba awak fikir ye, awakkan sukakan sains. Inilah masanya
untuk awak mengkaji kenapa rumput di sini warnanya ungu...” sambung Hazim lagi
memberikan galakan. Hazim terus memandang ke hadapan. Di hadapan mereka
tersergam sebuah bangunan yang sangat indah bagaikan disaluti dengan batu-batu
permata di mana cahayanya sungguh berkilauan. Mereka di bawa masuk dan sampai
di satu bilik yang besar dan berbau harum, Hazim melihat-lihat sekeliling dan dia
ternampak kawan-kawannya yang lain. Hakim, Danial dan Amani. Rupa-rupanya mereka
sudah berada di sini lebih dulu dari mereka!
“Di
sini rupanya kamu semua ye!” Laung Hazim lega kerana dapat berjumpa semula dengan
kawan-kawannya yang lain-lain.