Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 82

Sejak saat itu, Kirisaki sering mengambil kesempatan bertemuku di bawah pokok sakura itu setiap kali datang ke Kogen bertemu otou-san. Ada satu ketika, dia memberikanku sebuah patung kayu berbentuk telur berlukiskan wajah daruma iaitu sami berambut dan bermisai panjang serta bengis yang pabila diletakkan akan sentiasa duduk tegak meskipun dicondongkan.

Hampir setiap kali dia bertemu bapaku dan aku ada bersama bapa, ada sahaja hadiah yang akan diberikannya kepadaku. Hadiah-hadiah yang diberikan berlainan. Semuanya aku kumpulkan. Sejak kehadirannya dan hadiah-hadiah itu beserta bicaranya di bawah pohon sakura, aku tidak lagi berseorangan.

Ketika usiaku mencecah tiga belas tahun, dia tidak lagi datang bertemu otou-san. Aku bertanya otou-sanOtou-san memberitahuku dia sudah berhenti dari menjadi pengintip Kogen.

Aku merasakan Kirisaki seorang lelaki yang baik, namun aku tidak pasti apa yang mengubahnya.

Sejak itu aku berasa kosong. Otou-san seperti biasa agak sukar diajak berbual. Dia pendiam seperti selalunya. Dia aneh. Kerapkali dia mengasingkan diri ke lembah Okuhida, entah apa dibuatnya. Sejak ibu meninggal, dia sering begitu. 

**

Tak guna! Mengapa aku masih gagal mengurangkan beban emosi? Pedang ini bukan Saishi-tou. Hanya pengurangan tersebut yang boleh aku harapkan demi mencapai jurus kesembilan.

Setiap kali aku cuba memulakan gerakan bagi meningkatkan diriku ke jurus itu, setiap kali itu Kirisaki muncul dengan wajahnya merenungku tepat. Aku tidak boleh membalas renungan itu. Aku tidak sanggup menewaskannya.

Dia...aku... sejujurnya aku... aku masih rindukan Kirisaki-san yang dahulu yang sering berbicara denganku di bawah pohon sakura. Haruman pohon itu, dan bicara Kirisaki, aku... aku tidak boleh melakukannya.

Air mata Ayame menakung di sudut mata. Setelah bertarung di jurus kelapan sekian lama, dia dan Kirisaki menghentikan pertarungan. Mereka masing-masing duduk di atas lantai hutan, kepenatan.

Kirisaki mencampakkan pedangnya.

“Mengapa...mengapa engkau membuangnya?”

Kirisaki ketawa terbahak-bahak. Ayame kaget menonton perlakuan Kirisaki. Apakah akalnya masih waras?

“Sekian lama aku mencari rahsia jurus itu. Sekian lama! Eksperimenku berhasil. Maka benarlah teori beban emosi itu. Ayame, terima kasih. Sejak hari itu, terima kasih! Engkau telah kujadikan bahan eksperimenku. Aku telah berjaya membongkarkan rahsia Miura. Aku tidak perlu lagi mempelajari jurus kesembilan, ia tidak lagi penting bagiku.”

Ayame pantas meluru ke arah Kirisaki seraya menekan mata uratnya. Dia kaku serta-merta. Namun wajahnya tidak sedikitpun gentar dengan Ayame. Dia hanya tersenyum, penuh ketenangan.

“Aku tidak faham apa tujuan sebenarmu. Namun aku perlu memberkasmu sekarang.” Ayame membisik ke telinga Kirisaki yang kaku.

Usah risau Kirisaki. Engkau tidak akan dihukum mati. Meski apa sekalipun motifmu mendekatiku saban hari dahulu, aku tidak kisah. Hari-hari itu tetap hari-hari yang terindah dalam hidupku. Arigatou, Kirisaki.

Ayame melepaskan kunci mata urat Ryouji.

“Bagaimana engkau menewaskannya Ayame?”

“Panjang ceritanya. Engkau tolong galas Kirisaki di belakangku. Ayuh!”

Mereka pulang ke rumah Takahata, sebelum meneruskan perjalanan pulang esoknya ke Kogen.

**

Penangkapan Kirisaki membawa kepada penahanan penyeludup Belanda yang membawa masuk candu menerusi pelabuhan Osaka. Penyeludup Belanda ini menjual kepada orang Hamada.

Ryouji bertemu Ayame demi merungkaikan kekusutan yang membelenggu benaknya.

“Ayame-san, aku masih tidak faham. Mengapa tidak sahaja kita menangkapnya terus tanpa perlu mengekorinya dengan menjadikan aku sebagai umpan?”

“Aku tidak yakin Kirisaki akan membuka mulutnya jika kita memutus untuk menyeksanya dalam lokap.”

“Engkau kenal benar Kirisaki, Ayame-san.”

Ayame membisu. Otou-san lebih mengenalinya. Dia amat ketat mulut. Rahsia Kogen disimpan kedap. Otou-san amat mempercayainya, sebelum dia tiba-tiba berhenti dari Kogen dan menjadi pedagang.

“Jadi, bagaimana pula dia mengambil keputusan membuka mulut? Apa agaknya alasan di sebalik perubahan sikap begitu, Ayame-san?”

Sa ne. (apalah agaknya ya). Mungkin aku bernasib baik dia berubah fikiran. Mudah kerjaku. Maafkan aku Ryouji, kerana membahayakan nyawamu dengan menjadikanmu umpan.”

Ayame hanya tersenyum, memandang Ryouji. Kemudian dia meninggalkan Ryouji berseorangan. Ryouji terpinga-pinga tidak faham.

Engkau bermain dengan nyawaku Ayame-san!

**

Seorang lelaki tua bertubuh kurus dan tinggi, wajahnya disolek tebal seperti geisha dan bibirnya bergincu merah, memakai kimono berwarna merah berdiri di anjung rumahnya. Di hadapannya di luar anjung berdiri seorang lelaki yang amat tinggi dengan perut boroi, hidungnya lanjut seperti hidung monyet Belanda dan kemerah-merahan, kulit wajahnya juga merah, ada bulu-bulu putih halus di serata muka, dengan bauk perang hazel menuruni pipi, dengan jambang nipis berwarna perang hazel menuruni bauk, sama warna dengan rambutnya. Dia memakai pakaian seperti kebiasaan pedagang dari England dan Belanda, lengkap dengan topinya dan but panjang sebagai sarung kaki. Ada selaras senapang tanegashima disisip di pinggangnya.

Nekku-san (van Nekk)...” Seru Hamada kepada lelaki berhidung merah dan lanjut itu.

“Seperti biasa, Hamada-sama. Bekalan dari Canton (Guangdong, Empayar Qing) bulan ini akan tiba di pelabuhan Osaka dalam masa dua minggu.” Jelas van Nekk. Lelaki Belanda berhidung merah itu seperti sudah dapat mengagak soalan Hamada seraya pantas menyampaikan khabar terkini dagangannya. Dua orang pembantunya sedang berborak-borak tidak jauh dari lokasi mereka, iaitu di tepi taman bonsai, namun mata mereka tidak lekang dari memerhati van Nekk bos mereka. Meskipun mereka sendiri tidak dapat melihat Hamada, seperti seolah-olah van Nekk itu bercakap seorang diri seperti orang kurang siuman.

"Sasuga Nekku-san da ne." Hamada tersenyum lebar. Dia memandang Momota yang berdiri di sisinya sedari tadi, mengisyaratkan sesuatu kepadanya. Momota mengangguk faham seraya beredar.

“Bagus orang-orang Inggeris dan Perancis menewaskan orang-orang Qing beberapa tahun lepas. Perang itu telah membuka Canton kepada perdagangan candu. Dengan adanya candu di pelabuhan Canton di sana, kami boleh mengimport ke sini dengan mudah."

Kami yang membawa candu ke sini dari pulau Jawa, orang-orang Inggeris dan Perancis itu juga yang dipujinya, gerutu van Nekk dalam hati.

"Hamada-san, engkau perlu berhati-hati. Baru-baru ini orang kami telah ditangkap Kogen di pelabuhan Osaka.”

Wajah Hamada berubah.

“Di mana Kirisaki sekarang?”

“Aku dengar dia telah ditangkap. Mungkin Kogen mendapatkan maklumat darinya sebelum menangkap orang kami.”

Nampaknya Kogen telah mengetahuinya. Aku telah lama menggunakan Kirisaki selama ini. Bagaimana pula dia boleh tiba-tiba ditangkap?

“Bagaimana dengan orangmu yang ditangkap itu?”

“Mereka sudah dilepaskan. Namun jika kami ditangkap sekali lagi, amat besar kebarangkalian yang Maharaja kalian tidak akan membenarkan kami berdagang di sini lagi, termasuk Nagasaki. Keadaan akan kembali seperti keadaan sebelum perjanjian dengan Marcus Palgraves itu.”

Van Nekk menyambung, “Hamada-san, Maharaja mungkin akan lebih bertegas kali ini, kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali. Lagi pula samurai-samurai di Kyushu di bawah Saisho Takanori semakin kuat menekannya agar kembali menutup pintu pelabuhan-pelabuhan kalian dari kami dan pedagang Barat lain."

"Di mana Saisho sekarang?"

"Dia masih di Tokyo. Namun kudengar dari pengintipku yang dia kerap berbalah dengan ahli kazoku (kumpulan aristokrat yang terdiri dari bekas-bekas daimyo dan tuan-tuan tanah) lain berkenaan pengaruh Barat yang meluas sekarang di Jepun selepas perjanjian dengan si gemuk Amerika bernama Marcus itu. Aku fikir dia tidak akan lama di sana. Mungkin akan kembali ke kampungnya di Kyushu. Majoriti ahli kazoku tidak menyokong pendiriannya."

"Jadi bukankah bagus begitu? Bukankah itu bermakna lobinya terhadap Maharaja lemah?"

"Bukan itu soalnya, ada isu lebih besar. Aku bimbang kekuatan yang sedang dibina di Kyushu mampu menggulingkan Maharaja sama sekali."

"Nekku-san, apa maksudmu dengan kekuatan di sana?"

"Pengintipku di Kyushu melaporkan yang Saisho sedang senyap-senyap mendirikan sekolah tentera di sana. Disebabkan itu Hamada-san, aku fikir Saisho tidak lama di Tokyo. Dia pasti akan kembali ke Kyushu tidak lama lagi. Aku fikir dia mahu menggulingkan Maharaja."

Hamada terkedu sejenak mendengarkan maklumat mengejutkan itu. Ia petanda berat. Petanda perang saudara bakal meletus lagi. Mungkin kali ini lebih nahas dari Perang Boshin. Ini kerana Kyushu adalah tempat pertembungan budaya Jepun dan Barat yang pesat. Di sanalah banyak teknologi ketenteraan baru dan lebih canggih dari Barat diperkenalkan. Sejak pedagang Amerika mendapat kebenaran berdagang di sana dengan memaksa shogun Tetsugawa menandatangani perjanjian berat sebelah dengan Marcus gemuk dan rambut keriting itu, pelbagai teknologi senjata api baharu dikongsikan mereka kepada rakyat tempatan. Pastinya sekolah-sekolah baru yang didirikan Saisho itu bakal mencedok dan mengolah ilmu-ilmu persenjataan baharu itu ke dalam perancangan perang mereka. 

"Nampaknya aku harus bersiap-sedia."

"Maksudmu?"

"Menggiatkan lagi usahaku menghancurkan Kogen dari dalam. Menambahkan lagi bekalan candu ke sana! Aku akan meraih penagih candu baharu dari dalam Kogen sendiri." Habis berkata-kata Hamada ketawa berdekah-dekah. “Aku ingin meracuni ahli Kogen sebagaimana Inggeris meracuni rakyat Qing dengan candu. Candu dan perempuan, adalah senjata paling ampuh untuk menghancurkan sesebuah pertubuhan, atau negara.”

"Aku tidak kisah apapun perancanganmu. Asalkan nama kami pedagang Belanda di sini tidak terpalit dengan kalian sekiranya Maharaja atau Kogen menangkap kalian."

"Jadi apakah engkau tidak mahu aku menjual kepada ahli-ahli Kogen lagi? Mereka lapan persepuluhan dari keseluruhan permintaan terhadap barang terlarang itu tahu tak?"

"Bukan aku melarangmu, tetapi aku hanya mahu engkau lebih berhati-hati kali ini. Maharaja sedang memerhati Kogen melalui pemerhati yang baginda baru letak di dalamnya. Gajilah pedagang yang lebih mahir dari Kirisaki. Atau...”

“Atau apa?”

“Perangi Maharaja kalian. Bersekutu dengan Saisho.” Van Nekk memandang Hamada dengan dahi berkerut, mulutnya menutup rapat, wajahnya seperti biasa merah seperti diserang darah tinggi, dan benar-benar serius, seperti seekor monyet Belanda yang sedang sembelit.

“Bersekutu dengan Saisho?”

“Orang-orangmu pastinya arif selok-belok dalam pergunungan Hidagawa bukan? Kunci bagi memenangi pertempuran dengan pasukan Maharaja ialah memahami selok-belok pergunungan Hidagawa. Kogen yang merupakan sekutu Maharaja pastinya akan bertahan di situ, kerana pangkalan utama mereka di situ. Serahkan Kyushu kepada Saisho. Sedang kalian akan memerangi Maharaja kalian di pergunungan tersebut."

Hamada mendiamkan diri, berfikir. Melihatkan Hamada mulai menerima jarum-jarum hasutan yang cuba ditanam, Van Nekk cuba menembak lagi jarum-jarum dengan mulut ‘fukiya’-nya.

"Jika kalian berjaya menggulingkan Maharaja kalian, kami akan terus berdagang di sini dan engkau akan mendapat perkongsian keuntungan dengan kami. Ingat Hamada-san, engkau juga punya pegangan dalam syarikat insurans Furuya bukan? Jika kami tiada lagi di sini, syarikat itu juga akan lesap dari bumi Jepun ini. Dou?"

"Bagaimana jika aku kalah?"

"Hamada, bukankah engkau punya kuasa halimunan? Larikan dirilah. Tiada sesiapapun yang akan dapat menangkapmu mahupun membunuhmu."

Hamada ketawa terbahak-bahak mendengarkan cadangan van Nekk itu.

"Nekku-san, engkau memang bijak, bijak!"

**

 

Taman zen ialah taman kering dengan hanya batu-batu dan pokok-pokok hidup dan bonsai yang ditanam dan disusun agar mirip alam semulajadi. Batu-batu pelbagai jenis bentuk dan warna disusun agar membentuk air terjun dan sungai tiruan, atau kolam yang dipenuhi makhluk amfibia seperti katak dan juga bunga-bungaan kolam seperti teratai dan keladi, semuanya tiruan.

 

Di sini, di kogen-no-shita, tiada kawasan taman berkolam selain lagun berdekatan air terjun sana. Namun, taman zen sahaja sudah cukup bagi memberikan ketenangan di jiwa. Setiap satu dari sepuluh rumah perlindungan di sini dilengkapi dengan taman zen masing-masing.

 

Sejak menghuni di sini, Hisamiko gemar duduk berdiam di atas bangku panjang di taman zen itu sambil merenung batu-batu granit berwarna putih yang disusun agar membentuk sebuah ‘air terjun’, yang mana ‘air terjun’ itu ‘jatuh’ ke dalam ‘kolam’ yang dibentuk oleh batu-batu kerikil berwarna kelabu dan putih.  Pokok-pokok renek juga ditanam mengelilingi taman itu dan bertindak sebagai ‘pagar’. Pokok-pokok bonsai ditanam jarang-jarang di sekeliling ‘kolam’ batu kerikil, memberikan kontras kepada warna kelabu dan putih batu-batu.

 

Hisamiko sering gusar akhir-akhir ini. Dia ingin sekali keluar menjejaki Ryouji. Namun Azuchi enggan membantunya.

 

“Azuchi, tolong aku jejaki onii-san.”

 

“Tak mahu!”

 

“Tolonglah aku Azuchi. Sekali ini sahaja.”

 

“Tak mahu! Engkau tidak dengarkah?”

 

“Engkau tahu ke wilayah mana onii-san pergi? Mungkin engkau ada terdengar perbincangan mereka? Mungkin kita boleh meredah dan menjejaki mereka?” Hisamiko masih tidak berputus asa. Dia seolah-olah tidak menghiraukan kata-kata Azuchi.

 

“Aku tidak tahu. Mereka cukup berahsia. Namun yang pasti, mereka keluar dari Yozehama. Dan sekali lagi kuulang, aku tidak mahu keluar!”

 

Di dalam Kodama atau Yozehama nama lamanya, tiada rumah perlindungan Kogen, sedang Ryouji menuju ke salah sebuah rumah perlindungan Kogen mengikut Ayame melakukan siasatan dalaman, bererti dia keluar dari Yozehama. Wilayah Kodama ialah wilayah terdekat yang merangkumi tanah tinggi Shirasaka. Namun disebabkan tama-no-iwa, Hamada dan orang-orangnya tidak dapat mengesan lokasi tanah tinggi ini. Meskipun begitu, Hamada tetap menghantar orang-orangnya berkeliaran di sekitar pergunungan Tateyama dan tidak pernah berputus asa menjejakinya. Hamada telah lama mengesyaki lokasi Shirasaka di situ melalui para pengintipnya yang ternampak orang-orang mencurigakan mengangkut barang dagangan dan makanan keluar dan masuk dari pergunungan itu.

 

“Tapi aku risaukan onii-san.”

 

“Aku nasihatkan engkau jangan keluar Hisamiko. Selain dari perompak dan penculik, engkau pun tahu bukan orang-orang Hamada dan Hagiura ramai di luar tanah tinggi ini?”

 

“Aku tahu, ini wilayah mereka. Namun aku amat risaukan onii-san.”

 

“Aku harap engkau tidak bertindak melulu lagi seperti dulu.”

 

Hisamiko mendiamkan diri. Dia tidak berpuas hati dengan nasihat Azuchi. Dia fikir dia harus melakukannya sendiri.

 

Begitulah perbualan Hisamiko dan Azuchi semalamnya.

 

Maka Hisamiko pun duduk berdiam dan memandang batu-batu di taman zen yang tidak bernyawa itu, berseorangan, berbanding duduk bersosial di tepi lagun yang penuh dengan penghuni-penghuni lainnya. Hisamiko tidak gemar kebisingan, dan kawasan yang ramai orang. Di sini, tiada bunyi hingar air terjun. Tiada kebisingan para penghuni lain yang berborak. Hanya batu yang tidak berperasaan. Maka mencapai zen menjadi lebih mudah, jika dia mahu mencapainya. Di sini, hanya di sini sahaja, sunyi seperti taman di rumah perlindungan Takasaki dahulu. Meskipun taman di rumah perlindungan itu diselang-seli bunyi air dan jongkang-jongket buluh, bunyinya tidak terlalu mengganggu.

 

Tidak lama kemudian, Chinami dan Chiho datang dan duduk di sebelah Hisamiko.

 

“Miko-chan mari, kami mahu ke air terjun.” Chiho menolak bahu Hisamiko dengan bahunya.

 

“Kalian pergilah dahulu. Aku mahu berehat di sini.”

 

“Marilah Miko.” Kembar itu mendesak, menarik-narik tangan Hisamiko. “Apa yang kau dapat dengan merenung batu-batu ini?”

 

“Aku mendapat ketenangan.”

 

“Ketenangan apa, Neko?” Chiho memegang kedua-dua belah pipi Hisamiko kemudian menekannya sehingga mulutnya memuncung seperti itik. Neko ialah gelaran Hisamiko, bermaksud kucing.

 

“Cepatlah Hisaneko!” Chiho menarik-narik tangan Hisamiko. Chinami pun sama menarik sebelah lagi tangan Hisamiko.

 

Hisamiko terpaksa mengalah. Mungkin sekarang waktu yang salah. Selalunya dia akan duduk di taman zen ini ketika kembar ini sedang tidur atau sedang sibuk dengan aktiviti melukis mereka atau bila-bila masa di mana mereka tidak akan mengganggunya. Hisamiko amat tidak gemarkan kawasan air terjun yang bising itu, namun dia terpaksa mengalah demi mereka.

 

Pada tahun ini iaitu 1872, Hisamiko dan kembar Ogasawara masing-masing berumur tiga belas tahun. Chiho berlari anak di hadapan dituruti Chinami sedang Hisamiko hanya berjalan laju. Gembiranya mereka. Seolah-olah mereka terlupa seketika yang kakak mereka masih sedang terlantar di atas sana, dan racun itu masih belum ditemui penawarnya.

 

Kadangkala lupa itu diperlukan. Disebabkan itu manusia memabukkan diri dengan sake jika tidak dapat lari dari kelukaan mereka. Atau melakukan perkara yang boleh mengalih tumpuan mereka dari kelukaan itu, seperti apa yang mereka lakukan sekarang.

 

Aku melihat mereka berdua seringkali berpeluk sambil menangis di malam hari, mengingatkan kakak mereka, akhir-akhir ini. Aku mendengarnya sehingga tertidur. Pabila pagi, aku melihat mata mereka membengkak dan mereka mengatakan digigit serangga ketika tidur. Serangga apa pula di sini? Bahkan mengapa kedua-dua mereka sekali digigitnya? Mereka tidak pandai berbohong, aku tahu, mereka hanya beralasan kepadaku. Rumah kami amat bersih. Mana mungkin ada serangga di sini. Kami sentiasa mengemas rumah ini bersama Nariko nee-chan.

 

Hisamiko mengelamun sehingga tiba di tebing lagun itu. Chinami dan Chiho duduk di atas batu dan menghayun kaki yang mencecah air. Chiho sengaja menghayun kakinya memercikkan air lagun itu ke muka Chinami.

 

Nee-chan!” Chinami geram dan membalas percikan itu.

 

Kemudian kedua-duanya memandang Hisamiko yang sambung termenung di atas batu berdekatan mereka. “Chinami.” Chiho memanggil kembarnya.

 

Chinami mengangguk. Mereka perlahan-lahan mencembungkan tangan masing-masing, mencedok air lagun dan menyimbah ke muka Hisamiko. Basah kuyup wajah dan bajunya. Chinami dan Chiho ketawa nakal. Kemudian mereka mengulangnya berkali-kali.

 

Mou, yamete yo (Hentikan)!” Hisamiko geram kemudian dia turun mencedok air lagun dan membalasnya.

 

Aku benar-benar tidak mahu bermain kala ini. Aku hanya mahu melayan perasaanku yang merindui onii-san. Namun mengingatkan kesedihan Chiho dan Chinami, aku memaksa diriku. Mungkin, aku boleh membantu mereka melupakan kesedihan mereka, dan kegusaranku juga. Mungkin.

 

Onii-san, aku harap engkau kembali dengan selamat.

 

**

 

Lewat musim luruh, 1872.

 

Sejak tiba di Shirasaka dan diterima masuk ke dalam Kogen sebagai salah seorang petarung tugas-tugas khas, Ryouji kerap keluar mengikut Ayame. Tugasnya tidak hanya tertumpu kepada menyelesaikan kes-kes dalaman, namun juga melibatkan diri dalam kerja-kerja baik pulih kampung dan pekan selepas bencana alam mahupun akibat serangan perompak dan penyamun yang semakin berleluasa pasca penghapusan sistem samurai. Shinji pula ditempatkan sebagai penyelidik pelatih, manakala Tsuneki pula dilatih sebagai pemanah profesional dan akan diserap masuk ke dalam pasukan tugas khas Kogen, bergantung sama ada dia mahu menyertainya atau tidak kelak. Tiada paksaan dalam setiap penyertaan Kogen. Kazu Nariko melatih ahli-ahli perempuan rumah itu bertarung, iaitu Chiho, Chinami dan Hisamiko. Namun mereka juga sibuk dengan tugas-tugas yang telah ditetapkan oleh Kogen buat semua yang tinggal di situ.

 

Tugas penghuni Kogen-no-shita ialah memulihara kawasan sekitar Kogen-no-shita seperti memotong rumput dan membersihkan kawasan sekitarnya, selain terlibat dalam penyediaan makanan untuk pekerja-pekerja padi huma di atas sana dan juga pekerja perubatan, kewangan (pengurusan dana Kogen), dan lain-lain tugasan melibatkan kawasan-kawasan tersembunyi Kogen yang akan dihuraikan mengikut keperluan di sepanjang kisah ini.

 

Hisamiko gundah-gulana selepas Ryouji kerap meninggalkannya. Dahulu, dia punya rakan bicara seperti Chisato. Jika Chisato tiada, dia akan mendekati Ryouji dan duduk bersebelahannya di taman bonsai. Biasanya dia akan mengomel berbagai-bagai perkara dan Ryouji hanya menadah telinga mendengarnya, sehinggalah dia tertidur melentok pada bahu Ryouji. Hisamiko hanya berani begitu bersama Ryouji, kerana difikirkan agak janggal jika dia berperlakuan begitu terhadap Chisato, atau Mariko.

 

Sekarang onii-san kerapkali tiada. Aku ingin melunaskan tabiat begitu namun bagaimana? Bagaimana jika mereka melihatku bertutur berseorangan begitu kemudian mencurigai kewarasanku? Onii-san, mengapa engkau terlalu sibuk? Mengapa menyertai mereka itu terlalu menyibukkanmu? Onii-san, bagaimana jika engkau mati ketika keluar jauh dariku? Mungkinkah, mungkinkah hari terakhir aku melihatmu sebelum engkau pergi, akan menjadi hari terakhir engkau bernyawa di hadapanku?

 

Dia duduk di bangku panjang di taman zen sedari tadi dan merenung batu-batu tidak bernyawa sambil mengelamun dan bermonolog. Sarat monolognya.

 

Hisamiko tidak dapat menahan sebak memikirkan abangnya, dia menutup mata dengan lengan yukata, ia tidak memakan masa yang panjang sebelum habis lencun dibasahi air mata.

 

Tsuneki memerhati dari jauh. Dia masih tidak berputus asa.

 

Mengapa engkau begini Hisamiko? Aku sudi duduk mendengar engkau di bangku itu jika engkau tidak marah-marah. Apakah engkau masih merisaukan Ryouji?

 

Aku tahu Hisamiko, engkau pasti akan keluar mengejar Ryouji. Engkau telah sekian lama begini, dan dia masih sibuk keluar memperjudikan nyawanya di luar sana. Aku pasti akan mengekorimu jika engkau keluar. Aku akan memerhatimu rapat-rapat dalam masa-masa ini. Aku lihat engkau semakin merisaukanku.

 

“Miko-chan...” Chinami dan Chiho menegur Hisamiko. “Mengapa engkau menangis berseorangan?”

 

“Ah, nandemo (tiada apa-apa).” Hisamiko pantas bangun meluru ke arah rumah.

 

**

 

Hisamiko menunggang kuda berwarna perang yang kecil yang dibawa dari rumah Takasaki dan disimpan di bangsal Kogen itu terus ke arah barat daya, mengikut Azuchi.

 

“Hisamiko, engkau memang degil!” Azuchi terbang dan berteriak di atas Hisamiko.

 

Hisamiko tidak mengendahkannya.

 

“Hisamiko, engkau tahu apa akibatnya keluar tanpa kebenaran begini?”

 

“Aku mungkin akan digantung terbalik seperti Tsuneki atau Shinji. Namun aku tidak peduli. Yang penting onii-san selamat.” Hisamiko memecut laju kuda itu. Azuchi terbang di atas dan memerhati kalau-kalau ada manusia mencurigakan di hadapan.

 

“Hisamiko, ke mana engkau mahu pergi?” Azuchi bertanya.

 

“Ke Hidagawa. Sebentar, Kaname mahu minum air.” Kaname merujuk kepada kuda yang ditunggangnya. Dia yang meletakkan nama itu, entah mana dipetiknya. Namun setiap kali dia menyebut Kaname, kuda itu mendengus senang seolah-olah menerima nama tersebut.

 

Mereka berhenti di tepi sebatang anak sungai.

 

Hisamiko duduk di atas sebiji batu besar. Tiba-tiba Azuchi yang tertidur sambil bertenggek di atas Kaname terjaga selepas terhidu sesuatu, seraya terbang ke arah Hisamiko dan berteriak, “Hisamiko, lari! Lari!”

 

Namun malangnya, mereka berdua terlambat dan dikepung.

 

Ojou-chan, buat apa seorang di sini? Mahu abang temankan?” kedengaran suara seorang lelaki, dituruti ketawa beberapa lelaki yang lain.

 

Hisamiko menoleh. Dia tersentak. Seorang lelaki sedang berdiri di belakang batu tempat duduknya. Dia menoleh kembali ke hadapan. Sekumpulan lima orang lelaki sedang mengepungnya.

 

Habis aku!

 

Previous: Bab 81
Next: Bab 83

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov