Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 72

“Tak guna! Siapa yang menguncinya?” Shinji menolak-nolak pintu pada dinding itu, yang membuka bilik unjuran perpustakaan. Mereka menyelinap masuk perpustakaan di tengah malam. Selepas memastikan Tsuneki benar-benar tidur, mereka berdua keluar.

“Mungkin mereka tidak lagi mahu kita keluar tanpa kebenaran lagi.”

“Ia seperti ditahan objek berat dari dalam. Atau dihalang oleh selak. Ryouji, aku akan cuba kaedah alternatif. Ayuh ikut aku.”

“Ke mana?”

Tama-no-iwa Shirasaka.” Shinji berbisik.

“Engkau tahukah di mana?”

“Menurut Takasaki-santama-no-iwa berada di pusat satu-satu lembah. Aku akan cuba cari di sana. Pasti di tengah-tengah Shirasaka-no-kogen.”

Ya, aku baru teringat. Kotobuki juga ada memberitahuku sewaktu kami di lembah Okuhida. Lembah Okuhida menjangkau seribu langkah ke semua arah dari tama-no-iwa kami.

Malam itu, Ryouji dan Shinji menyelinap menaiki tangga merentas bukit menuju ke atas. Malam itu cerah diterangi bulan mengambang. Di kiri dan kanan laluan mereka diterangi pelita dari minyak ikan paus. Laluan ini ialah denai merentas kawasan padi huma.

“Ada petunjukkah?”

“Aku tidak tahu. Aku sedang cuba mengesan.” Shinji berharap dia dapat mengesan keunguan, atau cahaya hijau dari bulan. Dia mendongak ke atas sekali-sekala, cuba menangkap jika cahaya bulan berubah hijau ketika dia melangkah ke satu-satu kawasan baru. Ryouji perasan perlakuan Shinji yang kerap mendongak, namun dia menangguhkan soalannya dahulu, bimbang mengganggu pengamatan Shinji yang rabun itu.

Kawasan tama-no-iwa ditanam semestinya berada di tengah-tengah lembah ini, agar sempadan kuasanya meliputi keseluruhan kawasan ini. Oh, aku sudah dapat mengesannya. Cahaya bulan itu sudah mula bertukar hijau.

Shinji dan Ryouji mendaki satu tangga yang tinggi merentas hutan kecil pohon sugi pada sebuah bukit kecil. Di atas bukit itu ialah dataran luas yang dipagari tembok-tembok batu, dan ditumbuhi bungaan liar dan rumput lalang ogi (Amur silvergrass). Ada kuil Shinto kecil didirikan di situ, luas kawasannya separuh dari luas kawasan rumah perlindungan mereka. Shinji terus berjalan diekori Ryouji sehingga sampai di pusat lembah itu, di tengah-tengah padang rumput dan bungaan liar dan lalang ogi. Terdapat tiang batu berwarna putih, namun di mata Shinji ia memantulkan cahaya hijau dari bulan.

“Ryouji, aku fikir inilah tama-no-iwa utama Shirasaka.”

Ryouji teruja melihat tiang batu tersebut. Ia lebih besar berbanding tiang batu di lembah Okuhida. Ada kesan potongan merata-rata membentuk lekuk-lekuk pada permukaan tiang batu itu, berpadanan dengan dua ratus rumah perlindungan Kogen yang ditanam serpihan-serpihannya.

“Melihatkan rupanya, aku fikir engkau benar Shinji. Ia mirip tama-no-iwa kami, cuma lebih besar.”

Jauh di bawah bukit itu dapat dilihat cahaya pelita dari Shirasaka-no-Kogen dan Kogen-no-shita menyinar berbalam-balam seperti bintang-bintang kuning.

“Jadi apa perancanganmu Shinji?”

“Ketika pulang dari Kawamoto aku sempat singgah di lembah Amaguri moyangku dan mengambil nota ini. Ia telah aku siat dari sebuah buku.” Shinji menyuguh nota tersebut kepada Ryouji.

Ryouji cuba membacanya.

“Tulisan apakah ini Shinji?”

Shinji tersenyum. “Hanya aku yang boleh membacanya. Ke mari nota itu.”

Salur merentas ruang untuk ke lembah Amaguri boleh dicipta oleh keturunanku, dengan mereka menyusun tama-no-iwa dalam bentuk bulatan dan memastikan batu-batu itu memantulkan cahaya matahari Emishi ke arah Hidagawa.

“Matahari Emishi?” Shinji terpinga-pinga.

“Apakah ada dua matahari?” Ryouji bertanya langsung, meskipun dia sedar aneh benar soalannya.

“Mungkin matahari biru. Hanya aku yang boleh melihatnya. Sebentar. Kita menggelarkan negara kita Ni-hon (tempat matahari terbit) bukan? Emishi ialah bangsa lain yang pernah menduduki negara ini, saki-baki mereka masih di hutan utara. Mungkin matahari biru itu matahari bangsa Emishi dan matahari biasa itu matahari bangsa Yamato, bangsa kita yang membina kerajaan di bawah Maharaja sekarang.”

“Matahari biru?”

“Oh, engkau masih belum tahu. Ryouji, disebabkan keturunanku bersusur-galur dari Amaguri maka aku dapat melihat dua matahari jika berada berdekatan batu tama-no-iwa. Satu biru, dan satu lagi yang biasa.”

Ryouji terpinga-pinga. “Maka engkau mengesan lokasi ini menggunakan kebolehan itu? Aku lihat engkau sekali-sekala melihat bulan.”

“Benar katamu. Cahaya dari bulan itu hijau di mataku sekarang, kerana ia memantulkan cahaya dari dua matahari.”

“Dari mana engkau tahu semua ini?”

“Dari pengintip Kogen yang membawaku keluar ke lembah Amaguri, namanya Tatsuhiro. Waktu itu engkau ke Suruga bersama Ayame.”

Tatsuhiro...aku pernah mendengar nama itu. Ya, Tsuneki ada memberitahuku Tatsuhiro membincangkan sesuatu dengan Shinji sebelum Shinji keluar ke Kawamoto.

“Shinji, apa yang Tatsuhiro bincangkan denganmu di lembah Amaguri?”

“Segalanya yang telah aku beritahumu. Berkenaan asal-usulku. Pusara ibuku juga di situ.”

Naruhodo.” Ryouji menggumam kecil. “Apakah Tatsuhiro juga pengintip Kogen?”

“Benar. Dia pengakap di sekitar sini. Badannya kecil seperti Tsuneki namun umurnya dua puluh empat tahun.”

“Di mana aku dapat bertemunya?”

“Aku pun kurang pasti bagaimana. Dia akan bertemu kami dari masa ke semasa. Namun pesannya padaku, jika aku ingin menemuinya, tunggu di rumah perlindungan sebelah rumah kita itu. Tentang bila dia akan tiba di sana, jangan tanya aku. Aku tidak tahu.”

Shinji meletakkan buntil kain berisi batu-batu tama-no-iwa yang digalas sepanjang perjalanan.

“Ryouji, aku akan menyusun batu-batu ini...” Shinji mengeluarkan batu-batu tama-no-iwa dari buntil kain. Dia menyusun mengikut nota itu, sambil diperhatikan Ryouji. Shinji mengeluarkan kompas dan peta bagi mengagak lokasi Hidagawa.

Perlahan-lahan permukaan tanah yang dikelilingi bulatan batu-batu tama-no-iwa itu mengeluarkan gambaran pondok di bawah pohon gergasi di lembah Amaguri. Shinji mencelupkan hujung kakinya ke dalam gambaran itu.

Ryouji teruja. Kaki Shinji tenggelam ke dalam bulatan gambaran itu.

“Engkau nampak, Ryouji? Cubaanku berhasil!” Shinji tersenyum lebar. Dia sungguh teruja nampaknya, sambil ketawa kecil. “Kita akan masuk ke dalam bulatan ini dan tiba di lembah Amaguri di Hidagawa.”

“Apakah ini?”

“Ia laluan merentas ruang hasil sihir Amaguri. Aku pun kurang pasti bagaimana ia boleh berlaku, namun aku tahu bagaimana menghasilkannya berdasarkan nota itu.”

“Sebentar. Bagaimana kita akan kembali ke sini semula?”

“Itu engkau usah risau. Aku ada perancangan lain di sana nanti.”

Ryouji menurut. Shinji masuk dahulu dan tiba di hadapan pintu masuk pondok di bawah akar pokok gergasi, dituruti Ryouji. Suasana malam di lembah itu, meski jauh dari Shirasaka, turut diterangi cahaya bulan mengambang.

“Ryouji, ikut aku ke dalam, aku mahu tunjukkan sesuatu.”

Shinji masuk ke dalam pondok dahulu. Ryouji menurut dalam kebingungan.

Tempat ini seperti lembah Okuhida, padang rumput dan bunga liar dikelilingi hutan pergunungan. Namun aku tidak mendengar sebarang bunyi serangga dan haiwan hutanpun. Ia sungguh sunyi. Hanya sekali sekala aku mendengar bunyi daun-daun berdesir ditiup angin malam.

“Apakah tempat ini?”

“Aku dibawa ke sini oleh pengakap Kogen Tatsuhiro itu atas arahan Kotobuki. Dia menunjukkan buku-buku ini. Ia hasil tulisan moyangku Amaguri.”

Ryouji mencapai sebuah dan cuba membacanya. Seperti sebelumnya, dia tidak dapat membaca tulisan-tulisan kuno pada buku itu.

“Sepertimana kertas yang engkau cuba baca itu, hanya aku yang boleh membacanya Ryouji. Ke mari buku itu.”

Shinji menyelak laman buku itu dan memilih satu bab bertajuk ‘Ramalan’. Dia memilih satu muka surat secara rawak. Dia tertarik dengan ayat-ayat yang dibentuk rangkapnya seperti puisi, tampak ritma pada susunannya. Ia disusun pada akhir bab itu. Dia menterjemahkannya ke dalam bahasa Jepun pada zaman mereka, Ryouji mendengar penuh tumpuan.

Tahun sembilan zaman gemerlap

terputus segala pewaris kuasa

hanya sunti berdarah gahara

 

dendam Emishi meruah

menggegar takhta Yamato

dibayangi sunti menyusur pawana

 

sunti tiada tandingan bertarung

dia gerhana gemerlap takhta

pulaukan, sisihkan

agar aman sarwa pertiwi

 

pulau asing tersedia di utara

tempat sunti berkelana, terpenjara

tegahlah jiwa nan menghampiri

nescaya selamat nyawa dan pertiwi.”

 

“Ryouji, engkau faham puisi ini?”

“Aku tidak faham bahasa berbunga-bunga. Namun apa yang boleh aku simpulkan secara kasarnya, Amaguri mengatakan akan muncul ancaman kepada Maharaja sekarang. Ia seorang petarung wanita, seorang dara yang tidak akan terkalahkan.”

“Tahun sembilan zaman gemerlap? Aku fikir dia merujuk zaman ini, ia mirip nama era Maharaja kita sekarang, Mei-ji (Era Pemerintahan Gemerlap). Kita berada di tahun keempat era Meiji. Bererti petarung itu...”

“Akan muncul dalam masa lima tahun dari sekarang.” Ryouji menyambung.

“Tatsuhiro ada memberitahuku hanya ada tiga puak yang masih memegang kuasa tama-no-iwa utama selain Amaguri, iaitu puakmu, Shirasaka dan puak samurai misteri Higashihara. Tentang Hamada, aku tidak pasti sama ada dia dari keturunan Higashihara. Jika pun benar, anak Hamada hanyalah Hagiura, dan Hagiura masih belum berkahwin. Jika punya anak perempuan pada tahun ini sekalipun, mana mungkin dia akan menjadi petarung itu pada usia lima tahun.”

“Ryouji, aku fikir petarung yang mengancam Maharaja itu lahir dari kalangan kalian, Shirasaka atau Higashihara. Engkau fikir?”

Ryouji cuba meneka, “Sama ada Ayame, atau dara dari Higashihara atau...”

Ryouji memandang ke lantai, matanya menjegil.

“Shinji, ramalan itu tidak semestinya tepat bukan? Ia pasti berlaku kesilapan.”

“Aku pun fikir begitu. Mungkin dari kalangan Higashihara. Namun tiada siapapun dapat mengesan puak itu setahu aku, selepas mereka mematikan lembah mereka di pergunungan Yokuma.” Shinji menjelaskan. “Higashihara barangkali telah dikecualikan disebabkan itu. Maka hanya tinggal puakmu dan Shirasaka.”

Tidak mungkin. Namun kata-kata Kotobuki di kuil Furukawa sewaktu Hisamiko demam dahulu juga menyatakan ramalan yang hampir sama. Hisamiko akan menjadi pemedang handal yang tidak akan dapat dikalahkan peluru tanegashima sekalipun. Apakah kedua-dua mereka, Hisamiko dan Ayame akan menjadi petarung itu? Atau salah seorang dari mereka sahaja?

“Ryouji, aku fikir baik kita geledah dahulu buku-buku di sini. Mungkin ada penjelasan lanjut.”

“Aku tidak boleh membacanya Shinji.”

“Oh ya betul juga. Aku akan lakukan sendiri.”

“Namun mengapa aku lihat tiada seekor binatangpun di sini?”

“Ia dilindungi sihir Amaguri. Ia terhubung ke sebuah unjuran di perpustakaan.”

“Tsuneki ada membawaku melalui terowong itu untuk ke sini, namun kami tidak berjaya.”

“Kerana aku telah menyekat pintu keluarnya pada hari aku ke Kawamoto dari sini. Disebabkan itu haluan kalian berubah ke padang lereng berumput itu.”

Ryouji mengambil masa menghadam kenyataan demi kenyataan dari Shinji.

“Di manakah pintu terowong dari sini ke unjuran perpustakaan?”

“Ia bukan pintu fizikal. Ia hasil kuasa tama-no-iwa, sepertimana bukaan dari Kogen ke sini yang aku bina tadi. Nanti aku tunjukkan.” Shinji masih menyelak laman buku sama bagi mencari huraian berkenaan ramalan Amaguri itu.

“Aku dah jumpa. Tunggu aku terjemahkan.”

Ryouji mendengar terjemahan Shinji penuh teliti. Ia satu halaman yang ditulis dari muka belakang buku itu, dan terbalik, dan ia seperti contengan. Ia berbunyi begini:

Aku mencipta batu ini demi membela bangsaku Emishi dari kemaraan orang-orang Yamato. Akan lahir dari keturunanku atau dari kalangan bangsa Yamato sendiri, seorang petarung yang akan memenggal kepala raja Yamato itu dan mengucarkacirkan tenteranya. Emishi akan kembali berkuasa di sini. Yamato pasti akan berkubur. Matahari biru akan menggerhanai matahari kuning.

Aku betul! Matahari biru itu ialah simbolik kepada Emishi, getus Shinji.

Petarung itu adalah Kaisenjyo. Dia muncul ketikamana tiada seorangpun lagi pewaris kuasa batu ini tinggal kecuali dirinya. Jika raja Yamato tidak menghalaunya jauh dari kepulauan ini, dia akan dipenggal Kaisenjyo, dan seluruh pulau ini akan dinaunginya, Emishi akan diangkat kembali. Matahari biru akan kembali menyinari segenap pelusuk pulau ini.

Shinji berhenti sejenak menarik nafas dan menyelak halaman seterusnya yang turut diconteng;

Raja Yamato mesti menghalau Kaisenjyo dari kepulauan ini atau membunuhnya, atau kerajaannya akan dihapuskan Kaisenjyo sekelip mata.”

“Sebentar, Ryouji. Itu semua berkenaan Kaisenjyo. Ada lagi satu berkenaan sumpah hayabusa.”

“Kunci bagi menghapuskan sumpahan hayabusa terletak di tangan keturunanku. Dia perlu pergi ke tama-no-iwa Amaguri dan pinta kepada hayabusa-no-kami. Namun semua kuasa berkaitan batu ini akan turut terhapus.

“Bererti jika engkau pergi meminta di tama-no-iwa, semua kuasa perlindungan batu itu akan dihapuskan? Termasuk kuasa Hamada?”

Shinji mengangguk. “Aku tidak sampai hati memikirkan mereka yang sedang berlindung di rumah-rumah Kogen, meskipun aku amat marah dengan Hamada. Ryouji, aku juga tidak boleh mati, jika tidak kuasa itu akan turut lesap, kerana aku pewaris terakhir Amaguri. Namun kuasa Hamada tidak akan lesap jika aku mati. Aku pun tidak tahu mengapa. Hanya satu-satu cara yang tinggal bagi melenyapkan kuasa Hamada ialah dengan meminta di tama-no-iwa Amaguri.”

Berat. Sungguh berat. Shinji memilih antara dendam peribadinya dan perlindungan anak-anak Kogen. Aku juga memilih antara sumpah hayabusa dan perlindungan ke atas anak-anak Kogen. Boleh sahaja kami membatalkan kuasa tersebut, dan kami dapat menangkap Hamada dan aku dapat hidup sehingga ke hari tua. Namun kami tidak sampai hati.

**

“Ryouji, sekarang aku ingin tunjukkan sesuatu. Harap ini menjawab soalanmu tadi.”

Shinji membawa Ryouji ke bulatan tama-no-iwa.

Rupanya memang ia telah dirosakkan oleh pegawai Kogen yang membawanya pulang. Shinji geram. Tak guna Oonishi-san!

Shinji mengeluarkan beberapa ketul batu itu dari buntil kainnya dan menyusun kembali agar kumpulan batu itu memantulkan cahaya hijau dari bulan ke muka terowong. Ryouji hanya melihat.

Shinji membuka pintu terowong, kemudian mencecahkan sebelah kakinya sehingga ke paras lutut ke dalam lubang terowong yang baru dibentuk dari sihir Amaguri itu. Shinji menghembus nafas lega. Cubaannya berhasil.

“Ryouji, melalui terowong ini, kita akan ke unjuran di perpustakaan itu. Aku ingin benar mengetahui siapa yang mengunci pintunya.”

“Ayuh.”

Mereka turun ke dalam lubang terowong dan menutup kembali pintunya. Shinji mengeluarkan kembali tama-no-iwa bagi menerangi terowong gelap itu. Ryouji mengikut di belakang, masih cuba menghadam perkara-perkara aneh yang baru dialami dan maklumat baru yang diterimanya. Shinji mencipta terowong begini dua kali, pada malam ini sahaja. Aku didedahkan dengan ramalan-ramalan seorang ahli sihir berkenaan Kaisenjyo. Shinji berketurunan ahli sihir itu.

Semua kuasa yang kami manfaatkan demi perlindungan rumah-rumah Kogen bergantung kepada keputusan Shinji. Sebentar, mengapa Tatsuhiro, pengakap Kogen mendedahkan Shinji semua ini? Bukankah selepas Shinji tahu berkenaannya dia bergegas ke Kawamoto? Siapa Tatsuhiro sebenarnya, dan apakah motifnya? Jika Tatsuhiro berkhidmat kepada Kotobuki, sudah pasti semua ini kerja Kotobuki bukan?

Jika Kotobuki yang mendedahkannya kepada Shinji, maka untuk apa? Apa manfaat yang akan dia perolehi? Bukankah itu berbahaya kepada Kogen, kerana Shinji berdendam dengan Hamada? Aku tidak faham.

Mereka sampai di pintu hujung di unjuran perpustakaan. Shinji mendapati lubang pintu itu terbuka. Dia memanjat naik tangga dan mendongak ke atas. Dia nampak seseorang sedang tidur. Tubuhnya pendek. Orang itu mengubah posisi tidurnya, dan wajahnya kini mengadap Shinji yang kepalanya terjulur keluar dari muka terowong, dalam kelam cahaya pelita menerangi bilik unjuran perpustakaan itu.

Tatsuhiro! Grrr...aku sudah agak!

“Mengapa Shinji?”

“Kita sudah sampai. Ayuh.” Shinji memanjat tangga keluar dari terowong itu, dituruti Ryouji.

Tatsuhiro terjaga.

“Shinji! Apa kau buat di sini lagi? Mujur engkau masih hidup.”

Shinji memandang ke arah pintu keluar bilik unjuran itu yang diselak dengan selak kayu yang baru dipasang.

“Tatsuhiro, arigatou menghantar pasukan Kogen menyelamatkanku. Dan perkenalkan rakanku Ryouji.”

Tatsuhiro terpinga-pinga.

“Bagaimana engkau boleh sampai ke terowong ini Shinji?”

“Rahsia puakku. Dan mengapa engkau menyelak pintu itu?”

“Arahan Kotobuki. Engkau buat apa lagi di luar?”

“Aku mengambil sesuatu di pondok itu.”

“Shinji, aku harap engkau tidak melakukannya.” Aku tahu Kotobuki gila. Namun aku harap engkau tidak gila seperti Kotobuki, Shinji. Aku menurut arahan Kotobuki kerana aku bimbangkan pekerjaanku di sini, dan aku mempercayainya lebih dari Ayame. Namun aku masih bimbang kalau-kalau engkau menurut dendammu itu.

“Engkau risaukan aku memutus begitu Tatsuhiro, maka engkau memasang selak itu?”

Tatsuhiro hanya mengangguk. “Kotobuki membenarkan aku memasangnya.”

“Aku bukan orang begitu, Tatsuhiro. Buat apa aku memangsakan anak-anak Kogen sedangkan musuhku Hamada? Dia pasti akan ditumpaskan, lambat atau cepat. Rakanku ini akan membantuku.”

“Shinji...” Tatsuhiro memegang bahu Shinji, kemudian memandangnya tepat. “Arigatou.”

Shinji membalas, “Doumo.” Kemudian dia pantas memaling muka, tidak mahu memanjangkan bicara, melangkah menuju ke pintu. Dia membuka selak dan keluar segera.

Ryouji memandang Tatsuhiro dan menundukkan sedikit kepalanya, kemudian menyorot Shinji beredar. Orangnya rendah, getus Ryouji. Sama tinggi dengan Tsuneki.

Tatsuhiro menghembus nafas lega. Mungkin aku sudah boleh perlahan-lahan mempercayai Shinji.

**

“Siapakah Tatsuhiro sebenarnya, selain pengakap Kogen?” Ryouji bertanya sebaik mereka tiba di tingkat teratas perpustakaan.

“Dia pengintip Kogen yang melaksanakan arahan Kotobuki.”

Naruhodo.” Bererti Kotobukilah yang mengarahkannya memberitahu Shinji sejarahnya. Apa motifmu Kotobuki-san?

Shinji menyambung, “Dari pemerhatianku, peranannya pelbagai. Adakala mengakap di luar gunung ini, adakalanya melakukan tugas-tugas khas yang diarahkan Kotobuki.”

“Siapa lagi yang tahu berkenaan Tatsuhiro, selain kita?”

“Tsuneki, dan Hotaru.”

“Hanya mereka?”

“Aku tidak tahu siapa lagi selain mereka. Tentang Tsuneki, aku tidak pasti mengapa Kotobuki mengarahkan Tatsuhiro bertemunya. Apa yang boleh aku jangkakan, Kotobuki sedang merancang sesuatu, menggunakan kita. Aku tidak pasti apa perancangannya.”

“Aku fikir begitu juga.” Ryouji meluahkan apa yang terbuku dalam fikirannya.

“Namun aku tidak kisahpun jika benar Kotobuki menolak kita semua dalam permainannya. Setakat ini disebabkan perancangannya, aku mendapat tahu berkenaan lembah Amaguri itu. Bahkan, aku boleh tawar menawar dengan mereka. Kerana segala kuasa tama-no-iwa berada dalam kawalanku.”

“Shinji...apa maksudmu?” Ryouji menyoal, dibayangi kebimbangan akan kata-kata Shinji.

“Aku bergurau sahajalah Ryouji.” Shinji ketawa kecil.

“Aku bukanlah seperti apa yang kau fikirkan. Aku tidak akan menganiaya anak-anak di rumah perlindungan Kogen. Asalkan engkau mengotakan janjimu membuat perhitungan dengan Hamada.”

“Aku pasti akan melakukannya. Aku akan mencari jalan bagaimana mengeluarkan Hamada tanpa mengorbankan keselamatan anak-anak Kogen.”

Sasuga Ryouji da ne.”

**

Mereka berdua kembali ke bilik. Ryouji terperasan sesuatu.

“Shinji, mana Tsuneki?”

Shinji menjenguk ke atas katilnya. Kosong. Hanya kelihatan gebar futon yang berkeronyok dengan bantal golek yang tersadai separa di baliknya.

“Aku tidak tahu.”

“Shinji, aku cari di tandas. Dia mungkin ke sana. Dia kerap bangun kencing di waktu malam.”

“Aku cari di luar.”

Selang beberapa ketika, mereka bertemu di muka pintu.

“Bagaimana?”

“Dia tiada di tandas. Di luar bagaimana?”

“Tiada di taman zen. Selalunya dia akan berbaring di atas bangku di situ.”

“Shinji, aku rasa aku tahu dia di mana.”

“Di mana?”

“Dia di padang lereng berumput, melalui terowong bawah tanah perpustakaan.”

“Tidak mungkin. Bukankah bilik unjuran itu diselak Tatsuhiro tadi? Takkan Tatsuhiro membenarkan dia lepas begitu sahaja?”

“Betul juga katamu.”

“Sebentar, aku fikir aku tahu bagaimana dia keluar.” Shinji tiba-tiba mendapat idea.

“Menggunakan kuda!” Serentak mereka bersuara.

Mereka memeriksa bangsal kuda. Tiada bukaan mangga. Kuda kecil yang pernah ditunggang Tsuneki juga kelihatan masih di dalam bangsal, tidur.

Aneh.

“Jika bukan dengan kuda, aku fikir dia keluar dengan berjalan kaki.”

“Bagaimana?”

“Mengikut sungai. Lagun itu berpecah kepada lima cabang utama sungai-sungai kecil. Dia pernah menelusur ke hulu salah satunya ketika sesat dahulu dan kembali ke sini.”

“Masalahnya sungai yang mana satu?”

“Sebentar Ryouji. Apa yang membuatkan kau fikir dia keluar ke tanah berumput itu?”

“Tempoh hari dia memberitahuku dia bermimpi mendengar suara meminta dia menyelamatkannya, dari dasar gaung. Ketika mencarimu, kami tiba di lereng di tepi sebuah gaung. Dia tertidur di situ dan bermimpi demikian.”

“Gaung?”

“Terdapat gaung besar dan dalam mengelilingi tanah tinggi ini. Aku fikir dia sedang cuba melakukan perkara bodoh. Aku sudah berpesan agar tidak menghiraukan mimpi itu namun dia masih berdegil.”

“Tsuneki bodoh!” Shinji mengambil kesempatan memakinya.

Ryouji hanya berbisik dalam hati, apa kurangnya kau Shinji. Engkau pun sama bodoh dengan keluar ke Kawamoto seorang diri.

“Shinji, engkau ingat dari mana dia naik pada hari itu?”

“Dari bahagian selatan. Mungkin cuba cabang selatan dahulu sungai itu. Sebentar, dengan berjalan kakikah?” Shinji menyoal, keengganan.

“Ya. Amat sukar membawa kuda di tengah malam begini. Shinji, engkau masih boleh bertahankah? Atau sudah penat?”

“Aku baik sahaja. Cuaca malam ini pun sejuk, aku kurang berpeluh.” Aku harap perjalanan ini sekejap sahaja. Aku sudah mengantuk. Tsuneki, aku harap engkau selamat!

Previous: Bab 71
Next: Bab 73

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov