Home Novel Seram/Misteri TARANTULA
TARANTULA
28/2/2015 00:33:21
7,513
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 11

“ALAMAK! Enjin tak mahu hiduplah!” ujar Karim.

“Time-time macam ni pulak, kereta ni buat hal,” ucap Rajan.

“Tapi aku baru servis. Takkan buat hal pulak,” rungut Karim lagi.

“Habis kita nak buat apa ni?” celah Vincent dengan wajah takut.

“Kau ni kan, tak habis-habis takut,” marah Saiful.

“Eh, mana ada aku takut!” bidas Vincent, tak mahu kalah.

“Habis yang lutut kau tu menggeletar, kenapa?” sindir Saiful.

“Dahlah tu, jangan bertekak. Fikirlah macam mana kita nak buat ni?” ujar Karim.

“Nak buat apalagi, duduk dalam kereta nilah sampai pagi,” cadang Rajan.

Sedang mereka asyik bertekak dalam kereta itu, tanpa disedari, cahaya hijau yang membentuk seperti tali-temali yang panjang mula menjalari pucuk-pucuk pokok di hutan itu. Bergerak ke depan menuju ke arah kereta Sedan kelabu.

Cahaya hijau itu mula merapati kereta itu dengan pantas. Bau-bauan enak dari haba badan keempat-empat remaja itu telah membuka selera makhluk misteri itu.

Remaja-remaja itu tidak sedar akan bahaya yang dibawa oleh cahaya hijau yang indah pada pandangan mata mereka. Nyawa mereka bakal menjadi taruhan disebabkan oleh makhluk itu kelak.

“Eh, kau orang! Kau nampak tak apa yang aku nampak?” ujar Karim tiba-tiba.

Rajan dan Vincent mengalihkan pandangan ke hadapan. Manakala Saiful buat tak tahu sahaja.

“Cahaya apa tu ya?” celah Rajan.

“Entah! Tapi cantiklah,” sampuk Vincent, mula tertarik dengan cahaya hijau yang berkumandang di celah-celah daun pokok di situ.

“Rim, aku rasa, kita jangan keluar. Kita duduk dalam kereta ni. Kita lihat dari sini, bahaya kat luar tu,” cadang Rajan, memberi pendapat.

Cahaya hijau itu semakin lama semakin mendekati kereta Sedan itu. Tiba-tiba, Vincent menjengolkan kepalanya ke depan. Dia hendak melihat dengan lebih jelas lagi pemandangan di luar sana. Cahaya hijau yang misteri itu telah mula menarik perhatian remaja Cina itu.

Rajan terkejut sehinggakan terangkat badannya dengan tindakan Vincent itu. Tangannya pantas menampar pelipis Vincent secara otomatik akibat dari tindak balas refleksinya.

“Hoi, terkejut aku!” marah Rajan.

“Maaflah, aku tak sengaja. Aku terpesona melihat cahaya hijau tu. Apa benda yang berwarna hijau tu, hah?” soal Vincent penuh minat.

Saiful yang duduk di sebelah Vincent yang diam sejak tadi mula menjenguk ke depan. Tertarik dengan kata-kata Vincent. Yang dia nampak hanya objek-objek hitam yang merupakan pokok-pokok hutan itu. Anak matanya tercari-cari ‘cahaya’ yang dikatakan oleh kawan-kawannya.

“Eh, aku tak nampak apa-apa pun?” ujar Saiful.

“Hisy, kau ni! Pakai cermin matalah!” marah Vincent.

“Mana? Mana? Apa bendanya yang korang tengok ni?” tanya Saiful lagi.

Anak matanya liar mencari ‘cahaya’ yang dimaksudkan oleh kawan-kawannya.

“Tu kat celah-celah pokok tu,” tuding Vincent.

Cahaya hijau itu semakin mendekati. Saiful membeliakkan matanya melihat dengan lebih jelas.

“Hisy, cantiknya! Apa benda tu ha? Tak pernah aku jumpa benda pelik macam tu dalam hutan sebelum ni,” ujar Saiful penuh minat.

Karim pantas menoleh ke arah Saiful.

“Kau jangan cakap macam tu, Ful. Kita sekarang dalam hutan tau!” marah Karim dengan nada tinggi.

“Ya, aku tahulah kita dalam hutan, jadi kenapa? Tak betul ke apa yang aku cakap?” balas Saiful, suaranya juga tinggi bila Karim mula berkasar.

“Betul apa yang kau cakap tu. Tapi mulut tu jaga-jaga sikit. Sebab mulut badan binasa.”

“Kenapa? Kau dah mula rasa takut ke?”

Saiful mula menyakat Karim yang jelas pada pandangan matanya sedang berasa takut. Dia berasa amat tak puas hati apabila Karim menegurnya dengan kasar tadi.

Karim juga mula panas hati mendengar tuduh Saiful yang tak berasas itu. Egonya tercabar. Untuk mengelak berlakunya pergaduhan, Karim menggenggam kuat stereng kereta dari menumbuk Saiful. Tak semena-mena dia berasa baran semacam. Suasana di dalam kereta mula tegang.

“Hei, panaslah dalam kereta ni! Aku nak keluar kejap,” ujar Vincent, mencantas suasana tegang itu.

Vincent mula berasa tak selesa dengan perbalahan kecil kawan-kawannya itu. Lantas dia membuka pintu kereta. Lupa terus dia dengan kegelapan yang menyelubungi hutan itu.

“Kau nak ke mana tu, Cent?” tegur Rajan.

Dia mula bimbang akan keadaan mereka semua. Janganlah Karim dan Saiful bertumbuk, susah hati betul dia kalau perkara tu terjadi.

“Aku tak ke mana pun. Dekat tepi kereta ni aje,” ujar Vincent lantas melangkah keluar.

Bayu malam yang sejuk itu menerpa wajah Vincent yang putih kemerahan itu. Segar rasanya apabila dapat menghirup udara di luar. Keadaan di dalam hutan ketika itu sangat sunyi dan gelap. Kelam-kelam sahaja cahaya bulan menembusi di celah-celah rimbunan daun pokok-pokok yang tegap dan besar itu. Vincent mengelap cermin matanya lalu dipakainya semula.

Tiba-tiba lengannya teras perit. Lantas ditepuk-tepuk lengannya sambil lewa tanpa memberikan tumpuan sangat. Mungkin nyamuk atau unggas hutan yang hinggap di situ untuk mendapatkan habuan. Bau badan manusia amat menarik sekali bagi serangga-serangga itu. Lebih-lebih lagi ‘barang baru’ yang berjenama bandar.

Vincent masih lagi terkeruk-keruk. Rasa perit di lengan, tak mahu hilang. Malah semakin sakit. Vincent perasan ada cahaya hijau seperti serangga kecil sedang merapati tubuhnya. Serangga-serangga hijau itu semakin banyak mengerumuni tubuh Vincet.

Garukan di lengan Vincent semakin agresif. Dari lengan kini sudah berpindah tempat. Ke bahagian betis pula.

“Hisy, apa benda ni? Perit semacam. Kalau nyamuk takkan sampai perit macam ni. Aduh! Apa ni? Semakin bisa!” luah Vincent dengan kuat.

Tak tahan dengan rasa perit yang menjalar dan semakin merebak ke bahagian lain, Vincent pantas mencapai pemegang pintu, menerpa masuk ke dalam kereta. Henyakkan kuat dari Vincet yang tiba-tiba itu membuatkan Saiful terkejut.

Pantas Saiful menoleh ke arah Vincent. Anak matanya terbeliak. Tergamam tidak terkata.

“Kau ni kenapa?” tanya Saiful cemas.

“Jom, kita keluar dari tempat ni. Aku tak tahanlah dengan gigitan serangga ni. Entah nyamuk ke, apa ke, dah gigit aku. Sakitnya semacam. Banyak pulak tu!” rungut Vincent.

Tangan Vincent tidak henti-henti menggaru ke serata tempat di tubuhnya. Serangga hijau itu telah berjaya mengikut mangsanya masuk ke dalam kereta dan hinggap ke tubuh mangsa lain pula.

“Hah! Padan muka kau?” marah Karim.

“Tadi berani sangat!” sampuk Rajan.

“Aduh, sakitnya! Ful, tolong aku! Ful!” jerit Vincent.

Tangan Vincent pantas menggaru ke serata tubuhnya. Rasa macam dah tak cukup dua tangan itu. Kesakitan amat dirasai. Saiful terkesima dengan keadaan Vincent seketika sebelum dia pun turut membantu.

Vincent tidak tahu nak garu dari mana dahulu. Dari tangan ke? Mulut ke? Kepala ke? Sebab tangan Vincent menggaru dan meraba hampir ke seluruhan badannya.

Sekejap di lengan, sekejap di pipi dan sekejap di perut. Saiful mula panik. Vincent mengerang-ngerang kesakitan. Saiful nampak badan Vincent diselubungi cahaya hijau yang dilihatnya di luar kereta tadi.

“Rim, Rajan, cahaya hijau yang kita lihat tadi dah menyelubungi badan Centlah!” ujar Saiful, mula cemas.

“Eh, kau biar betul!” ucap Karim, kurang percaya.

Serta merta Karim dan Rajan menoleh ke belakang. Benar apa yang dikatakan Saiful.

“Oh, cahaya itu sejenis serangga rupanya?” ujar Karim dengan mata terbeliak.

“Apa kita nak buat ni?” tanya Rajan.

“Ful! Tolong halau serangga hijau tu!” arah Karim.

“Ful! Tolong aku! Aduh, bisanya!” jerit Vincent, matanya sudah dibasahi air mata.

Antara berani dengan tak, Saiful mendekati Vincent lalu menggaru-garu di bahagian lengan Vincent.

“Mana? Sini ke sakit? Eh, apa yang basah-basah ni? Banyaknya kau berpeluh, Cent!” ujar Saiful.

Pada sangkaan Saiful, Vincent sedang berpeluh namun pada hakikatnya itu adalah darah Vincent yang dagingnya sudah dibaham serangga-serangga misteri itu.

“Hah, kat situ bolehlah. Aduh, sakitnya!”

Vincent sudah tidak pedulikan teguran Saiful lagi. Kesakitan sudah berakar umbi di segenap urat sarafnya. Dia tidak dapat fikir dengan waras. Dia hanya nak kesakitan itu hilang. Serangga-serangga hijau itu semakin galak membaham mangsanya.

Saiful mula menepis-nepis serangga hijau itu dari tubuh Vincent, kini serangga itu telah berjangkit dan merayap ke tubuhnya pula.

Pap! Pap! Pap! Kedengaran Saiful menepuk-nepuk serangga itu yang sedang merayap ke tangannya pula.

“Kenapa ni, Ful?” tanya Karim mula risau.

“Rim, serangga hijau ni gigit aku pulak. Aduh! Bisanya!” jerit Saiful.

Kini Saiful pula tergaru-garu dan menghalau serangga hijau itu hinggap di badannya.

“Hisy! Serangga apa ni? Sakitnya...” Belum sempat Saiful menghabiskan ayatnya, Rajan dan Karim pula menepuk dan mengibas serangga-serangga hijau itu dari hinggap ke badan masing-masing.

“Hisy, banyaknya! Serangga ni ikut kau masuk ke, Cent?” tanya Karim sambil menggaru-garu kepalanya.

“Argh! Aduh! Sakit! Sakit!” jerit Vincent seperti orang gila.

Begitu juga dengan Saiful. Sudah mula tidak terkawal. Terjerit-jerit meminta tolong. Dia menujang-nujang di dalam kereta itu cuba menghalau serangga hijau itu dari badannya. Kesakitan yang melampau itu telah merajai saraf tunjangnya malah telah membuatkan Saiful lupa diri lantas dia membuka pintu kereta secara tergesa-gesa. Berlari keluar dengan pantas mencari tempat selamat. Tetapi di mana?

“Ful! Ful! Nak ke mana tu?” jerit Karim.

Pintu kereta terbuka dengan lebar. Semakin banyaklah serangga hijau itu masuk dan mengerumuni remaja-remaja malang itu. Daging mereka dilahap dengan rakus sekali. Sungguh tragis!

Akhirnya Saiful hilang ditelan kegelapan malam dan suara jeritannya semakin menjauh. Entah ke mana arah tujuannya. Vincent pula sudah terkulai layu di belakang. Sudah tidak berbunyi lagi.

Kesakitan semakin menjalar ke tubuh Karim. Begitu juga dengan Rajan tergaru-garu tidak tentu arah. Karim melihat badannya yang kesakitan dalam cahaya kelam purnama.

Darah? Ketika itu juga hati Karim menjadi kecut dan takut.

Eh, kulit aku melecur! Karim mula panik bila melihat hasil gigitan serangga hijau itu yang telah membawa bahana.

“Ni serangga ke, apa ni?”

“Entahlah Rim. Lengan aku pun dah keluar darah,” ujar Rajan mula panik.

“Aduh, bisanya!” jerit Karim.

Kemudian terdengar Rajan pula menjerit hingga ke puncak suara. Tiada siapa pun yang dapat menolong mereka.Remaja-remaja itu sudah dihurungi dengan beribu-ribu serangga hijau yang membawa maut itu.

“Arggghhh!!!”

Jeritan panjang dan menyayat hati menghuni kesunyian hutan pada malam itu. Tiada seorang pun yang terselamat. Serangga hijau itu mengganas tanpa perikemanusiaan. Diratahnya daging hidup mentah-mentah.

Tak sampai lima minit suara-suara jeritan semakin mengendur dan terus senyap. Serangga-serangga hijau itu telah mengkendurikan Karim dan Rajan dengan lahapnya.

Kini, kisah mereka dan ujian keberanian mereka tinggal sejarah sahaja. Mungkinkah kelak mayat mereka akan dijumpai? Atau akan terbiar begitu sahaja sehingga ia reput dan hilang hancur sebati dengan alam?

Sepertimana pantasnya ia datang, begitu juga pantasnya serangga ganjil itu meninggalkan kawasan itu seperti puting beliung. Dalam beberapa minit sahaja serangga ganjil itu hilang tanpa meninggalkan sebarang kesan. Ghaib entah ke mana!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.