Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 68

Shinji dapat mendengar jelas perbualan pemuda-pemuda itu meskipun lokasi mereka jauh dan hanya berbual dengan suara perlahan sesama sendiri.

“Aku tidak puas hati! Mengapa kita ditempatkan di pergunungan Yokuma? Keluargaku semua di sini.” Salah seorang dari mereka yang berada di sebelah kanan, bersuara kepada yang lain, separa berbisik.

“Bukan engkau seorang sahaja Yukio. Aku pun tidak berpuas hati dengan arahan baru ini.” Ujar pemuda yang berada di tengah.

Yang berada di sebelah kiri pula menyambung, “Kita tidak boleh membantah arahannya. Hamadalah yang menyelamatkan keluarga kita dari belenggu hutang dahulu. Tanpa bantuannya mungkin bapa kita terpaksa menjual kakak atau adik perempuan kita.”

“Semua berpunca dari perang yang sia-sia itu. Perang Boshin demi menghapuskan kuasa shogun. Selepas perang, sawah padi keluarga kita pula diambil Maharaja. Demi sesuap nasi, ibu bapa kita meminjam dari ceti Belanda, si hidung merah (akahana) itu. Hamadalah yang menjelaskan semua hutang-hutang kita kepada akahana dengan syarat kita berkhidmat kepadanya seperti hamba.” Yukio menambah. Orang-orang Jepun menggelar seorang ceti Belanda di situ dengan gelaran akahana, kerana lidah mereka tidak mampu menyebut namanya dengan betul. Namun pabila mereka memanggil ceti itu berhadap-hadapan, mereka memanggil dengan nama nekku-san, bersabit nama sebenarnya Pieter van Nekk. Pieter seorang pedagang Belanda yang tinggi tubuhnya, rambutnya putih, perutnya membusung, dan kulit wajahnya merah, paling ketara merah hidungnya. Selain berdagang, dia juga menguruskan sebuah syarikat insurans dan juga memberi pinjam wang kepada rakyat Jepun.

“Seperti hamba, namun kita masih merdeka bukan? Bahkan Hamada menggaji kita lagi. Dia juga melatih kita bertarung. Aku tidak menyangka aku mampu menguasai kaminari, seni berpedang lagenda ciptaan petarung terhandalnya Miura itu.” Ujar pemuda yang berada di tengah.

“Aku tahu, Tetsuro. Namun apa gunanya kita bekerja menyabung nyawa jika berjauhan dari keluarga? Aku mahu pulang dan bersama keluargaku di waktu malam.”

“Shhh. Kalian, jangan terlalu bising di sini. Kita masih di rumah Hamada. Ayuh, singgah ke pekan di bawah dahulu. Kita boleh bersembang panjang.”

Nampaknya syaitan itu masih berhati mulia. Namun adakah itu dikira berhati mulia, dengan menambat mereka yang dibelenggu hutang agar berkhidmat menjaga punggungnya?

Seekor burung gagak tiba-tiba terbang meluncur, menerpa ke arah leher Shinji dengan paruh terhunus, namun Shinji sempat mengelak kerana mengesan bunyinya terlebih dahulu. Gagak itu melanggar kayu mati dan paruhnya terbenam pada kayu itu.

“Sial! Burung gagak aneh. Ia hampir menikam leherku dengan paruhnya.” Shinji memegang lehernya.

“Mujur aku sempat mengelak.”

Shinji bangkit dari mencangkung. Dia mahu menyepak burung itu demi melepaskan geram. Namun burung itu pantas mencabut paruhnya, kemudian terbang pantas meninggalkan Shinji.

Shinji terpinga-pinga.

Apakah burung ini dihantar seseorang? Ia seolah-olah mahu membunuhku.

Shinji melihat burung itu terbang dan hinggap pada lengan seorang lelaki yang tinggi dan berkimono warna merah seperti daun momiji di musim luruh.

Shinji mengintai lelaki itu dari celah belukar. Wajahnya panjang dan petak. Rambutnya panjang, hitam dan licin seperti sutera, diikat kemas ke belakang seperti kebiasaan samurai. Wajahnya disolek tebal dan putih seperti geisha. Ketinggiannya kira-kira enam kaki. Tinggi, tidak seperti kebiasaan bangsa Yamato.

Ne, Kurobi. Engkau temui seseorangkah?” Lelaki tinggi itu menegur burung gagak yang masih bertenggek pada lengannya.

Burung itu hanya menggauk pendek. Ia bermaksud ‘Ya.’

Shinji gementar. Kewujudannya di situ telah dikesan! Namun siapakah lelaki tinggi ini? Adakah dia Hamada?

Lelaki tinggi itu merenung ke arah lokasi Shinji. Shinji tambah gelabah. Lelaki tinggi itu seolah-olah sedang merenungnya pabila wajah mereka saling bertentangan. Namun lelaki tinggi itu pantas memaling muka mengadap taman bonsai di hadapannya, yang dikelilingi pokok-pokok momiji.

“Nampaknya Kogen masih belum berputus memerhatiku. Teruskan kalian. Teruskan memerhatiku. Selagi mana aku memegang kuasa batu ini, selagi itulah kalian boleh bermimpi menangkapku. Sedang Maharaja sekalipun sudah berputus asa denganku.”

Lelaki itu ketawa berdekah-dekah. Lenggok ketawanya seperti seorang mak cik namun bersuarakan seorang lelaki tua.

Shinji benar-benar menyangka lelaki tinggi itu sudah berjaya mengesannya, lantas dia beralih posisi.

“Kurobi, bunuh penceroboh itu. Jangan kembali sehingga engkau berjaya menikam lehernya.”

“Gakkk!” burung itu menggauk panjang, menyahut arahan lelaki tinggi.

Tak guna! Lelaki tinggi ini rupanya pemilik burung itu! Maka benarlah telahanku yang burung itu sememangnya dihantar untuk membunuh mana-mana penceroboh!

Dan batu apakah yang dimaksudkan lelaki itu? Batu, yang melindunginya, menggunakan kuasa? Bukankah itu mirip batu tama-no-iwa itu yang memberikannya kuasa? Apakah lelaki tinggi ini Hamada? Menurut Tatsuhiro, Hamada juga punya kuasa dari tama-no-iwa. Namun Tatsuhiro juga memberitahuku hanya tiga puak selain Amaguri yang memegang kuasa itu, iaitu Okuhida, Shirasaka dan Higashihara. Adakah Hamada dari puak Higashihara? Bagaimana pula batu yang melindungi kawasan, boleh digunakan bagi melindungi individu perseorangan? Aku tidak faham.

Kedengaran suara seorang wanita memanggil lelaki tinggi itu dari dalam rumah. “Hamada-sama, wakil keluarga Kurosawa datang mahu mengadap Tuan.” Lelaki tinggi itu masuk ke dalam rumah.

Berderau darah Shinji mendengarnya. Tidak syak lagi, lelaki tinggi itu Hamada!

Tatkala Shinji bergerak turun dari belukar itu masuk menuju dataran rumah Hamada, burung gagak bernama Kurobi itu sekali lagi terbang menjunam ke arahnya, cuba menikam leher Shinji dengan paruhnya.

Namun Shinji pantas mengelak kerana mampu mengesan kehadiran burung itu dari jauh lagi. Dia sempat melibas tantou-nya mengenai kaki gagak itu. Gagak itu tersungkur dan menggauk kuat, menarik perhatian para penghuni rumah besar itu, termasuk lelaki tinggi.

“Apa yang telah berlaku?”

Shinji berlari pantas seraya menyorok di belakang rumah.

Hamada keluar. Tetamunya dari Rumah Kurosawa diminta menunggu di anjung luar.

“Nampaknya penceroboh itu telah mencederakan Kurobi! Momota, arahkan pengawal jejaki penceroboh sekarang!”

“Baik, Hamada-sama!” Seorang lelaki yang menuruti Hamada di belakangnya menyahut arahan itu.

Sementara itu di belakang rumah tersebut...

“Nyaris aku dilihat mereka tadi! Burung bodoh!” Gerutu Shinji. Dia sedang bersandar rapat pada dinding.

“Burung siapa yang bodoh?” Kedengaran suara seorang wanita tua, seperti mak cik, dari balik dinding tempat Shinji bersembunyi.

Hekk! Siapa pula yang menegurku ini?

“Budak, shhh!” Mak cik itu memunculkan diri.

“Engkau dapat melihat lelaki tinggi itu bukan?”

“Siapa engkau?”

“Shhh! Perlahankan suaramu. Aku tukang masak di sini. Apa kau buat di sini dengan beg berat ini?” Mak cik itu merujuk kepada buntil kain yang sentiasa digalas Shinji berisi batu-batu tama-no-iwa.

Shinji bersedia melarikan diri. Namun haori-nya ditarik mak cik itu.

“Namaku Nanako. Aku benci lelaki itu.”

“Hah?” Shinji terkesima mendengar pengakuan dari seorang mak cik yang tidak dijangka. Lagi pula mak cik itu tukang masak Hamada.

“Budak, aku berdendam dengan lelaki tinggi itu.”

“Apa maksudmu, obaa-san (mak cik)?”

“Lelaki tinggi itu ialah Hamada. Dialah yang membakar kampung kami, Aoki ketika dilanda wabak dahulu.”

“Maksudmu Wabak Berjangkit Aoki 1840?” Shinji cuba meneka. Dari pembacaannya, hanya wabak itu yang disusuli dengan tragedi kebakaran besar-besaran di Aoki, sebuah perkampungan besar dalam wilayah Shinagawa atau Gizen sekarangnya. Namun tiada siapa tahu dari mana puncanya kebakaran itu.

“Benar. Aku melarikan diri. Aku berjaya melepasi ujian untuk bekerja sebagai tukang masaknya. Aku ingin bekerja di sini demi menuntut bela kematian keluargaku. Aku mahu membunuhnya. Namun...”

“Namun apa?”

“Namun aku...aku tidak dapat melihatnya...”

“Apa maksudmu, Nanako-san? Bagaimana pula engkau tahu yang dia tinggi?”

“Dia...dia halimunan di mata selain keturunanmu. Keturunan Amaguri. Momota, pembantunya yang memberitahuku rupa parasnya yang tinggi. Momota mampu melihatnya.”

Berderau darah Shinji mendengarkan perkara mengejutkan itu.

“Maksudmu, kuasa itu datang dari sejenis batu yang dipakainya?”

“Begitulah khabar angin yang kudengari dari orang ramai. Hanya satu keturunan sahaja yang mampu melihatnya, iaitu keturunan Amaguri, seorang ahli sihir yang mencipta batu itu dan memberikan kuasa sama kepada keluarga pengasas Kogen, Shirasaka.”

Maka benarlah Hamada pemegang kuasa batu tama-no-iwa? Namun adakah dia dari puak Higashihara?

“Nanako... apa kau buat di sini? Dan, siapakah pula dia ini?” Kedengaran suara seorang lelaki menegur dari belakang. Nanako menoleh, tanpa sedikitpun mempamerkan perasaan gugup. Momota seorang lelaki bertubuh kurus dan sedikit rendah dari Shinji. Rambutnya panjang diikat seperti samurai. Dia membawa sebilah pedang tersisip di pinggang. Pakaiannya serba biru, dengan haori biru pekat dan kimono dan hakama biru pudar.

“Momota. Aku temui budak ini berkeliaran di sini. Dia kelaparan. Aku ingin menjamunya sedikit makanan. Aku harap engkau benarkan dia masuk ke dapur kita?” Sebaik menghabiskan kata-katanya, Nanako memaling wajah ke arah Shinji seraya mengenyitkan sebelah matanya. Shinji faham.

“Hmm. Hei budak. Dari mana engkau masuk? Aku tidak melihatmu di pintu utama tadi. Jangan-jangan engkau yang menceroboh sebentar tadi?”

Shinji gugup. Adakah dia perlu melarikan diri sekarang? Jika dia lari sekarang, maka dia secara tidak langsung akan membenarkan dakwaan Momota.

“Tuan, aku benar-benar hendak terkencing sekarang. Di manakah tandas di sini?” Shinji cuba menggunakan alasan itu demi mengelak dari Momota.

“Err...e to. Di situ.” Momota menuding ke arah kubikel kecil diperbuat daripada kertas keras dan pagar-pagar buluh, berhampiran pintu masuk rumah itu. “Selepas engkau kencing, keluar bertemu aku kembali!”

“Baiklah.”

“Momota, benarkanlah dia menjamu di dapur dahulu.”

“Momota! Hamada memanggilmu sekarang.” Suara seorang gadis memanggil Momota dari dalam dapur.

“Nanako, aku benarkan. Namun jangan lepaskan dia selagimana aku belum kembali.”

“Baiklah.”

Momota kembali ke dalam rumah.

“Momota, lihatkan Kurobi. Kakinya tercedera. Aku lihat seperti hirisan tantou.”

E to, Hamada-sama.”

Nani?”

Momota teragak-agak.

“Aku telah menemui penceroboh itu. Dia di tandas belakang sedang kencing.”

“Arahkan pengawal menunggunya di sana.”

“Baiklah.”

Momota menyuruh gadis yang memanggilnya tadi memberitahu pengawal.

Sebaik Shinji keluar dari tandas, dia ditahan dua orang pengawal Hamada.

Shinji mengerling ke arah Nanako. Wajah Nanako seperti berkata kepadanya ‘semoga berjaya’. Shinji hanya mengangguk kecil. Nanako membalas dengan senyuman.

Shinji kini ditahan di hadapan Hamada.

“Kalian, biarkan aku bersendirian dengan budak ini.”

“Tapi, Hamada-sama...”

“Kalian pekakkah? Aku hanya mahu bersendirian dengannya.”

“Baiklah...” Kedua-dua pengawal beredar.

“Engkau yang mencederakan gagakku bukan?”

“Gagakmu sudah dua kali cuba membunuhku.”

“Sungguh berani engkau menjawabku selepas menceroboh rumahku, budak.”

Shinji mengangkat muka, sedang dia masih melutut di hadapan Hamada. Hamada pula, sedang berdiri memandangnya. Tubuh Hamada yang tinggi tampak bertambah tinggi jika dilihat dari kedudukan melutut.

Jelas di hadapan Shinji seorang lelaki yang agak tua, ada jalur-jalur uban sedikit jika dilihat pada jarak dekat begini. Wajahnya petak dan panjang dan disolek tebal putih melepak seperti geisha demi menutup kedutan-kedutan. Namun kedutan itu tampak jelas jika dilihat pada jarak dekat sebegini. Dia memakai kimono berwarna merah menyala.

Hamada mengamati wajah Shinji. Dia cuba mengalih badannya, sedang wajah Shinji mengekornya.

Ne, budak. Nampaknya engkau memang mampu melihatku. Sa... semua manusia tidak akan dapat melihatku selain dari keturunan itu. Keturunan Amaguri!”

Serentak dengan itu, Hamada mengeluarkan pedangnya dan menghunus ke leher Shinji. Shinji tidak berganjak, matanya masih merenung Hamada, api kemarahan di dalam dada bergejolak menanti dihamburkan ke wajah syaitan itu. Tiada sedikitpun gentar terzahir pada wajahnya meski dihunus pedang Hamada. Kemarahannya lebih menguasai diri.

“Siapa lagi keturunan itu yang tinggal, selain dari Chiyo. Maka engkau pastinya anak Chiyo bukan? Siapa namamu?”

“Shinji...”

“Shinji ka... nama yang indah. Apa tulisan kanjinya?”

“’Shin’ untuk baharu. ‘Ji’ untuk era.”

“Huh huh. Besar cita-cita ibumu. Mengharapkan agar anaknya menjadi pembuka era baharu tamadun Jepun. Era baharu yang telah melenyapkan kekayaan yang aku miliki. Harta-hartaku telah dirampas Maharaja bedebah itu!”

“Hamada-san, aku tidak berminat dengan politik. Aku hanya ingin tahu mengapa engkau membunuh ibuku. Itu tujuan utama aku ke sini.”

Hamada pecah ketawa. Dia kembali menyarung pedangnya. Shinji menahan api kemarahan di dada, tubuhnya menggigil, penumbuknya sudah dikepal. Jika aku punya pedang sekarang sudah pasti aku akan melibasnya merentas pinggang bedebah ini.

“Jadi, engkau menceroboh rumah ini untuk membalas dendammu? Budak, cubalah. Engkau ada pedangkah?”

Shinji diam.

“Nampaknya engkau tidak membawa satu. Ambil pedangku ini, dan bunuhlah aku.”

Hamada mencampakkan pedangnya ke sisi Shinji. Perlahan-lahan tangan Shinji merayap mencari hulu pedang itu, sedang matanya masih merenung Hamada yang tersenyum sinis di hadapannya sedang masih berdiri.

“Sungguh? Engkau tidak menyesal?”

“Aku tidak menyesal. Namun selepas engkau membunuhku, engkau akan ditangkap para pengawalku dan akan dihukum. Pastinya hukuman mati.” Hamada menggerakkan tangannya merentas leher, sambil senyum sinis.

“Aku tidak peduli akan nyawaku. Yang penting engkau harus mati di tanganku, Hamada-san.”

Hamada masih tersenyum sinis.

Ini pertama kali seumur hidupku, aku membunuh. Demi ibu, demi ketenangan ibu di alam sana, aku harus menuntut bela kematianmu.

Shinji mengambil pedang itu seraya melibas. Namun Hamada pantas menahan dengan sebilah lagi pedang yang disisip di pinggang. Samurai kebiasaannya akan membawa dua bilah pedang, disisip pada bahagian pinggang yang sama.

“Engkau ingat semudah itu aku akan menyerah diri? Ayuh bertarung. Buktikan kemahiran berpedangmu, budak!”

Shinji mengambil jarak. Dia terdengar bunyi bisikan dari pengikut-pengikut Hamada di balik dinding. Jelas mereka sedang mengintai pertarungan itu.

Namun keputusan pertarungan seperti sudah dapat diagak. Shinji tidaklah searif Ryouji mahupun Kobato dalam bertarung. Dia mudah ditewaskan Hamada. Shinji terbaring. Pedang Hamada dihunus ke dagunya.

“Mudahnya. Apakah engkau fikir dengan kemahiran tahap rendah begini engkau mampu menewaskanku. Usah berangan!” Hamada bersedia mendaratkan libasan membunuh, sebelum Shinji pantas mengeluarkan senjata api dan menembak tepat ke dada Hamada.

Hamada terkejut seraya melepaskan pedangnya. Peluru itu tepat menembusi dada Hamada. Namun tiada darah mengalir. Hamada masih berdiri di situ. Wajahnya mengukir senyuman sinis. Dia ketawa lagi, kali ini lebih kuat. Seolah-olah seluruh kota Kawamoto dapat mendengar hilai tawa puaka tua ini.

Shinji mengamati dada Hamada. Di mana lubang pelurunya? Aku yakin benar peluru itu menembusi dadanya. Sebentar. Aku ada mendengar bunyi pasu pecah. Pasu itu di belakang bangsat ini.

Shinji memandang di belakang kaki Hamada. Ada serpihan pasu pecah berterabur.

Bagaimana mungkin peluru itu menembusi dadanya namun tidak melukakan bahkan melubanginya? Aneh! Bahkan ia hanya mengenai pasu itu sahaja.

“Bingungkah engkau, budak?”

“Apa sihirmu, puaka tua?”

“Itulah kuasaku. Kuasa dari batu yang dicipta moyangmu Amaguri. Aku tidak akan dapat dilihat kecuali oleh keturunannya atau orang-orang yang aku benarkan melihatku, dan aku seperti angin, tidak boleh ditembusi peluru dan pedang.”

Tak guna! Baru kutahu dia punya kebolehan ini. Seperti angin, tidak boleh ditembusi peluru dan pedang. Kuso! Aku sepatutnya tahu lebih awal!

“Engkau tidak takutkan kehilangan kuasamu jika engkau membunuhku?” Shinji cuba menimbulkan keraguan dalam keputusan Hamada. Mungkin ada sinar cahaya dia dapat melepaskan diri dari situasi genting ini.

“Bodoh juga engkau. Jika keturunan Amaguri pupus, ia akan membuka kesemua rumah-rumah perlindungan Kogen yang sedang disembunyikan pertubuhan itu. Namun kuasaku tetap bertahan sehingga aku mati. Hanya jika engkau sendiri memilih untuk menghapuskan semua kuasa tama-no-iwa dengan meminta dari hayabusa-no-kami di hadapan tiang batu kalian, maka kuasaku akan dihapuskan bersekali dengan perlindungan ke atas rumah-rumah Kogen.”

“Shinji, aku hanya mahu engkau dan ibumu mati agar engkau tidak melakukan penghapusan itu, dan aku juga ingin menamatkan perlindungan ke atas rumah-rumah perlindungan Kogen. Aku mahu memerdagangkan gadis-gadis cantik belasan tahun yang mereka simpan di dalamnya!”

Tiba-tiba bumbung bilik itu dipecahkan. Terjun seorang lelaki berpakaian seperti ninja. Dia bergerak pantas menarik Shinji keluar dari bilik itu, terus ke lereng di tepi rumah tersebut.

Yare yare, siapa pula yang masuk campur ini? Beruntunglah engkau diselamatkan, Shinji. Jika tidak aku mungkin telah menamatkan riwayatmu hari ini.”

Pengikut-pengikut Hamada cuba menjejaki ‘ninja’ itu namun gagal. Ia bergerak terlalu pantas, seperti menggunakan kaminari jurus tinggi.

Baka ka (engkau bodohkah)?!” ‘Ninja’ itu berhenti di balik belukar, menengking Shinji.

Shinji hanya mendiamkan diri. Dia sedar dia bersalah dan telah menyusahkan pegawai Kogen.

“Tatsuhiro menghantarku menyelamatkan engkau. Sekarang engkau faham bukan mengapa kami tidak mampu menewaskan lelaki tua itu?”

“Faham...”

“Aku harap engkau tidak ulangi lagi kesilapan ini, Shinji!”

Arigatou...” Shinji tidak berupaya berbicara lanjut. Dia kebingungan dan keletihan. Kata-kata Hamada sebentar tadi berpadanan dengan penerangan Tatsuhiro. Namun mengapa pula kuasa Hamada masih kekal jika dia, keturunan Amaguri, mati? Shinji tidak dapat memahaminya.

Maka aku sendiri harus menghapuskan kuasa Hamada dengan meminta dari hayabusa-no-kami di hadapan tiang batu kami. Namun itu akan menyebabkan rumah-rumah perlindungan kami terbuka kepada pencerobohan!

Bingung, sungguh membingungkan! Tidak hairanlah Kogen beriya benar mahu memastikan keselamatanku terjamin!

**

Monolog Ryouji

Sejak misi di Suruga pada hari itu, aku dirundung pelbagai persoalan. Tentang kebolehharapan Kogen, tentang Ayame yang kulihat cuba menyembunyikan sesuatu dan mungkin, merancang membentuk pasukan renegad (renegade) bernama Skuad Sakura. Tentang harta peribadi bapaku yang dikatakan disimpan di sini, yang salinan asal wasiatnya dalam simpanan keluarga Shirasaka. Tentang nasihat bapaku yang menegahku dari membunuh, meskipun terbukti kesalahan jenayah sasaranku itu. Dan yang terakhir, tentang wujudnya kawasan tersembunyi di sekitar sini, khususnya penjara yang menempatkan pembunuh Keisuke itu. 

Aku perlukan lebih maklumat. Aku tidak fikir aku boleh mengharapkan Shinji semata-mata. Aku perlukan lebih dari seorang pembantu. Mungkin Tokui? Ya, Tokui. Tokui akan dipindahkan ke rumah perlindungan kami, selepas dia tamat menjalani hukuman penjaranya selama dua bulan kerana mencampuri urusan Kogen. Aku tidak dihukum, namun telah diberi amaran kerana ini kesilapan pertamaku, dan kerana aku telah menewaskan pasangan itu meskipun aku gagal melaksanakan hukuman bunuh. Jika diikutkan Tokui akan dipenjara selama setahun, namun Kogen mempertimbang mengurangkannya kerana dia telah menyelamatkan aku dengan membunuh pasangan itu, sekaligus menyelesaikan misi Kogen.

Fizikal Tokui rendah sedikit dariku, dalam lima kaki enam inci. Wajahnya ada iras Kobato sedikit, sepet matanya, gelap kulitnya, dan rambutnya tidaklah sepanjang Kobato, namun ia tetap diikat membunjut ke belakang dengan sedikit turun menuruni pelipis dan dahinya. Dahinya rata dan tidak jendul seperti dahi Kobato. Dia sedikit berotot berbanding Shinji, namun kecil sedikit berbanding Kobato. Tentang sikapnya, aku hanya boleh membuat tanggapan awal. Dia tegar dengan keputusannya, terutama ketika membunuh Segawa dan Masami. Dia tidak teragak-agak sepertiku. Aku fikir kejayaan Ayame memujuknya adalah kerana simbol Skuad Sakura itu yang pernah ditunjukkan kepada Ayako rakannya. Tanpa simbol itu, mungkin akan lebih sukar memujuknya.

Apalah agaknya yang dilalui Tokui sebelumnya? Apa kisah latarnya sehingga dia begitu mudah memilih untuk membunuh pasangan itu? Atau dia sememangnya seperti Kobato, berpenyakit jiwa? Tindakan agak menakutkan. Aku bimbang, jika dia membunuh sewenang-wenangnya. Dunia ini tidak semudah hitam dan putih. Sebarang keputusan, meskipun hukuman undang-undang, wajar diteliti dan diperhalusi terlebih dahulu sebelum diputuskan. Jika terlalu cepat memutus, maka aku bimbang Tokui akan melakukan kesilapan besar di masa akan datang.

Meskipun kod Kogen menghalalkan darah pelaku jenayah rogol dan pelacuran anak-anak kami, aku masih meragui kewajarannya. Aku fikir kod itu wajar dipersoalkan. Aku boleh katakan, tidak hanya nasihat otou-san yang mengkakukan tanganku ketika itu. Ia diriku sendiri. Sesungguhnya aku tidak sampai hati. Maka aku menggunakan alasan mahu menahan mereka di Kogen dan mendengar mereka lebih lanjut, sedangkan sebenarnya aku mahukan Kogen mengambilalih peranan menjatuhkan hukuman bunuh itu. Kerana aku benar-benar tidak mahu melakukannya. Sejujurnya aku berasa lega, kerana ia dilakukan Tokui. Aku masih dapat mengelak dari melakukannya sendiri.

Mampukah aku menggalas tugas begini? Aku kini dalam posisi penjatuh hukuman, bukan lagi saksi sepertimana dalam kes Keisuke. Anak-anak di rumah itu adalah mangsa, sama seperti Keisuke, dan mereka ‘mengamanahkan’ kepadaku untuk menjatuhkan hukuman. Namun aku masih teragak-agak.

Aku perlu membuat pilihan sekarang, atau aku akan dipaksa membuat pilihan kelak.

Pertama sekali aku mahu menjejaki penjara rahsia itu dan bertemu pembunuh Keisuke. Aku perlukan bantuan Shinji hari ini.

Sebentar, di mana Shinji? Aku tidak bertemunya ketika sarapan. Dia juga tiada di katilnya.

Previous: Bab 67
Next: Bab 69

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov